Oktober Bulan Kanser
Kanser adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal di dalam badan. Ia dikaitkan dengan ketumbuhan yang dikenali dengan nama ‘malignant’ dan akan merebak ke seluruh bahagian tubuh. Pada kebiasaan sel normal akan bertambah mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan, namun pada sel kanser wujudnya pertambahan secara tidak normal yang tidak terkawal yang menyebabkan berlakunya lambakan sel yang tidak normal, juga dikenali sebagai tumor. Dan secara umumnya sebanyak satu bilion sel kanser diperlukan untuk membentuk selonggok tisu kanser bersaiz satu diameter dengan berat satu gram. Oleh itu kanser sukar dikesan melalui teknik pengimejan sehingga ianya mencapai saiz tertentu.
MajalahWM.com bersimpati kepada pesakit mahu ahli keluarga (care taker) yang menghadapi hari-hari bersama pesakit itu sendiri. Apa yang patut dilakukan oleh pesakit dan juga bagaimana ahli keluarga dapat membantu memudahkan urusan penjagaan dan sebagai peniup semangat supaya pesakit supaya tidak cepat mengalah dan melawan penyakit yang meragut berjuta nyawa manusia.
Wakil majalah MajalahWM.com menghubungi Pengasas/Pengerusi Kanser Network Selangor & Wilayah Persekutuan (KanWork), Dr. Mazanah Muhamad bagi mendapatkan maklumat serba ringkas mengenai persatuan ini. Juga bagaimana orang ramai boleh mendapat faedah melalui persatuan ini serta dapat membantu dan menyokong usaha murni persatuan ini untuk terus berfungsi dan maju ke hadapan.
Seperkara yang amat menarik bermula bulan ini MajalahWM.com akan menyediakan kolum ‘WM/KanWork’, pembaca boleh mendapat pelbagai maklumat daripada kolum WM/KanWork di samping boleh berhubung dengan mereka untuk urusan kanser dengan lebih lanjut. Di kesempatan ini MajalahWM.com juga diberikan kebenaran oleh KanWork menyiarkan kisah ‘Cerita Kami’ ditulis oleh pesakit kanser sendiri.
Apa itu KanWork?
KanWork adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang bertujuan memberi sokongan, menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai kanser kepada komuniti terutamanya kepada pesakit kanser, survivor dan keluarga. Antara program utama yang dianjurkan adalah sokongan pesakit, program pendidikan, kesedaran kanser dan membangunkan bahan pendidikan kanser. Sokongan pesakit adalah berbentuk informasi, emosi dan rohaniah melalui lawatan ke hospital dan rumah di samping menyediakan talian Helpline 1-800-22-8672.
Sokongan pesakit adalah berbentuk informasi, emosi dan rohaniah melalui lawatan ke hospital dan rumah di samping menyediakan talian Helpline 1-800-22-8672.
Siri CERITA KAMI
Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, KanWork tidak dapat menjalankan program secara bersemuka. Semua program perlu ditangguhkan sementara. Isu pandemik Covid-19 menjadi cabaran untuk semua pesakit dan survivor kanser. Kebimbangan mereka dapat dikesan melalui komunikasi WhatsApp Group ahli KanWork. Oleh itu, kami kongsikan aktiviti seharian mereka dalam tempoh PKP melalui platform media sosial agar kebimbangan dan kerisauan mereka dapat dikurangkan. Pelbagai cerita yang diterima, kemudian diolah untuk kesesuaian dan dimuat naik di laman Facebook KanWork https://www.facebook.com/kanwork.official/. Inisiatif ini dikenali sebagai ‘KanWork Stay@Home: CERITA KAMI’. Tujuan utama inisiatif ini ialah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup ahli KanWork dan mereka yang terkesan dengan kanser. Sehingga hari ini, sebanyak 83 siri CERITA KAMI merangkumi pelbagai tajuk telah dikongsikan.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, kami kongsikan dua siri CERITA KAMI iaitu tentang kisah dua pesakit/survivor kanser payudara dalam mengharungi cabaran kanser masing-masing.
Oleh: Dr. Suhaina Musani (Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan /Ahli KanWork)
Rawatan Kanser
Pandemik Covid-19 memberi kesan emosi kepada pesakit kanser. Kumpulan ini merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti corovina virus. Di musim PKP ini ada pesakit yang takut untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Saya antara pesakit yang sedang terus menerima rawatan di hospital. Sekiranya barisan hadapan negara sedang berjihad membendung Covid-19, saya pula berjihad melawan penyakit untuk sihat. Apa yang perlu digusarkan? Saya keluar dari rumah untuk ke hospital dengan niat beribadah kepada Allah. Doa dibaca dan hati berserah kepada Allah untuk segala urusan. Saya melihat banyak kelebihan mendapatkan rawatan ketika PKP; seperti perjalanan lancar di jalan raya, hospital lengang, tempoh menunggu pendek dan rawatan diterima dengan cepat. Kebetulan ketika PKP, saya dimasukkan ke wad untuk menjalani pemeriksaan kanser kerana banyak wad kosong.
Di musim PKP ini, penjagaan kebersihan diri di hospital perlu dipertingkatkan. Pemakaian pelindung muka, sanitasi serta penjarakan sosial perlu diutamakan. Kesilapan kecil membawa padah. Sebagai pesakit kanser yang terus berjuang, kebimbangan mendapatkan rawatan ketika Covid-19 perlu disertakan dengan usaha mempertingkat penjagaan diri dan bertawakal sepenuhnya kepada Tuhan. Sekiranya Allah mengizinkan jangkitan itu berlaku maka tetap akan berlaku walaupun tanpa ke hospital.
Oleh : Puan Hajah Haliza Abdul Halim (Ahli KanWork/Mantan Ketua Biro Sokongan & Lawatan Pesakit KanWork)
Ahli KanWork meluangkan masa bersama-masa bukan sahaja untuk ukhwah tetapi juga bagi memberi sokongan kepada satu sama lain.
Terapi Seorang Survivor
Saya didiagnos kanser payudara (tahap 2) pada tahun 2013. Alhamdulillah, saya telah menjalani semua rawatan iaitu dua pembedahan, enam kemoterapi dan 23 radioterapi. Sedari awal disahkan sebagai pesakit kanser payudara, saya mula mencari maklumat dan menghubungi pelbagai NGO/persatuan seperti KanWork untuk mendapatkan ilmu dan cara penjagaan diri semasa rawatan.
Kini hampir tujuh tahun saya dikenali sebagai survivor, menjalani kehidupan dengan tenang dan selesa. Syukur! Saya sentiasa menitik beratkan penjagaan diri, pemakanan serta emosi. Selain itu, sering memberikan sokongan dan menggembirakan insan yang senasib dengan saya ‘my therapy’! Antaranya adalah;
- Berjumpa dan mengenali sahabat semasa program KanWork. Ianya memberi satu aura positif dengan semangat, sokongan dan panduan yang dikongsikan.
- Menimba pengalaman bersama ‘senior’ tentang penjagaan diri dan pemakanan serta emosi supaya dapat membina jati diri pada dir sendiri.
- Menziarahi/melawat rakan-rakan yang sedang dalam rawatan samada di wad atau di rumah.
- Mengadakan lawatan bersama-sama untuk beramah mesra supaya ukhwah berpanjangan.
Kanser payudara adalah satu penyakit yang perlu kita kenali supaya kita boleh tangani. Masyarakat perlu tahu tentang penyakit ini dan bukan menjauhinya. Bila kita mengalaminya, semua di sekeliling turut terkesan. Berikan sokongan dan panduan yang betul serta galakkan mereka untuk meneruskan rawatan yang disarankan oleh pihak hospital.
Untuk maklumat lanjut;
Tel/Faks: 03 – 8940 8672
Helpline: 1800-22-8672 (talian bebas tol)
Laman Web: https://www.kanwork.org/
Blog: http://kanwork.blogspot.com/
Facebook: http://kanwork.official
Instagram: http://kanwork_official
Twitter: http://kanworkofficial
YouTube: Persatuan Kanser KanWork