CANTIK

“Bariatrik Pilihan Akhir! Kalau Mampu Kurus Secara Alami, Usahakanlah,” – Deq Sha

Screenshot

Ia tidak seindah yang dibayangkan, tidak juga semudah melihat transformasi gemuk ke kurus yang ditatap di media sosial. Mungkin anda yang melihat berasa kagum, namun buat mereka yang pernah melalui proses bariatrik sahaja yang tahu bagaimana perjuangan mereka selama berbulan-bulan dan bertahun untuk mencapai apa yang mereka impikan?

Bariatrik ialah sejenis pembedahan yang dilakukan untuk membantu mengawal masalah berat badan berlebihan, atau obesiti. Ia semakin popular dan menjadi pilihan orang sekarang yang mahu mengurangkan berat badan dan memiliki bentuk badan langsing dengan cara yang lebih singkat.

Adakah ia selamat? Kalau mahu mengetahui daripada sudut pandangan pakar, anda boleh mengkaji sendiri melalui laman sosial tertentu atau berhubung terus kepada mereka yang arif. Namun, artikel ini penulis ingin rakamkan pengalaman daripada insan yang telah melalui sendiri pembedahan bariatrik ini melalui sudut pandangan peribadinya. Ayuh!

Kesihatan Makin Teruk, Pandang Mata Anak

Tanpa ilmu pemakanan yang baik, kita memang terdorong untuk makan apa sahaja mengikut kata nafsu. Ditambah pula faktor kesihatan genetik yang mempunyai sejarah penyakit berangkai, ini menjadi penyebab kenapa kebanyakan orang kita bergantung kepada ubat dan kerap berulang alik ke hospital apabila usia mula mencecah 40 tahun. Begitulah yang dihadapi jurusolek terkenal, Deq Sha apabila dia mula berasa tidak selesa dengan keadaan tubuh dan kesihatannya. Berat badan naik mendadak dek kesukaannya pada makanan dan gaya hidup yang kurang sihat. Dia kemudian didapati mengidap kencing manis, darah tinggi dan gout. Kemuncak segalanya apabila satu hari dia hampir-hampir diserang minor stroke.


”Terus-terang saya kata, saya sangat takut hospital, saya takut jatuh sakit yang teruk. Pernah sampai saya terpaksa tidur meniarap kerana tidak mampu tidur mengiring mahupun melentang kerana kesukaran bernafas dan apabila tidur dengkur saya kedengaran terlalu kuat sehingga saya pernah ditegur oleh pramugari dalam satu penerbangan. Ia sangat mengaibkan,” kongsi Deq Sha memulakan cerita bagaimana dia mula terbuka hati untuk mencuba rawatan bariatrik ini? Sejak itu, Deq Sha mula terfikirkan nasib diri. Bagaimana kalau sesuatu terjadi kepada dirinya? Matanya terus melihat sayu anak angkat yang sudah dipeliharanya sejak kecil, Muhamad Shah Mikhail yang kini sudah bersekolah rendah. Deq Sha tersentak apabila memikirkan adakah dia akan dipersoalkan nanti apabila mensia-siakan amanah yang dia sendiri mahukan dulu?

Daripada 130kg Ke 64kg Dalam Masa Dua Tahun

Jadi, pada t2022, Deq Sha tekad untuk melakukan pembedahan tersebut setelah berbincang dengan Dr. Mustafa Taher. Selepas melakukan full medical check up dan doktor mengesahkan dia memenuhi syarat-syarat untuk menjalani prosedur itu, Deq Sha terus membuat pembayaran sebanyak RM15,000 dan baki RM15,000 dibayar ketika memasuki wad. Giliran Deq Sha dipercepatkan, hanya dua minggu selepas pendaftaran kerana kebetulan ada slot kosong dan waktu itu lagi tiga hari menjelang Hari Raya Aidiladha. ”Saya ikut sahaja dan inilah pengorbanan saya,” ucap Deq Sha sayu. Prosedur pembedahan berlangsung selama 45 minit dalam keadaan Deq Sha ditidurkan
sepenuhnya. Operasi bermula jam satu petang dan dia tersedar pada jam lima petang. Sakit?
“Tipulah kalau kata tak sakit langsung. Tetapi dengan kepakaran mereka dan ubat tahan sakit yang disediakan, alhamdulillah, saya mampu menanganinya dengan baik. Sakitlah sekejap dalam 30 minit.”

Ditanya berapa berat yang berjaya diturunkan? Kata Deq Sha daripada 130kg sebelum pembedahan, kini beratnya antara 62 ke 64kg. Namun, penurunan berat bukanlah serta-merta. Ia mengambil masa juga dan dalam tempoh itu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan.


Pola Pemakanan Berubah Total, Menangis, Mengamuk!

Ya, itulah antara pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh seorang kaki makan sepertinya. Dua minggu sebelum operasi lagi, mereka sudah diminta untuk menjaga pemakanan, tidak boleh makan sembarangan. Dan selepas pembedahan, ia lebih ekstrem! Mula-mula pembedahan memang agak ’seksa’ untuk makan dan minum. Tekak berasa sakit walau untuk menghabiskan segelas air masak. Awalnya, hanya susu yang dibolehkan untuk
diambil, dan sebulan selepas itu dibenarkan makanan-makanan lembut. Namun, adakala jika tersalah makan, boleh termuntah semula. Inilah antara momen yang agak menyakitkan untuk seorang yang suka makan.

”Saya suka try and error, apa yang boleh dan tidak boleh dicuba. Sekarang alhamdulillah selepas setahun, saya dah boleh makan nasi sikit, itu pun jenis berasmathi. Corak pemakanan sekarang lebih kepada makan secara kerap tetapi sedikit. Perut pun cepat kenyang, makan sedikit pun sudah memadai,” ujar Deq Sha lagi. Tidakkah berasa janggal apabila melihat makanan yang sedap-sedap di depan mata tetapi tidak mampu untuk menjamahnya? Tanya saya kembali.

”Tuhan saja yang tahu waktu itu. Pernah sekali saya pesan sebanyak-banyak makanan penuh meja sebab geram. Dan saya cuba untuk makan tetapi ternyata tak boleh. Saya sangat kecewa dan saya hampir terbalikkan meja. Ada kawan yang menangis melihat keadaan saya yang tidak seperti dulu, seorang pemakan,” cerita Deq Sha jujur.
Tambah Deq Sha lagi, sesekali ada juga dia terfikir, adakah apa yang dilakukannya itu satu tindakan yang betul? Namun, persoalan itu segera dilenyapkan apabila dia kembali kepada sang pencipta. ”Solat dan mintalah ketenangan daripada Allah. Hanya Dia sebaik-baik tempat mengadu.”

Kalau Mampu Diet dan Bersenam, Cubalah Dulu

Itu adalah jawapan yang sering Deq Sha berikan kepada mereka yang memintanya nasihat jika mahu mencuba pembedahan bariatrik ini. Menurutnya, bukan semua orang disarankan untuk melakukannya, ia adalah pilihan terakhir jika tidak mampu menurunkan berat badan secara semula jadi dan demi kesihatan yang lebih baik.
”Yang indahnya apabila selepas pergi check darah, doktor sahkan urine acid saya berkurangan dan gout saya hilang! Alhamdulillah lepas tiga minggu pembedahan, rasa badan sangat ringan dan ’best’. Ya, saya lakukan demi kesihatan, kalau sebab kurus tu hanyalah bonus. Dan kena ingat, penurunan berat badan bukan berlaku serta-merta, makan masa enam ke lapan bulan juga baru nampak hasilnya,” kata Deq Sha.

Mengakhiri perbualan, Deq Sha sempat berkongsi kisahnya ketika mengerjakan umrah baru- baru ini. ”Saya pernah mengerjakan umrah ketika ’gemuk’ dan dalam keadaan sekarang ini. Ternyata banyak perbezaannya. Kalau orang kata kurus untuk mudahkan proses beribadat, ya saya setuju. Melakukan umrah yang terbaru ini saya lebih berstamina dan kusyuk. Banyak ibadah-ibadah sunat yang saya boleh lakukan berganda daripada sebelumnya. Inilah nikmat yang dipinjamkanNya,” tutup Deq Sha penuh syukur.

Related posts

AWET MUDA DALAM 30 HARI

adminwm

Cetaphil® dan Pengalaman Cantik Lisa Surihani

admin

Herborist Focus on Rebalancing, Rehydrating, Rejuvenating, Brightening and Firming The Skin

admin

Leave a Comment