PERSONALITI

DATUK NORAINI SOLTAN-Keteguhan, Keusahawanan & Visi Industri yang Berakar

By. Neda

 “Kepimpinan sejati tidak diukur pada gelaran yang disandang, tetapi pada industri yang dibina, insan yang diperkasa, dan nilai yang dipertahankan sepanjang zaman.”

Datuk Noraini Soltan bukan sekadar seorang usahawan yang berjaya — beliau adalah arkitek kepada pertumbuhan yang berdisiplin dan berjangka panjang. Penerima Anugerah Sepanjang Hayat Perniagawati sempena meraikan ulang tahun Peniagawati ke-45 baru-baru ini, pengiktirafan itu bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi cerminan kepada dekad ketekunan beliau memimpin dunia perkilangan yang sering dianggap keras dan mencabar.

Sebagai Pengasas dan Pengarah Urusan Sipro Plastic Industries Sdn Bhd, beliau mengemudi syarikat dalam industri plastik dengan strategi yang berakar pada ketelitian operasi dan kepercayaan terhadap inovasi. Berbekalkan latar pendidikan dari Ohio University dan pengalaman luas dalam sektor pembuatan, beliau membuktikan bahawa kepimpinan wanita mampu berdiri teguh dalam ekosistem industri yang kompetitif.

Namun, sumbangan beliau melangkaui sempadan syarikat sendiri. Sebagai Naib Presiden Federation of Malaysian Manufacturers dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Productivity Corporation, Datuk Noraini konsisten menyuarakan isu-isu kritikal berkaitan PKS, pelaburan R&D, serta kekangan struktur yang menghalang perusahaan tempatan daripada melonjak ke tahap seterusnya.

Di pentas seperti sesi panel Malaysian Investment Development Authority mengenai Future Ready Malaysia, beliau berbicara bukan sebagai pemerhati — tetapi sebagai pelaku industri yang memahami realiti di lapangan. Daripada birokrasi insentif hingga jurang kepakaran dalaman dan keterbatasan kewangan, suara beliau tegas namun membina: Malaysia memerlukan sokongan penasihat yang lebih kukuh agar PKS mampu memulakan dan mengkomersialkan R&D secara berkesan.

Dalam setiap pengiktirafan yang diterimanya, ada cerita tentang disiplin. Dalam setiap kejayaan yang dikecapinya, ada prinsip tentang tanggungjawab.

Datuk Noraini Soltan bukan hanya memimpin sebuah syarikat. Beliau memimpin wacana tentang masa depan industri tempatan — dengan ketenangan, kejelasan dan keyakinan yang tidak pernah goyah. Beliau tidak sekadar membangunkan sebuah perusahaan; beliau membentuk budaya kerja, ketahanan dan keberanian  yang terus hidup jauh melangkaui namanya.”

“A woman who builds with integrity does more than grow a company  she shapes legacy, resilience, and the future.”

Apakah perasaan Datuk apabila menerima Anugerah Sepanjang Hayat Peniagawati ini—dan apakah detik paling terlintas dalam ingatan Datuk ketika nama diumumkan?

Alhamdulillah, saya rasa terharu bercampur gembira di atas Anugerah Sepanjang Hayat Peniagawati yang diterima ini. Saya merasakan Anugerah ini begitu bermakna bagi saya. Bila nama saya diumumkan terus terlintas kembali kenangan awal 1994 kira-kira 32 tahun yang lalu Peniagawati telah menganugerahkan saya dengan Anugerah Usahawan Harapan. Mungkin Peniagawati melihat kepada potensi Syarikat Sipro Plastic Industries Sdn Bhd. Itulah titik pertama saya mendapat anugerah dan bersyukur kerana baru setahun jagung memasuki bidang perniagaan. Ketika itu saya masih dalam pantang 30 hari lepas bersalin tetapi saya tetap hadir untuk menerima Anugerah yang telah diberikan di hadapan Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri  Malaysia pada ketika itu. Anugerah itu telah mendorong saya untuk terus berusaha dengan gigih dan alhamdulillah saya telah menerima banyak lagi anugerah-anugerah selepas itu dari pelbagai agensi dan kerajaan. Anugerah yang baru dan juga membanggakan ialah ketika ASEAN Business Summit di negara Laos pada 2024, Anugerah Peringkat ASEAN iaitu  Asean Woman Entreprenuer Awards.

Pernahkah Datuk berada di titik hampir berputus asa—dan apakah yang membuatkan Datuk terus bertahan ketika itu?

Kalau ikutkan masa di awal penglibatan perniagaan memang mengalami kesukaran kerana pada waktu itu pelanggan pun tidak banyak. Syarikat besar masih tidak percaya keupayaan syarikat yang masih baru. Sedangkan pelaburan permulaan yang banyak telah dibuat daripada wang ahli keluarga untuk beli kilang, mesin, dan pekerja. Saya perlu tanggung kos tetap jadi setiap bulan selalu mengalami masalah kewangan dan perlu meminjam daripada adik beradik untuk terus bertahan. 

Dalam perniagaan Sipro Plastic juga, sesuatu produk yang dihasilkan memerlukan acuan, setiap produk perlukan satu acuan, harga setiap acuan itu juga bukan murah boleh mencecah puluh ribu dan juga ratus ribu. Jadi bukan saja setiap bulan tidak cukup wang  untuk melaburkan setiap projek memerlukan banyak wang. Namun saya tidak malu kerana terpaksa juga pinjam wang daripada kawan. Nasib saya baik kerana ada yang mempercayai saya.  Walaupun dah berkahwin saya kerap pulang lewat untuk memastikan operasi perniagaan berjalan dengan baik. Pernah dulu sewaktu mendapat kontrak pertama dari Panasonic saya juga pernah berdiri selama lapan jam bersama pekerja menyiapkan pesanan pelanggan untuk memastikan kualiti yang dihasilkan dan dihantar kepada pelanggan tercapai kerana masih belum ada ramai lagi pekerja waktu itu. Walaupun menempuh masalah kewangan dan pasaran saya tetap bertahan dan tidak mudah berputus asa. Saya yakin dan terus berusaha untuk juga membuktikan saya mampu menjalankan perniagaan yang sangat mencabar dan kompetitif.  Alhamdulillah, susah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Sekarang Sipro sudah membangun dan mempunyai empat kilang termasuk di Shah Alam, Sungai Petani dan Bukit Beruntung (Ibu Pejabat).

Sedikit latarbelakang syarikat sebelum penubuhan Sipro Plastic Industries Sdn Bhd. 

Sebelum menceburi bidang perniagaan, saya bekerja di syarikat arwah ayah yang diuruskan oleh abang saya. Pada 1991 saya telah menyahut seruan kerajaan untuk mencari usahawan muda menceburi industri plastik. Saya pun tiada pengalaman dalam industri plastik ini, sebab saya adalah graduan dalam bidang Ekonomi dan Perniagaan. Saya yakin dan telah memohon pada PUNB. Pada masa itu, terdapat 200 permohonan dan 30 orang terpilih untuk pergi ke Taiwan selama tiga minggu untuk pendedahan tentang teknologi plastik.  Setelah pulang  banyak kertas kerja yang perlu disediakan dan Alhamdulillah hanya akhirnya lima orang telah dipilih sebagai usahawan. Maka wujudnya Sipro Plastic Industries Sdn Bhd pada 1992. 

Dalam bidang pembuatan khususnya dalam industri plastik dan automotif memang tidak ada wanita pada hari ni. Pada tahun-tahun awal perniagaan, memang saya menghadapi masalah penerimaan daripada pelanggan terutama pelanggan-pelangan  dari syarikat Multinational Jepun. Kebiasaan pada ketika itu wanita duduk di rumah apatah lagi  mengetuai sebuah syarikat  pembuatan. Tetapi saya tidak pernah berputus asa dan dapat membuktikan tiada perbezaan antara syarikat yang diusahakan oleh  lelaki atau wanita.

Saya juga merasa bangga selain bidang perniagaan, dalam pertubuhan contohnya Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) saya adalah Wanita pertama dilantik sebagai Naib Presiden dalam FMM setelah 45 tahun. Saya juga adalah Deputy Presiden Perodua Suppliers Association(P2SA) dan Naib Presiden Malaysian Plastic Manufacturers Association(MPMA).

Bagaimanakah Datuk melihat peranan usahawan hari ini—bukan sahaja sebagai pencipta keuntungan, tetapi juga pencipta nilai kepada masyarakat?

Saya berpendapat ramai usahawan  telah sedar tentang keperluan menjadi pencipta nilai pada masyarakat bukan saja pencipta keuntungan.  Malah di Sipro sendiri kami baru-baru ini telah menukar tujuan, visi dan misi dimana syarikat mengambil kira kelestarian yang merangkumi tanggungjawab terhadap masyarakat tidak semata-mata mementingkan  pembersihan sungai, menggunakan tenaga solar, mempraktikkan kitar semula. Syarikat kami ada juga mengadakan program bersama masyarakat seperti pemberian zakat kepada orang asli dan asnaf di beberapa komuniti setempat.

Syarikat juga ada menandatangani MOU dengan Universiti tempatan untuk memberi peluang pelajar-pelajar mempelajari serta menimba ilmu tentang proses di dalam industri pembuatan plastik. Dalam kapasiti sebagai usahawan, saya sendiri  memberi  banyak taklimat, sharing session kepada bakal usahawan di dalam dan luar negara. Saya sentiasa terbuka jika ada yang ingin melawat kilang untuk mendapat pendedahan perniagaan. Saya mengalu-alukan kedatangan mereka.  Alhamdulillah saya juga berperanan sebagai usahawan dalam membantu dan memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 500 pekerja di Sipro Plastic hari ini.

Jika Datuk hanya boleh meninggalkan satu pesan sebagai warisan kepimpinan kepada generasi akan datang, apakah pesanan itu?

Seperti yang kita lihat, generasi sekarang ingin dapatkan hasil dalam masa yang cepat. Jadi pesanan saya kita perlu tekun dan sabar untuk mendapatkan hasil yang ingin dicapai. Kita juga perlu berdedikasi dan fokus dengan apa yang dilakukan. Tidak ada jalan pintas untuk mendapat kejayaan. Berusaha dengan gigih, jangan putus asa dan sentiasa ingat jangan memikirkan hanya short term gain. So, if you have certain interest, you should pursue. Buat betul-betul dan InshaAllah akan dapatkan hasil yang terbaik.

Related posts

Rosli Nordin Mustika TV1

admin

KHAIRUL AMING The Quiet Power of Integrity

adminwm

Apabila Sains dan Pengembaraan Bersatu

adminwm

Leave a Comment