EYE ME

Saya Dan Sosial Media

Pada usia saya 60 tahun ini saya bangga memberitahu yang saya dapat merasai nikmat hidup berbeza dalam beberapa era tertentu.  Sewaktu usia enam tahun, saya masih ingat menyambut surat daripada posman. Bukan sebarangan surat tetapi Telegram. “Baca,” mak memerintahkan saya untuk membaca isi kandungan (syukur pada usia enam tahun, saya sudah mengenal huruf dan boleh mengeja serta membaca sikit-sikit). Telegram bermula dengan tulisan jawi, Bismillah, ini saya tahu sebab membaca Al Quran, kemudian… ‘Dukacita dimaklum Hj. Idris Ahmad sudah pulang ke rahmatullah.’ (tergagap-gagap juga mengeja). Dan saya melihat airmata mak mengalir laju  kerana bapa saudaranya meninggal dunia. Telegram itu sahajalah cara mendapatkan/menyampaikan berita dengan pantas bilamana pada waktu itu di kampong kami tiada lagi sesiapa memiliki telefon. Usahkan telefon, waktu itu belum pun ada lektrik. Orang kampong menggunakan gasoline atau pelita minyak menerangi rumah mereka pada sebelah malam.

Namun saya tidaklah tidak kenal apa itu telefon dan tidaklah kunu sangat kerana sejak kecil lagi sering ke Kuala Lumpur, selalu ke Pulau Pinang, Taiping, Kuala Kangsar kerana opah saya rajin menjungungi anak-anaknya dan kami dibawa bersama terutama musim cuti sekolah. Tinggal di bandar kemudahan jauh lebih baik.  Betapa untungnya mereka yang mampu memiliki telefon di rumah sendiri, sedangkan rata-rata terpaksa menggunakan telefon awam untuk bertanya khabar atau melalui utusan telegram bagi mendapatkan berita.

Dan masa berlalu, daripada telefon yang disediakan hanya di rumah serta pejabat, hadir pula telefon bimbit. Saya teringat tidak memilikinya pada ketika telefon hendak memegangnya pun sepenuh telapak tangan. Kerana pada saya ia berat dan tidak muat dimasukkan ke dalam beg tangan. Apa pun setelah reka bentuknya menjadi kecil dan rata-rata kawan serta pelanggan sudah memiliki handset sendiri, betapa mudahnya hidup ketika itu apabila tidak payah balik ke rumah untuk menghubungi seseorang atau menunggu masuk ke pejabat membuat temu janji dengan pelanggan. Tidaklah saya kena menunggu hari bekerja untuk menghubungi seseorang atau perlu datang ke pejabat hari minggu menyiapkan rencana kerana boleh bekerja dan menghubungi sesiapa pun di mana sahaja.

Masa berlalu dan hidup terus dipermudahkan lagi.  Petik dua jari, dunia di depan mata, tekan sahaja jari ke telefon sendiri, apa jua yang anda ingin tahu ada di situ, sehingga saya dan orang seangkatan saya ini tidak termampu mengejar setiap perkembangannya. Menjadikan kami terkebelakang, kerana tidak bisa melayani ciptaan gajet-gajet yang begitu cangih lagi sofisikated.  

Ya saya akui kehidupan hari ini dengan kepantasan ilmu alam cyber ini segalanya sebenarnya menjadi lebih mudah, lebih berkesan, lebih maju dalam serba serbinya. Pernahkah ayah saya terfikir, untuk dia bercakap dengan 10 anaknya, dia tidak perlu lagi menghubungi seorang demi seorang tetapi serentak boleh bercakap, serentak boleh dihantar maklumat atau perkara yang hendak disampaikan. Apak tidak pernah tahu dia boleh bercakap dengan abang dan kakak atau saya yang berada di luar negara secara percuma, ya tidak perlu membayar sesen pun dengan adanya kemudahan seperti wifi dan Skype misalnya. Malah tidak terbayang dia boleh melihat wajah anak-anak dan cucu-cucunya yang jauh di perantauan. Bukan sahaja gambar anak dan cucu-cucunya tetapi serentak apa yang mereka lakukan pada saat dan ketika itu dapat dilihatnya. Apak tidak akan percaya ada manusia boleh membuat berbilion dollar berniaga di alam cyber tanpa mengenal siapa dan siapa pelanggan mereka. Dan apak tidak akan senang hati bilamana dia tahu wang di banknya (misal katalah dia punya beribu atau berjuta dan wang itu boleh lesap) andai cuai dan tidak  bijak berurusan dan mengendalikan perniagaan di ‘atas angin’ ini. Kerana ayah saya meninggal dunia sebelum semua ini berkembang. Sebelum facebook, twitter, mySpace, google, instagram, foursquare, linkedin, tumbir, Klout, Path, BBM, goodreads, ya ini hanya beberapa contoh yang menjadi kegilaan manusia di dunia ini untuk mendekatkan mereka satu sama lain. Menggembirakan seorang insan dengan insan yang lain dan kehadiran semua tadi misalnya bagi menyibukkan kita untuk mengetahui hal-hal duniawi yang kadangkala tiada apa pun manfaat kita menghabiskan masa berjam-jam dengannya. Apa pun pengguna media sosial dengan jaringan internet tadi bukan sahaja boleh mengakes tetapi boleh mengedit, menambahkan, memodifikasi balik tulisan, gambar, video, grafik dan pelbagai ‘content’ lainnya. Tidak kah ini menyenang dan menyeronokkan hidup?

Sungguh penyakit media sosial ini sudah menusuk ke hati dan jantung kita semua, kerana ketiadaannya kita semua menjadi lemah dan longlai lantaran kita mesti mengambil bahagian di dalamnya atau kita ketinggalan zaman. Sungguh kecanggihan dan kepantasan dunia internet ini tidak boleh tidak wajib diceduk, ditelaah dan disebatikan di dalam penghidupan seharian atau kita tiada tempat di dalam dunia ini.

Saya sendiri mengakui terlalu kurang sangat ilmu ini, dan inilah masalah saya, dan jawapannya saya mesti mengejarnya supaya saya tidak diketepikan. Peranan saya bukan sekadar mengiktiraf kebekesanannya tetapi mesti turut serta bersama kecanggihannya sekiranya saya mahu maju ke hadapan. Saya mesti bersama-sama di dalam ‘network marketing’ misalnya, dan saya mesti aktif di dalam apa yang disebut ber’social media’ tadi. Disebut, the opposite of networking is NOT working, maknanya jikalau kamu tidak membabitkan diri dalam percaturan kepantasan ini kamu sebenarnya tidak bekerja, dan bila tidak bekerja bererti kamu tiada wang untuk melangsungkan penghidupan.

Apa sebenarnya media sosial? Menurut kamus McGraw Hill, ‘Media sosial adalah sarana yang digunakan oleh orang ramai berinteraksi satu sama lain dengan cara mencipta, berbagi, serta bertukar informasi dan gagasan dalam sebuah jaringan komunitass virtual sementara B.K Lewis (2010) menyebut media sosial adalah label bagi teknologi digital yang memungkinkan orang untuk berhubungan, berinteraksi, memproduksi dan berbagi isi pesan. Mak Hopkin (2010) menambah bahawa sosial media adalah istilah yang tidak hanya mencakupi pelbagai platform Media Baru tetapi juga menyiratkan dimasukkannya sistem seperti Friendfeed, Facebook, dan lain-lain yang pada umumnya sebagai jejaring sosial. Ideanya kata Hopkin supaya pelbagai platform media memiliki komponen sosial dan sebagai media komunikasi publik.  “Amat penting peranan media sosial ini, dan ia digunakan secara produktif oleh seluruh isi dunia bagi membina bisnes, politik, media, pengiklanan, polisi malah layanan gawat darurat,“ kata The ABC (2011). Media sosial menjadi kunci memprovokasi pemikiran, dialog dan tindakan seputar isu-isu sosial.

Saya terpikat membaca kisah hidup Jack Ma, seorang entrepreneur dan dia pengasas Alibaba Group, salah satu perniagaan e-commerce yang terbesar dan terkemuka di dunia. Kekayaannya dianggarkan melebihi US$46.9 billion. Apa yang dia lakukan ialah mengambil alih peranan perniagaan tradisi dan mengalihkan kepada perniagaan di alam cyber. Dan menyediakan platform supaya manusia boleh berniaga, berinteraksi, bertukar informasi dan pelbagai kegiatan koordinasi bagi menambah pendapatan serta banyak lagi eleman-eleman lain untuk ‘public relations’ misalnya.

Sesungguhnya manusia menjadi lebih pintar dan dapat berjualan secara online seperti online shop misalnya dan ini boleh menambah penghasilan dan mempromosikan sesuatu hal secara cepat dan pada seketika sahaja sudah tersebar luas.

Tidak dinafikan adanya kesan negatif kerana ada yang mengaut untung, mencuri, merompak dan menghadirkan perilaku kejahatan jenayah di jejaring tetapi nyata di sebalik itu terlalu banyak manfaatnya kepada dunia. Antaranya dapat berkongsi dan bertukar maklumat, berkomunikasi, menjalin relationship dan kemudahan groups pula misalnya bisa membentuk komunikasi seramai-ramainya sekaligus semuanya segera dan pantas. Kerana ia tidak bersifat permanent dalam media sosial lalu dapat disunting sesuai dengan kemahuan sendiri.

Saya sendiri tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta menggunakan kemudahan yang ada demi mengembangkan perniagaan. Setelah berpuluh-puluh tahun saya bekerja menyiapkan majalah dengan proses penyediaanya secara konvensional, leceh dan meletihkan, tiba masa saya melangkah ke hadapan, mengikut aliran semasa. Kerjanya jadi lebih senang, mudah, sangat pantas dan terkini. Dan anda pula tidak perlu berbelanja banyak, klik sahaja majalahwm.com anda boleh mendapat pelbagai kisah yang menarik di dalamnya.

Saya melihat anak saudara saya Mirza yang baru berusia dua tahun tekun menghadap skrin iPad, tidak menghiraukan mama dan mak-mak saudaranya yang bersembang. Diambil dari tangannya marah sangat dia. Pada usia semuda itu sudah pandai mencari-cari cerita kartun yang digemari dan kalau budak yang belum boleh bercakap sudah pandai melayarinya, tidak dapat dibayangkan zaman seterusnya. Apa lagi yang bakal dihadapkan di depan mata kita nanti? Yang pasti otak saya ini tidak boleh membayangkan akan kecanggihan yang bakal ditemui di media sosial akan datang kecuali dipanjangkanNya usia ini.  

Related posts

CINTA DADDY

Wirda Adnan

Sayang, Sendu Yang Belum Hilang 

Wirda Adnan

Dedikasi Buat Palestin MEREKA TAHU KEMATIAN DI LUAR PINTU

Wirda Adnan

Leave a Comment