GAYA HIDUP

Deanna Chee menulis Berjodoh dengan 2020 yang mencabar

“Apa pandangan aunty tentang tahun lalu,  2020? Boring, ya?”

Saya pandang anak mata anak saudara yang comel lalu menghelakan nafas panjang sambil tersenyum tawar. Secepatnya cuba merenung semula kisah awal perkenalan saya dengan 2020. Ia seakan hubungan cinta dua kekasih yang tidak mendapat restu daripada orang tua. Bermula dengan kisah duka dan sehinggalah kini juga ia tetap berlangsung dengan tidak pernah gembira.

Jika hendak dikatakan tidak pernah sama sekali tersenyum saat berlangsungnya kisah cinta itu, maka ia adalah bohong. Bukan tiada sedikit kemanisan, namun terlalu sedikit. Ia lebih banyak menagih air mata dan keluh kesah.

Benar.

Tahun 2020 terlalu banyak ujian maha hebat yang Tuhan hantarkan kepada kita semua. Dan yang paling hebat ialah diberikanNya ujian wabak pandemik Covid-19 yang sungguh banyak membuat kita terpingga-pingga. Seingat saya, wabak ini sudah dikesan pada Disember 2019 dan ia disahkan secara rasmi pada 9 Januari 2020. Bagi saya, inilah simbolik permulaan saya dan 2020 dijodohkan serta menghadapi ujian untuk iman.

Bermula pada tarikh itulah jodoh saya dengan 2020 diselami dengan banyak pahit getir. Ada waktunya saya hampir rebah. Ada saatnya saya sudah tertiarap dan luka berdarah. Sesungguhnya saya tidak pernah menyangka bahawa tahun 2020,Tuhan hadiah kan ujian pandemik Covid-19 tanpa buku panduan  untuk saya hadapinya dengan tenang.

Saya melihat kisah orang lain. Mereka juga teruji. Oleh kerana saya sering berada di media sosial sebagai warganet, maka sungguh beruntung kerana terlalu banyak cebisan kisah ujian orang lain yang dapat diteladani. Tentulah pandemik Covid-19 ini juga meruntuhkan banyak hal.

Saya terbaca kisah rumahtangga yang berantakan kerana ahlinya ada yang dibuang kerja akibat syarikat tempat bekerja telah tergugat ekonominya. Ada cerita yang diwarwarkan perihal insan yang dihalau dari rumah sewa kerana tak mampu lagi melunaskan bayarannya. Tak kurang juga ada yang menulis di media sosial coretan tentang anak yang kehabisan susu formula.

Melihat kanak-kanak sekolah dan pelajar institut pengajian yang dicuti kan, ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Belajar secara online tanpa kelas semuka memanglah sesuatu yang baharu dan agak mencabar.

“Bosannya tidak jumpa kawan-kawan di sekolah macam dulu.” Kata murid sekolah rendah yang meluahkan rasa bosannya kepada ibunya di media sosial.

Ini belum lagi ada yang diserang dengan wabak ini tanpa rela. Ada yang diizinkan Allah sembuh dan menang berjuang melawan wabak penyakit Covid-19 dan saya yakin pasti tercatat kisah trauma dan pengalaman berharga dalam diri mereka. Ada yang terkorban dek wabak jahat ini, pasti menjadi kisah paling sedih buat kita semua untuk dikenang sehingga akhir nanti. Semua kisah trauma dan sedih itu terpahat di papan tanda 2020.

Sering kali saya bermonolog dan menyoal diri, bilakah ujian ini akan berakhir namun ia kekal sebagai soalan tanpa jawapan. Saya tak tahu bilakah Allah izinkan ujian ini berakhir sedangkan 2020 telah  pun melabuhkan tirai khidmatnya dan 2021 sudah hampir dua bulan berlalu.

Apakah harapan saya kepada 2021?

Kini Februari 2021. Walaupun tidak mampu meneka apakah ada sinar yang paling terang menerangi kelam yang ditinggalkan oleh 2020 namun sudah pastilah saya berdoa agar bulan-bulan seterusnya akan berjalan dengan baik-baik saja. Tidak mungkin saya akan membiarkan diri berdiam daripada terus berharap Tuhan menghadiahkan kita semua dengan segala kebaikan dan kejayaan. Telah banyak air mata yang tumpah dan semoga Allah merahmati kita dengan kasih sayangNya.

Dan, apakah harapan terbesar untuk diri sendiri?

Saya berharap semoga akan ada banyak kebahagiaan dan kecemerlangan dalam bidang yang diminati. Berharap Allah berikan banyak idea untuk menulis buku baharu dan menjadi artis kanvas yang menggumpulkan hasil lukisan di galeri Deanna Chee.

Apakah saya pernah serik?

Tidak. Saya juga yakin semua orang telah banyak belajar daripada pengalaman setahun dalam menangani tekanan kerana ujian yang maha hebat. Pasti saja seluruh manusia semakin ‘senior’ setelah berdepan dengan kisah jatuh dan bangun. Dan saya mulai memahami bahawa walau apa pun rintangan hidup, ia perlu dijalani dengan tenang dan sentiasa mengikut lunas agama. Sedar ataupun tidak, Allah memberi pendidikan percuma kepada hamba-hambaNya.

Terima kasih 2020 yang menjadikan manusia seluruh dunia daripada seorang yang berhati manja menjadi sekuat Badang.

Salam sayang para pembaca!

Related posts

Tanya Dr Edmond March 2020

admin

SURIA KLCC RAIKAN TAHUN ARNAB

admin

UBAT KANSER 

adminwm

Leave a Comment