AGAMA

Syawal Bulan Paling Baik Untuk Bernikah

Syawal menjelma. Ia bulan istimewa dan memiliki banyak keistimewaannya. Syawal, bulan ke 10 dalam kalendar hijrah, bulan kembalinya umat Islam kepada fitrahnya, diampuni semua dosanya, setelah dia melakukan ibadah Ramadan sebulan penuh. Paling tidak, tanggal 1 Syawal umat Islam kembali makan pagi dan diharamkan berpuasa pada hari pertama itu.  Ia adalah lambang kemenangan umat Islam hasil daripada “peperangan” menentang musuh dalam jiwa yang terbesar, iaitu hawa nafsu.

Bulan Takbir Tanggal 1 Syawal, Aidilfitri

Berkumandang takbir Aidilfitri. Takbir merupakan ungkapan rasa syukur atas keberhasilan ibadah Ramadan selama sebulan penuh. Kemenangan yang diraih itu tidak akan tercapai, kecuali dengan pertolonganNya. Maka umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, takbir, tahmid, dan tasbih. “Dan agar kamu memuji Allah atas segala yang telah Ia beri kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan.” (QS. Al-Baqarah: 185)

Syawal adalah bulan silaturahim dibandingkan bulan-bulan lainnya. Pada bulan inilah umat Islam sangat banyak melakukan amal silaturahim. Berduyun-duyun pulang ke kampung halaman, saling bermaafan dengan ahli keluarga, teman dan jiran tetangga, menghantar ucapan maaf dipinta, semoga dosa terhapus. Betapa Syawal pun menjadi bulan penuh berkat, rahmat dan keampunan Allah kerana umat Islam menguatkan tali silaturahim dan ukhuwah Islamiyah.

Bulan Syawal bulan penuh ceria. Adik, akak, abang dan semua yang disayang berbaju dan sepatu baru. Melayani tetamu dengan aneka hidangan dengan kuih-muih yang tiada pada bulan-bulan sebelumnya dalam suasana serba baru. Langsir dan perabot pun barangkali kalau tidak yang baru tetapi dihias dengan gaya yang lebih menarik, hiasan bunga di meja dan sudut-sudut tertentu.

Kita bersalaman, berpelukan, bertangis bahagia, mengucap syukur yang agung, meminta maaf, memaafkan yang bersalah. Begitu banyak doa terlempar di udara. Begitu banyak cinta kasih saling diberikan antara seluruh umat manusia. Aura maaf tersebar di seluruh penjuru bumi, nuansa peleburan dosa, nuansa pencarian makna baru dalam hidup.

Allah melipatkan lagi pahala. Puasa satu tahun amaliah yang ditentukan Rasulullah saw pada bulan Syawal adalah puasa sunah selama enam hari, sebagai kelanjutan puasa Ramadan. “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh.” (H.R Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah) “Allah telah melipat gandakan setiap kebaikan dengan 10 kali ganda. Puasa bulan Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak 10 bulan. Dan puasa enam hari bulan Syawal yang menggenapkannya kepada satu tahun.” (HR An-Nasa’i dan Ibnu Majah dan dicantumkan dalam Shahih At-Targhib).

Ia juga bulan yang paling baik untuk bernikah. Hal ini sekaligus menjauhi khurafat, yakni pemikiran dan tradisi jahiliah yang tidak mahu melakukan pernikahan pada bulan Syawal kerana takut terjadi malapetaka. Budaya jahiliah itu muncul disebabkan pada suatu tahun, tepatnya bulan Syawal, Allah SWT menurunkan wabak penyakit, sehingga banyak orang mati termasuk beberapa pasangan pengantin. Maka sejak itu, ada kaum jahiliah tidak mahu melangsungkan pernikahan pada bulan Syawal. Khurafat itu ditolak oleh Islam. Rasulullah SAW menunjukkan sendiri bahawa bulan Syawal baik untuk menikah. Siti Aisyah menegaskan, “Rasulullah SAW menikahi saya pada bulan Syawal, berkumpul (membina rumah tangga) dengan saya pada bulan Syawal, maka siapakah daripada isteri beliau yang lebih beruntung daripada saya?” Selain dengan Siti Aisyah, Rasulullah SAW juga menikahi Ummu Salamah juga pada bulan Syawal. Menurut Imam An-Nawawi, hadis tersebut berisi anjuran menikah pada bulan Syawal. Maksud Aisyah dengan ucapannya ini adalah untuk menolak tradisi jahiliah dan anggapan mereka bahawa bernikah pada bulan Syawal adalah sesuatu yang tidak baik.

Bulan peningkatan, inilah keistimewaan bulan Syawal yang paling utama. Syawal adalah bulan “peningkatan” kualiti dan kuantiti  ibadah. Syawal sendiri, secara harfiyah, ertinya “peningkatan”, yakni peningkatan ibadah sebagai hasil amalan selama bulan Ramadan. Umat Islam diharapkan mampu meningkatkan amal kebaikannya pada bulan ini seperti mana dia melakukan pada bulan Ramadan.  

Seyogia, setelah Ramadan berlalu, pada bulan Syawal sebagai bukti berhasil tidaknya ibadah Ramadan, utamanya puasa, yang bertujuan meraih darjat takwa. Jika tujuan itu tercapai, sudah tentu seorang Muslim menjadi lebih baik kehidupannya, lebih soleh perbuatannya, lebih dermawan, lebih bermanfaat bagi sesama dan lebih khusyuk ibadahnya. Paling tidak, semangat beribadah dan dakwah tidak menurun setelah Ramadan.

Related posts

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Pemecah Rumah Tangga (Takhbib)

adminwm

Hebatnya Islam – Zikir Memakai Dan Menanggal Pakaian

admin

Adakah Berlaku Pergaulan Bebas Dalam Group Whatssap?

adminwm

Leave a Comment