AGAMA

Wanita Dan Ramadan

Ramadan bulan berakah, tidak hanya diraih oleh kaum Adam tetapi keberkahan dan rahmat yang terpancar darinya juga diraih oleh ramai kaum hawa.  Ramadan bulan musabaqah (perlumbaan) antara semua manusia dalam beramal soleh, dan meningkatkan nilai-nilai keimanan.

Rasa letih dan lelah mengendalikan rumahtangga, ditambah lagi kesibukan mengurus suami dan anak-anak, tidak pula menghalanginya untuk terus berpuasa, menyiapkan makanan sahur dan berbuka, shalat malam dan Tarawih, membaca Al-Quran, dan melaksanakan amalan-amalan utama lainnya dalam Ramadan. Inilah antara sebaik-baiknya amalan yang pelakunya dijanjikan oleh Allah ta’ala dalam firman-Nya :

Artinya: “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (QS An-Nahl : 97).

Sepintas, mungkin agak sukar untuk mengatur waktu dalam mengerjakan amalan-amalan di bulan yang mulia ini. Apalagi harus solat tarawih puluhan minit atau tilawah berjam-jam misalnya. Namun sebagai muslimah yang soleha atau ingin menjadi soleha, tentangan yang seperti ini hendaknya dijadikan sebagai batu loncatan untuk lebih bersemangat dan tekun dalam mengatur waktu-waktu ibadah, dan mengisinya hingga tidak ada yang terasa sia-sia. Malah untuk menggabungkan beberapa amalan atau kesibukan tersebut dalam satu waktu. Sebagai contoh kecil, misalnya memasak/mencuci sambil banyak berzikir, menidurkan anak sambil tilawah Al-Quran.

Tatkala Haid atau Nifas
Pada hakikatnya haid dan nifas bukanlah halangan bagi seorang wanita muslimah daripada memperbanyak ibadah di bulan Ramadan, terutamanya di 10 hari terakhir. Bahkan amalan-amalan yang dia terbiasa melakukannya tetap diberikan pahala ketika ia haid, sebagaimana dalam hadis: “Jika seorang hamba sakit atau melakukan safar, maka (amalan-amalan yang ia tinggalkan) tetap diberikan pahala atasnya seperti tatkala ia muqim dan sihat.”

Sudah tentu, anda tidak boleh melaksanakan solat, berpuasa, dan menyentuh Mushaf Al-Quran, namun selain tiga amalan ini, ia tetap dianjurkan untuk melaksanakannya, antaranya:

1. Memperbanyak doa dan zikir, terutamanya pada malam-malam hari Ramadan, terkhusus lagi pada sepertiga akhir malam, dan malam Lailatul-qadr. Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda :

يا نساء المؤمنات عليكن بالتهليل والتسبيح

Artinya: “Wahai sekalian wanita beriman, perbanyaklah tahlil (Laailaahaillallaah), tahmid (Alhamdulillah, tasbih (Subhaanallaah),

2. Membaca Al-Quran. Wanita haid atau nifas tetap dibolehkan membaca Al-Quran asal ia tidak menyentuh mushaf secara langsung. Ini pendapat yang sahih, Syaikhul-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: “Tidak ada sunnah yang menjelaskan larangan atasnya (wanita haid) daripada membaca Al-Quran. Dahulu pada zaman Nabi shallallahu’alaihi wasallam para wanita juga haid, namun jika membaca Al-Quran diharamkan atas mereka seperti halnya solat, maka ini tentu akan dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam pada umatnya, dan pasti diketahui oleh Ummahatul-mukminin dan disebarkan kepada umat islam. Namun ketika tidak ada satu pun yang menukil daripada Nabi shallallahu’alaihi wasallam tentang larangan wanita haid daripada membaca Al-Quran ini, maka tidak boleh dikatakan sebagai perkara yang haram selama tidak diketahui bahawa beliau tidaklah melarang hal ini. Namun apabila dia ingin membaca Al-Quran daripada Mushaf secara langsung, maka hendaknya memakai sarung tangan atau semisalnya agar tidak menyentuhnya secara langsung tatkala membuka lembaran-lembarannya.

3. Banyak bersedekah.  Ini sunnah Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam dalam bulan Ramadan. Dalam hadis Ibnu Abbas : “Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam merupakan orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan lagi ketika tiba bulan Ramadan saat Jibril datang menjumpainya.

Juga hendaknya memasak atau membuat makanan untuk sahur atau berbuka puasanya para tetangga, jamaah masjid, atau keluarganya, kerana ini sangat besar pahalanya di sisi Allah ta’ala. Dalam hadis :

من فطر صائماً كتب الله له أجره إلا أنه لا ينقص من أجر الصائم شيء

Artinya: “Barangsiapa yang memberi makan orang berbuka, maka Allah menetapkan atasnya pahala seperti pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.”

Walaupun sanad hadis ini sedikit dhoif, namun pahala ini sangat diharapkan atas mereka yang memberikan makanan bersahur dan buka puasa agar mereka kuat dalam beribadah kepada Allah, sebagaimana dalam hadis lain : “Orang yang menunjukkan kebaikan akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya.”

4. Memperbanyak amalan-amalan kebaikan lainnya seperti tetap mengajarkan anak-anak, bersilaturrahim dengan keluarga dan saudari-saudarinya seiman, menziarahi orang sakit dan amalan lainnya yang sangat dianjurkan dalam bulan Ramadan.

Hukum Haid atau Nifas Pada Bulan Ramadan
1. Wanita Haid atau Nifas haram baginya berpuasa, juga solat dan menyentuh Mushaf Al-Quran secara langsung.

2. Seorang wanita yang haid/nifas ketika sedang berpuasa, memiliki beberapa kondisi :

Haid/nifasnya datang pada pagi atau siang hari atau beberapa saat sebelum waktu berbuka puasa, maka puasanya pada hari itu batal, dan wajib baginya untuk mengqadhanya di luar Ramadan.

Jika ia suci pada malam harinya, atau beberapa saat sebelum azan subuh maka dia wajib berpuasa pada pagi harinya, walaupun ia belum mandi wajib, sebab mandi wajibnya boleh dilakukan selepas azan subuh.

Hukum Wanita Hamil/Menyusui Dalam Bulan Ramadan
Wanita hamil atau menyusui tetap diwajibkan menjalankan puasa Ramadan selama dia sanggup melakukannya, namun jika ia tidak sanggup maka perlu memperhatikan hal-hal berikut:

1. Jika keduanya tidak mampu berpuasa kerana kautir kesihatan janin atau anaknya terganggu, maka dia boleh berbuka dan tidak puasa. Namun dia wajib mengqadha puasa tersebut pada hari-hari lain selain Ramadan dan membayar fidyah 1 mud makanan untuk orang miskin untuk satu hari berbuka.

2.Jika ketidak sanggupannya kerana kautir akan kesihatan dirinya, atau sekaligus kesihatan janin/anaknya, maka dibolehkan berbuka, lalu mengqadhanya pada hari-hari lainnya, namun tidak perlu membayar fidyah.

rujukan
1 . HR Bukhari : 2996.
2. HR Abu Daud : 1501, Al-Tirmidzi : 3583, dan Ahmad : 27089, dengan sanad hasan.
3. Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah (wafat : 728 H) : 26/191.
4. HR Bukhari : 6, dan Muslim : 2308
5. HR Ahmad : 17033, Tirmidzi : 807, Nasai dalam Al-Kubra : 3316, dan Ibnu Majah : 1746.
6. HR Muslim : 1893
7. Lihat : Hilyatul-‘Ulamaa’ karya Al-Qaffaal Al-Syafi’i (wafat : 507 H) : 3/147 dan ‘Umdah Al-Saalik karya Ibnu Al-Naqib Al-Syafi’i (wafat 769 H) : hal. 115.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Menolak Ajakan Suami ke Tempat Tidur, Meminta Cerai… Berikut Tanda-Tanda Isteri Derhaka

admin

Hukum Muslim Membersihkan Rumah Ibadat Agama Lain

adminwm

Kedudukan Zakat Dalam Islam

admin

Leave a Comment