GAYA HIDUP

Kepimpinan di Pentas Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB

Di tengah gemerlap warisan dan denyut kreatif industri kraf tempatan, nama Ismail (Izzy) Ani Arope muncul sebagai antara figura yang menggerakkan nadi penganjuran Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB dengan pendekatan yang segar dan berjiwa kontemporari.

Sebagai individu yang diberi amanah menguruskan pesta tersebut, Izzy tidak sekadar melihatnya sebagai sebuah acara — tetapi sebagai platform mempertemukan tradisi dan generasi baharu. Di bawah sentuhannya, Minggu Seri – Ibu Kraf CIMB bukan hanya ruang jualan atau pameran, tetapi pentas memperkasakan usahawan wanita khasnya, penggiat seni kraf, dan warisan tekstil tempatan agar terus relevan dalam arus moden.

Beliau memahami bahawa kraf bukan sekadar hasil tangan — ia adalah cerita, identiti dan legasi. Dan di situlah kekuatan kepemimpinannya terserlah: mengangkat budaya tanpa menghilangkan nilai komersial, serta menyusun acara dengan naratif yang menjadikan warisan terasa hidup dan bermakna.

Di bawah susun atur kepemimpinannya, kraf tidak lagi berdiri sebagai nostalgia, tetapi sebagai bahasa moden yang masih berakar. Setiap sudut acara terasa berkonsep, setiap perincian membawa makna. Ada disiplin korporat, tetapi ada juga jiwa budaya yang tetap terpelihara.

Sebagai Regional Head of Corporate Events di CIMB Group, apakah falsafah utama Izzy dalam merangka sebuah acara korporat agar ia bukan sekadar acara, tetapi satu pengalaman yang meninggalkan kesan emosi?

Kami menganggap acara atau ‘events’ sesuatu yang vital dan berimpak tinggi, menyediakan platform terbaik untuk mendidik, memberi penerangan, mempengaruhi, meninggalkan kesan, malah menambah baik kehidupan mereka yang hadir. Acara-acara kami harus menggerakkan masyarakat. Falsafah CIMB ialah, kami harus mempunyai dua perkara ini; kandungan yang menarik dan cukup menerujakan untuk pihak berkepentingan mereka yang ingin hadir.

Banyak tumpuan diberikan kepada persembahan kandungan. Khalayak ramai hanya akan memberi reaksi sekiranya emosi disentuh. Oleh itu, kami pernah mementaskan persembahan musikal dan menerbitkan video-video yang berkualiti tinggi, bagi meningkatkan lagi mutu persembahan kandungan tersebut. Matlamat kami ialah mencipta pengalaman yang bermanfaat dan lekat pada ingatan. Saya berbesar hati dapat memimpin pasukan dengan bakat dan motivasi tinggi daripada pelbagai latar belakang, kekuatan dan bidang kepakaran. Selain merancang acara yang kompleks, melukis susun atur, mereka juga boleh menulis skrip, membuat terjemahan, mengacara majlis, mengatur konsert dan persidangan, serta menyunting dan menerbitkan video berkelas antarabangsa. Setiap tahun, saya mencabar mereka untuk mengendalikan lebih banyak acara kompleks dan tidak pernah gagal mengangumkan syarikat!

Dalam dunia korporat yang sering dianggap formal dan rigid, bagaimana Izzy memastikan kreativiti masih mempunyai ruang untuk bernafas?

Ada kalanya acara kami formal, namun tidak terlalu terkawal atau ‘rigid’. Kami sentiasa menambah baik dan melihat kepada langkah-langkah untuk meningkatkan penglibatan dan penyertaan serta menceriakan penonton dengan pelbagai kejutan. Acara-acara CIMB direka dengan teliti, bukan acara institusi perbankan yang lazim. Acara kami sentiasa menerapkan sentuhan kreativiti, budaya dan kecanggihan, daripada urutan program, dekorasi, bagaimana reruai pameran dipersembahkan sehinggalah penyajian makanan serta hiburan. Segalanya dikurasi dan disunting. Contohnya pada 2019, persidangan berkenaan kelestarian yang digelar “The Cooler Earth Sustainability Summit”, persembahan pembukaannya terdiri daripada koir berdurasi 11 minit yang menyayat hati, melibatkan kanak-kanak daripada pelbagai segmen masyarakat, membawa kesedaran tentang isu-isu seperti juvenil, penderaan, pelarian dan keperluan untuk keterangkuman. Ramai tetamu yang mengalirkan air mata dan yang paling penting menetapkan nada dan urgensi persidangan itu.

Apakah cabaran terbesar mengendalikan acara berskala serantau, dan bagaimana Izzy menyeimbangkan antara objektif perniagaan dan nilai budaya tempatan?

Sejak 10 tahun lalu, kami telah mengelolakan pelbagai majlis di peringkat serantau seperti di Bali, Bangkok, Hanoi, Jakarta, Manila dan Shanghai, dan pastinya di seluruh Malaysia. Cabaran terbesar untuk acara di luar negara adalah perbezaan bahasa dan memadankan ekspetasi antara pasukan saya dan pengendali acara tempatan. Pada masa sama, kami banyak belajar daripada pengalaman itu.

Ketika tempoh merancang, kami menjalankan kajian mendalam terhadap bandar terbabit dan menghormati serta meraikan budaya tempatan menerusi pemilihan lokasi, dekorasi, etika pemakaian, penceramah undangan, pemilihan persembahan dan pastinya makanan yang dihidangkan. Kami bekerja selari semangat ‘Kita Bagi Jadi’ dengan bercita-cita setinggi mungkin untuk menawarkan pengalaman yang unik dan tidak boleh dilupakan, terutama majlis yang besar seperti pembukaan bank kami di Hanoi, Vietnam pada 2016, atau perayaan ulang tahun seabad CIMB pada 2024. Konsert ‘CIMB 100 Years & More Kita Bagi Jadi’ melibatkan 55 ahli Orkestra Muda Filharmonik Malaysia yang mengiringi 10 bintang terkenal dalam acara berlangsung selama dua jam dengan penuh gemilang. Tidak seperti konsert lain, konsert kami ini mempunyai jalan cerita tentang pembangunan negara dan peninggalan legasi, serta turut diserikan dengan monolog menyentuh hati oleh jaguh sukan berbasikal trek, Olimpian dan juga Duta Jenama CIMB Dato’ Azizulhasni Awang yang menceritakan pengalamannya di Olimpik Paris. Segala elemen dibangunkan sendiri oleh team saya, memandangkan kami lebih tahu bagaimana untuk mengolah kisah kami sendiri berbanding agensi. Justeru, persembahan itu dilihat lebih jujur, ikhlas dan asli.

Setiap acara besar memerlukan ketelitian yang luar biasa. Apakah ritual atau prinsip peribadi Izzy sebelum sesuatu acara penting dilancarkan?

Sebanyak 90% kerja-kerja yang perlu dilaksanakan sebelum sesebuah acara terletak pada perancangan dan persediaan yang teliti. Apabila sesebuah acara itu berlangsung, banyak masalah, krisis atau isu-isu yang timbul sudah diselesaikan, maka fokus hanya tertumpu ke atas pelaksanaan dan menjadi hos yang terbaik.

Penting untuk kami mengetahui segala aspek tentang acara yang kami jalankan, bagaimana segalanya bergerak atau berfungsi, semua pihak yang terlibat agar kami dapat menyelesaikan segala masalah dengan segera. Ritual saya cukup mudah, bermula pada malam sehari sebelum majlis, saya pastikan semua ahli pasukan mendapatkan rehat yang cukup. Kami perlu mempunyai mental yang kuat dan dalam suasana optimistik pada hari majlis. Lazimnya, saya sudah pun siap merancang pakaian saya termasuk apa yang akan dipakai ahli pasukan, sarapan ringan seperti kurma, pisang dan paling penting secangkir kopi, memastikan diri saya kekal terhidrat dan memastikan moral dan semangat pasukan dan krew sentiasa di tahap paling tinggi.

Saya akan mengumpulkan pengacara majlis dan pasukan teknikal untuk raptai terakhir dan memainkan semua video yang bakal ditayangkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Sejam sebelum majlis, saya akan jalankan taklimat ringkas bersama pihak atasan agar mereka tahu di mana mereka perlu berada ketika majlis. Kami cuba untuk mengurangkan ketidak pastian sebaik mungkin demi memastikan semua orang terutama pihak atasan tampak yakin dan tenang. Kejutan yang tidak dijangkakan memang boleh berlaku, jadi kami akan menyelesaikannya dengan tenang, berhenti sejenak dan tidak panik.

Minggu SeriIbu Kraf anjuran CIMB baru sahaja berlangsung dengan penuh makna. Pada pandangan Izzy, apakah signifikasi sebenar program ini dalam memperkasakan wanita dan warisan kraf tempatan?

Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB menyediakan platform untuk penggiat seni warisan kraf tempatan yang lazimnya banyak diceburi oleh golongan Wanita bagi mempamer dan memasarkan hasil kraf ciptaan mereka bagi menjana pendapatan, termasuk siri sesi jaringan iaitu Program Saudagar CIMB yang dijalankan, menyediakan peluang untuk usahawan PKS termasuk golongan wanita dari semua sektor mengasah kemahiran selaku pemilik perniagaan. Ini termasuk sesi padanan perniagaan bagi kerjasama, pembiayaan dan jualan silang selari matlamat CIMB untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat serta gerakan sosial ‘Kita Bagi Jadi’ CIMB bagi menyemai semangat daya tahan dan pemerkasaan ekonomi serta keterengkuman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sesuai namanya, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mempunyai dua makna; pertama, ia meraikan hasil kraf tempatan yang pelbagai dan daya kreativiti yang saya sendiri masih meneroka. Kedua, ia adalah acara yang memberi penghormatan, penghargaan dan pengiktirafan ke atas figura keibuan dalam kalangan keluarga seperti ibu, nenek dan nenek moyang yang memberi ‘seri’ di dalam rumah, menyuburkan minda dan tubuh badan kita menerusi pengorbanan mereka dalam menjaga dan memelihara budaya, warisan dan tradisi agar terus lestari merentasi generasi. Merekalah yang mewarnai hidup kita, menyediakan tempat berlindung yang selesa, yang membentuk estetika, rasa ingin tahu, dan mendidik kita untuk menghargai kecantikan dan kenikmatan dekorasi dan hiasan.

Paling penting, acara ini memberi kesedaran bahawa pada masa ini kitalah penjaga amalan atau ‘custodian’ dan pewaris ilmu pengetahuan peninggalan nenek moyang, warisan dan pusaka ini. Semoga lebih ramai akan terinspirasi untuk menghidupkan, mengguna pakai, menikmati dan mempelajari kekayaan serta kehalusan budaya dan warisan kita ini. Kita dapat melihat bahawa ia telah merangsang rasa hormat ke atas artisan yang bakal mengubah sikap kita terhadap hasil kraf tempatan.

Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB juga membina satu platform bagi memupuk generasi usahawan kebudayaan baharu yang akan menggalas tugas dan cabaran untuk mengkomersialkan tekstil warisan seperti limar bersongket, songket, tenun, batik, kraf kayu, barang kemas, dan memaparkan ‘masterpiece’ kepada pasaran muda. Pameran usahawan budaya dan dialog berkenaan karya agung mereka ini memang sengaja diadakan di KLGCC Mall, pusat beli belah mewah baharu di Kuala Lumpur, yang mana rata-rata pengunjung mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan mempunyai nilai menghargai, memastikan artisan dan penenun kita boleh terus menghasilkan karya.

Apakah momen paling menyentuh hati sepanjang penganjuran Minggu SeriIbu Kraf CIMB yang mungkin tidak diketahui umum?

Pada sepanjang acara dan persembahan, saya sering berfikir bagaimana almarhumah ibu saya akan sangat menikmati acara ini terutama dendangan lagu “Tak Seindah Wajah” oleh Haziq Rosebi. Almarhumah ibu meninggalkan impak cukup mendalam terhadap diri saya yang telah membangkitkan kecintaan dan penghargaan saya terhadap kecantikan, seni, barangan antik, dan kepentingan membentuk rasa empati, kasih sayang dah hubungan dengan masyarakat dan Allah Yang Maha Esa. Namun, setelah Dato’ Zainal Abidin mendendangkan lagu ‘Suriram’ secara akapela di majlis minum petang mencemar duli Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, saya tiba-tiba merasai rasa melankolik yang meluap-luap seolah mengiyakan bahawa ibu saya menyaksikan segalanya yang berlaku.

Dalam merangka acara yang berteraskan budaya dan kraf tradisi, bagaimana Izzy memastikan ia kekal relevan untuk generasi muda?

Setiap tahun, CIMB menawarkan dua acara perdana untuk mempromosikan budaya dan seni iaitu Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB atau dahulunya dikenali sebagai Bazar Silaturrahim yang kami adakan beberapa minggu sebelum Ramadan, dan CIMB Artober Art & Soul yang lazimnya dijalankan pada Oktober. Kedua-duanya terbuka secara percuma kepada orang ramai. Kami menggunakan media sosial dan video, melabur masa dan sumber untuk penceritaan bagi menggalakkan kaedah-kaedah baharu bagi menikmati dan menggunakan kraf, mencetus rasa ingin tahu dan menginspirasikan kajian. Saya galakkan anda melanggan saluran YouTube CIMB Malaysia dan ikuti kami di Instagram untuk mendapatkan video-video tersebut. Kami juga menggalakkan khalayak ramai berbusana, sambil menikmati dan mempamerkan kraf asli dengan secara bangga.

Kami juga bekerjasama dengan institusi seperti ASWARA dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) untuk menerbitkan repertoir lagu untuk dipertontonkan di majlis-majlis kami.

Adakah Izzy melihat platform seperti ini sebagai satu bentuk “corporate responsibility” yang lebih mendalam — bukan sekadar sokongan ekonomi, tetapi pemeliharaan identiti bangsa?

Ia telah juga menjadi perjalanan peribadi, memacu banyak penerokaan khazanah kita, dan bagaimana identiti diterjemah menerusi pakaian dan penampilan. Saya bertemu komuniti yang berkongsi minat, telah membuka minda, memotivasikan saya membaca buku-buku dan menghadiri banyak sesi ceramah, lama kelamaan menerapkan tekstil tempatan dan serantau dalam koleksi busana saya. Ada ditulis dalam Hikayat Melayu lama, di mana golongan lelaki aristokratik sejak zaman kepahlawanan Melayu Melaka digambarkan sebagai golongan berpakaian elegan dan gah, pandai menggabungkan warna dan corak dengan corak, sentiasa dihiasi dengan penutup kepala atau berdastar dan bersamping, sentiasa memakai wangian dan sangat condong ke arah menunjukkan secara bangga tekstil yang diimport di badan mereka. Ciri-ciri ini masih kekal tidak berubah sejak berabad lamanya.

Budaya kita menyanjung kecantikan dan keindahan, malah pada objek harian biasa seperti pengukur kelapa, pisau dan perangkap burung pun diukir mencerminkan pengabdian terhadap kecemerlangan tertinggi. Kami juga terbuka untuk menerapkan dan meminjam elemen daripada budaya lain, yang mana merupakan set pemikiran global. Artisan, pengukir dan penenun kita bersedia untuk melabur masa dan perhatian bagi melahirkan produk lebih rumit, dengan tambahan lapisan atau ‘layering’. Prinsip yang dipegang, iaitu dengan lebih pelbagai peringkat diperlukan dalam proses, semakin tinggilah status produk mereka. Paling penting, saya berbangga kerana dapat memartabatkan artisan-artisan ini dan menyedari bahawa minda dan otot kita mampu menghasilkan khazanah sedemikian.

Lima tahun lalu, melalui KDPB Tengku Ampuan Pahang, saya telah mengenali tenun Pahang diraja tenunan banduan penjara, dan kesan positif dari aspek psikologi yang disalurkan oleh program rehabilitasi ini kepada para banduan. Sayugia membuatkan saya cukup berbangga memakai tenun dan baju Melayu secara berkala, membuatkan diri saya berasa lebih dekat dengan Wilayah Nusantara ini.

Related posts

VIVO Y33s

admin

Ratu Cantik Dunia 2019 Kembali Ke Negara Asal Bantu Rawat Pesakit Covid-19

admin

Barimex–ETG Perkukuh Eksport Beras Kemboja ke Pasaran MENA

Afiza Kamarulzaman

Leave a Comment