Melancong

HILTON GARDEN INN KOTA KINABALU TUARAN-Di Mana Langit Sabah, Sungai dan Laut Bertemu Dalam Damai yang Mewah

Tuaran stole a little piece of my heart. A refined retreat just beyond the city rush.

Sebaik sampai ke rumah kerana bau udara Tauran masih berbunga di dada, saya terus menghadap laptop yang sengaja ditinggalkan. Dan di sini saya lampirkan kenangan indah di bumi Sabah, bumi yang saya sering mengadakan kunjungan satu ketika dulu, untuk mesyuarat bersama rakan sepeniagaan, “Sorry Datuk Jan kerana tak sempat nak berkunjung ke banglo mewah you kali ini.” Ya dulu dalam apa jua acara di KK saya mesti hadir, tetapi setakat di KK kemudian pulang. Tetapi kali ini pengalaman jauh berbeza.

Ada perjalanan yang hadir bukan sekadar untuk membawa kita ke sebuah destinasi, tetapi untuk mengingatkan kembali bagaimana rasanya benar-benar berehat.

Di bumi Tuaran, kira-kira 45 minit dari lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, tersergam sebuah persinggahan yang memadukan ketenangan alam Sabah dengan keselesaan moden bertaraf antarabangsa — Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran.

Dari saat pertama melangkah masuk, suasananya terasa berbeza. Bukan sekadar sebuah hotel untuk bermalam, tetapi ruang bagi memperlahankan kehidupan. Langitnya luas, udaranya lembut, dan alam sekeliling seolah-olah mengajak tetamu kembali menikmati detik-detik kecil yang sering terlepas dalam kesibukan kota.

Jemputan istimewa daripada Hilton Garden Inn Kota Kinabalu, Tauran,  membawa kami menikmati sendiri pengalaman tiga hari dua malam yang cukup mengesankan — daripada bilik-bilik yang selesa dan elegan, keindahan matahari terbit di pesisir Sabah, menyusuri sungai bakau, hinggalah malam yang diterangi harapan untuk melihat kelip-kelip di balik hutan bakau.

Rekaan hotel ini sendiri mencerminkan karakter Sabah moden — minimal tetapi hangat. Penggunaan kayu, tona bumi dan sentuhan elemen tradisi tempatan menjadikan suasana dalaman terasa sophistikated tanpa kehilangan jiwa tropika Borneo. Struktur siling yang unik dan permainan pencahayaan lembut pula memberi identiti visual yang cukup eksklusif namun tidak keterlaluan.

Berkesempatan melihat bilik-bilik lain yang ditawarkan kepada pengunjung, dan kerana bilik-biliknya kesemua luas, ada yang boleh memuatkan sampai enam sebilik, mana nak cari lagi  resort semacam ini? Kolam renang gah untuk mandian bersama anak-anak, dan melihat kawasan yang lapang saujana mata memandang, deras ombak yang kadang menggamit kita cepat ke sana. Dan mungkin itulah keistimewaan sebenar Hilton Garden Inn Tuaran — kemewahan yang tidak perlu terlalu lantang untuk dirasai.

Pagi yang Dimulakan Dengan Cahaya Sabah

Between the sea breeze and morning prayers, peace quietly lives here.

Saya sememangnya seorang morning person. Maka pagi pertama di Tuaran bermula seawal sebelum subuh, saya berjalan perlahan menyusuri kawasan pesisir berhampiran hotel untuk menanti matahari terbit.

Dan saat cahaya pertama muncul di ufuk langit Sabah, semuanya terasa begitu indah dan menenangkan.

Ada waktu-waktu tertentu di dalam hidup apabila kita tidak lagi memerlukan bunyi-bunyian besar untuk merasa bahagia. Cukup dengan angin pagi, bunyi ombak kecil dan langit yang perlahan-lahan berubah warna di hadapan mata.

Keindahan alam ciptaan Allah di Tuaran benar-benar meninggalkan rasa syukur yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Menyusuri Sungai Tuaran dan Hutan Bakau Sabah

Hari kedua diteruskan dengan pengalaman yang cukup menyeronokkan apabila kami dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Tuaran.

Perjalanan itu membuka sisi Tuaran yang mungkin tidak ramai pernah lihat — deretan hutan bakau yang masih terpelihara, kehidupan kampung di tepian sungai dan rumah-rumah tradisional yang dibina di atas air, seolah-olah terapung bersama arus kehidupan masyarakat tempatan.

Pemandangan sepanjang sungai begitu damai. Sesekali angin sungai menyapa wajah, sementara kehijauan bakau mencipta suasana yang cukup mendamaikan. Kami juga melalui kawasan kediaman yang dikatakan berhampiran lokasi kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah — satu pengalaman yang menambahkan lagi keunikan perjalanan itu.

Drifting slowly into the magic of Sabah nights, somewhere between the river and the stars, the fireflies danced

Menjelang malam, kami sekali lagi menaiki bot untuk pengalaman mencari kelip-kelip di kawasan bakau. Walaupun malam itu tidak terlalu banyak kelip-kelip muncul, pengalaman menyusuri sungai dalam suasana malam yang gelap lagi sunyi tetap terasa magikal dengan caranya tersendiri.

Berkayak dan Menemui Semula Ketenangan

Pagi di atas kayak membuatkan saya sedar — ada perjalanan yang tidak memerlukan destinasi, hanya rasa syukur untuk menikmati setiap detik. Saat berkayak mengajar saya bahawa ketenangan kadangkala hadir hanya melalui bunyi dayung yang menyentuh air. Berkayak di awal pagi terasa seperti menyusuri lukisan alam yang baru sahaja dibangunkan oleh cahaya. Di antara kabus pagi dan hutan bakau Tuaran, saya menemukan sebuah rasa damai yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Pernah mencubanya ketika zaman remaja, namun kembali mendayung di usia yang lebih matang memberi rasa yang jauh berbeza. Di atas air yang tenang, sambil menikmati pemandangan alam sekitar, fikiran terasa kosong daripada segala tekanan dunia luar.

Kadangkala ketenangan sebenar bukan datang daripada kemewahan, tetapi daripada peluang untuk kembali dekat dengan alam.

Jangan Tinggalkan Tuaran Tanpa Mi Tuaran

The kind of place you remember long after checkout.

Sebelum perjalanan berakhir, kami menikmati makan tengah hari terakhir dengan hidangan yang cukup terkenal di Sabah — Mi Tuaran.

Dan benar seperti kata orang, jangan tinggalkan Tuaran tanpa mencuba Mi Tuaran. Rasanya sederhana tetapi sangat memikat — mi kuning yang digoreng bersama aroma bawang putih  dan telur, tekstur sedikit rangup itu meninggalkan rasa yang begitu nostalgik dan menyenangkan.

Seperti Tuaran sendiri — it’s a place where time slows, and the focus is simply on comfort, calm, and connection with Sabah’s distinctive landscape.  Ya, lembut, tenang dan sukar dilupakan.

THINGS TO DO IN TUARAN, SABAH
Menyusuri Sungai Tuaran

Nikmati pengalaman menaiki bot menyusuri sungai sambil melihat kehidupan kampung air, hutan bakau dan panorama alam Sabah yang masih terpelihara.

Menanti Matahari Terbit

Kawasan pesisir berhampiran hotel menawarkan pemandangan matahari terbit yang cukup memukau, terutama pada awal pagi.

Fireflies River Cruise

Pengalaman menaiki bot waktu malam untuk melihat kelip-kelip di kawasan bakau memberi suasana romantik dan mendamaikan.

Berkayak

Aktiviti santai yang sesuai untuk menikmati ketenangan alam sambil menyegarkan fikiran.

Mencuba Mi Tuaran

Antara hidangan paling ikonik Sabah yang wajib dicuba apabila berada di Tuaran.

Karaoke & Night Leisure

Nikmati suasana malam santai di hotel dengan ruang karaoke sambil menikmati angin malam Sabah.

Related posts

Jom ‘Check in’ ke Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade

adminwm

New Research from Wise Reveals A Smart Way to Save When Booking Flights

adminwm

Hati Tertinggal di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City

Afiza Kamarulzaman

Leave a Comment