Zaid bin Sanah; Pendeta Yahudi Yang Memeluk Islam Setelah Melihat Tanda Kebesaran Rasulullah SAW

Please select a featured image for your post

Perjalanan hidup seseorang dalam mencari hidayah petunjuk Allah SWT untuk membuktikan kebenaran ajaran dan kitab suci yang dianutinya memerlukan cara yang berliku. Untuk itulah salah seorang daripada pendeta Yahudi ini ingin membuktikan kebenaran itu dengan cara menguji orang yang telah disebutkan dalam kitab sucinya. Maka iapun berusaha mencari buktinya sendiri dan akhirnya ia menemui petunjuk dan hidayahnya.

Diriwayatkan oleh At-Thabrani daripada Abdullah bin Salaam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antara salah satunya adalah Ali bin Abi Thalib r.a.

Tiba-tiba datang menemui Rasulullah SAW seorang Badwi yang menunggang seekor kuda, lalu ia menghampiri dan mendekat seraya berkata, “Ya Rasulullah di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT. Tetapi sesudah mereka semua memeluk Islam, maka terjadilah musim kemarau yang berkepanjangan sehingga mereka ditimpa kelaparan dan kehausan.”

“Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut; kerana mereka memeluk Islam juga kerana soal perut. Saya menginginkan engkau mengirimkan bantuan kepada mereka untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu.”

Mendengar kata-kata itu, Rasulullah SAW lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu kemudian Ali r.a berkata, “Ya Rasulullah SAW, tidak ada lagi bahan makanan pada kita untuk membantu mereka.”

Zaid bin Sanah, seorang pendeta Yahudi yang turut mendengar laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib itu lalu mendekati Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli daripadaku  dengan hutang dan dengan perjanjian.”

Berkata Rasulullah SAW, “Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu, tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjaman daripada engkau.”

“Baiklah,” jawab Zaid bin Sanah pendeta Yahudi itu.

Zaid bin Sanah kemudian membeli buah kurma yang kualiti terbaik lalu menyerahkan kepada Rasulullah SAW dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Kemudian Rasulullah SAW menerima kurma itu, lalu diserahkan kepada orang Badwi untuk dibahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana.

Beberapa hari berselang sebelum jatuh tempoh perjanjian pembayaran hutang, Rasulullah SAW menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain. Setelah selesai mensolati jenazah tersebut, Rasulullah SAW pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu Zaid bin Sanah menghampirinya dengan memegang erat baju baginda dan berkata dengan sekasar-kasarnya, “Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Muthalib itu selalu mengulur ulurkan waktu untuk  membayar hutang!”

Mendengar kata-kata yang kasar itu, tika itu juga wajah Umar bin Khattab yang berada disisi Rasulullah SAW menjadi merah padam. Kemarahannya memuncak lalu berkata kepada pendeta Yahudi, “Hai musuh Allah! Engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah SAW dan berbuat tidak sopan. Demi Allah SWT kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah SAW yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini.”

Rasulullah SAW memandang pendeta Yahudi itu dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, “Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah dua puluh gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya.”

Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu sang pendeta Yahudi Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, “Kenapa ditambah hai Umar?”

Jawab Umar, “Aku diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk melakukan ini sebagai hadiah kemarahan engkau.”

Kemudian Zaid bin Sanah berkata, “Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?” tanya Zaid bin Sanah. “Tidak,” jawab Umar. “Akulah pendeta Yahudi Zaid bin Sanah.”

“Engkau ini pendeta Zaid bin Sanah?” Umar agak terkejut. “Ya,” jawab Zaid bin Sanah ringkas.

“Kenapa engkau berbuat demikian rupa terhadap Rasulullah SAW? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?” Tanya Umar lagi.

Zaid bin Sanah menjawab, “Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah SAW itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah SAW iaitu perasaan sayang santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.”

“Jadi kejadian itu wahai Umar sengaja aku lakukan untuk mengetahui apakah baginda seperti yang diceritakan dalam Taurat. Dan sesudah mengetahui dan melihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad SAW, aku bersumpah di depanmu wahai Umar bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah SWT sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad SAW sebagai nabi dan pembimbingku.”

Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali menemui Rasulullah SAW. Setelah berhadapan dengan baginda lalu berkata Zaid bin Sanah, langsung berikrar mengucapkan dua kalimat syahadah, “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya.”

Selepas memeluk Islam, Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah SAW dan kaum Muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.

Demikianlah caranya bagaimana seorang pendeta Yahudi yang dihormati dan disegani kaumnya iaitu Zaid bin Sanah mendapat petunjuk keislaman dan beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayatnya. Subhanallah!

 

Sumber: suaraislam.com

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON