EYE ME

Pentas, Prinsip dan Harga Sebuah Maruah

Menghadiri majlis pertunjukan fesyen, sambil mata ini liar memerhatikan satu persatu persalinan yang diperagakan, dan dalam hati bertanya — apakah yang sebenarnya sedang kita raikan? Kreativiti, atau sekadar kebisingan?

Dunia fesyen sentiasa menjanjikan gemerlapan. Lampu sorot, muzik yang menggetarkan dada, barisan selebriti, tetamu kehormat dan kamera yang tidak berhenti merakam. Namun di sebalik segala kilauan itu, ada satu perkara yang tidak boleh dibeli atau dipinjam — maruah sebuah karya.

Pada  saya sebuah pentas bukan sekadar ruang memperagakan koleksi. Ia adalah medan amanah. Amanah untuk mempersembahkan hasil yang benar-benar lahir daripada pemikiran, disiplin dan integriti. Tanpa itu, pentas hanya tinggal struktur kosong — indah pada rupa, tetapi tidak berjiwa.

Saya sering percaya bahawa penganjur yang berprinsip memahami peranannya sebagai penjaga mutu, bukan mencari perhatian. Seperti contoh seorang penasihat atau penganjur yang tidak pernah menampilkan koleksi sendiri, tetapi berdiri di belakang tabir membimbing arah dan standard persembahan — itulah bentuk kepimpinan yang matang. Kepimpinan yang tidak perlu berada di tengah lampu sorot untuk menjadi significant. Penganjur bukan pesaing kepada pereka. Mereka adalah penjaga aras. Mereka menentukan siapa benar-benar bersedia, dan siapa masih perlu memperhalusi kraf.

Bayangkan anda penganjur pertunjukan, dan koleksi anda juga dipentaskan, waktu sama diadakan pula pertandingan bagi mencari rekaan terbaik.  Katakan himpunan anda dipilih kerana sungguh, ia disenangi oleh setiap juri, ya koleksi anda yang terhebat malam itu, tetapi adakah saingan pada malam itu semuanya bersetuju, kerana setiap yang bertanding merasakan dia yang terbaik. Kecewa dan bercakap di belakang. Atau anda langsung tidak disenaraikan dalam apa juga kategori yang ditandingi. Maknanya apa, you’re not up to the judges standard, you failed.

Di sini saya kena beri kredit kepada Andrew Tan. Tan kekal sebagai penganjur, dia tidak pernah dan tidak akan hadir dengan koleksi atas jenamanya sendiri. Adil bukan, supaya layanannya kepada setiap pereka sama rata.

“True leadership does not compete for the spotlight. It protects the standard.”

Industri kreatif tidak kekurangan bakat. Yang kurang adalah disiplin dan kejujuran terhadap proses. Fesyen bukan sekadar tentang siapa paling cepat mengeluarkan koleksi atau siapa paling lantang mempromosikan diri. Ia tentang kesinambungan, kredibiliti dan nilai yang dibina perlahan-lahan.

Sebagai pereka, sebagai penganjur, sebagai pengkritik, malah sebagai media — kita semua memegang peranan dalam menentukan arah industri ini. Jika kita mengangkat karya yang kosong semata-mata kerana hubungan atau populariti, maka kita sedang merendahkan standard yang sepatutnya kita pertahankan. Saya tegaskan sekali lagi sebagai Editor-in-Chief, saya percaya media bertanggungjawab. Kita tidak boleh sekadar memuji kerana hubungan baik. Kita tidak boleh takut untuk menyebut tentang mutu fabrik, potongan yang lemah, atau konsep yang tidak berkembang. Kita mesti berani berbicara tentang mutu.

Kerana pada akhirnya, sejarah tidak akan mengingati siapa yang paling glamor pada malam itu. Ia akan mengingati siapa yang menjaga integriti karya.

“A stage without integrity is merely a platform.
 A stage with principle becomes legacy.”

Mungkin sudah tiba masanya industri fesyen Malaysia berhenti mengejar sorakan, dan mula mengejar standard.

Dan mungkin juga, sudah tiba masanya kita bertanya dengan jujur — apakah yang sedang kita bina? Sebuah acara… atau sebuah legasi?

Pentas Yang Indah, Tetapi Adakah Ia Masih Bermakna?

Beberapa tahun kebelakangan ini, saya sering mendengar pandangan yang sama daripada rakan industri luar negara, pembeli antarabangsa dan pemerhati fesyen serantau — pertunjukan fesyen di Malaysia semakin boleh dijangka. Visualnya cantik, tetapi emosinya kosong. Susunannya kemas, tetapi naratifnya berulang.

Ada yang lebih berani berkata: “It looks the same every season.”

Sebagai seseorang yang mencintai industri ini, kenyataan itu tidak mudah untuk diterima. Namun mungkin kita perlu cukup matang untuk mendengar.

Pertunjukan fesyen seharusnya menjadi ruang dialog budaya, eksperimen tekstil, pertemuan tradisi dan inovasi. Tetapi apabila pentas menjadi terlalu selamat, terlalu formulaik, terlalu bergantung pada glamor dan selebriti untuk menutup kelemahan produk — maka yang tinggal hanyalah persembahan, bukan pernyataan.

“When fashion becomes predictable, it stops being relevant.”

Lebih membimbangkan, ada kecenderungan dalam kalangan segelintir pereka untuk terlalu fokus pada kos rendah sehingga mutu fabrik dan kemasan diketepikan. Tidak semua, tetapi ramai sekali. Kita masih mempunyai pereka yang berintegriti dan tekun menjaga kualiti. Namun realitinya, ada koleksi yang kelihatan mewah di pentas tetapi gagal bertahan selepas dua kali cucian.

Fabrik bukan sekadar material. Ia adalah bahasa.
 Jika bahasanya murah, mesejnya juga akan terasa murah.

“Luxury is not a price tag. It is discipline in material and detail.”

Dan isu yang lebih sensitif — tetapi perlu disebut — adalah fenomena membeli produk siap dari luar, kemudian meletakkan label sendiri dan membawanya ke pentas seolah-olah ia hasil reka cipta asli. Ini bukan soal inspirasi global atau rantaian bekalan moden. Ini soal kejujuran kreatif.

Apabila identiti jenama dibina di atas produk yang bukan lahir daripada pemikiran sendiri, kita sebenarnya sedang menghakis kredibiliti industri. Pereka bukan sekadar pemilik label. Pereka adalah pencipta bahasa visual.

Jika sebuah label tidak benar-benar mencipta, apakah yang sedang kita jual?

Logo? Atau ilusi?

“A logo can be printed overnight.
 A design language takes years to build.”

Kita tidak boleh bercakap tentang legasi jika asasnya rapuh.

Jika bahasa itu dipinjam tanpa pengakuan, maka apakah nilai sebuah jenama?

“A brand without authorship is only a logo.”

Kita juga perlu bercakap tentang penganjuran. Pertunjukan yang terlalu kerap tetapi kurang kurasi. Terlalu banyak pentas, terlalu sedikit penapisan mutu. Apabila semua orang diberi ruang tanpa garis standard yang jelas, kita sedang merendahkan nilai pentas itu sendiri.

Musim demi musim, kita melihat siluet yang sama, naratif yang sama, susunan pentas yang sama. Muzik berubah, latar LED bertukar grafik, tetapi keberanian estetik jarang benar-benar melonjak. Kita seperti terlalu berhati-hati untuk menggoncang arus — sedangkan fesyen seharusnya mencabar zon selesa. Industri ini tidak akan rosak kerana persaingan. Ia rosak apabila prinsip diketepikan.

“If it does not risk anything, it changes nothing.”

Jika industri ini mahu dihormati di peringkat serantau dan global, kita perlu berhenti berpuas hati dengan mediokriti. Kita perlu berani menerima kritikan sebagai proses pematangan.

Kerana fesyen bukan sekadar tentang menjadi viral untuk satu musim. Ia tentang membina legasi yang bertahan.

“Trend fades. Integrity remains.”

Kita juga harus mengakui satu realiti penting — pembeli hari ini jauh lebih bijak. Wanita moden membaca label fabrik. Mereka memahami perbezaan antara linen tulen dan campuran murah. Mereka tahu membezakan jahitan dalaman yang kemas dan yang tergesa-gesa. Mereka membandingkan harga dengan kualiti global, bukan hanya tempatan.

“Consumers may be polite.
 But they are not blind.”

Jika mutu tidak sepadan dengan harga, mereka akan memilih jenama lain — termasuk dari luar negara. Kesetiaan pelanggan hari ini bukan dibeli dengan glamor. Ia diperoleh melalui konsistensi.

Ini bukan serangan. Ini adalah ajakan.

Ajakan untuk:
 – Berhenti mengulang formula yang selamat.
 – Berhenti menutup kelemahan produk dengan produksi besar.
 – Berhenti mengelirukan pasaran dengan label tanpa identiti.

Dan mula membina reka bentuk yang benar-benar lahir daripada pemikiran sendiri. Kerana jika kita mahu dihormati di luar, kita mesti terlebih dahulu jujur di dalam.

“Trend builds attention.
 Integrity builds legacy.”

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Siapa paling glamor musim ini?”

Dan mula bertanya,
 “Siapa yang benar-benar membina sesuatu yang akan bertahan 10 tahun akan datang?”

Industri yang matang tidak takut pada kritikan.
 Ia menggunakannya untuk menjadi lebih baik.

Dan saya percaya — kita mampu sampai ke tahap itu.

Related posts

Disember 2025: Tahun Kita Menutup Luka, Menyimpan Manis, dan Menyulam Harapan Baru

Wirda Adnan

Bila Diuji?

Wirda Adnan

Selamat Tinggal 2024

Wirda Adnan

Leave a Comment