
Lelaki Ini, ada sesuatu yang sering diabaikan tentang mereka—bukan pada kata-katanya, bukan pada jasanya, tetapi pada kasut yang dipakainya. Kasut, bagi seorang lelaki, bukan sekadar pelengkap gaya. Ia adalah bahasa diam yang menceritakan siapa dirinya, ke mana dia melangkah, dan bagaimana dia mahu dikenang.
Seorang lelaki yang memilih kasut kulit klasik—oxford atau derby—sering membawa disiplin dalam dirinya. Ada ketelitian pada cara dia mengikat tali kasutnya, seperti dia mengatur hidupnya. Kasutnya berkilau, bukan kerana kemewahan semata, tetapi kerana dia menghormati perincian. Lelaki seperti ini biasanya memahami bahawa keanggunan bukan sesuatu yang dilaungkan—ia dirasakan.
Sebaliknya, lelaki dengan loafers tanpa tali berbicara tentang keyakinan yang santai. Dia tidak perlu terlalu keras untuk dilihat kuat. Langkahnya ringan, tetapi pasti. Dia hadir tanpa memaksa perhatian, namun tetap diperhatikan. Ada keseimbangan antara keselesaan dan gaya—dan itu bukan sesuatu yang mudah dicapai.
Dan hari ini, dunia lelaki juga tidak dapat dipisahkan daripada sneakers. Dahulu ia hanya untuk sukan, kini ia adalah simbol budaya. Seorang lelaki dengan sneakers yang tepat tahu bagaimana mengimbangi tradisi dan modeniti. Sneakers putih yang bersih memberi gambaran minimalis dan teratur. Sneakers yang lebih bold—warna, tekstur, atau edisi terhad—menunjukkan sisi ekspresifnya, mungkin seorang yang kreatif, mungkin juga seorang yang berani mencabar norma.
Namun, yang paling menarik bukan jenis kasut itu sendiri, tetapi bagaimana ia dipakai.
Ada lelaki yang memakai kasut mahal, tetapi langkahnya kosong. Dan ada lelaki yang memakai kasut sederhana, tetapi membawa aura yang tidak boleh dibeli.
Kerana akhirnya, kasut hanya menjadi bermakna apabila ia menyatu dengan peribadi pemakainya.
Seperti kata yang tidak pernah diucapkan tetapi sering terasa—
seorang lelaki tidak dinilai dari ke mana dia pergi, tetapi bagaimana dia melangkah ke sana.
Dan dalam setiap langkah itu, kasutnya menjadi saksi.
Saya senaraikan jenis kasut dan ke mana patut kaki itu melangkah
Oxford

Formal paling klasik. Untuk black tie, majlis rasmi, dan acara berprotokol tinggi.
Derby Shoes

Sedikit lebih santai daripada Oxford. Sesuai untuk korporat dan semi-formal.
Loafers

Santai tetapi refined. Sesuai untuk smart casual, majlis siang, atau resort setting.
Capal / Sandal Tradisional

Untuk Baju Melayu. Di sinilah sandal mempunyai tempatnya—kerana ia sebahagian daripada budaya, bukan sekadar pilihan mudah.
Tentang Sneakers: Antara Trend dan Disiplin

Kita tidak boleh menafikan bahawa sneakers hari ini telah menjadi fenomena global. Lelaki dan perempuan, muda malah yang tua juga. Kerana apa? Kerana ia sangat selesa lagi praktikal. Dan dalam banyak situasi, ia juga boleh kelihatan bergaya.
Namun di sinilah garis halus yang perlu difahami. Sneakers adalah kasut kasual yang diangkat menjadi gaya, bukan pengganti kepada semua jenis kasut.
Di Mana Sneakers Sesuai?
- Gaya kasual harian
- Smart casual tertentu (dengan tailoring moden)
- Travel & lifestyle
Di Mana Sneakers Tidak Sesuai?
- Majlis rasmi
- Perkahwinan (kecuali tema sangat spesifik)
- Acara berprotokol
Pandangan Peribadi
Saya memahami mengapa ramai memilih sneakers kerana keselesaan, itu nyata. Namun gaya bukan hanya tentang apa yang mudah. Ia tentang menghormati ruang, acara, dan diri sendiri. Saya kurang bersetuju kebaya dipadankan dengan sneakers,
begitu juga saya melihat lelaki dalam sut lengkap tetapi memakai sneakers— ia mencipta satu ketidakseimbangan yang sukar diceritakan, tetapi jelas dirasakan.
Sayugia, sama ada wanita atau lelaki, kasut adalah asas yang sering dipandang ringan. Dan di situlah letaknya kehalusan sebenar gaya. Bukan pada yang paling mahal, dan tidak pada yang paling trendy, tetapi pada tempat pemergian.

