COVER STORY

Ziana Zain Start Fresh, Think Big

Teringat kala bersembang dengan seorang pemerhati industri hiburan yang menggelar dirinya Sepit Siput, katanya, “Ziana patut sangat menyertai Gegar Vaganza, sementelah album terakhirnya keluar lebih 19 tahun lalu, bermakna lebih separuh kerjaya nyanyian Ziana tanpa album baru dan begitu juga lagu baru, sungguh lama tak nampak bayang…” 

Mendengarnya membuat saya tergamam. Ziana Zain… Gegar Vaganza? Ya tak ya, album Aku Cintakanmu keluar pada 2001 dan kalau dikira Januari 2022 bermakna 21 tahun. Lama tu. 

Ketika menulis rencana ini, saya baru saja bercakap dengan Ziana menerusi panggilan telefon. Pelbagai topik yang dibualkan tetapi langsung saya tidak menyoal tentang album baru. Takut dia bosan, itu satu, dan lagi pun saya sendiri tahu dia tidak punya jawapan tepat. Walaupun saya tahu (menerusi seorang teman wartawan) yang Ziana ada masuk ke studio muzik tetapi tidak menghabiskan rakaman lagu. Dan ada juga komposer menghantar lagu padanya, tetapi tidak dirakam oleh Ziana, salah satunya dari Mohariz Yaakup, selain pernah dapat lagu dari Asfan Shah. Sekali lagi, hanya Ziana punya jawapan kenapa ia berlaku. 

Pun begitu, tanpa album dan lagu baru, wajah Ziana Zain masih lagi dilihat di merata. Dia masih dipanggil menyanyi di konsert besar, terbaru di Konsert Shopee di TV3, selain lagu-lagunya sering menjadi pilihan peserta pertandingan nyanyian dan menjadi pilihan membuat persembahan penutup di majlis anugerah utama. Malah, cari namanya di Spotify, ada 108,457 pendengar bulanan. Hurm, tak kalah dirinya dibanding Ella dan Misha Omar. Ya, Ziana Zain masih besar namanya. 

Lokasi: Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara

Sepanjang bersembang dengannya, Ziana berkali-kali menyebut ‘syukur’ kerana dirinya masih menjadi pilihan. Semenjak peluang kerja menyanyi kembali dibuka, dia mula menerima banyak tawaran persembahan dinner show. Jadualnya juga mulai padat hingga pertengahan tahun ini, termasuk tawaran berlakon drama bersiri.

Perlu Bekerja Hingga Usia 60 Tahun

Ziana dan anak-anak kini tinggal bersama ibu bapanya di sebuah banglo berdekatan Kampung Melayu Subang. Pun katanya ada berkira-kira untuk berpindah semula ke rumah sendiri. “Dua puluh tahun hidup bersendiri (dengan suami (kini bekas) dan anak-anak) jadi ada masanya saya rasa mahukan privacy. Tambahan duduk dengan ibu bapa dan sementelah kerja rumah pun banyak pembantu yang uruskan, jadi terkadang datang rasa malas.” Jadi mungkin sedikit masa lagi dia akan berpindah di kediamannya di Bukit Jelutong yang dengar kata dibeli cash lebih 10 tahun lalu.

Melihat kembali kehidupan dua tahun lalu, Ziana tidak menyembunyikan keadaan dirinya yang sama terkesan dek pandemik. Sebagai langkah selamat, dia menjual rumahnya di Alam Damai. Walau menurutnya tidak pulang modal tetapi lebih baik dijual daripada menanggung hutang yang lebih besar. Katanya, “Either you menanggung lebih banyak hutang atau you selesaikan hutang tu.” Lagipun ekonomi entahkan bila akan pulih dan lagi, tak pasti bila job menyanyi akan kembali lebat seperti tahun-tahun sebelumnya. Ujarnya, kalau sebelum covid pendapatan menyanyi sekitar 60 ribu ringgit sebulan, sekarang jauh berbeza. Untung ada job berlakon, dapatlah dia merasa kerusi yang didudukinya ini empuk juga sebenarnya. 

Pada ketika ini, yang dilalui Ziana kurang lebih sama sahaja seperti kita-kita yang lain. Di usia 54, di kala teman lain sudah mula pencen, dia masih perlu bekerja. “I cannot survive with my saving alone, sebab itu untuk hari tua. Pendapatan daripada kerja kita sekarang adalah untuk kegunaan semasa. Malah, I rasa bukan saya sahaja, Nora pun perlu bekerja fasal dia juga masih ada anak yang bersekolah.” Katanya pada anak-anak, “Based on my calculation, mama perlu bekerja until I reach 60 years old, you know,” salah satu topik yang baru dibincangkan dengan dua anak lelaki.

Zaman kita dulu berbeza keadaan. Kalau pun susah, keadaan itu sendiri tidak ‘menyusahkan’. Emak ayah hanya pening kepala hendak menyekolahkan anak, itu pun buku-buku boleh diperturunkan daripada anak sulung ke yang bongsu. Sama juga pakaian boleh berpindah milik. Tambang bas dulu murah. Kini walau bumbung sekolah boleh nampak jelas dari rumah, tetapi tambang agaknya lebih 50 ringgit. Kalau hanya ada seorang dua anak masih boleh bernafas lagi, bayangkan bagaimana kalau beranak lima atau lebih? Artis atau tidak, jika perihal membesarkan anak, sama saja dilemanya.

Margaret Mead menyebut, “Children must be taught how to think, not what to think.” Ini yang diterapkan Ziana buat empat anaknya. Kala ini, dia kerap mengingatkan anak sulung, Aiman, yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah restoran makanan francais. Diingatkan anaknya untuk berkongsi pendapatan dengan datuk dan nenek, “Untuk ambil berkat,” ujarnya. Dan ditunjukkan pada anak-anak berapa gaji mereka boleh dapat dengan sijil yang dimiliki. Sebab itu juga dia masih mahu bekerja, antara lain mahu tunjukkan pada mereka yang mana minda dan tenaga perlu dikerah selagi terdaya. “Mama bertuah, bintang mama bersinar terang. Antara ramai, Allah pilih mama sedangkan mama tak cantik, suara adalah sikit,” ceritanya dalam keadaan sebak. “Mesti ingat, kita bekerja untuk siapa, niatnya juga pembawaan diri kena betul. Jangan lupa ibu bapa, jangan lupa Allah, nak.” 

Ziana malah berkongsi satu yang diamalkan setiap hari iaitu bersedekah setiap kali lepas subuh. Kalau pun jumlahnya hanya satu ringgit, yang penting dihulur seikhlas hati. Dan dia menjadi saksi kepada hasil yang dilakukan selama ini, yang diberinya suku tetapi Tuhan membalas dengan sebiji kek.

Mula menyanyi sekitar 1989 (lagu pertama dirakam) tetapi album pertamanya keluar pada 1991. Sehingga kini pelbagai sudah dirasai. Terkadang geli hati membaca satu dua komen di laman Instagram yang seakan memerli dirinya yang kata netizen ‘sudah tak glamor’ atau ‘nama tak serancak penyanyi lainnya’. Namun Ziana percaya rezeki ada di mana-mana dan tidak terkesan dengan komen-komen begitu. “Apa lagi yang nak dirasa? Kereta mewah, rumah besar, melancong, menyarung baju designer.” Betul, malah salah satu albumnya dilancarkan dalam kapal pelayaran mewah lagi. Bukan calang-calang penyanyi boleh dapat peluang sebegitu ya. 

Menyebut hal ini, terngiang lagi kata Sepit Sepit, yang mana Aziz Bakar Pengurus Besar BMG Music (zaman 90-an) ada mengupah wealth consultant untuk artis BMG yang ‘buat duit’ seperti dirinya dan Awie. Tetapi Ziana menidakkan. Setiap pendapatan diuruskan sendiri oleh penyanyi, sama ada mahu menyimpan atau melabur semua atas inisiatif sendiri. 

“Bayaran artis sekarang jauh lebih besar berbanding zaman Kak Ziana dulu. Cuma zaman dulu, kita jadi duta untuk jenama besar. Mereka (jenama) invest beratus ribu untuk kita. Sebaliknya selebriti sekarang menjalin kerjasama melalui Instagram, satu IG posting bayarannya empat hingga lima ribu.”

Satu waktu dulu, selain Amy Mastura (pemegang rekod artis paling banyak menjadi duta, 11 jenama dalam satu tahun) Ziana juga tak kurang laris. Antara kesemua kontrak yang pernah diikat, jenama makanan super food Agetech antara yang memberi bayaran lumayan, selain kontrak bersama Slim World (11 tahun) dan Slumberland (sembilan tahun).  “It’s a good extra income for us,” sebutnya.

“Ziana yang I boleh anggap kawan…” Wirda Adnan 

Friends come into your life for a reason, a season or a lifetime. When you figure out which one it is, you will know what to do for each person. Satu petikan yang saya cukup suka, seraya membuat saya terkenang Kak Wirda di satu masa pernah berkongsi, “Antara kesemua selebriti yang pernah bekerja dengan I semenjak 80-an, Ziana yang I boleh anggap kawan. Walau macam mana turun naik kerjaya I, setiap kali berjumpa reaksi Ziana tetap sama.” Seronok Ziana mendengar tatkala saya menyampaikan cerita ini padanya. “Terima kasih,” katanya.

“Saya selalu berdoa, ‘Ya Allah aku nak jadi macam mak aku, orangnya lurus, tak pernah menyombong walaupun tatkala ada yang memandang rendah atau memperbodohkan dirinya.’” 

Saya tidak kenal Ziana Zain secara peribadi, tetapi ramai tahu orangnya periang. Walau geram tak nampak berang. Pernah insiden dia berselisih dengan seorang (bekas) editor majalah. “For the first time in my life as an artist, I marah wartawan. Even walaupun marah sangat, I tak maki, I hanya cakap, “How dare you, you are so rude!””

Tentang teman pula, Ziana selesa bersama kalangan orang biasa. Jarang, atau barangkali tidak pernah nampak dia berlaga bahu dengan the creme de la creme of high society. “Dan bagaimana pula dengan selebriti? Adakah berbeza berkawan orang industri dan orang luar?” Soalan saya padanya.

“Begini, kawan industri ni macam kita juga, dia orang pun tengok juga siapa yang mereka boleh rapat. Kalau kita tengok Erra sekarang dengan Betty Banafe. Itulah kawan dia ke hulu dan ke hilir. Ada artis yang boleh ber‘hu ha’ macam kita, ada pula yang memang bentuk diri dia kena poise 24/7… “

“Siapa artis kita yang poise 24/7?” saya mengharap jawapan lebih terang. “Adalah dua tiga. Kita tak nak sebut nama.” “Kalau off record?” “Off record pun tak nak sebut…” 

Aduhai, payah betul nak bergosip dengan Ziana Zain. Ha ha.

Dalam pada itu, Ziana terharu dengan layanan penyanyi junior terhadapnya seperti Misha Omar salah satunya. Ketika hari jadinya tahun lalu, Misha membuat persembahan tribute ringkas menerusi Instagram, menyanyikan lagu-lagu lama Ziana siap dengan ucapan khas. Kata Ziana, “Misha seorang yang penuh dengan emosi. Mendengar nyanyian, malah percakapannya juga kita boleh rasa ia datang dari hati. Kak Ziana juga suka personaliti dia yang bersederhana, orangnya tak menunjuk. Berkahwin pun dengan orang biasa saja.” 

Menyebut lagi tentang orang industri, Ziana akui tersangat rindu penyanyi senior yang hebat seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dan Anita Sarawak. Ziana bersetuju dengan pendapat saya, tiada lagi kelibat artis gah seperti dua nama ini. Sekarang siapakah yang gah? Kalau ada pun terpaksa masuk GV. Kata Ziana, “Rindu sangat pada Kak Nita dan Sharifah Aini. Mereka ada star value yang begitu besar, ada aura yang membuat kita hormati bukan sahaja mereka sebagai penyanyi tetapi something else yang sukar untuk diterangkan betapa hormatnya kita pada mereka. Menengok Anita Sarawak di atas pentas, dengan persembahan dan tenaganya membuat kita terpegun. Dan Sharifah Aini, kita tengok dia dah macam ‘dewi-dewi’ gitu. Betul tak? Dengan suara yang lemak, lunak, nyanyian yang sungguh membuai perasaan. Sudah tak ada apa benda nak di-describe. Sebab itulah dia digelar bonda, ratu segala ratu kepada semua anak seni.”

Barangkali Bersendiri Lebih Sesuai Untuknya

Marriage is for as long as it can survive…” Petikan ini diungkap di hadapan saya kala Kak Wirda bercerita tentang seorang penyanyi ternama yang kala di luar, bersama suami tidak ubah seperti belangkas, tetapi di rumah, tidur asing-asing.

Ziana juga mengalami masalah keruntuhan rumahtangga. Begitu lama masa diambil untuk bertahan hinggalah sampai satu ketika, cukup, dia mahu menoktahi.

Soalan biasa untuk yang single, bila lagi nak kembali hidup berteman? Pun begitu, Ziana ada jawapan yang tegas bunyinya, “You ingat senang ke nak mulakan kehidupan dengan orang baru? Sedangkan orang yang kita kenali 20 tahun pun, ada harinya kita tak kenal dia. Bukan mudah untuk bagi hati kita pada orang yang kita nak kenali entah berapa puluh tahun lagi.” 

Maksudnya jelas, mungkin tiada lagi perkahwinan. Paling tidak, buat masa ini. Jangan lagi ditanyakan soalan ini. Ingat, you don’t need a reason to be happy, you just need a mirror, dan ini memberi keyakinan buat Ziana untuk kehidupan yang dipilihnya.

Walau bagaimanapun, satu yang saya perasan badan Ziana makin berisi. Pastinya tengah happy jadi makan lebih berselera. Memberanikan diri bertanya, “Berapa berat Kak Ziana sekarang?” 

“62 kilogram!” Yang penting badannya sihat, tidak punya penyakit serius melainkan darah tinggi yang dihidapi semenjak mengandungkan anak kembar di usia awal 40 tahun. Kini di usia 54, Ziana sudah lama bersedia dengan menopaus. Menurutnya ada berjumpa doktor, selain banyak membaca supaya faham penamatan kitaran haid. Ada juga ditanya pada doktornya tentang pil hormon yang boleh diambil tetapi doktornya melarang kerana berpotensi dapat kanser. “Biarlah ia datang secara semula jadi. Kita tak boleh melawan waktu, sebaliknya kita boleh maintain.”

Start Fresh, Think Big

“Just stop and think about how far you’ve come. Think about all the times you’ve picked yourself up. Think about all the times you’ve kept going when you weren’t sure you wanted to. Think about how many times you’ve gotten through things that were so unbelievably hard. You’ve done so many things that I bet you don’t give yourself credit for. I bet you’ve accomplished so much more than you realize. You should be proud of yourself.” – Annonymous

Tahun baru, azam juga baru. Untuk Ziana dia jelas dengan apa yang dimahukan, tetapi dia tidak mahu terlalu merancang. Dia lebih selesa menjalani hidup secara spontan, tetapi cukup persediaan.

“Kak Ziana selalu berdoa, ‘Ya Allah, Kau yang pegang perjalanan hidup aku, jadi aku menyerahkan semuanya kepadaMu.’ Memang kita boleh meminta macam-macam tetapi kalau Dia tidak membenarkan, pasti Dia akan memberi jalan yang lain pula. Now, when it comes to a certain age, cara berdoa pun sudah lain. Jika dahulu mahukan rumah dan berkereta besar, sekarang Kak Ziana mahu dikurniakan kesihatan, rezeki, kehidupan yang baik. ‘Aku minta yang baik-baik sahaja dariMu Ya Allah,’” tambahnya lagi. “Bagi Kak Ziana, itu sudah meluas maknanya.” ujar Ziana mengakhiri bicara.

  • Penghargaan
  • Pengarah Seni: Wirda Adnan
  • Jurugambar: Azam Neurmaya
  • Solekan dan Penggayaan Tudung: Bobo Cinta
  • Pakaian: Rizman Ruzaini
  • Lokasi: Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara 

Related posts

Rahman & Rafiza ‘Our Heart Speaks The Same Language’

admin

Sasqia Dahuri On Her Acting Career and The 99 Red Roses With A Diamond Ring!

admin

Poorani Rajoo, ‘Beauty Is Power’

admin

Leave a Comment