PERSONALITI

PENDIDIKAN-TINA TAJUDDIN TIDAK BERGANJAK DENGAN IMPIANNYA

Berkali-kali saya cadangkan pada Tina agar fokus WM kali ini kepada isu-isu santai termasuk hal-hal menarik tentang kerja amal yang begitu banyak diusahakannya selama ini, malah sejak kecil lagi kerja amal adalah sebahagian kehidupannya. 

“Menarik sekali Tina, ramai nak tahu,” saya memujuk. Namun sepintas itu beliau menggeleng kepala tanda tidak setuju. 

“We talk about education,” dengan intonasi dan raut wajah yang agak serius. 

Pendidkan lagi, kata di hati. Bukankah topik pendidikan itu sudah kita rencanakan di keluaran lalu?

“Pendidikan adalah kehidupan,” jawabnya. “We are talking about the future here. Masa depan masyarakat. Masa depan negara, ke mana arah kita. Saya faham, yang santai-santai tu memang orang gemar baca, tapi untuk apa? Be with me on this, and support me in this mission. Biar orang jemu asalkan mesej saya sampai dan masyarakat sedar daripada lena.”    

Agak degil wanita di hadapan saya ini. Namun dalam kedegilannya itu terserlah sifat tegas dan penyayangnya. Mahu atau tidak, saya tiada pilihan. Terpaksa terima keputusannya dan hadapi situasi itu dengan minda terbuka dan tenang kerana bab dan hal-hal pendidikan adalah kepakarannya, malah jiwa raganya. 

Itulah Tina Tajuddin, nama yang kebelakangan ini semakin hebat dibualkan. Tidak hairanlah mengapa, sejak dinobatkan sebagai Wanita Ikon Perak 24/25, figura hebat dunia pendidikan ini semakin keras dan lantang suaranya. 

Memiliki beberapa sekolah dan sebuah institusi pengajian tinggi, tentulah Tina punya pengalaman luas dan sebab untuk memperjuangkan perihal pendidikan hingga dikenali sebagai Ibu Tina, di kalangan pelajar dan masyarakat setempat.

“Demi apa pendidikan, jika ia tidak mampu mengangkat wawasan dan visi rakyat? Bolehkah sistem pendidikan kita membawa negara ke tahap yang lebih tinggi? Sistem pendidikan kita memang tidaklah seteruk mana berbanding banyak lagi negara negara mundur malah di sesetengah negara sedang membangun. Namun dengan perkembangan teknologi di mana dunia maju sedang bersiap siaga, menggubal dasar pelajaran mereka semata-mata untuk bersinergi dengan perkembangan persekitaran dan tamadun dunia masa kini, di mana teknologi akan menakluki setiap sudut kehidupan, kita tidak boleh berasa selesa?” tanyanya.

“Ini bukan masa menuding jari pintasnya. Apa yang patut kita capai ialah satu sistem dan dasar pelajaran yang padu, strategi yang boleh diterima pakai serta relevan untuk hari ini dan masa hadapan. Dan kita perlu bersungguh-sungguh membanteras beberapa hal yang telah kita kenal pasti hingga ke akarnya.”

Tanggungjawab Semua Peringkat Masyarakat

Menurut Tina, kala ini semua yang terbabit dengan sistem pendidikan daripada ibu bapa, guru, pendidik, para pelajar sendiri dan khususnya pihak kementerian perlu bersinergi.  Negara perlukan satu sistem bersepadu yang mampu memberi kesedaran secara berkesan kepada semua pihak. Supaya semua faham misi dan hala tuju mengapa ia perlu dipatuhi dan dilaksanakan. Tidak boleh lagi tunggu menunggu siapa yang perlu mula. Sudah tiba masa untuk mengenalpasti solusi dan bertindak pantas.

“Jangan bandingkan dengan zaman ibu bapa kita dulu — seorang petani atau penoreh getah yang tegar menghantar anaknya ke sekolah, dan tidak tahu pun atau tidak ambil tahu langsung apa anaknya buat di sekolah dan apa yang diajar oleh guru mereka tapi ramai yang cemerlang; menjadi doktor, peguam dan menyandang jawatan profesional. Hari ini ibu bapa tidak boleh hantar anak ke sekolah dan mengharap guru mendidik anak mereka seratus peratus.

“Ia juga bertepatan dengan matlamat Kementerian ke arah menuju murid berprestasi tinggi, yang dapat dicapai melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, kaedah baru menyampaikan setiap mata pelajaran dan tentulah usaha melatih guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi. Supaya mereka akan sentiasa bermotivasi mencari solusi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mencipta kaedah serta amalan-amalan baharu yang sesuai dengan keperluan kini. Ini demi menyediakan mereka dalam dunia realiti yang semakin mencabar.”

Dasar Yang Bijak Bina Kesedaran

Dalam pengamatannya, Tina berpendapat terlalu kerap berlakunya perubahan dasar begitu pun pentadbir dan guru tidak diberi tempoh peralihan yang mencukupi. Contohnya, format soalan yang kerap bertukar. Ini yang menjadi masalah. Begitu juga dengan isu pembubaran peperiksaan penting seperti UPSR dan PMR amat dikesali ramai.

Latihan guru semakin berkurangan disebabkan tekanan masa di sekolah, termasuk kekurangan pembiayaan untuk Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). Latihan peningkatan ilmu, termasuk penguasaan EQ, yang tidak mencukupi. Inilah katanya yang boleh menjejaskan prestasi malah kesihatan mental para guru.

Pengambilan 20,000 guru baharu tanpa ikhtisas pendidikan amat merisaukan. Ini menunjukkan peningkatan drastik statistik guru tidak terlatih yang akan berada di sekolah pada tahun hadapan.

Keperluan Pendidikan dan tujuan asas sekolah abad ini, katanya bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk peribadi, menyuntik pemikiran kritikal, membina kemampuan untuk mengadaptasi persekitaran dan nilai-nilainya. Dunia berubah terlalu cepat, kerana itu sekolah mesti melahirkan pelajar yang mampu berfikir, bukan hanya menghafal.

“Bukan maksud saya kita tidak perlu menghafal sedangkan itu satu teknik tradisi pembelajaran namun, perlu ada  unsur praktikal yang seimbang dan mendidik pelajar bagi kesinambungan dan bekalan apabila mereka keluar bekerja. Jika dibandingkan dengan kebanyakan negara mundur juga negara di ASEAN yang lain, akses pendidikan Malaysia boleh dianggap bagus kerana ia agak meluas, termasuk ke kawasan luar bandar, di mana semua orang diberi peluang untuk memperolehinya.” 

“Begitupun masih banyak perlu ditambah dan diperbaiki. Misalnya jurang bandar dan luar bandar masih wujud dari segi akses internet, kemudahan dan maklumat terkini tentang perubahan landskap pendidikan. Ibu bapa di luar bandar masih kurang cakna terhadap perubahan sistem pendidikan yang kini memfokuskan agenda TVET dan STEM.

“Di sekolah, fokus akademik masih terlalu tertumpu kepada silibus, dengan kurang fleksibiliti untuk perbezaan individu walaupun kemenjadian murid merupakan antara dasar dan Falsafah Pendidikan Negara. Contohnya pelajar yang kreatif dalam seni atau kemahiran teknikal kadang-kadang dianggap “lemah” hanya kerana keputusan akademiknya sederhana. Stigma ini perlu kita kikis. Sudah tiba masa masyarakat dididik supaya menghormati bidang kerjaya orang lain.

“Begitupun  dengan kekangan yang sedia ada misalnya dari segi ekonomi negara dan peruntukan, memanglah tidak mudah. Apa yang perlu dilakukan ialah sekiranya kita telah kenalpasti sesuatu masalah, kita serius membanterasnya dengan memberikan tumpuan sepenuhnya dari segi peruntukan kewangan, tenaga kerja dan membuat dasar juga. Maknanya pilih dan fokus.

“Kita semua setuju kes buli di sekolah amat kritikal kini. Kita tahu banyak kes dilaporkan bukan sahaja di sekolah menengah dan pusat pengajian, kini menular ke sekolah rendah malah sudah ada kes yang dilaporkan berlaku di peringkat pra-sekolah lagi. Saya kesal setiap kali membaca laporan berkaitan kes buli, lebih lagi jika ia melibatkan kecederaan kekal dan kematian seperti kes Zara Khairina. Peristiwa pedih dan menyayat ini membuka mata masyarakat tentang kes-kes sebegini sedangkan ia telah berlaku banyak kali dan sekian lamanya. Selain kerajaan, masyarakat, termasuklah komuniti korporat, NGO, ibu bapa dan individi perlu diberi kesedaran untuk ambil berat. Antaranya adalah dengan kempen yang dilakukan secara berterusan agar ia lebih cepat memberi kesedaran dan memutik rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat.

“Masyarakat tidak boleh mengharapkan hanya sekolah dan para guru sahaja untuk melaksanakan sesuatu kempen, misalnya kempen keprihatinan atau kesedaran, Jika kita perlu satu kempen kesedaran, tumpukan perhatian  terhadapnya hingga kita lihat perubahannya. Misalnya kita dapat lihat masyarakat boleh mengucapkan terima kasih bila terserempak dengan petugas pengangkut sampah, tidak kiralah jika dia orang tempatan atau pekerja asing atau seorang CEO boleh berikan gerak tubuh tanda hormat bila terserempak dengan pembersih pejabat, itulah yang harus kita lakukan. Buat secara menyeluruh ke segenap lapisan masyarakt sepertimana kerajaan Jepun menyedarkan rakyat mereka. 

“Setiap orang berbeza bentuk kemahirannya dan itu menjadi pengukur tahap penerimaan dalam skop pembelajaran. Mungkin dia lemah dalam mata pelajaran sains tapi hebat dalam bidang kraf, pertukangan dan mekanikal. Begitu juga yang bijak dan sesetengah pelajar bijak matematik dan sains, kebanyakan tidak boleh lakukan kerja-kerja tangan dengan baik,” tegasnya.

Jangan Salahkan Teknologi, Bina Usahasama Memantau

“Teknologi adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan sama sekali. Dengan perkembangan pesat teknologi dan kepintaran AI, semakin penting lagi bagi pihak Kerajaan, melalui kementerian pendidikan bersiap siaga menyediakan pelajar dan para pendidik dengan kaedah pembelajaran baru dan selari dengan perkembangan.

“Teknologi itu haruslah menggalakkan kerjasama (contohnya, pembelajaran berasaskan projek menggunakan alat digital), mempromosikan kreativiti (pembikinan video, pengaturcaraan, penceritaan digital), memberikan akses kepada perspektif global. Namun, semua usaha itu mesti berserta disiplin digital, teknologi mesti dipandu dan bukan menggantikan pemikiran malah meningkatkan pemikiran,”

Teknologi katanya bukan sekadar menggunakan PowerPoint atau Google Classroom, malah akses internet dan peranti perlu dianggap sebagai hak asas pembelajaran. Namun perlu ada kawalan terhadap kandungan media sosial, termasuk sekatan terhadap berita atau video yang tidak mematuhi had umur. 

“Inspirasi yang betul perlu disediakan, dan kandungan haram atau berbentuk penderaan mesti dielakkan sepenuhnya. Technology must be guided and not replacing thinking, but enhancing. Perlu beri penekanan kepada disiplin digital. Penggunaan AI yang tidak bertanggungjawab contohnya tentu saja boleh menjadi satu “epidemik” yang mengganggu gugat pemikiran manusia.”

Sistem Pendidikan Saksama, Sistematik dan Sempurna

Untuk mencapai peluang saksama, peruntukan lebih perlu diberikan kepada sekolah kurang berkemampuan. Dalam perkara ini, semua lapisan masyarakat perlu disedarkan betapa pentingnya pendidikan dan mengapa mereka mereka mesti mengambil bahagian. 

Misalnya pihak korporat, NGO khususnya persatuan ibu bapa guru, atau individu boleh saja menyumbang atau kita boleh berkempen, contohnya lancarkan “Projek Sekolah Angkat” secara besar-besaran yang mana sekolah dibantu oleh pihak korporat dalam projek-rojek besar dan penting. Memang telah ada selama ini tapi perlu diperhebatkan lagi.

Selain itu pengambilan pelajar ke IPT perlu disaring dan dinilai secara adil kepada semua. Walaupun tidak dinafikan keistimewaan hak majoriti perlu dipertahankan mengikut perlembagaan, namun ia mestilah tanpa meminggirkan hak minoriti.

Pendidikan inklusif perlu difahami dan menjadi nadi kepada setiap pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan. Program intervensi awal untuk pelajar lemah dan berkeperluan khas perlu diperkukuh. 

Sistem peluasan rakan sekolah juga penting bagi mengelakkan pelajar terjebak dalam aktiviti tidak bermoral. Latihan guru berterusan perlu diberi keutamaan tertinggi. Tina berpendapat equity means giving more support to those who need more and not treating everyone the same.

Dasar kurikulum sekolah itu sangat penting. Are we teaching every student, or only the curriculum? Kadang-kadang kita terlalu mengejar silibus sehingga terlupa melihat individu di hadapan kita. Mengajar kurikulum adalah agak mudah tetapi mengajar kanak-kanak memerlukan empati, fleksibiliti, dan kesabaran yang tinggi.

Sistem pembelajaran dan silibus yang ada hari ini katanya bukan tidak bagus tetapi memerlukan satu anjakan. Beliau amat mengalu-alukan jika peperiksaan seumpama UPSR dan PMR dikembalikan. Tina percaya bahawa peperiksaan itu penting bukan sahaja sebagai alat pengukur prestasi dan kefahaman pelajar, tetapi juga jangan salah faham kerana ia bukan satu-satunya kaedah penentu nilai pelajar.


“Assessment should guide learning, not define a child. Masalah yang timbul sekarang ialah apabila markah menjadi identiti dan garis penentu dalam segala sudut. Ini tidak baik kerana para pelajar belajar untuk skor, bukan memahami dan mengaplikasikan ilmu ke dalam dunia sebenar. Bagaimana kita mengukur perkembangan dan pertumbuhan seseorang pelajar melangkau keputusan peperiksaan ialah dengan melihat portfolio kerja pelajar. Project-based assessments misalnya adalah satu kaedah yang mesti diaplikasikan peada setiap penilaian,” katanya.


Perubahan Global dan Keperluan Rakyat

Menurutnya lagi, kemahiran dalam pembentangan dan kaedah komunikasi perlu diperluas dan diteraskan supaya setiap pelajar boleh menunjukkan kematangan dan bijak menangani emosi.

Peningkatan prestasi dari semasa ke semasa perlulah diberi focus supaya pertumbuhan dan perkembangan tidak hanya terlihat dalam bentuk angka. Berbalik kepada kes  contohnya, kita perlu berusaha mewujudkan persekitaran yang selamat bagi pelajar ketika berada di persekitaran tempat belajar. 

Inilah perlunya mengajar dan mendidik pelajar kaedah penyelesaian konflik secara berperadaban. Ia tidak semudah yang dibincang dan rancang. Pertama memerlukan kerjasama semua pihak, bermakna dari rumah, ke sekolah hinggalah bila keluar dalam masyarakat.  

Dengan menggalakkan kerja berkumpulan adalah satu cara menyemaikan kemesraan, pelajar juga diberi bimbingan kaedah berunding, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna yang mana ia secara tidak langsung memutik kesatuaan. Sekolah dan institusi perlu menyediakan ruang refleksi diri untuk para pelajar dan guru. Academic excellence tanpa empati boleh melahirkan individu yang cemerlang tetapi kosong nilai.

“Kini telah pun diterima pakai kaedah pembelajaran berasaskan projek dan hasilnya menunjukkan yang ia berkesan. Murid-murid juga patut diberikan pilihan dalam tugasan yang mana kadar pembelajaran yang diperibadikan dan suara pelajar mesti didengar dalam perbincangan kelas. Ini dapat menyerapkan nilai berani secara bijak dan menghilangkan rasa rendah diri serta tidak yakin,” tegasnya lagi.

“Pembelajaran di sekolah perlu mengasah pelajar bersikap bertanggungjawab, bermotivasi kerana kehidupan sebenar memerlukan ketahanan diri, kefahaman kewangan, kemahiran komunikasi, pertimbangan etika. Dalam kata mudah pendidikan mesti mempersiapkan para pelajar untuk ketidakpastian dan kelestarian, bukan hanya pekerjaan. Misi dan rancangan saya sebenar, saya mahu membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi kuat nilai, empati dan punya jati diri. Ini penting bagi memupuk sifat berani, berdisiplin serta tegar. Pelan saya termasuk usaha mengurangkan budaya takut gagal, memperkasakan pembelajaran bermakna dengan meningkatkan hubungan dan kesejahteraan guru dan pelajar.” 

“Seterusnya penglibatan ibu bapa dan masyarakat sekitar seperti mana semangat keprihatinan yang dibina di kalangan masyarakat terhadap pentingnya membanteras, kes keganasan rumahtangga dan kanak-kanak harus diaplikasikan.” 

ImpianTina?  

“Tentulah sebuah sistem pendidikan yang melihat setiap anak sebagai potensi, bukan statistik. Because at the end of the day, education is not about producing workers. It is about nurturing human beings.”

Keperibadian? Tina mengingatkan kita kepada seorang tokoh hebat dunia pendidikan, Fatima al-Fihri, seorang wanita berbangsa Arab yang membina  masjid al-Qarawiyyin pada tahun 857–859 Masihi di Morocco yang mana akhirnya pada tahun 1963 ia menjadi University of al-Qarawiyyin. Seperti Tina, Fatima juga dikenali sebagai Umm al-Banīn atau maksudnya “Ibu Kepada Kanak-Kanak”.

Namun akui Tina gelaran itu tidak sekali-kali membuat dia bangga malah, ia satu lonjakan yang sentiasa menyedarkannya betapa beruntung dia dilahirkan dalam penuh kemewahan membuatnya lebih terangsang untuk bekerja keras dan terus memperjuangkan hasratnya; hak mendapatkan ilmu kepada masyarakat. 

Anda patut jadi menteri pendidikan, usik saya sebelum kami berpisah, sekadar membuka ruang untuk santai setelah berbicara isu berat. Dia tersenyum dan terus menyambung, “Bijak pandai selalu menyebut, an investment in knowledge pays the best interest.” 

Saya tersenyum puas dan faham hasrat murninya. Walaupun beliau sendiri tahu bukan mudah untuk merealisasikan gunung impiannya itu, namun Tina Tajuddin akan terus memperjuangkannya.

Related posts

10 Soalan Cinta

admin

Madam Artsy Queen Universe 2025 Terima Penganugerahan Hebat. Tahniah Haniza Tun Hanif!

Afiza Kamarulzaman

SULAIMAN AL RAJHI

adminwm

Leave a Comment