Terdapat khilaf mengenai hukum boleh tidaknya wanita solat berjemaah di masjid.
Pertama – makruh, seperti ulama mutakhir, Hanafiyah. Ini untuk wanita tua dan muda dengan alasan zaman telah rosak maka pergi ke masjid boleh membawa fitnah.
Kedua – harus (khususnya wanita tua) seperti ulama Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah dengan dalil hadis-hadis. (Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/322; Fatawa Al-Azhar, 1/20).
Yang rajihnya adalah pendapat kedua, kerana dalilnya lebih kuat dan lebih jelas. Ibnu Qudamah menyatakan;
“Dibolehkan bagi wanita menghadiri solat jemaah bersama para lelaki sebab para wanita dahulu telah solat berjemaah bersama Nabi SAW.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 2/442; Mahmud ‘Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Al-Solah, 2/473).
Juga kerana tiada nas yang melarang wanita ke masjid untuk solat.
Namun keharusan itu diikat dengan tiga syarat:
- Mendapat izin daripada suami atau wali (jika belum nikah). Dalilnya sabda Nabi SAW, “Jika isteri-isterimu meminta izin ke masjid, maka izinkanlah mereka.” (HR Muslim, Bukhari, Ahmad, dan Ibn Hibban).
- Tidak memakai wangi-wangian atau seumpamanya yang dapat menimbulkan fitnah dan keburukan bagi wanita. Sabda Nabi SAW, “Janganlah kamu melarang wanita-wanita hamba Allah pergi ke masjid-masjid Allah, tetapi hendaklah mereka keluar tanpa wangi-wangian.” (HR Abu Dawud, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Darimi, dan Baihaqi).
- Tidak berlaku ikhtilat ketika masuk dan keluar masjid.
Dalilnya hadis Ummu Salamah; Rasulullah SAW mengucapkan salam dan ketika itu para wanita pun berdiri. Baginda SAW sendiri tetap berada di tempatnya beberapa saat sebelum baginda berdiri. Kami menilai – wallahu a’lam- bahawa hal ini dilakukan agar wanita terlebih dahulu meninggalkan masjid supaya tidak berselisih jalan dengan kaum lelaki.” (HR Bukhari)
Berkenaan hukum solat Maghrib dan Isyak di masjid bagi wanita pula:
Sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang mafhumnya;
“Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari.” (HR Bukhari dan Muslim)
Lihat: Ahkamun Nisa’, m/s 39. Kaum wanita di zaman Rasulullah SAW juga menghadiri solat berjemaah di masjid dan Rasulullah SAW tidak menghalang mereka. Bahkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang berjemaah solat fardhu subuh bersama Rasulullah SAW dan mereka tidaklah dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi).
Isteri-isteri Rasulullah SAW pula bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus ke masjid dan tidak sepatutnya menghalang mereka.
Kesimpulannya mana yang lebih baik?
Kita jangan hanya memfokus kepada hukum wanita solat berjemaah di masjid sahaja seperti yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Namun perlu juga melihat dari sisi lain bahawa masjid adalah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam.
Dr. Yusof al-Qardawi berkata, “Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Quran daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik.”
Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan had untuk golongan lelaki sahaja.
Bahkan terdapat hadis khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi SAW mafhumnya;
“Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna.” [HR Tobarani dan al-Albani menilainnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38]