DESPERADO

Tiga Datin: Yang Sombong, Yang Kedekut Dan Yang Suka ‘Brag’

Apa kelasnya budak hingusan interview aku?

Kawan-kawan wartawan selalu bercerita perihal Datin X ini yang dikatakan sombong. “Kalau sombong, tak payahlah beri dia publisiti,” saya menyaran pada teman yang bekerja di akhbar. “Macam tidak ada orang lain,” saya menyambung dan memberikan beberapa nama yang boleh mereka temuramah daripada melayan kerenah si Datin yang sombong ini. “Tapi bos mahu dia?” “Hem hem… well layan aje lah,” saya menyambut katanya. “Sebab dia dengan bos-bos, lembut gigi daripada lidah dan bos-bos tidak percaya dia sombong. Cantik sangat pun tidak tetapi dia bijak berkata, dan pandai melayan. Bos sekarang pun boleh dibeli? Dipuji, dihantar hadiah, dihantar chauffeur untuk bos ke sana ke mari, masakan mereka tidak senang memainkan storynya di akhbar-akhbar… upps jangan tersilap cakap nanti kena buang kerja,” cerita Hasni satu petang, (enam tahun yang lalu).

“Sudah berapa lama Hasni bekerja?” saya bertanya “Empat tahun,” consider sudah senior jugalah, jadi kerana pengalaman, sayalah yang sering diminta menghubungi dan menemuramahnya.”

Kisah kesombongan Datin X ini sudah lama saya dengar, cuma dengan saya dia tidaklah sombong mana, sebab kalau dia sombong saya jadi lebih sombong, tetapi pengalaman di rumahnya meninggalkan kesan juga. “Takkan dia berani hendak sombong dengan Puan,” kata wartawan tadi menyambung ceritanya. “Betullah kak Wirda,” jawab staf saya. “Saya pernah hubungi dia, mahu menemuramah dan jawabnya, “Excuse me, siapa nama kamu?” “Okay kamu, (dia kamukan sahaja saya) dengar sini, saya hanya mahu kalau Wirda Adnan yang menemuramah. Apa kelasnnya aku  ditemuramah budak hingusan seperti kamu?”

“See,” kata journalis berkenaan. Saya juga pernah ditempelak. Katanya, “Saya Datin, kejayaan saya begini begitu… cerita mengenai diri saya sendiri boleh dijadikan sebuah buku… malah satu hari saya akan menerbitkan buku. Awak fikir senang nak summarise  story saya, awak pandaike, kalau tulis silap macam mana?”

Si journalis menyambungnya, “Kalau Datin tidak mahu ditemuramah, saya tidak kisah. Saya hanya menjalankan tugasan saya. Now that you’re are not interested, I can tell my boss that you’re not keen to be interviewed. Terima kasih.”  Dia terdiam dan saya meletakkan gangang telefon. Tetapi setengah jam kemudian, bos panggil. “Awak tahu apa kesalahan awak?” “Ya, sebab Datin X tidak mahu ditemuramah dan saya katakan kalau Datin tidak mahu, then I will tell my boss that you’re not keen.” “Awak jangan hendak memutar belitkan cerita. Dia kata, sudahlah awak membahasakan dia Puan saja, kemudian tanya soalan yang tidak sepatutnya ditanya. Dan awak hanya mahu menemuramah di talian, sedangkan dia mahu bercerita over lunch dan awak menolak. Awak kata awak senang menemuramah di telefon.”

“Bos beginilah, terpulang hendak percaya saya atau tidak, tetapi saya rasa elok bos sahaja yang pergi menemuramah dia.” Dan sudah pasti saya mendapat bad report, masa appraisal itu antara persoalan yang ditimbulkan, dan menamatkan cerita tahun itu langsung tiada kenaikan gaji. Dan saya pun berhenti.” Panjang lebar pula journalis yang satu ini bercerita.

Siapa Datin X hari ini?

Hidup yang tiba-tiba senang membuatnya berlagak sombong. Sementelah pula pernah tinggal di luar negara untuk beberapa tahun, cakap Melayu pun tidak mahu. Datin X hanya melayan english speaking writers dan english publications, ya hanya akhbar dan majalah berbahasa Inggeris. Kalau majalah Melayu, majalah yang ada kelas sahaja. Majalah yang katanya majalah cebisan… dia tidak ingin muncul di situ. Majalah yang tidak boleh buat dia nampak kurus dan muka tegang dia tidak mahu. Dia mahu nampak 20 tahun muda, bukan 20 tahun tua. Dia mahu ceritanya diindahi dengan gambar-gambarnya yang glamor, yang dia berada di istananya yang gah, yang menampakkan kemewahan hidupnya.

Teringat, saya juga pernah pergi ke ‘istana’nya. Memang membanggakan. Untuk masuk ke kawasan banglonya sahaja agak jauh, sepanjang jalan bau wangian menusuk. Sebaik masuk di pintu utama, harum lavender menyamankan jiwa. Mana tidaknya, bermangkuk-mangkuk potpori menyambut kedatangan tetamu.

Seorang pembantu beruniform menyambut, mempersilakan saya duduk. Saya dijamu segelas air manis sementara dia memberitahu yang Datin akan diberitahu yang saya sudah sampai. (walhal saya yang menghubungi dia memberitahu di guardhouse yang saya sudah sampai).

Lebih setengah jam menunggu, “Sorry fixing my eyelashes, my make-up artis bodoh, nak pakaikan bulu mata pun tidak tahu, and claim dia makeup artis paling top..”

As expected, kemudiannya saya dilayan sebaiknya… penuh gelak ketawa malah mengajak saya menyertai anak-anaknya untuk makan tengah hari. Saya menolak tetapi beria diajaknya. Tengah hari ini our menu… “You boleh pilih,” sambil memberikan saya menu… (wow, hebat, macam di restoran hotel lima bintang.) You pilihlah, for me wild mushroom soup and salmon grill. You can try our beef tenderloin…” Gosh, betul cukup kelas.

Saya teringat makan bersama dua anaknya. They are well mannered, and the proud mother memuji anaknya tidak habis over dessert. Yang mana keduanya pun pada masa itu sudah dipanggil untuk bersiap, kerana guru tutur sudah sampai untuk mengulang kaji pengajian.

Cerita di atas adalah kisah lebih enam tahun lalu, tetapi di hari ini… dia tidak boleh sombong lagi. Kerana rumah agamnya itu sudah lama menjadi milik orang lain. Supirnya sudah lama bekerja dengan orang lain dan kekayaan yang pernah dimiliknya pun sudah berpindah tangan, pada isteri muda sang bekas suami. Dia tidak lagi menjadi klien Datuk Bernard, Datuk Rizalman, Datuk Radzuan Razwill… kalau adapun yang dipakainya adalah baju-baju lama yang sudah sendat dan out dated. Ada pun yang dijinjingnya adalah handbag handbag lama, mujur handbag ikonik dan tidaklah nampak komen sangat. Ada yang kasihan, tetapi ada juga yang memulangkan paku buah keras… “Dulu sombong sangat, jadi kalau Tuhan nak ambil, sekerlip mata semuanya boleh hilang, kannn.”

Ada orang berbisik dengan saya, “You kenal Datin X kan?” “Ya… you tahu dia tinggal di mana?” “Sejak tidak menyibuk sangat dengan kerja-kerja majalah, saya lost contact dengan dia. Dulu sering juga dia menghubungi.” “Oh dia ada hubungi you?” “Dulu selalu, biasalah sometime mengopi di Shangri La atau di Sheraton.”  “Tulah, dia pilih orang hendak mengopi…” jawab si teman ni lagi.

“Tak payah cerita hal orang lah…” saya cuba menahan si teman ini daripada terus bercerita… “You tahu, I pergi kondo cousin I dekat area Segambut, and guess siapa I nampak… Datin X. I was told dia tinggal di situ, kondo tu teruk sangat.”

“Jadi?” “Yalah dulu sombong sangat, hina sangat dia kalau orang itu tinggal di setinggan, flat. Tidak akan dia jamah makanan yang dibeli di gerai-gerai dan ah, staf-staf dia semua komplain. Semua meluat sebab asyik kena carut dengan dia. Hendak dengar dia cakap Melayu, adalah bila dia mencarut, memaki.”

“Ada yang mempersoalkan kenapa dia masih menggunakan title Datin sedangkan sudah lama bercerai. Mulanya dia pretend juga yang dia masih bersama bekas suaminya. Kawan-kawan baik pun tidak diberitahu… malah untuk selama dua tahun dia menyepi diri. Tidak siapa tahu dia di mana. Kawan-kawan ingat dia tinggal luar negara, yang sebenarnya dia memang mengaku konon mahu ubah angin tinggal di Eropah tetapi sebenarnya tidak. Dia menghilangkan diri sebab tidak mahu orang tahu dia sudah tinggal di kondo murahan. Kalau dulu bau harum semerbak dari pintu pagar sampai ke ruang lobi yang luas, hari ini bau hapak menuju sepanjang ke kondo sewanya. Allah bayar cash,” katanya.

Saya hanya dapat menyabarkan kawan dengan berkata, “Itu ujian untuknya dan kita belum tahu apa ujian kita, jadi muhasabah diri. Kita jangan jadi dia dan menyombong. Kadang-kadang Allah meminjamkan keenakan dunia itu lama, berketurunan-keturunan senang dan mewah tetapi kadang-kadang dia meminjamkannya sekejab cuma supaya kita cepat sedar. Dan belum tentu yang Allah beri keturunan demi keturunan itu senang, Allah sayang. Itu juga ujian malah ujiannya tersangat besar. Ya untuk dijawab di akhirat nanti, yang jauh lebih dahsyat balasannya.”

Kawan itu terdiam. “Betullah, dan yang saya belajar jangan menyombong diri. Datin X contoh terbaik,”katanya kemudian…. “X tidak cukup sedar, (dia masih hendak menyambung ceritanya), “I kenal dia dan masih tidak mahu merendah. Tetapi dia pandai tutup lubang dan mahu buat orang percaya yang dia seperti dulu, boleh order orang sana sini. Dan ada masa dia terpaksa berhutang untuk memperlihatkan statusnya yang sedemikain rupa, walhal keadaan hidupnya tidak lagi seperti dulu. Ada berkata dia perasan yang dia masih di zaman kegemilangannya. Masih memilih orang untuk dijadikan teman. Masih tidak mahu makan di gerai, paling kurang pun di restoran-restoran yang kalau pun tidak berhawa dingin, tetapi pleasant place to dine. Masih makan dengan garfu dan sudu walaupun orang lain enjoy makan udang dan ketam dengan tangan.”

“Sekarang, tidak ada lagi journalis hendak menemuramahnya, walaupun kadang-kadang dia teringin juga muncul di akhbar, di majalah,” katanya sebelum dia beredar.

 

Kisah Datin Rahimah yang kedekut (seperti yang diceritakan oleh Puan Faridah)

Faridah bertanya, “Antara si kedekut dan si boros mana yang you rasa lebih teruk?”  “Tentulah si kedekut, sebab si kedekut kadang-kadang menyusah dan memalukan kita, sementara si boros biasanya dia yang menyusahkan dirinya kemudian.”

Bertemu Faridah tempuh hari dia sempat bercerita mengenai sepupunya Datin Rahimah. “Jangan salah anggap, Imah (panggilannya dulu masa mereka sama-sama di kampong) tidak kedekut untuk dirinya tetapi untuk orang di sekelilingnya, termasuk anaknya sendiri, dengan adik beradik dan terutamanya dengan pekerjanya, oh dia amat berkira.

Kata Faridah, kerana dia tiada apa lalu Datin Rahimah menggaji dia untuk menguruskan pejabat dan rumahnya. “Makan gaji dengannya, langsung tidak diberi keistimewaan malah diperhambakan.” Asalnya Faridah diambil sebagai kerani di pejabatnya tetapi kerjanya lebih daripada seorang kerani. Kerana tiada tempat tinggal dia diminta (lebih tepat dipaksa) tinggal dengannya. Konon senang ke tempat kerja dan senang makan minum. Boleh dibayangkan sudah tinggal serumah, semuanya terpaksa dilakukan, daripada melayan hal-hal peribadi si Datin sehinggalah menjadi setiausaha sulitnya.

“Bra dia pun aku kena tahu diletak di mana. Seluar dalamnya pun kadang-kadang bila pembantu rumah  tiada atau sibuk,  aku yang membasuh. Kerja dengannya sehingga tidurlah baru tamat untuk hari itu. Betul, aku dibawa ke sana ke mari; dia bermesyuarat, dia bersantai, dia ke majlis, dia melancong juga aku mesti ikut serta tapi jadi PA dialah. Nak melencong sejam dua pun tidak boleh. Dia membeli bermacam-macam. Minatnya kepada barangan mewah tidak payah disebut. Tas tangannya berjenama dan kasut-kasut berjenamanya mengalah Emelda Marcos, bekas isteri Presiden Filipina. Bahu bagaikan hendak patah menggendung beg-beg… huh, orang pun tahu melihat aku yang menjinjing dan bos aku hanya jinjing tas tangan dia sahaja.

“Kegilaannya bukan setakat membeli kasut dan baju tetapi barang kemas dan sebagainya. Dahsyat tengok dia berbelanja. Orang kata aku untung kerana dibawa berjalan merata tempat dan dibelikan barangan mewah. Tengok apa yang aku ada?  Belum satu pun dia membelikan aku barangan yang berjenama.

“Begitu juga dengan adik beradik dan anak angkatnya dan anak-anak buahnya. Kalau ada yang teringin hendak melaram tas tangannya boleh pinjam tetapi belum subuh sudah dihubungi mengingatkan untuk dipulangkan. Pernah aku sendiri teringin sangat hendak melaram tas tangan Loius Vuitton, bukan pun limited edition tetapi yang biasa sahaja. Okaylah dia meminjamkan. Tiga hari kerana kesibukan aku lupa untuk menghantar ke biliknya. Hah disergahnya aku. Katanya, pandai pinjam pandailah memulang. Dan aku diperli serta rasa hina, “Kalau kamu Faridah tidak bekerja dengan aku, bukankan LV, beg Metrojaya pun kamu tidak mampu beli.” Rasa hina sangat, lepas itu aku taubat berjanji pada diri tidak mahu meminjam.

Adik beradiknya sendiri mengata dia di belakang. Semua mesti dengar cakapnya, dan kalau dia memanggil mereka datang ke rumahnya, jangan kata tidak boleh. Mereka akan diungkit, dan disebut satu persatu apa yang telah dia bantu selama ini. Jadi adik beradik terpaksa mengenepi semua hal kalau si akak perlukan mereka.

Namun yang adik beradik menyampah sangat kerana sudah lah diminta buat ini buat itu, tetapi kedekut nauzubillah. Penat seharian membantu, bila pulang bukan pun memberi seratus dua, terima kasih pun tidak. Tetapi dengan kawan-kawan ‘terpilih’nya lain pula halnya, dia akan sogok dengan bermacam-macam, sehinggalah mereka tidak boleh say no to her. Sebenarnya hendak menunjuk yang dia banyak duit dan pemurah. Kemudian bila sudah lama berkawan, mulalah dia mengungkit. Kerana setakat kawan mereka boleh lari, adik beradik dan sepupu sepipit hendak lari ke mana? Pusing kanan pusing kiri berjumpa juga.”

Cerita Faridah, pernah dia memberitahu tidak mahu lagi bekerja dan mahu balik kampong. “Ya Allah, aku tidak boleh ceritakan macam mana dia membebel dan mengungkit-ungkit sehingga ke lubang cacing. Akhirnya aku pasrah, sebab dulu ayah aku ada berhutang dengan dia, dan ayah sehingga meninggal tidak mampu bayar hutang. Sebab itulah aku dijadikan ‘tebusan’.

“Satu hal sepupu Datin aku ini suka menunjuk-nunjuk. Kalau di luar dia senang mengopi di tempat mewah, supaya orang boleh nampak yang dia kaya dan big spender. Oh beri tips besar lagi, itu kalau hari dia baik hati, tetapi kalau bad mood dan pelayan buat silap, mahu dia bertempek di situ. Tetapi kerana dia pun lagak orang kaya, jaranglah terjadi dia naik angin. Tapi bila kat rumah, masha Allah makan pun bercatu. Kadang-kadang makanan tiga empat hari dipaksa makan, katanya usah membazir, minta kami di dalam rumah berdiet dan sebagainya. Dia pun suka berdiet. Katanya kena maintain seksi. Kadang-kadang dia suruh pembantu rumah pergi sendiri ke pasar, diberi RM200 dan kemudian minta baki. Bila lihat barang sikit dia marah. Dia kata pembantu songklap duit pasar dia, sedangkan dia lupa harga barangan mahal. Sebab dia yang hendak makan, kenalah dia beli produk yang mahal, malah berasnya pun diasingkan. Maid tidak boleh makan beras sama, tidak boleh makan ikan mahal, udang dan abalon dan sebagainya, kalau ada lebihan baru boleh, atau kalau tidak, terutama bila dia tiada, goring telur dan makan sisa-sisa makanan.

“Memang bila difikirkan sakit hati. Pembantu datang dan pergi dan satu lagi duit gaji pembantu selalu tidak diberi penuh. Alasan dia tolong menyimpankan duit mereka, tapi selalunya dia potong ini, potong itu sehingga pembantu pun give up dengannya. Kalau dia marah maid, macamkan tiada harga diri si manusia itu.

“Bagaimana pula pekerja di syarikatnya? Aduh, kalaulah boleh dibayar sepaling murah gaji mereka, itulah yang dia suka.  Dan gaji pula selalu lewat, claim overtime, mileage, dan beli-beli stationaries, bil api, air, telefon dan yang payment untuk custumers selalu sangat lewat. Kadang-kadang dia mengelak untuk membayarnya. Bila api sudah dipotong barulah tergesa-gesa dan kemudian boleh marah kepada saya, kerana tidak uruskan pembayaran terlebih dahulu, sedangkan bila diingatkan mengenai bil-bil itu dan minta sain cheque, oh susah benar.

“Selalu jugalah, saya terpaksa bayar dengan duit sendiri. Kalau lima atau 10 ringgit saya selalu niat sedekah tetapi jikalau sampai seratus dua kenalah hantar bil. Boleh tu, dia kata, “ini pun kamu Faridah hendak berkira sangat dengan saya. Tahu tak, saya tidak pernah berkira dengan Faridah; tinggal di rumah saya, tidak pernah saya minta sewa, bayar api, bayar makan dan sebagainya, pernah saya minta?” Selalunya saya malas jawab, sebab kalau dijawab, keluarlah cerita tuk nenek dia dan saya yang sakit hati.”

Faridah menyambung cerita, “Datin ada bela anak angkat, tetapi hemmm eksyen saja, konon dijaja cerita bahawa dia amat simpati dengan mereka. Realitinya anak angkatnya menderita… dua-dua masih bersekolah, tetapi belanja sekolah pun dicatunya, minta mereka bawa bekal. Kadang-kadang budak-budak teringin juga makan benda yang lain, kesian kan?  Saya lah yang beri mereka some extra cash, ala RM3 hari ini apa sangat yang boleh dapat? Selalu dia menyebut dia dulu belanja sekolah 30 sen atau paling tinggi 50 sen tetapi dia lupa itu tahun berapa? Tahun tujuh puluhan bolehlah belanja 30 sen untuk pagi dan kelas tambahan petang.”

Saya berminat bertanya baju-bajunya, bila sudah banyak dan tidak digunakan lagi atau tidak maut lagi, tidakkah disedekahkan kepada saudara mara? “Sedekah?” itu barangkali tiada dalam kamusnya. Tahu apa si Datin kedekut ini buat, dia akan jual second hand. Nama dia hendak mencampakkan sehelai dua pada kita tidaklah. Selalu dia kata, orang tidak tahu menghargai kalau diberi percuma, jadi aku jual supaya mereka boleh menjaganya dengan baik. Tidak pernah aku jumpa orang sekedekutnya. Tetapi apa pun dengan dirinya, dia bilang, “Aku kerja bagai nak gila, aku belilah sesuka hati aku… duit aku apa kau orang hendak sibuk? Ada aku menyusahkan orang?”

Kata Faridah, “Dulu-dulu aku lihat dia ramai kawan. Tetapi kebelakangan ini aku tengok kawan-kawan lamanya all gone. Kalau adapun yang baru hendak menempek dengannya. Kawan pun tidak sanggup diperalatkan, dan paling aku rasa kawan tidak tahan, dia suka mengungkit. Selalu aku terfikir, mengapalah hendak kedekut sangat, duit bukan boleh bawa mati dan orang kedekut selalunya sampai  mati pun orang akan bercerita fasal kedekutnya.

Siapa Datin Rahimah? Dia anak peneroka, sama seperti Faridah dan sepupunya yang lain. Bezanya Rahimah masuk ke asrama penuh yang terkenal di Johor dan kemudian ke Menara gading. Dia juga seorang yang berani bersuara. Maklumlah orang ada ijazah kemudian masuk politik pula, dia mendapat banyak habuan. Bekerja dengan kerajaan tidak lama dan kemudian menjadi kontraktor binaan. Di situ dia berkenalan dengan suaminya seorang Datuk. Berkahwin sekejab sahaja dan tidak dikurniakan cahayamata. Kerana mungkin bossy sangat, mereka berpisah. Kata Faridah dia tidak mahu berkahwin lagi kerana takut suaminya memakan hartanya, namun begitu dia masih menggunakan title Datinnya. Katanya, dia boleh, kalau hendak pangkat Datuk sekalipun tetapi dia memilih untuk tidak mengeluarkan duit ratusan ribu untuk itu.  

 

Si Datin Seri yang kuat bragging (seperti diceritakan oleh Datin Saodah)

Cerita ketiga mengenai seorang Datin, (saya namakan dia Datin As, dia  ini pula suka menunjuk-nunjuk dan cakap besar.

Di sekolah tempat Datin As mengajar dialah seorang sahaja yang berpangkat Datin. Sementara guru-guru lain berkahwin sama ada dengan guru atau pun yang bekerja sendiri mahupun yang setaraf dengannya.

Sebelum bergelar Datin pun cikgu As memang terkenal berlagak sedikit. Maklumlah dia guru Bahasa Inggeris. Bagi guru-guru sekolah terutama di mana lebih 90 peratus adalah guru Melayu dan bercakap Melayu, cikgu As yang mengajar Bahasa Inggeris sudah tentu dipandang ‘teror’ oleh guru yang lain. Terutama kalau ada mesyuarat di luar bersama guru-guru lain atau ada aktiviti dengan sekolah-sekolah lain, yang naik ke pentas adalah guru As. Dia selalu dipilih mewakili sekolah sebab kena memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris. Dan kalau bercakap dengan guru bukan Melayu, keluarlah slangnya… hem guru lain pun tidak berani sangat menjawab. Itu kelebihannya, walau pun orang kadang-kadang meluat tetapi nak buat macam mana, kena juga melayan kerenahnya terutama dia antara yang senior di sekolah itu.

Suami ahli perniagaan, berbanding yang lain juga, memanglah dia yang paling kaya sekali. Tinggal di banglo dan dia ke sekolah pun memandu kereta mewah, Mercedes. Dan kadang-kadang dihantar oleh pemandu suaminya. Meletakkan dia di kelas yang berbeza berbanding cikgu-cikgu lain yang datang paling cantik pun kereta Honda atau Mazda. Dan ramai sekali pandu kereta Proton serta Peradua.

Tentang anak-anak cikgu yang rata-rata pandai, anak Datin As pun tidak terkecuali, tetapi yang membezakan anak-anak dia dan anak-anak cikgu yang lain, mereka speaking habis. Sesekali datang ke sekolah, orang ingat anak Mat Salih manalah yang bercakap tu. Tetapi itulah anak Datin As. Inilah antara maklumat yang diceritakan oleh Datin Soadah ketika kami bertemu.

Satu pagi isnin, seperti biasa setiap hari Isnin perhimpunan di padang sekolah dan antara lain guru besar pun memaklumkan dan mengucapkan tahniah kepada guru Asmah yang kini bergelar Datin.  “Saya harap selepas ini kita semua memanggil dia Datin, sebagai tanda hormat kepada penganugerahan itu.”

Selepas perhimpunan, ramai mengucapkan tahniah. “So I pun kena panggil itu Datin lah,” kata cikgu Kasma. “Well Datuk, suami I tu berkerja keras, dan dia dapat memboktikan kejayaannya. Jika tidak, tak kan lah dia dianugerahkan pangkat ini. “Okay Datin As,  I tidak kisah… so from today onwards, no more As aje kan…” “Well, nanti I pun tidak suka, ada yang berDatin dan ada yang tidak, senang semua panggil Datin sahaja. Dan di kelasnya, Datin As sudah memberitahu murid-muridnya, “from today onwards please address me as cikgu Datin, understand.” “Classroom, say it loud and clear, Cikgu Datin!” Cikgu Datin.

Kita tinggalkan kisah cikgu Datin As di sekolah, dan bagaimana dengan kawan-kawannya yang lain? Sudah tentu perkhabaran suaminya menerima anugerah dan gambar mereka di group-group whatsapp dan di facebook dan di social media yang lain… dengan gambar-gambar yang dipos, ucapan tahniah demi tahniah memenuhi ruang social media.

Lupakan hal itu sebentar, di rumah dengan maid, dia segara menukar daripada dipanggil ibu, menjadi Datin, saudara mara, sepupu sepipit dan kawan-kawan semua dikhabarkan untuk membahasakan dia Datin.

Kawan-kawan sudah naik geli geleman, Datin yang speaking English ini sejak mendapat Datinshipnya, gosh slangnya bertambah-tambah, sampaikan ada yang tidak faham. Bukan itu sahaja, dialah sahaja yang tahu segalanya. Dan membuat kawan-kawan getik… semenjak dua menjak, hem asyik bercerita tentang kawan-kawan barunya yang sama standard, sama adalah Datin, Datin Seri mahupun Puan Seri. Dan bila mengkopi, waduh ditunjuklah gambar-gambar dia di café ini café itu, dan merata tempat-tempat yang kelas gitu, yang cikgu-cikgu setengahnya nama pun pun payah disebut kerana so Italian atau so French.

Dua tahun selepas itu letih jugalah cikgu-cikgu melayan kerenahnya.. sebelum dia option (pencen) untuk menamatkan perkhidmatan dan menjadi suri rumah. “I bukan apa… Datuk mahu I ikut dia ke sana sini. Kalau I terusan mengajar, tidak boleh temankan dia. Susahkan sekarang baju pun tidak boleh biasa-biasa sahaja, I kena tempah dengan designer terkenal… you tahulah sehelai baju I pun harganya half my and your salary. Ya lah, sudah tidak boleh nak pakai baju tailor CikNor tu… nanti Datin-Datin kawan I yang lain ketawakan I.”

“La you all ni, tak tegur pun handbag I ni. This is the latest design from Dior. Beli kat Paris.”

“Berapa harganya Datin?”  “Ini mahal sangat, sebab limited edition lagi.” “Limited edition tu apa?” seorang menyampuk. “You can tell from the name, it is limited edition, so harganya lima enam bulan gaji I di sini. Tak payahlah I sebut harganya, nanti you all pengsan pula dengar.”

Dan cikgu Datin As pun sudah bersara… lega cikgu-cikgu di situ dan anak-anak murid, yang selalu diherdik dan dimarahi kerana lupa panggil dia cikgu Datin. Siapa yang rajin sebut cikgu Datin budak itulah yang disayanginya.

Well it is not over yet, kerana tidak lama kemudian sang suami sudah mendapat title Datuk Seri dan dia pun segera memasukkan title barunya ke media social. Dan dengan si bibik di rumahnya cepat-cepat diperintah untuk memanggil dia Datin Seri. “Susah sangat ke hendak tambah Seri di hujung?” sergahnya satu petang bilamana sang maid tidak men’Seri’ kan dia.

Macamkan dia seorang sahaja di Malaysia berpangkat Datin Seri dan macam dia sahaja di Malaysia yang mampu jinjing Dior dan Chanel serta Gucci. Aduh minta ampun kerana bukan main statusnya dibesar-besarkan.”I was in Paris, and here my new Chanel. I sempat juga ke butik LV. Can you guess how much is this limited edition handbag of mine? Kami sempat ke London, dan my favorite tempat tentulah di Harrods… Adalah beli sehelai dua baju… I beli designer clothing sebab tidak mahu ada orang pakai the same baju, tambah-tambah kawan-kawan sendiri pula.”

A month after that posting satu lagi posting, “Here we are again in London. Nampaknya akan jadi our play ground lah selepas ini, sebab anak I masuk kolej di sini. Ada tanya, “Kan banyak international college di Malaysia? Simple sahaja jawapannya, “Tak sama sis, environmentnya berbeza. I memang dari dulu pun tidak mahu anak I belajar di Malaysia, no point, meeting the same friends. Lagipun dia mestilah follow daddy dia, mana kelasnya kalau belajar di Nilai walaupun international college?”

Pulang dari London, new posting… “Hari ini I tergesa-gesa ke butik Rizman Ruzaini. Sebab Sultanah Pahang mencemar duli… Dan setiap dua hari dengan pelbagai posting. makannya, bajunya, beg tangannya dan entah apa lagi. Ehem macam dia seorang sahaja yang living high and jetlag.

Cerita Datin Soadah lagi, “Tetapi maknya di kampong, siapa menjaga? Tinggallah si mak yang tua dan  sakit itu dijaga oleh abang dan kakak iparnya yang hidup daripada hasil tanah yang dipajakkan kepada orang Cina menanam sayur. Kalau tiada duit itu, entahlah bagaimana mereka boleh hidup. Empat bulan sekali pun si Datin tidak sanggup menjengok kerana kesibukannya. Dan dia memberi duit pun bilamana dia pulang. Jika tidak pulang, tidak pun dia teringat memasukkan duit ke akaun abangnya. “Kan tanggungjawab jaga mak tanggungjawab abang? Betullah tu, kak Senah isteri abanglah yang kena jaga mak, bukan saya?”

Dan bila balik ke kampong sudah tidak mahu lagi tidur di rumah pusaka ayahnya. “Alasannya panas, alasannya tiada wifi dan susah dapat line. Bila balik kampong Datin Seri As, selalu complain tumit kasutnya cepat rosak kerana tanah pasir yang tidak rata dan bila hujan berbecah. Bila balik kampong, Datin Seri ini selalu complain banyak lalat, dan malam banyak nyamok, dan Datuk Seri serta anak-anaknya tidak selesa tidur ramai-ramai di luang anjung yang lapang, mereka tidak biasa tidur di lantai. Ehem… itulah cerita daripada Datin Soadah mengenai Datin Seri As yang sudah lupa daratan dan bangga memaparkan kehidupan mewahnya.

Related posts

Sahabat Ajaklah Aku Ke Jannah

admin

Nak Cantik Wajah Jadi Cacat

admin

Suami Kejam, Saat Aku Bertarung Nyawa Dia Kahwin

admin

Leave a Comment