Di tengah-tengah wabak Covid-19 di Amerika yang menyebabkan berjuta orang hilang pekerjaan, dengan lebih 1,000 kes setiap hari dan membunuh lebih 100,000 rakyatnya, kini timbul pula isu baru iaitu tunjuk perasaan besar-besaran.
Ini berlaku berikutan kematian George Floyd 46, yang meninggal dunia Isnin petang minggu lalu sejurus selepas Derek Chauvin, seorang pegawai polis kulit putih, menahannya dan menekan lututnya pada leher mangsa menyebabkan dia tidak boleh bernafas dan akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Lebih menaikkan kemarahan, Presiden Donald Trump tidak melakukan apa-apa untuk meredakan kemarahan itu, malah dia menaikkan lagi kemarahan sebilangan besar rakyatnya dengan menerbitkan rangkaian kicauan di Twitter yang mengejek orang yang melakukan tunjuk perasaan di luar White House. Dalam kicauannya, dia menaggap mereka sebagai anggota organisasi pengganas dan memberi amaran jika mereka merempuh masuk pagar White House, mereka akan disambut oleh anjing yang paling bengis dan senjata yang paling berbahaya yang saya pernah lihat.
Akibat daripada insiden ini, beberapa bandar besar di Amerika Syarikat dilanda rusuhan. Pada mulanya rusuhan berlangsung secara aman, menyaksikan hanya kumpulan berdiri di jalanan memegang sepanduk memohon keadilan ditegakkan namun sejak beberapa hari lalu ia bertukar menjadi rusuhan yang menyebabkan banyak kerosakan dan kemusnahan harta awam dan premis perniagaan.
Di banyak bandar, butik fesyen mewah menjadi sasaran, dengan beberapanya yang dibakar dan yang lain dijarah. Di Bloomingdale di New York, butik Gucci dan Nike diserbu, sementara banyak butik di Rodeo Drive, Los Angeles, butik seperti Alexander McQueen, Chanel dan Marc Jacobs menjadi sasaran.
Seorang wartawan yang berpangkalan di Chicago Ben Pope berkongsi video mengerikan di Twitter, di mana penunjuk perasaan menghancurkan tingkap butik Nike yang terletak di 669 Michigan Avenue dan menjarah barang-barang yang ada di dalam butik tersebut. Manakala di Melrose Avenue, penunjuk perasaan memecahkan tingkap dan menggeledah butik Adidas selain ada yang membakar bangunan berdekatan.
Butik Hermes, Fendi, Dolce & Gabbana dan Tiffany di Rodeo Drive pula di calarkan dan diconteng dengan ayat, “Living in Hell,” dan “Eat the Rich.”
Kejadian yang sama turut berlaku di butik Louis Vuitton di Portland. Dalam satu kicauan lain di Twitter, pengguna memuat naik sebuah video menunjukkan perusuh masuk ke pusat membeli belah mewah Pioneer Place di Portland dan memecah masuk butik LV dan melarikan beg tangan dan aksesori yang keseluruhannya dianggarkan bernilai hampir 64,19,472 (mengikut laporan oleh The Free Press Journal).
Walaupun sebilangan besar label masih diam mengenai kerosakan yang terjadi pada kedai mereka, Marc Jacobs dengan lantang menyokong tunjuk perasaan itu, menyiarkan gambar butiknya di LA dalam Instagramnya. Gambar itu menunjukkan plak logo kedai yang bertulis ‘Marc Jacobs’ dan diganti dengan nama George Floyd, serta nama Sandra Bland – seorang wanita kulit hitam yang terbunuh ketika dalam tahanan polis pada 2015. Jacobs menyertakan kapsyen yang berbunyi, “Jangan biarkan mereka meyakinkan anda bahawa memecahkan tingkap atau harta benda adalah keganasan […] tambahnya lagi, “Harta boleh diganti, nyawa manusia tidak boleh.”
Sebaliknya ada rakan seangkatan lain yang mengecam penjarahan dan rusuhan yang berlaku di AS sekarang dan mahukan protes yang lebih damai. Antaranya ialah Virgil Abloh, pereka pakaian lelaki Louis Vuitton yang menggunakan Instagram miliknya untuk berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan kedai rakannya Sean Wotherspoon, iaitu Round Two dan Round Two Vintage, yang telah digeledah. Komennya, “Ini satu kekacauan,” dia juga mengulas salah satu pos oleh Wotherspoon. “Anda boleh melihat semangat keringat dan air mata yang telah ditumpahkan oleh Sean untuk budaya kita. Ini menjijikkan saya.”
Pandangan Abloh menarik kritikan banyak orang. Dan dia turut dikritik kerana menderma hanya $50 kepada Dana Komuniti (F)Empower di Miami. Perkara ini diketahui umum selepas dia berkongsi pos screenshot sumbangan di Instagram Story. Ramai menempelak kerana berpendapat sumbangannya itu terlalu kecil berbanding harga jualan barangan fesyen rekaannya. Dia walau bagaimanapun menjelaskan sumbangan tersebut dibuat oleh rakannya, dan berjanji akan berkongsi jumlah yang dia sendiri sumbangkan sedikit masa lagi.
Penjarahan bukan sahaja melibatkan butik fesyen. Seperti yang pertama kali dilaporkan oleh The Art Newspaper, sculpture A Kaws dan beberapa karya seni lain dijarah dari Galeri 5Art di Los Angeles. Pemilik galeri berkenan dalam satu pos di Instagram memuat naik rakaman menunjukkan penunjuk perasaan bertopeng hitam melarikan sculpture Kaws dan mrnconteng dinding galeri dengan ayat “f*** white art.”
Penunjuk perasaan mensasarkan kedai fesyen pada masa gejolak bukanlah perkara baru, tetapi tamparan terhadap imej jenama fesyen yang selama ini dipelihara dengan ketat kini menjadi lebih teruk pada masa yang buruk bagi industri fesyen yang masih lagi terkesan dengan kejatuhan wabak Covid-19
Menurut laporan baru-baru ini oleh perunding Bain & Company, industri mewah akan mengalami penurunan penjualan sehingga 35 peratus tahun ini.
Tiada siapa tahu sama ada penyebaran sentimen anti-kekayaan di AS akan mempengaruhi penjualan barangan mewah dalam jangka masa panjang, tetapi ini dapat menjadikan rakyatnya lebih konservatif dalam tabiat berbelanja kerana mereka kerana bimbang dengan akibatnya.