GAYA HIDUP

Iftar Peniagawati Bersama Anak-Anak Yatim Jalin Ikatan Mesra, Keprihatinan Tulus

Hadirnya Ramadan penuh harapan,
Amal diterima, pahala dinanti,
Anak yatim dirai penuh keikhlasan,
Setulus jiwa dari Peniagawati…

Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus menjadi inti pati kepada pelbagai inisiatif kebajikan yang dianjurkan oleh organisasi masyarakat. Baru-baru ini, satu majlis penuh bermakna telah berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur apabila Persatuan Peniagawati Malaysia menganjurkan Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah.

Majlis yang diadakan pada 9 Mac baru-baru ini, bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga menjadi platform untuk menyemai nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti usahawan wanita.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa tokoh penting termasuk Group Managing Director World Trade Centre Kuala Lumpur, Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim dan Group Chief Executive Officer, Encik Fauzi Wahab. Turut memeriahkan acara ialah Presiden Peniagawati, Dato’ Emmy Suraya, Yang Dipertua Usahanita Malaysia, Dato’ Faridah Jabar serta mantan Presiden Peniagawati, Dato’ Azlin Shaharbi. Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan komuniti.

Sebagai penganjur program, Peniagawati menzahirkan hasrat untuk berkongsi kegembiraan Ramadan bersama anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah melalui majlis iftar yang sederhana namun penuh makna. Inisiatif ini juga digerakkan oleh Biro Kebajikan Peniagawati yang berperanan memastikan program kebajikan seperti ini dapat dilaksanakan secara konsisten demi manfaat masyarakat yang memerlukan.

Penganjuran majlis ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk World Trade Centre Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), selain sumbangan individu ahli-ahli Peniagawati serta para penyumbang yang prihatin. Melalui kerjasama ini, anak-anak yang diraikan bukan sahaja dapat menikmati juadah berbuka puasa bersama, malah menerima sumbangan duit raya sebagai tanda kasih sayang dan sokongan masyarakat terhadap mereka.

Di sebalik keceriaan majlis tersebut, penghargaan turut diberikan kepada para guru dan penjaga dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membimbing serta menjaga kebajikan anak-anak ini. Dedikasi mereka dalam mendidik dan membentuk masa depan generasi muda amat dihargai dan wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat.

Related posts

Sajian Padang di Melting Pot, Hotel Concorde

admin

Apa Itu Mukbang? Konsep Makan Yang…

adminwm

AL ULA, KOTA SODOM DAN POMPEI HARAM UNTUK DILAWATI

adminwm

Leave a Comment