Vivy Yusof Kongsi 11 Rahsia Kejayaan Sepanjang Bergelar Usahawan

Please select a featured image for your post

“Saya tidak pernah takut kerana saya percaya bahawa Tuhan sentiasa menyokong di belakang saya.” – Vivy Yusof.

 

  1. Tahu tentang produk dan industri yang diceburi

Apakah produk yang anda nak jual? Anda perlu lakukan kajian ke atas produk anda, produk pesaing anda dan jalankan penyelidikan industri secara keseluruhan. Contohnya kalau mahu menjual baju, anda kena tahu syarikat pakaian mana yang menguntungkan, bagaimana mereka boleh buat duit, apa kaedah yang mereka terapkan dan apa teknik yang mereka gunakan antara lain.

  1. Kenal pelanggan atau saran pasaran

Sebelum saya mulakan FashionValet, saya langsung tidak tahu tentang perkara ini. Saya sangkakan FashionValet adalah untuk semua orang, tetapi saya salah. Anda perlu mempunyai fokus atau tumpuan khusus kepada jenis pelanggan. Contohnya kalau pasaran anda untuk golongan yang lebih tua, produk yang dijual tidak boleh sama dengan produk yang disasarkan kepada golongan muda. Selain itu, ciri-ciri demografik juga penting. Anda kena tahu pelanggan anda di Kuala Lumpur mungkin gaya mereka berbeza dengan pelanggan anda di Johor Bahru. Lain tempat lain caranya.

  1. Cari rakan kongsi yang sesuai dan betul-betul ‘ngam’

Saya percaya bahawa tiada insan yang sempurna. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan diri. Macam saya sendiri, saya tidak pandai daripada segi kewangan dan organisasi. Saya bersyukur ditemukan dengan suami saya kerana kami berdua saling melengkapi antara satu sama lain dalam menguruskan FashionValet. Sebab itulah rakan kongsi yang sesuai benar-benar penting.

  1. Bentuk pasukan yang hebat

Bukan senang nak membentuk satu pasukan yang dinamik. Sepanjang lima ke enam tahun berniaga, ramai pekerja datang dan pergi. Kami mengambil masa yang lama untuk mencari pekerja yang sempurna dan ia sangat sukar.

Selepas membentuk pasukan, anda perlu melatih pasukan anda dan jadikan mereka seorang pemimpin. Kalau dulu, saya melibatkan diri dalam semua kerja dan perlu membuat semua keputusan, tetapi sekarang, saya sudah ada beberapa pemimpin dalam setiap pasukan yang membantu saya setiap hari dalam menentukan hala tuju syarikat. Daripada sini, kerjaya mereka juga akan berkembang.

  1. Bijak mengurus masa

Saya seorang ibu kepada dua orang anak yang perlukan perhatian saya setiap hari, dan saya berniaga pada masa yang sama. Tanggungjawab yang saya pikul ini benar-benar memakan masa yang banyak.

Jadi, saya perlu betul-betul membahagikan masa di antara kerja dan keluarga. Tidak ada lagi istilah ‘buang masa’ dalam hidup saya. Setiap jam mesti dipenuhi dengan pelbagai urusan. Pada saya hidup yang begitu sibuk adalah lebih produktif kerana kalau anda ada banyak masa, mungkin masa itu akan disia-siakan begitu saja.

  1. Delegasi dan komunikasi

Anda mungkin menyangka anda mampu lakukan segala-galanya, walhal sebenarnya tidak. Kita hanyalah manusia biasa dan bukan Superman. Sebab itulah saya sangat pentingkan kerja berpasukan. Delegasi atau bahagikan kerja kepada pemimpin dan para pekerja anda agar segalanya berjalan lancar, teratur dan cepat. Komunikasi juga penting. Anda perlu berkomunikasi dengan pekerja anda tentang masalah yang timbul dan bincangkan jalan penyelesaian. Anda juga perlu lakukan susulan dan paling penting mesti kena turun padang, tidak kiralah sama ada ke pejabat ataupun sebarang acara.

  1. Cari kritikan bukan pujian

Ramai orang suka mencari pujian – produk dialah yang terbaik, dialah yang paling cantik, dialah yang paling berjaya, paling kaya. Ramai sentiasa mencari orang lain untuk memberitahu mereka apa yang mereka mahu dengar. Sebaliknya bagi saya, cara itu tidak akan beri peluang untuk anda memperbaiki diri. Saya suka apabila orang mengkritik produk saya. Walaupun ada masanya pahit dan sukar untuk saya terima, kritikan-kritikan inilah yang mengingatkan saya tentang kelemahan jenama saya. Anda perlu ingat bahawa anda tidak akan dapat puaskan hati semua pihak. Jadi, mesti akan ada kritikan yang perlu anda hadapi. Ambil secara positif, perbaiki dan terus ke hadapan.

  1. Perkasakan media sosial

FashionValet menggunakan pendekatan yang agresif di media sosial terutamanya di Facebook dan Instagram. Saya percaya media sosial kena kuat sebab kini semua orang miliki akaun media sosial sendiri. Produk atau jenama anda perlu sentiasa relevan dan kontemporari, tidak kiralah jenis perniagaan apa pun yang anda ceburi. Cuba maksimumkan penggunaan media sosial sebaik mungkin dan ambil kesempatan daripadanya. Media sosial sangat penting untuk menjadikan jenama anda lebih dikenali ramai.

  1. Hidup dan ‘bernafas’ dengan produk anda

Kadang-kadang saya sendiri yang menjadi pelanggan di FashionValet. Daripada situ, saya boleh tengok apa yang tidak kena dengan laman web tersebut daripada perspektif seorang pelanggan. Selain itu, pakaian yang saya kenakan setiap hari semuanya daripada FashionValet. Tudung pula saya akan pakai Duckscarves. Saya perlu membawa imej jenama saya ke mana jua saya pergi. Kalau saya sendiri tidak pakai, macam mana saya mahu mengharap orang lain memakainya?

  1. Dapatkan sistem sokongan yang baik

Ramai orang terlupa akan perkara ini. Dalam berniaga, anda perlu berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan kritikan. Perkara-perkara tidak boleh dikawal inilah yang akan menjatuhkan anda kalau anda tidak kuat. Anda akan rasa kurang bersemangat, putus asa dan tidak mahu lagi meneruskan perjuangan. Jadi, kalau anda tiada sistem sokongan yang bagus, siapa yang akan bangkitkan semula semangat anda ketika anda sedang jatuh? Itulah sebabnya sistem sokongan seperti daripada ibu bapa, ahli keluarga, suami (atau isteri), anak-anak dan rakan karib ini amat penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka, pasti kita tidak akan mampu melangkah jauh. Oleh itu, jagalah hubungan baik dengan orang-orang tersayang.

  1. Sentiasa percaya pada Tuhan

Allah adalah Perancang segala-galanya. Kalau Dia kata ia akan berlaku, maka berlakulah ia. Rezeki itu di tangan Tuhan dan Dia telah menentukan rezeki bagi setiap makhluk di muka bumi ini. Sepayah mana pun liku hidup anda, Tuhan boleh mengubahnya dalam sekelip mata. Dan semewah mana pun hidup anda, Tuhan boleh menarik segalanya dalam sekelip mata. Saya percaya bahawa Tuhan sentiasa menyokong di belakang saya dan saya tidak takut. Oleh itu, percayalah padaNya, beribadahlah kepadaNya setiap hari dan segala-galanya akan dipermudahkan insyaAllah. Kalau kita dekatkan diri dengan Tuhan, mustahil Tuhan akan jauh dengan kita. Percayalah.

Artikel ini diambil dari http://says.com/my dan diolah semula oleh penulis majalah WM.

Gambar: Instagram Vivy Yusof & Fadzarudin Anuar

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON