AGAMA

SOLAT ISTIKARAH UNTUK JODOH TERBAIK

Maria serba salah. Dia tidak dapat membuat pilihan sama ada memilih Hussain atau Hassan sebagai teman hidupnya. Dua-dua punya kelebihan  masing-masing. Dan dua-dua jugaada kelemahan. Keduanya juga punya latar belakang yang baik. Yang melemahkan dia ialah, Hussain dan Hassan juga saling mengenali, kerana keduanya dalam kolej sama dan bertemu Maria waktu yang sama. 

Mereka berkawan dan keduanya pula telah menyatakan hasrat hati. Hassan atau Hussain? Sering dia bertanya pada dirinya, aku suka Hussain kerana Hussain kelakar membuat dia sentiasa riang dan ketawa, waktu sama serius orangnya bila hal kerjaya dan tanggungjawab. Dia juga memegang jawatan yang penting dalam syarikat. Aku suka Hassan walau tidak kelakar dan jarang ketawa amat mengambil berat orangnya, punya masa depan yang dilihat lebih cerah dan suka anak ramai. Mahu keluarga besar tapi Hussain lebih senang punya keluarga yang kecil supaya dia dapat memberikan lebih perhatian kepada masa depan keluarganya nantu.. 

Maria pernah memberitahu Hassan yang Hussain mahu menjadikan dia isteri, Hassan diam. Dia tidak berkata apa-apa dan selepas beberapa hari dia menghantar pesanan ringkas. Tahulah Maria yang Hassan juga punya perasaan terhadapnya. Sejak itu dia keliru walaupun telah beberapa kali diberitahu oleh Hassan untuk meneruskan perhubungan dengan Hussain kerana Hussain terlebih dahulu menyatakan hasrat hati. 

Bila hati berbolak-balik, terbaik ialah melaksanakan solat istikharah. Bila keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan kerana setelah meneliti kedua-dua pilihan, masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Maka, buatlaj cara solat istikharah untuk menenangkan diri. Dan serahkan kepada Allah untuk memberikan ilham dan petunjuk.

Samada tentang cinta, jodoh, cerai atau kerja sekalipun, kita semua digalakkan untuk solat istikharah agar mendapat petunjuk dari Allah.

Keraguan dalam hati

Seperti yang dikongsikan di atas, pasti akan timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu hal. Jadi, izinkan kami berkongsi cara solat istikharah yang ringkas.

Beberapa maklumat berkaitan tentang sembahyang istikharah.

Maksud solat istikharah 

Istikharah dari segi amalan adalah bermaksud untuk meminta yang terbaik. Kadang-kala kita didatangi dengan pelbagai pilihan, samada yang menarik atau tidak.

Ada buruk dan baiknya dalam memilih antara dua. Kadang-kala pula, tiada pilihan langsung di mana kita sedang terduduk buntu memilih jalan dan pintu apa yang harus dilalui.

Mengikut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, solat istikharah adalah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada umatnya.

Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw.

Tujuan solat istikharah

“Pergilah solat istikharah”, detik hati apabila selalu sangat berbolak-balik untuk membuat keputusan.

Namun, jangan sewenangnya meletakkan seluruh ‘tanggungjawab membuat pilihan ke atas solat tersebut. Apa guna segala deria dan akal fikiran yang telah Tuhan berikan nikmat?

Pertama sekali, nilaikan dan senaraikan baik dan buruk setiap pilihan yang ada di atas kertas. Kemudian boleh mencuba untuk mencari maklumat dan bertanyakan kepada orang yang berpengetahuan agama, dipercayai dan bijaksana. Begitulah nasihat dari Imam Al-Nawawi.

Sekiranya sudah berusaha namun masih belum boleh memilih, di sini gunanya solat istikharah kepada kita. Kita memohon supaya Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada kita dalam membuat keputusan yang terbaik.

Waktu solat istikharah

Rakaat solat ini adalah sebanyak dua rakaat sehingga dua belas rakaat, bergantung kepada setiap individu. Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pagi, petang atau malam.

Waktu sesuai solat istikharah, boleh juga dilakukan pada waktu malam sebelum tidur.

Imam Abdul Al-Wahab Al-Sha’rani dan Sheikh Ibnu Al-Arabi pula mencadangkan ia dilakukan pada waktu dhuha, iaitu pada waktu ‘cantik’ dan waktu ‘rezeki’ di mana ketika fajar sudah mula terbit sehingga sebelum tengahari.

Antara waktu sesuai istikharah yang lain, boleh dilakukan pada sepertiga malam. Selepas solat tahajjud, boleh sahaja melakukan sembahyang istikharah.

Suasana juga lebih tenang di waktu menghampiri subuh.

Panduan sembahyang Istikharah 

Cara solat istikharah paling ringkas (Untuk jodoh)

Sekiranya dalam perjalanan atau mengalami haid, memadai dengan membaca doanya sahaja. Manakala berikut adalah cara solat istikarah yang ringkas bagi yang mampu;

Niat

Niat dalam hati “Sahaja aku solat sunat istikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat pertama

Rakaat pertama, bacalah Surah Al-Fatihah & Surah Al-Kafirun / tujuh kali ayat Al-Kursi

Rakaat kedua

Rakaat kedua, bacalah Surah Al-Fatihah & Surah Al-Ikhlas

Ketika sujud terakhir, pohonlah kepada Allah S.W.T memberikan petunjuk dalam memilih jodoh yang terbaik untuk diri kita. Adakah dia pasangan terbaik? Mudah-mudahan Allah memberikan pertolongan.

Salam

Selepas memberi salam, bacalah Alhamdulillah, berselawat dan diikuti bacaan doa istikarah.

Doa selepas solat istikharah (Untuk jodoh)

Dalam soal jodoh dan memilih pasangan hidup, anda boleh tukarkan tempat kosong dengan nama khusus seseorang.

Walaubagaimanapun, anda bebas untuk menggunakan ayat sendiri yang lebih anda fahami kerana Allah Maha Mengetahui apa yang anda ingin nyatakan.

Doa boleh dibaca dalam bahasa Arab atau terjemahan Bahasa Melayu sepertimana berikut;

“Ya Allah, aku memohon agar Engkau memilihkan mana yang baik pada ilmu Engkau ya Allah. Aku memohon agar Engkau memberikan kepastian melalui ketentuanMu dan aku memohon limpahan Engkau Yang Maha Agung, kerana sesungguhnya Engkau Yang Maha Berkuasa, walhal aku tidak tahu dan Engkaulah Yang Amat Maha Mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.”

“Ya Allah,  dalam urusan memilih jodoh ini, sekiranya aku memilih __________ sebagai pasangan hidupku itu baik bagiku, baik bagi agamaku, dan baik bagi hidupku, maka mudahkanlah ia bagiku, kemudian berikanlah keberkatan di dalamnya untukku.”

“Ya Allah,  sesungguhnya dalam urusan memilih jodoh ini, sekiranya aku memilih _________ sebagai pasangan hidupku itu tidak baik bagiku, tidak baik bagi agamaku, tidak baik untuk penghidupanku,  dan juga tidak baik akibatnya bagiku, maka jauhkanlah hal ini daripadaku, dan jauhkanlah aku daripadanya.

Takdirkanlah aku dengan kebaikan di mana sahaja aku berada kemudian jadikanlah aku orang yang redha atas anugerah Mu.”

Petunjuk selepas sembahyang

Perlukah tunggu mimpi selepas solat istikharah? Pilihan kadang-kala dipertunjukkan melalui mimpi, atau gerak hati. Kadang-kadang tidak ada petunjuk pun.

Setelah berusaha memilih, bertanya dan berdoa, apa yang anda perlu buat ialah berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.

Walaubagaimanapun, kita tidak semestinya akan ternampak mimpi atau tanda. Allah Maha Berkuasa. Kemungkinan Allah SWT akan meletakkan sedikit kecenderungan di dalam hati kita untuk menjalankan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Kelebihan sembahyang mohon petunjuk

Sebelum kami akhiri artikel ini, berikut adalah kelebihan solat istikharah kepada kita semua

  • Menguatkan hubungan Makhluk dengan Sang Pencipta
  • Menenangkan fikiran dan memberi keyakinan
  • Mengingati kisah Nabi Ibrahim mendapat ilham mengorbankan anaknya melalui mimpi
  • Kisah Nabi Yusuf dan kehebatannya menafsir ilmu mimpi
  • Mengikut amalan anjuran Nabi Muhammad SAW

Akhir kalam

Ingatlah, setiap pilihan ada baik buruknya. Setiap baik buruk ada pengajarannya. Setiap pengajaran akan memantapkan kita sebagai seorang insan.

Doa dan cara solat istikharah anda sudah tahu. Jangan bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. Jangan juga terburu-buru. Kami doakan yang terbaik untuk anda.

Sumber Majlis Agama Islam.

Related posts

Tuntutan Menghubungkan Silaturrahim

admin

RAMADAN KAREEM ATAU RAMADAN MUBARAK?

adminwm

Bersolek, Berhias Harus Jika Tidak Sampai Tabbaruj

admin

Leave a Comment