AGAMA

Sombong Dalam Islam – Hukum dan Bahayanya

Sombong adalah satu penyakit hati yang mana pengidapnya merasa bangga dan memandang tinggi pada dirinya sendiri. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya, “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (H.R. Muslim). Sebagai satu penyakit, sombong hanya boleh disembuhkan berdasarkan kesedaran diri penderitanya sendiri kerana sombong bertitik berat pada kondisi hati seseorang.

Allah SWT dalam al-Quran surah al-Israa’ ayat 37 menyebutkan, yang ertinya;

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai tinggi gunung-gunung.”

Hukum Islam Mengenai Sifat Sombong

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ tersebut, jelas disebutkan bahawa manusia tidak diperkenankan untuk berjalan di bumi dengan sifat sombongnya. Maksudnya, Allah SWT jelas melarang manusia memiliki penyakit hati ini dan jika manusia tidak mengindahkannya, maka murka Allah lah yang akan diterima sebagai ganjarannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;

”Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi.” (H. R. Muslim).

Jelas sudah, jika Allah tidak menyukai sifat sombong, yang ertinya sombong itu dilarang dan harus dihindari oleh manusia agar tidak mendapat murka Allah SWT.

Jenis-Jenis Sifat Sombong

Pelbagai sifat sombong misalnya; harta, fizikal, ilmu pengetahuan, keturunan, bahkan ibadah. Namun ada tiga jenis kesombongan yang perlu untuk diketahui agar kita terhindar daripadanya, yakni,

Sombong terhadap Allah

Keadaan atau penyakit sombong yang paling parah adalah sombong kepada Allah SWT. Dia menolak dan tidak taat kepada Allah SWT. Orang yang memiliki sifat tinggi hati kepada Allah SWT, bererti dalam hatinya tertanam bahawa ia tidak peduli, tidak takut serta tidak segan untuk melanggar apa pun perintah Allah SWT yang pastinya semua itu dilakukan tanpa ada perasaan bersalah atau tidak merasa berdosa sedikitpun.

Allah SWT berfirman;

اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِىْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ

Ertinya:

“Sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembahKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (al-Quran surah Lukman, ayat 60).

Sombong terhadap Rasulullah SAW

Seseorang yang tidak mahu mengikuti ajaran Rasulullah SAW merasa bahawa apa yang diajarkan Nabi SAW tidak benar dan tidak sedikitpun peduli atau mahu taat terhadap ajaran baginda, bererti orang tersebut telah memiliki sifat sombong dalam hatinya terhadap Rasulullah SAW.

Sombong terhadap sesama manusia

Jenis penyakit sombong yang paling sering terjadi yakni menganggap remehnya orang lain, merasa dirinya adalah yang paling baik, paling bijaksana, paling hebat, paling kaya, paling cantik dan miliki lebih berbanding orang lain. Selalu membandingkan diri dengan orang lain dan menganggap orang lain tersebut paling buruk jika dibandingkan dengan diri sendiri.

Orang yang sombong biasanya gila hormat dan sangat senang dipuji malah marah jika tidak dipuji. Mereka selalu membanggakan diri di hadapan orang lain dengan niat ingin pamer agar dipuji dan orang lain pula merasa rendah atau kurang daripadanya. Selain itu, orang yang sombong tidak suka menerima teguran, kritik, saranan, nasihat, apa lagi bantahan. Ia merasa bahawa dirinya adalah yang paling benar dan tidak akan peduli terhadap keadaan atau pendapat orang lain.

Bahaya Kesombongan

Layaknya sebuah penyakit yang menyerang fizikal manusia, sombong yang merupakan penyakit hati tentu akan memberikan banyak gangguan pada penderitanya. Antara bahaya akibat memiliki sifat sombong adalah sebagai berikut:

Menghancurkan amal

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;

“Ada pun amal-amal yang membinasakan adalah berprilaku kikir (orang berkuasa yang tidak boleh diapa-apakan), mengikuti hawa nafsu dan membangga diri.” (H. R. Thabrani)

Mereka yang memiliki sifat sombong, tidak akan pernah memiliki sifat ikhlas yang merupakan dasar kepada setiap perbuatan mahupun ibadah yang kita kerjakan. Oleh itu kesombongan  dapat membinasakan amal ibadah, ertinya sia-sialah semua perbuatan yang ia lakukan.

Allah SWT tidak pernah menyukai mereka yang menyembah kepadaNya, tetapi tidak didasari dengan rasa ikhlas yang hanya ingin mencari redha Allah semata. Pada dasarnya, seseorang yang bersifat sombong tidak pernah benar-benar ingin meminta pertolongan terhadap Allah, tidak pula memiliki niat bersungguh-sungguh dalam beribadah. 

Memperturutkan hawa nafsu

Orang yang sombong akan selalu bertindak sesuai dengan apa yang ia kehendaki tanpa memikir atau mempedulikan sekitarnya. Akibatnya, mereka sering bertindak tanpa berfikir dan hanya bersandarkan hawa nafsu. Mereka akan melakukan apa saja, yang penting ia membuat mereka puas dan bangga.

Manusia seperti ini akan cenderung berbuat serakah dan mudah dihasut oleh syaitan dan iblis sehingga yang mereka lakukan tidak lain hanyalah maksiat semata.

Lebih buruk daripada syirik

Syirik adalah dosa yang tidak akan pernah diampuni oleh Allah SWT kerana orang yang syirik bererti tidak mengakui keesaan Allah SWT. Jika dikatakan bahawa sombong merupakan penyakit yang lebih buruk daripada syirik tersebut, sudah pasti ganjaran yang diterima akan lebih berat lagi.

Orang yang memiliki sifat sombong, seringkali menyalahkan takdir atas kejelekkan atau kekurangan yang mereka perolehi. Sementara ketika mereka mendapat berkah, mereka tidak akan pernah bersyukur kepada Allah. Memiliki sifat sombong, bererti mereka telah jauh daripada Allah sehingga yang akan menemani mereka di akhirat nanti adalah iblis dan bersama-sama menuju neraka.

Akibat dari Sifat Sombong

Dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW

Dalam al-Quran surah Luqman ayat 18, Allah SWT berfirman yang ertinya:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Dalam salah satu hadis sahih, Rasulullah SAW juga berpesan bahawa manusia harusnya bersikap rendah hati. Memiliki sifat sombong sudah melanggar perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan duduknya paling dekat kepadaku pada hari kiamat adalah orang yang akhlaknya terbaik di antara kalian. Sedangkan orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat adalah orang yang banyak bicara, suka mengumpat dan bermulut besar (sombong).”

Diabaikan Allah SWT

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;

“Ada tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah, tidak disucikan olehNya dan diberiNnya azab yang pedih iaitu orang yang sudah tua berzina, penguasa pendusta dan orang miskin yang sombong.” (H. R. Muslim)

Merupakan makhluk yang hina

Allah SWT berfirman yang ertinya;

“Orang yang bersikap sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar, mereka akan Aku palingkan daripada kebenaran sehingga mereka tidak dapat memahami bukti-bukti kekuasaanKu. Sekalipun orang yang sombong itu menyaksikan bukti-bukti kekuasaanKu, mereka tetap tidak mahu beriman. Jika mereka melihat jalan sesat justeru mereka mahu mengikutinya. Begitulah karakter orang yang sombong, mereka telah mendustakan agama Kami dan mereka telah melalaikan bukti-bukti kekuasaan Kami.” (Q. S.  Al-A’raf, ayat 146).

Sombong adalah penyakit hati yang menjadikan penderitanya masuk ke dalam kelompok orang yang zalim, sekalipun ia adalah orang kaya dan terhormat.

Hatinya terkunci

Sesuai apa yang tertera dalam al-Quran surah Mukmi aat 35, dikatakan bahawa Allah SWT akan menutup rapat pintu hati seseorang yang bersikap sombong sehingga ia tidak akan bisa menerima kebenaran.

Menjadi pengikut iblis

Allah berfirman yang ertinya;

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali iblis; ia enggan dan takbur dan jadinya ia termasuk dalam golongan orang yang kafir.” (Q. S. Al-Baqarah, ayat 34).

Menjadi penghuni neraka

Orang yang memiliki sifat sombong akan dibenci dan ditutupi hatinya oleh Allah SWT. Maka jadilah mereka pengikut iblis yang senang berbuat mengikut kehendak hati mereka dan tidak akan pernah taat terhadap perintah Allah dan RasulNya.

Maka tiada lain tempatnya kecuali di neraka. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya,

”Para penghuni neraka adalah orang yang keras kepala, kasar lagi sombong.” (H. R. Bukhari dan Muslim).

Dijauhi sesama manusia

Tidak ada seorang pun yang menyukai sesamanya yang memiliki sifat sombong. Maka, mereka yang sombong pasti akan dijauhi oleh sesama manusia kerana yang sombong selalu saja memandang lemah orang lain dan menganggap dirinya lebih tinggi. Wajar jika mereka ditinggalkan dan tidak ada yang mahu berteman dengan orang yang sombong.

Related posts

Cinta yang Diajar Rasulullah SAW

admin

Rasulullah SAW Menyayangi Negara Sendiri

admin

Tamak Sifat Paling Keji

adminwm

Leave a Comment