FESYEN

Cerita Yans Creation Jenama Tempatan Yang Menjengah Pasaran New York, London, Cannes…

Sudah lebih lima tahun saya bekerja dalam dunia majalah. Dalam tempoh itu saya kenal ramai pereka dan peniaga fesyen. Banyak daripadanya yang dipunyai figura popular dan artis-artis. Dan mereka ini aktif menyertai pertunjukan fesyen yang juga popular seperti KLFW atau Stylo Mercedez Benz antara lain. Mereka yang saya kenali ini mengeluarkan koleksi sekali atau dua kali setahun, termasuk untuk edisi Raya. Saya bertanya pada diri, “Seronok melihat bisnes mereka?” Dan diri saya menjawab, “Bolehlah.”

Saya lebih tertarik dengan jenama yang satu ini. Pemiliknya bukan artis, orang biasa saja dan dia sendiri menggelarkan dirinya sebagai ‘pereka fesyen daerah.’ Cukup merendah diri tetapi bisnesnya berkembang daripada semasa ke semasa. Pernah juga terkandas tetapi bukan salahnya, itu hal ekonomi punya cerita. Aktif menyertai pertunjukan fesyen yang di sini dan negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura, malah turut merentas benua menjengah pasaran Australia, New York, London dan Kanada antara lain.

Dari benua yang di sana kembali semula ke Malaysia dan kurang seminggu lalu Malaysian Bumiputra Designer Association (MBDA) mengiktiraf jenamanya sebagai The Best Modest Fashionpreneur 2019. Dalam ucapan empunya berterima kasih kepada BDA sendiri selain Matrade, Bon Zainal, Mahani Awang dan Rasta Rashid yang memberi sokongan untuknya mempromosi koleksi ke merata negara, selain Metrojaya dan Zalora yang memberi ruang untuknya berniaga.

Terus ikuti temubual saya bersama pemilik dan pereka fesyen Yani Bakhtiar dari jenama Yans Creation.

Apa cerita Yan yang selalu ke luar negara?

Saya kerap dijemput menyertai pertunjukan fesyen dan pameran dagang di luar negara. Antara yang terbaru Yans Creation menyertai New York Couture Fashion Week. Banyak feedback positif yang saya dapat terutama daripada fashion buyer yang mahu menempah koleksi saya. Hingga di hari ini saya sibuk melayani utusan e-mail daripada mereka. Seronok tetapi sebenarnya juga saya takut tidak bersedia membekalkan seperti yang mereka minta.

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]
Bagaimana penerimaan kelompok fesyen di luar negara terhadap koleksi Yans Creation kerana seperti yang kita tahu koleksinya bergaya nusantara (sedangkan banyak pementasan dilakukan di negara mat salih?

Banyak komen dari fashion buyer mengatakan yang mereka suka pada pemilihan fabrik dan menyukai citarasa saya. Saya memilih fabrik daripada material yang menyihatkan badan, antaranya saya menggunakan viscose dan cotton rayon yang berkualiti juga bahan campuran sutera yang nyaman dipakai.

Yan aktif menyertai pertunjukan fesyen ya?

Dalam setahun, dua kali saya ke luar negara. Bermula 2016, melalui Matrade saya dibawa menyertai promosi di luar negara. Yans Creation juga antara wakil Malaysia menyertai pameran dagang Pure London. Ia diadakan dua kali setahun iaitu pada Februari dan Julai. Acaranya diadakan di tengah kota London dalam venue yang cukup besar, memuatkan 700 booth yang mana pesertanya dari Paris, Itali, London, Arab dan Turki antara lain. Sebut saja apa nama negara, semuanya ada. Setiap peserta membawa koleksi terbaik masing-masing dan mereka ini adalah pereka yang benar-benar pentingkan trend semasa. Bukan senang untuk menyertai. Bayaran untuk booth saja mencecah RM17 ribu tetapi saya pejamkan mata kerana ini adalah waktu untuk saya menuntut ilmu. Jika saya belajar jurusan fesyen di universiti barangkali bayarannya berlipat kali ganda. Lagipun melalui cara ini sepertikan saya sudah menimba ilmu perniagaan fesyen di merata negara.

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]
Tentang perjalanan bisnes, sekarang sudah ada platform niaga online. Koleksi Yan ada dijual di Zalora tetapi Yan juga punya banyak cawangan butik. Zaman sekarang kalau buka butik agak payah nak survive. Jadi apa langkah yang diambil supaya tidak ‘kalah’ dalam perniagaan?

Dalam kehidupan yang serba serbi canggih, peralihan daripada urusan cara manual ke online membuatkan perniagaan fesyen mengalami perubahan yang teramat membimbangkan. Bukan hanya kami, pemilik butik lain juga mengalami situasi yang sama. Kita tidak mahu perniagaan yang diusahakan ini ketinggalan. Jadi untuk terus berada dalam permainan, perlu ambil inisiatif seperti yang saya lakukan sekarang iaitu bergaul dengan pembekal-pembekal dari negara lain. Saya berhubungan dengan banyak pembekal yang saya kenali antaranya ketika menyertai Pure London. Dengan menyertainya juga saya dapat mempelajari tentang cara peniaga antarabangsa berbisnes. Saya study kualiti produk mereka; jenis fabrik, rekaannya, kempen pemasaran, susun atur produk di booth, cara komunikasi mereka ketika berurusan dan banyak lagi. Yang bagusnya juga, saya mendapat ilmu tentang jenis kain yang bagus untuk kesihatan dan kenyamanan mereka yang memakai. Saya seronok melihat kesungguhan peniaga dan pereka fesyen luar negara dan dalam masa yang sama teruja, kerana koleksi yang mereka persembahkan itu belum pernah saya lihat di negara kita. Alhamdulillah semakin berkali saya mengikuti program promosi jualan wholesale bertaraf antarabangsa, semakin banyak pembekal dari bermacam negara yang memborong baju-baju saya. Sebelum ini banyak pelanggan dari Arab dan Afrika Selatan, sekarang bertambah hingga negara-negara Eropah. Sebab itu saya sentiasa mencari peluang mengikuti pertunjukan fesyen seperti di London, Kanada, Paris dan terbaru di New York Couture Fashion Week.

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]
Apa ‘bekal’ yang Yan bawa setiap kali menyertai acara pertunjukan dan pemerdagangan fesyen di luar negara?

Setiap kali ke luar negara, saya membawa bersama keyakinan kuat terhadap koleksi yang saya bakal persembahkan. Miliki semangat positif adalah satu hadiah daripada Allah. Atau satu keajaiban mungkin, kerana saya merasakan saya hanyalah pereka fesyen kelas daerah, tetapi tepukan gemuruh serta order yang masuk daripada setiap fashion show membuat saya sentiasa menitiskan air mata kesyukuran. Semua ini juga adalah usaha dari Matrade. Kita amat bertuah kerana kerajaan mengambil berat perihal kemajuan rakyat. Saya bersyukur tanpa peluang ini saya tak akan melangkah jauh, dan kewajiban saya adalah senantiasa berkongsi dan memberi semangat kepada peniaga generasi muda.

Apa yang membuatkan Yan begitu passionate dengan perniagaan ini?

Saya cukup berminat mencipta rekaan fesyen. Saya menghasilkan setiap rekaan berdasarkan imaginasi. Selalu saya bayangkan bentuk badan seorang wanita dan karakternya, kerjayanya dan majlis yang selalu dia hadiri. Ini antara aspek yang membantu saya mereka cipta pakaian. Setiap kali menyertai pertunjukan fesyen saya akan ikut tema yang diberi. Jika tiada tema saya akan pilih ‘Melayu Manis Nusantara’ atau apa saja yang organizer minta pasti saya tunaikan seperti sebelum ini antaranya tema resort wear, modestyle, fesyen Muslim, evening gown atau etnik. Saya sentiasa bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mengewakan organizer. Selain daripada itu, saya mahu tetamu pertunjukan fesyen saya melihat rekaan saya bukan dengan hanya sekilas pandang, tetapi membuatkan mereka tertanya bagaimana proses terciptanya koleksi saya. Jadi mereka tidak pulang dengan tangan kosong, mereka akan pulang dengan ‘ilmu.’

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]
Projek Yans Creation tahun ini?

Pada 6 Januari, Yans Creation merasmikan cawangan di London, diikuti cawangan baru di Jakarta dan Makasar. Untuk market di Malaysia julung kalinya Zalora meminta jumlah yang besar untuk koleksi hari Raya. Setiap design adalah esklusif kerana hanya ada 12 hingga 30 pasang sahaja. Untuk walk in customer di butik, kami kerap menambah koleksi rekaan terbaru sebagai hadiah buat mereka. Ada banyak pelanggan yang datang berulang kali, jadi saya tidak mahu mereka jemu jika asyik-asyik melihat baju yang sama saja. Dan saya letakkan koleksi latest di semua butik Yans Creation iaitu Metrojaya di cawangan Mid Valley, The Curve, Kota Kinabalu, Plaza City One Kuching dan Metrojaya Pelangi Johor, juga di Kenanga Wholesale City. Selain itu pada 6 April ini kami akan mengadakan pertunjukan fesyen koleksi Raya di London bersama jenama Norish Kareem Couture. Manakala bulan Mei saya akan mempersembahkan koleksi di pertunjukan fesyen yang diadakan di sebuah hotel mewah di Cannes, Perancis. Untuk show ini Yans Creation dijemput sendiri oleh pengasas Couture Fashion Week New York, Mr. Andres Aquino. Saya memilih tema elegan yang mana saya menggunakan pelbagai jenis sutera dari negara kita dan Indonesia.

Nasihat Yan kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan fesyen?

Saya sentiasa ingat pepatah orang dulu-dulu; nak hidup kena berakal dan bila mati kena beriman. Bukalah mata anda, berani, percaya diri, jangan berputus asa adalah kunci kejayaan kita. Yang penting juga, dalam berniaga mesti kena ada effort. Saya bagi contoh, katalah bercita-cita mahu menjadi pelakon, jika tidak cantik tak mengapa, mesti kena ada effort untuk mencantikkan diri. Begitu juga dengan bakat, mesti ada effort untuk belajar. Jika tidak memilikinya, ia menjadi satu masalah untuk maju. Dalam berniaga mesti punya semangat dan kerajinan untuk memperbaiki mana yang kurang.

[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”40″]

Related posts

Puma dan Sophia Webster

admin

Tiba Masanya Untuk Get LIT. & Get FIT: LILIT

adminwm

Fashion Thread: Fashion Bounce Back With Shoulder Pads

admin

Leave a Comment