EYE ME

Nikmat Allah Yang Kita Lupa

Banyaknya nikmat Allah yang kita lupa tetapi ujianNya yang sedikit itu yang kita hiraukan. Di mana syukur kita? Sedangkan ujian itu juga adalah salah satu rahmat dan tanda kasih Allah kepada kita.

Disember 2021, saya mencari sesuatu yang manis mahu saya tinggal untuk 2021, tetapi seketika saya gagal. Saya cuba mengenangkan apa yang telah berlaku sepanjang 2021, move backward 2020, dan tetap tidak nampak. Saya kata pada diri, dua tahun aku melekap di rumah, bisnes hancur, pengiklan hilang dan saya terusan menunggu mereka yang berhutang masih belum dijelaskan. Saya menghubungi, dijawab, dia juga tidak punya wang untuk membayar. Saya terdiam. Tidak meneruskan lagi usaha meminta hutang, tetapi bila adanya client yang nampak menonjolkan kemewahan, saya geram dan memujuk hati. “Biarlah dia bercuti bawa anak-anaknya setelah dua tahun terperuk. Kesian anak-anak.”

Ya, saya mencari lagi kemanisan, tetapi yang ditemui kesedihan. Teman ini  menceritakan keperitan hidupnya kerana dibuang kerja, teman itu sudah lima bulan tidak dapat menjelaskan sewa rumah dan mohon mengosongkan isi rumah dengan segera dan bakal ditarik keretanya bila-bila masa juga. Teman ini disahkan covid positif, kemudian ditidurkan dan dia pergi menemui penciptaNya. Saya teramat sedih.

Dengan kemurungan kerana terlalu-lalu stress, ada menyalahkan majikan dan ramai menghentam kerajaan yang kurang ambil peduli tentang kesengsaraan rakyat. Mana tidaknya, memang rakyat amat menderita dengan kenaikan barangan dapur khasnya. Saya ke pasaraya, dalam dompet ada RM300. Biasanya duit sebanyak itu banyak yang saya dapat, malah udang galah, sotong dan ikan tenggiri tidak pernah tidak ada dalam senarai dapur, tetapi ketiadaan tiga makanan laut kegemaran keluarga pun masih memaksa menggunakan kad untuk menambah pembayaran. 

Sedih, dan saya berfikir mereka yang kehilangan kerja, yang anak masih minum susu dan menggunakan lampin pakai buang. Nampaknya mereka kena mengunakan kain lampin seperti zaman 80-an, basuh jemur dan pakai semula dan cara ini kata kawan-kawan yang punya cucu cicit memang sudah mula diguna pakai, apa cara lain menjimatkan belanja? Dan yang menambah sayu di hati sudah tentu warga emas terutama yang tinggal di kampung, yang mengharapkan si anak menghantar wang atau bekalan makanan. Dan anak pula dengan dibuang kerja, atau dipotong separuh gaji dan dengan kenaikan harga yang menjulang naik, setengah bukan mengabaikan orang tua mereka tetapi mereka sendiri pun susah hendak makan.

Seorang teman bercerita, dia didatangi oleh kawannya untuk meminjam wang, dan minta RM100. Teman juga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang ada di dompet cuma RM40, tak diberi kesian, hendak diberi, duit itu untuk dibeli telur dan sayur makan tengah hari bersama anak cucu seramai tujuh mulut di rumahnya. Wajah si teman nampak terlalu mengharapnya, langsung diambilnya beras, seketul dua bawang dan setin sardin serta RM20, diberikan kepada kawannya. Menitis air mata si kawan menerimanya. Dan mungkin orang tidak percaya, kawannya itu bukan pun tinggal di rumah setinggan, tidak pun di flat dua bilik, tetapi di teres dua tingkat. Ya mungkin dia tidak perlu bayar sewa rumah kerana rumahnya, mungkin duit elektrik dan air boleh ditangguhkan tetapi suami yang terlantar sakit, isteri dibuang kerja, dan anak lima, bagaimana hendak makan? Senak perut mendengar cerita.  Seminggu kemudian, bila teman mendapat rezeki sedikit, dia menghantar sekampit beras, gula, tepung, minyak antaranya, berlinangan lagi air mata kerana ada yang boleh dimakan untuk seminggu dua. Ya begitulah antara kisah yang membuat hati sayu dan perut senak.  

Mengeluh hanya akan membuat hidup kita semakin tertekan sedangkan bersyukur akan senantiasa membawa kita pada jalan kemudahan.

Tiba-tiba air mata saya dengan sendirinya menitis laju, Ya Allah, Alhamdulillah for all the hidden blessings that I was unable to thank you. Alhamdulillah for everything I have. Alhamdulillah for everything I had, Alhamdulillah for everything I will have, InshaAllah.

Sedang ada yang ditidurkan kemudian diangkatNya ke alam barzakh, saya dan ahli keluarga masih bernafas. Kami dapat menjalani hari-hari tanpa terbaring kaku menunggu saat malaikat Izrail mencabut nyawa. Suami, walaupun pengidap kanser, anak, cucu, semua sihat, syukur. Makan kami tiada yang kurang. Kami tidak perlu menadah tangan meminta sesuap nasi, kami tidak perlu mengangkat bendera putih demi meniti hari-hari kegelapan angkara corona yang menganas.

Mintalah kesihatan kepada Allah kerana sesungguhnya tidak ada nikmat yang paling utama daripada nikmat kesihatan, selain keimanan (Nabi Muhammad SAW) dengan keadaan diri yang sihat, seorang dapat bekerja mencari nafkah, dapat beribadah, menikmati makanan dan berekreasi.’

Tidakkah Allah mengatur yang terbaik untuk kami khasnya anak cucu Adnan/Ramlah. Disediakan kami Nikmat Diiniyah, yakni nikmat agama Islam. Nikmat iman, nikmat menjalan perintah agama serta menjauhi larang Allah SWT.

Dibukanya ruang yang selesa di rumah masing-masing. Bermula Ramadan 2018 kami 10 beradik mendapat keberkatan yang menjanjikan lebih daripada apa yang dimiliki sekarang. Andai sebelum ini masing-masing dengan hal sendiri, berjumpa cuma kalau ada kenduri kendara ahli keluarga, itu pun tidak semua boleh menghadirkan diri, bersembang di telefon pun amat jarang, sayugia kini kami berjumpa di alam maya setiap hari, tujuh kali seminggu mengaji Quran. Silaturahim menjadi lebih rapat. Sebelah pagi dua ‘ustazah’ Saadah, Madihah – mengajar kakak-kakak dan adik-adik yang tidak lancar mengaji, membetulkan makhraj dan sebagainya. Dua kali seminggu kakak ipar (Safiah Salim) meluangkan masa mengajar adik-adiknya termasuk dua ustazah tadi, untuk lebih fasih dan setiap petang Isnin – Khamis Ustaz Rahman (abang sulung) mengajar semua adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara. Hari Jumaat mengajar bahasa Arab. Ya Rabb, kami bersyukur punya adik beradik dengan ikhlas menyedekahkan ilmu dan waktu untuk bekalan akhirat.

Saya mengimbas lagi kurniaan yang terbesar Allah sediakan untuk saya khasnya. DijemputNya ke rumahNya saat dunia tengah tenang. Saya dan adik setenangnya menjalani ibadah rukun Islam kelima pada 2018, dan 2019 anak saudara suami isteri melangkah ke sana. Nikmat beribadah penuh keselesaan, nikmat kesihatan tanpa ujian dan semestinya nikmat ikhtiyariyah yakni punya kemampuan wang ringgit untuk urusan haji sepenuhnya. Allah mengaturnya sebelum umat Islam sedunia di’beku’ ibadah Haji 2020 dan 2021. Ya Allah, sesungguh Kau yang Maha Mengetahui dan Maha Mengasihi hambaMu ini.

Saya mengimbas kembali kisah silam saya sendiri sebelum ini. Bepergian ke sana sini, waktu Maghrib saya kadang kalanya berada di majlis atau di khalayak ramai dengan muzik berdentum dan sekitar dihidangi arak. Betul saya tidak pernah meneguk air haram itu, pun di meja saya duduk tetamu lain bahagia meneguk. Kadang, bila rasa bersalah tidak solat, saya lekas berlari mencari surau, kadang bila berlawan dengan syaitan, saya kata balik nanti qada solat, ah selalunya terlupa kerana penat. Kini saya tenang dan senang sekali menolak jemputan sebegitu. Biar saya dikatakan tidak lagi relevan, biarlah dikata saya tidak berdaya saing, bergaya dan sebagainya, tetapi saya bahagia menjalani kehidupan lebih bermakna yang menjanjikan nikmat ukhrowiyah (nikmat akhirat, nikmat yang akan kita petik nanti jika telah dihisab di yaumil mahsyar. Nikmat ini tergantung daripada apa yang kita perbuat di dunia ini). Waktu solat berjaga, sunat puasa dapat dikerjakan, saya dapat tidur lebih awal untuk bangun bertahajud, Alhamdulillah. 

Syukur lagi, dengan nikmat alamah yakni nikmat alam sekitar yang sedikit bersih berbanding sebelum ini. Sungai lebih jernih, udara segar dan kurang pencemaran, pohon lebih menghijau. Fabi’ayyi a’la’i rabbikuma tukazziban (maka yang manakah nikmat Tuhanmu yang kamu dust akan?) 

Allahu Akbar. Dan air mata saya berlinangan lagi, kali ini, air mata gembira kerana saya telah bertemu dengan pelbagai nikmat dikurniakan Allah yang saya kelirukan dengan keangkuhan dunia materialistik dan corona virus yang masih bertebaran di serata dunia.

Berilah masa anda juga untuk melihat mengapa diturunkan ‘yang kamu katakan bala’, ya untuk kamu mengenal lebih dekat kekuasaan Allah yang mencipta langit dan bumi dan segala isi yang ada di lautan dan di daratan. Jangan angkuh, jangan leka, dekatiNya kerana Allah Maha Kaya, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Segalanya. 

Akan menjelang 2022 beberapa hari lagi, kita menunggu nikmat apa lagi yang Allah sediakan untuk umatnya.

Related posts

Membina Istana Cinta

Wirda Adnan

Cantik Wanita Di Hatinya…

Wirda Adnan

Demi Sebuah Tas Berjenama…

Wirda Adnan

Leave a Comment