Sekali lagi terpilih mewakili Malaysia ke persada antarabangsa, penyanyi dan penyair
Umar Uzair teruja apabila menerima undangan ke Festival Filem & Puisi Antarabangsa ke 12 yang berlangsung di Riga Palamidi, Athens pada 11 & 12 April 2025. Terkenal sebagai salah sebuah festival Puisi utama peringkat dunia, 12th IVPF yang dikurator oleh aktres Greece, Sissy Doutsoue anjuran The Institute for Experimental Arts of Athens menghimpunkan lebih 43 negara dengan persembahan 33 artis dan seniman puisi serta penglibatan 97 filem puisi pelbagai bahasa.
Kunjungan persembahan yang sepatutnya menjadi kenangan yang manis bagaimanapun bertukar menjadi pengalaman yang mencemaskan apabila
penerbangannya ke negara bersejarah itu terpaksa dibatalkan akibat rusuhan dan mogok kerja yang terjadi selama 24 jam pada 9 April 2025. Terkandas selama hampir dua hari di Abu Dhabi, Uzair bersama enam lagi rombongan yang bersama-sama dengannya dari Malaysia terpaksa beralah setelah dimaklumkan tiada penerbangan keluar masuk untuk lima hari berikutnya sebelum diberi beberapa pilihan ke lokasi lain termasuk Rome atau Milan sebelum membuat keputusan memilih ke Istanbul.




“Saya memilih Istanbul pada mulanya kerana melihat ada laluan darat dan laut untuk ke Athens tetapi setelah dikaji perjalanan melalui dua cara tersebut mengambil masa lebih 15 jam, saya mengambil keputusan untuk terus berada di Istanbul. Selain amat dekat di hati, saya turut mendapat nasihat oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Dato’ Mohd Yusri Yusoff agar bertenang dan tidak memasuki kawasan berisiko”.
Walaupun tidak hadir secara fizikal, Uzair bersama pasukan kreatifnya berjaya merakamkan persembahan lagu Hati ke Hati dan single barunya Balada Tengkujuh secara akapela di Gulhane Cistern, sebuah tangki air yang dibangunkan di dalam taman pada zaman Byzantin pada 1329 bersebelahan dengan masjid agung Haiga Sofia yang dilatari dengan pemandangan memukau batu-batuan dengan perincian marmar dan senibina Corinthian.
Persembahan itu seterusnya telah ditayangkan secara maya di The Old Printer of Empross Theater yang menjadi lokasi acara mendapat pujian dan menyentuh hati penganjur. Kala ditanya sekembalinya ke tanah air, “Pengalaman yang pedih kerana saya sudah set untuk bekerja dan bukan berjalan-jalan. Jadi saya agak kecewa tidak dapat tampil secara langsung tetapi pengalaman rakaman di Gulhane Cistern di Istanbul amat luar biasa.”
Dalam video ucapannya kepada rakan seniman di Athens, Uzair berharap agar dapat menyertai festival itu pada siri yang akan datang.