Peringatan Tika Tibanya Ramadan

Please select a featured image for your post

Ketika Ramadan, berbukalah dengan sekadar apa yang boleh menyambung kehidupan kita saja. Jika kita bercanggah dengan perkara ini dan makan banyak ketika berbuka dan bersahur maka akan hilanglah dari kita cahaya rahsia dan keberkatan puasa.

Umat yang soleh di zaman dahulu kala hanya makan tamar dan minum air sahaja ketika berbuka dan bersahur kerana mereka tahu perut apabila lapar ia akan kuat untuk beribadah kepada Allah SWT dan apabila kekenyangan maka akan lemah dan malas untuk beribadah. Berbeza dengan cara kehidupan umat Islam zaman ini. Makanan yang tidak pernah kita makan pada selain Ramadan kita akan dapatinya di bulan Ramadan. Isteri-isteri pula menyediakan pelbagai menu untuk berbuka. Jadi selalunya ketika berbuka tersedia di hadapan kita hamparan hidangan pelbagai makanan untuk dijamu. Dan setelah makan dengan banyak, badan rasa berat untuk solat tarawih dan kalaupun Allah SWT memberikan kita taufiq untuk bersolat, kita akan solat dalam keadaan bersendawa sepanjang menunaikannya.

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW melihat seorang sahabat banyak bersendawa lalu baginda berkata, “Wahai fulan, ringankanlah daripada sendawamu kerana sesungguhnya orang yang paling banyak kenyang di dunia adalah orang yang paling banyak merasa lapar di akhirat.”

Jika masuk malam pertama bulan Ramadan, yakni apabila azan Maghrib dihari terakhir Syaaban dan telah masuk Ramadan, maka bacalah doa yang diajarkan Rasulullah SAW ini;

اللهم سلِّمْنا لرمضان

Ya Allah selamatkanlah kami dalam bulan suci Ramadan

وسلم رمضان لنا

Dan selamatkan Ramadan untuk kami

وتسلمه منا متقبلا

Dan selamatkanlah Ramadan dengan amalan-amalan kami di dalamnya dan terimalah.

*Amalkan doa ini pada malam pertama Ramadan

 

Ucapkanlah;

نويت صوم رمضان كله

Sahaja aku berpuasa Ramadan sepenuhnya.

 

Dengan ini kamu akan dapat dua faedah;

Pertama: Dalam mazhab Asy-Syafie diwajibkan untuk kita berniat sebelum fajar. Dan apabila lalai atau terlupa untuk niat dan sudah terbitnya fajar, maka kamu wajib qada pada hari yang kamu lalai itu. Jika kamu niat seperti niat di atas, kamu akan ditanggung oleh Qaul dalam Mazhab Imam Malik yang mengatakan memadai niat pada malam pertama untuk kamu berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

Kedua: Seseorang kalau ditakdirkan mati pada awal atau pertengahan Ramadan, maka dengan niatnya tadi Allah SWT akan berikan pahala puasa penuh sebulan berdasarkan niatnya.

Ketiga: Solat dua atau empat rakaat pada malam pertama Ramadan dan baca surah al-Fath. Bahagikan surah al-Fath kepada dua atau empat rakaat itu dengan niat pembukaan dan taufiq daripada Allah SWT untuk kamu beramal soleh ketika bulan suci Ramadan.

Keempat: Menjaga solat tarawih daripada awal Ramadan hingga akhirnya. Lakukan 10 atau lapan atau berapa rakaat yang kamu mampu yang penting jangan tinggal walaupun satu malam terutamanya pada awal-awal Ramadan kerana padanya para malaikat turun ke bumi dan solat bersama orang-orang beriman, maka sesiapa yang melihat para malaikat ini maka ia akan mendapatkan pandangan Allah SWT dan siapa yang mendapat pandanganNya akan mengecapi kebahagiaan yang mana dia tidak akan menemukan sengsara selamanya.

Kelima: Jika kamu mengimpikan lailatulqadar maka lakukan solat isyak dan subuh berjemaah kerana kata ulama, siapa yang solat isyak dan subuh berjemaah pada malam lailatulqadar maka ia mendapat bahagian daripada anugerah lailatulqadar.

Keenam: Hendaklah kita meningkatkan ibadah kita setiap hari terutamanya pada 10 malam terakhir.

Rasulullah SAW ketika masuk 10 malam terakhir Ramadan akan menguatkan ikatan pada pinggang baginda dan membangunkan ahli keluarganya untuk sama bangun beribadah. Sebaliknya ramai manusia hari ini hanya bersemangat pada awal Ramadan, tetapi kemudian makin lemah semangat ibadahnya. Patutnya lebih kuat ibadah hingga menuju ke malam akhir namun mereka memenuhi malam-malam akhir Ramadan di pusat beli belah. Di waktu para solihin berusaha mengejar anugerah dan kurnia kurnia Allah SWT, mereka ini sibuk pula membeli belah. Ketahuilah Rasulullah SAW bersabda, “Tempat yang paling dibenci Allah SWT adalah pasar pasar dan tempat yang paling dicintai Allah SWT adalah masjid-masjidnya.

Penutup kata, dengan Izin Allah SWT jika kita amalkan apa yang diperkatakan ini maka Dia akan memuliakan kita dengan kemurahanNya dan kita akan keluar daripada Ramadhan dengan mendapat pengampunanNya. Dan janganlah ketika di bulan Ramadan kamu menanti-nanti ia berlalu kerana ini tanda-tanda orang yang celaka.

Tanda amalan diterima oleh Allah SWT adalah; setelah berlalunya Ramadan hubungan kamu dengan Allah SWT jadi lebih baik daripada sebelum Ramadan, begitulah sebaliknya bagi orang yang ditolak amalannya.

Moga Allah SWT memberkati kita pada bulan Syaaban dan menyampaikan kita pada bulan Ramadan

اللهم يا مَنْ وَفَّقَ أهلَ الخَيرِ لِلْخَيرِ وأعانَهُم  عَليهِ وَفِّقْنا للخير واَعِنَّا عليه

Ya Allah wahai yang Memberi Taufiq kepada ahli kebaikan untuk melakukan kebaikan dan membantu mereka atas kebaikan, berilah kami taufiq untuk melakukan kebaikan dan bantulah kami melakukannya.

(Doa Sayyidina Imam Syeikhul Islam Al Habib Abdullah bin Umar Asy Syathiri)

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

والحمد لله رب العالمين

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON