EYE ME

September Akan Pergi

September, tidak semudah itu aku membenarkan ia berlalu. Aku panjatkan doa kepada yang Satu. Di atas kurniaan rahmatMu ya Tuhanku kerana Kau membenarkan lagi aku hidup, menaburkan rezeki yang tidak pernah putus dan kesihatan yang sentiasa Kau peliharai serta kehidupan yang penuh diberkati. Cukup untuk aku bersyukur di atas segala yang telah dilimpahkan kepada kepada aku dan keluarga selama ini.

Tanggal 15 September tarikh ini sungguh keramat kepada dirinya khasnya. Enam puluh dua tahun yang lalu ibu melahirkan aku dalam suasana yang tenang. Tidak songsang biarpun sebelum itu dirasanya begitu keadaannya. Dan sepanjang berpantang, tiadalah bayi ini mengganggu dirinya yang kelesuan… bayi ini katanya senang dijaga, tidak banyak menangis dan sihat. Syukur, dan sehingga kini aku di dalam peliharaanNya sentiasa. Aamiin.

Lalu September akan pergi hari demi hari. Kalender September bertukar Oktober, November, Disember, Januari semula dan seterus akan hilang dari peta dunia..

 “We know what we are, but know not what we may be.” William Shakespere 

Sudahkah kita penuhi segala hajat dan cita-cita? Sudahkah anak-anak kita diajar menghormati orang tua, dan kita yang tua menjadi pendamai anak menantu yang bersengketa? Sudahkah kita bermaafan dan melepaskan amarah demi orang yang kita cinta? Sudahkah diri dipersiapkan dengan bekalan akhirat yang sedia menanti dan kekal abadi? Saya dan anda juga, marilah kita sama-sama menjawabnya.

Usia semakin mencemburui saya, dan anda juga. Pernah satu ketika saya sangat takut memasuki angka empat tetapi sebentar cuma rasanya angka itu bertambah menjadi lima, menjadi enam kini, mungkin akan tujuh, akan lapan dan seterusnya. Betul kata seorang hamba Allah, “Tidak ada cara lain. Untuk membuat suatu keadaan menjadi lebih baik kita juga harus berubah lebih baik. Hari ini akan tetap seperti kelmarin kalau tidak melakukan usaha apa-apa.”

Lalu apa, yang belum dapat pekerjaan segeralah menemukannya sesuai keinginan, yang belum bertemu jodoh semoga cepat mendapatkan pasangan hidup yang halal dan baik, yang belum dikurniai keturunan semoga dianugerahi keturunan. Rezekinya masih ‘seret’ kata orang Indon semoga dibukakan luas pintu rezeki kamu dari arah yang kamu tidak sangka-sangka dan yang bermusuhan semoga segera dirukunkan dan didamaikan. Dan yang penting sekali, beramal, seolah kita akan mati esok.

Hari ini aku bimbangi jika,

Hari ini hari terakhir hidupku..

Adakah lagi subuh esok,

Untukku bernafas,

Dan bersujud padaMu,

Ya Allah,

Berikan aku kesempatan untuk menebus segala kesalahanku dan dosa-dosaku. Hadirkan damai sebelum di hujung nafasku..

Saya terkenang satu peristiwa, seorang teman ini… seketika rasa marahnya meluap-luap (atas sebab apapun saya tidak pasti) lalu dengan pantas mendelete nama-nama yang dia sendiri kenalkan kepada satu group, kemudian dia pun ‘left’. Insan-insan yang lain tertanya-tanya, malah yang blurred pun terkejut apahal namanya dikeluarkan. “Yalah aku yang kenalkan kau orang, now that aku tiada di situ, maka kau orang tidak patut di situ lagi.” “Tapi kita semua di sini untuk satu misi, mahu mempelajari ilmu agama. Bererti selepas ini aku juga tidak boleh ke situ lagi?” “Kamu sudah putuskan tali silaturrahim kami…” Suara seorang lagi menempelak. “You juga telah sekat kami daripada menuntut ilmu.”

Kata seorang pujangga, “Menyalahkan orang lain tidak akan menghasilkan penyelesaian. Kalau sesuatu sudah terlanjur dilakukan, mau apa lagi? Berkeluh kesah terus tentang hal itu tidak akan merubah apa pun, menyalah orang lain tidak akan menolong sesiapa pun.”

Sering begini lagunya, bila ada dua insan berbelah, maka mereka juga mahu menarik kawan-kawannya menyebelahi dan menyokongnya. Bila ada yang tidak menyokong dianggap ‘betray’, dan ada juga yang kerana tidak mahu menyakiti hati kawan… biarpun dia rasa tidak begitu setuju dengan tindakan kawannya itu, tetapi turut sama memusuhi hanya kerana hendak menjaga hati kawan. Maka mereka yang sebelum ini berbaik jadi berpuak-puak, kata mengata, perli memperli malah dijaja cerita hingga di Facebook dan Instragram. Ada juga yang bermuka-muka, di depan baik tetapi belakang mengata. 

Berbalik kepada cerita tadi… cantiknya hati kawan saya yang seorang ini, sekalipun dia berasa amat kecil hati, dia rasa dia dianiayai, dia dituduh itu ini, tetapi dia tidak mahu kata-kata buruk memenuhi fikiran dan perasaannya. Dia takut dia yang akan menderita akan akibatnya. Takutnya dia kepada Allah yang utama. Lantas dia cepat memohon maaf, lalu kembali semula ke tempat yang katanya (ketika marah) dia tidak mahu menjejakkan kaki ke situ lagi. Lantas juga dia minta dimasukkan semula nama-nama yang didelete. Dan yang lebih baik adalah orang di sana, yang seikhlasnya menerima semula teman serta kawan-kawannya yang lain ke rumahnya. Kembalilah ke semula ke rumahnya seperti biasa menjalani pengajian agama. Ustaz yang mengajar berasa lega.  

Begitulah kita semua sepatutnya. Tidak menyimpan kemarahan mendalam, tidak memutus silaturrahim kawan-kawan, saudara mara, anak beranak. Bila kita menanganinya dengan penuh ketenangan, semakin cepat kita mengetahui hikmah yang diperolehi daripada masalah itu, dan akan semakin mudah kita menghadapinya.

Di sini saya memohon, jika ada antara anda berasa marah atau kecil hati dengan saya, yang saya sendiri tidak sedar akan kesalahan itu, yang saya sendiri tidak merasa salah, tetapi anda berasa sangat dengan tindakan itu, please come to me, and tell me, saya sedia menerima kesalahan itu. Dan saya pohon diampunkan. Kita semua adalah insan yang tidak sempurna. Sering bila marah dan jiwa tidak tenteram, kita akan terlepas cakap dan kita akan berkeras merasakan tindak tanduk kita betul, orang itu salah, dan begitulah seterusnya.

Seyugia, ya sampai bila hendak berdendam? Sehingga bila mahu memusuhi? Kadang-kadang berpuluh-puluh tahun berkawan, hanya kerana sedikit kesilapan kita pun terus memusuhi. Kadang-kadang kita ini tiada pun kena mengena dengan sebab permusuhan dua insan, tetapi hanya kerana kita dekat dengan seorang itu dari segi hubungan kekeluargaan, atau kawan lama atau sekufu atau setaman dan sebagainya, kita juga menerima tempiasnya.

Waktu mencemburui, esok usia kita bertambah. Sampai bila misalnya ibu dan anak hendak bermusuh atau bermasam muka. Saya sendiri pernah tidak diterima sebagai menantu, tetapi sehingga bila mahu bermusuhan? Jangan disebabkan ketidak sefahaman kita membuang semuanya sehingga langsung memutuskan hubungan. Adik beradik, kerana harta yang tidak sampai sejengkal kamu putuskan hubungan dan tidak dihalalkan makan minum? Saudara mara, ada sehingga dia masuk ke liang lahad, kamu terusan menghinanya hanya kerana masa hidupnya kamu yang menanggung makan minumnya. Rakan taulan, sampai dia bercucu cicit pun kamu tetap mengangapnya musuh kerana pernah satu ketika dia cuba menjatuhkan kamu. 

Ayuh, hidup yang sementara ini harus digunakan untuk saling memahami, maaf memaafi dan berkasih sayang.

Saya teringat di situ kelas agama, “Bila kamu tidak memaafkan seseorang itu, di akhirat nanti kamu akan mencari dia. Mencari dan terus mencari. Dan sehingga kamu menemuinya serta memohon kemaafan daripadanya, dan dia memaafkan barulah selepas itu kamu dapat berjalan lurus ke syurga setelah timbangan baiknya lebih ke situ. Maknanya kalau besar pun pahala yang diperolehi selama hidup tetapi kerana hanya satu sahaja sifat tidak memaafkan, diri akan terus disoal dan menunggu ribuan tahun untuk mendapat syurga.

Saidina Abu Bakar Al Siddiq menyebut, “Waspadalah terhadap kesombongan. Sebab pada akhirnya kamu kelak akan kembali ke tanah dan tubuhmu akan dimakan oleh cacing.”

Sabar, inilah sifat yang amat terpuji, yang harus ada kepada setiap insan. Lagi kata Abu Bakar Al Siddiq, “Kalau kamu mengharapkan syurga, kamu harus belajar untuk berbuat baik kepada sesama manusia.”

Sering saya katakan kepada anak-anak, adik beradik dan kawan-kawan, kita ini hendak buat ibadat banyak-banyak memang tidak mampu, jadi elakkan berbuat dosa; jauhi dosa besar dan dosa-dosa kecil sebanyak yang boleh. Maafkan semua orang yang pernah hadir dalam hidup kamu sekalipun dia pembunuh anak kamu sendiri. Kalaulah kita dapat berbuat yang sebegini, pintu syurga seluas-luas terbuka untuk kita. 

Ya Allah…

Peluklah aku hingga hatiku bisa merasa tenang dan damai…

Hapuskan air mataku hingga aku bisa merasa sabar dan ikhlas..

Dan bangunkanlah aku di saat aku terjatuh hingga aku bisa merasa tegar – 

Allahumma ashlih li dini alladzi huwa ‘ishmatu amri, 

wa ashlih li dun-yaya al lati fiha ma’asyi

Wa ashlih  lil akhirti  al lati ilaiha ma’adi

waj’al hayata ziyadatan li fi kulli khairin, waj’al al mauta rahatan li min kullisyarrin.

Ertinya, Ya Allah perbaikilah agamaku yang merupakan penjaga urusanku, perbaikilah duniaku yang merupakan penghidupanku, perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku dan jadikan hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai istirehat bagiku daripada segala kejahatan (HR.Muslim)

Related posts

Sayang, Sendu Yang Belum Hilang 

Wirda Adnan

FESYEN KETERLALUAN

Wirda Adnan

Bila Diuji?

Wirda Adnan

Leave a Comment