GAYA HIDUP

Meriah Dan Gembira, Marhaban Ya Ramadan

Meriahnya Ramadan, bukan hanya untuk yang Muslim, malah turut dirasai oleh rakan-rakan berbeza anutan. Marilah ‘nikmati’ bahagian pertama tulisan Wirda Adnan ini, tentang Ramadan dan kenangan yang datang bersamanya. – Getaran.my

Tiada kebahagiaan tanpa syukur

Tiada syukur tanpa tanpa sabar 

Tiada sabar tanpa maaf

Marhaban ya Ramadan

Mohan maaf lahir dan batin

Selamat menunaikan ibadah puasa

Sudah seminggu Ramadan berlalu. Syukur sangat kerana tahun ini suasana puasa bertambah meriah. Ruang solat di masjid-masjid sekalipun tidak sesak tetapi tidak sepi seperti dua tahun lalu. 

Ruang solat wanita sudah pun dibuka semula, alhamdulillah bahagianya dapat berjemaah bersama geng-geng surau. Cuma tiada moreh, kalau dulu-dulu selepas tarawih satu lagi pesta makan.  

Masjid Al Taqwa di Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah terutamanya terkenal dengan pelbagai hidangan selain waktu berbuka, juga selepas tarawih. 

Berhalamankan Bazar Ramadan, (ya betul-betul di jalan depan rumah), tampak suasana meriah itu kembali seperti tahun-tahun sebelum COVID-19. Dan di merata tempat juga begitu rupanya, sesak. 

Orang ramai berduyun-duyun. How often do you get the chance to eat all kinds of dishes, pelbagai jenis lauk pauk; ayam percik, ayam golek, rendang, dendeng, pelbagai jenis nasi. Ah, sebut apa kamu mahu, beraneka jenis kuih-muih, yang kalau bukan di bulan puasa, tidak pun kita jumpa.

Begitu juga restoran dan hotel-hotel terkemuka. Saya dan geng sempat meluangkan masa berbuka di hotel Mandarin Oriental pada hari keempat puasa.

MasyaAllah, meriahnya suasana dengan hidangan pelbagai bangsa; ada corner hidangan Melayu dengan aneka jenis gulai kawah, laksa Johor, aneka mi lontong, makanan India, Cina, Barat dan yang paling happening, corner makanan Arab. Nasi Arab sahaja pelbagai rasa, roast lamb, lauk-pauk, manisan, minuman, gosh, like a food heaven.  

Betul bulan Ramadan jugalah masa non Muslims enjoy makan. Kawan Tionghua saya kata, kalau orang Islam tidak sabar menunggu puasa untuk menambah pahala, bagi dia dan kawan-kawannya pula tidak sabar menunggu bulan puasa sebab nak makan sedap. 

Sebab itu juga walaupun caj sekepala naik sekali ganda, tapi tiada meja kosong. Di Grand Hyatt masa saya cuba membuat tempahan (sebelah pagi) diberitahu ‘no more seat’ walaupun di ruang legar luar restoran. Dan tempahan mesti disertakan dengan bayaran sekali gus. Hebat, kan?

‘Tiada nikmat makan yang lebih dari saat berbuka puasa’

Pasti kenangan berpuasa mengusik jiwa saya mengingatkan arwah mak. Bulan Ramadanlah kami adik-beradik diajak mak membuat kuih-muih bersama. 

Perigi buta, badak berendam, lepat liat, putu Perak dan seri muka mak tiada tandingnya. Kerana itu saya tidak lagi suka kuih-muih terutamanya Seri Muka sebab tidak seenak air tangan mak. 

Malah kini selera manisan saya hilang, kerana ia mengingatkan saya akan mak. 

Masa kecil-kecil tidak senang membuat kuih-muih, semua melalui proses penyediaan yang panjang malah mengambil masa berminggu. 

Pada yang seangkatan dengan saya pasti ingat lesung tangan dan lesung kaki yang besar. Lesung digunakan untuk menumbuk. Tiada gula halus di pasaran, tiada tepung beras, tepung pulut, tepung suji, semuanya terpaksa dibuat sendiri. 

Tidak semua keluarga punya lesung, jadinya inilah masa jiran tetangga bergotong-royong, sekali lagi suasana meriah ini dirasai menjelang Aidilfitri untuk membuat aneka jenis kuih tradisional khasnya.  

Puasa juga waktu suri rumah sibuk menjahit baju. Setiap yang bernama wanita mesti pandai menjahit atau tidak berbaju rayalah. 

Tiada istilah membeli baju-baju raya di gedung membeli-belah, jauh sekali di butik. Waktu Rayalah anak kampung terutamanya, mendapat baju Raya. Maknanya masa Raya sahaja berbaju baru. 

Saya teringat arwah atuk dan opah saya, mereka akan menghadiahkan kain-kain ela kepada anak menantu untuk membuat baju. Mak saya bukan sahaja pandai menjahit tetapi ada kesenian mereka cipta pakaian. 

Boleh tahan baju kami adik-beradik, tetapi cuma sehelai seorang. Bayangkan baju baru hanya sepasang dan sehinggalah hari Raya tahun berikutnya barulah mendapat baju yang baru. 

Malah, bagi yang adik-adik kadang-kadang tidak merasa pun berbaju baru, kerana baju si kakak itu diturunkan kepada adik sebab kakak tidak lagi muat memakainya. 

Untung orang sekarang, baju Raya berpasang-pasang dan membeli baju tidak mengikut masa dan musim. Begitu juga dengan kasut, kami hanya dibelikan kasut baru pada Hari Raya dan itulah satu-satunya kasut sehinggalah kasut itu sama ada tidak muat atau sudah rosak.

See how life has changed, bilamana kasut dan tas tangan kita sahaja beralmari-almari dan baju-baju sampai ada yang dibeli tetapi tidak sempat untuk memakainya, beli dan beli lagi. 

Biasanya seminggu atau sehari dua sebelum puasa, kami sekeluarga akan balik kampung menjenguk mak ayah dan adik-beradik yang lain. Dan selepas bapa dan mak meninggal pun amalan balik kampung diteruskan.  

Rasa puas bila dibenarkan merentas negeri, yang penting saya mesti jenguk kampung halaman, tempat tumpahnya darah yang wajib dikenang.

Ya, anda yang masih punya ibu ayah, mohon ampun maaf dulu dengan ibu ayah dan adik-beradik sebaiknya pada bulan Ramadan dan seronokkan hati mereka dengan memenuhkan peti sejuk serta almari stok makanan.  

Jika mereka sudah pulang ke Rahmatullah, singgah dulu ke tempat bersemayam membersihkan kubur dan menyedekahkan al-Fatihah. – Getaran, 9 April 2022

Kajian sains membuktikan banyak kelebihan berpuasa 

Bersahur, satu lagi kenangan yang indah, tidak ada istilah tidak mahu bangun sahur, selagi tidak bangun selagi itu mak bising. (Jangan biarkan apak bertempik).  Dan amalan bersahur adalah sunnah, ia amat digalakkan. 

Ia pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Nabi SAW bersabda, “Bersahurlah kerana di dalam sahur itu ada berkat. Jangan meninggalkan sahur walaupun hanya seteguk air, sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para malaikat mendoakan ke atas yang bersahur.” 

Bagi keluarga saya kini, jangan tidak bersahur, si mak ini macam mak saya dulu juga tidak habis mengetuk pintu bilik. 

Pernah mak menyiram air ke muka saya masa kecil kerana tak bangun-bangun. Nasib anak saya tidak diperlakukan begitu.

Menyebut amalan bersahur ramai yang memilih tidak bersahur. Bila mak ayah tidak rajin berbuat demikian bagaimana nak melatih anak-anak berpuasa? 

Anak lima enam tahun khasnya wajib dilatih. Waktu kecil inilah si anak perlahan-lahan menahan lapar sehingga sampai mereka mampu berpuasa sehari suntuk. Mahu tidak mahu si ibu dan ayah perlu berkorban waktu tidur mereka bagi menggalakkan anak makan sahur. 

Saya sedih melihat ada budak-budak darjah lima, darjah enam belum boleh berpuasa. Tingkatan satu dan sehingga tingkatan tiga juga tidak berpuasa. Ditanya, alasan mereka, “Mak kata nanti besar berpuasalah.” 

Ditanya mengenai bersahur, senak perut ada yang tidak tahu apa itu bersahur, kerana tidak pernah melihat mak ayah berbuat demikian dan akibat daripada kelalaian ibu bapa melatih anak, bila anak masuk ke sekolah menengah, malah sampai bekerja, masih tidak berpuasa, sebab tidak dilatih daripada kecil. Sedih. 

Saya teringat ketika menyambung pengajian di KL. Teman sekelas bertanya saya bagaimana berniat puasa. Umur 18 tahun tidak tahu niat puasa? Kehairanan, saya tanya, “Tapi I tak nampak pula you makan, you puasa?” “I tidak makan di sekolah, tak baiklah kalau kawan budak Melayu nampak I makan. I teringin nak puasa tapi tidak tahu niatnya.” 

Astagfirullah. Saya sempat mencungkil rahsianya. Meleleh air matanya memberitahu, mak ayah serta adik-beradiknya tidak pernah berpuasa, tetapi katanya tiba Raya, rumah mereka meriah.

Sabda Rasulullah, diriwayatkan oleh ibnu Sunni dan Abu Nu’aim, “Berpuasalah maka kamu akan sihat.”

Tahukah anda mengapa Allah memfardukan ibadah puasa? Kerana terlalu banyak faedah dan manfaat yang tersendiri. Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan apa yang disyariatkan di dalam Islam. 

Terdapat beberapa kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa. 

Pada 1994, Kongres Antarabangsa berhubung Kesihatan dan Puasa yang diadakan di Casablanca membentangkan kertas kerja daripada penyelidik-penyelidik Islam dan bukan Islam. 

Kajian mendapati amalan berpuasa pada bulan Ramadan mempunyai kesan fisiologi dan psikologi secara tidak langsung. 

Kesan fisiologi ini termasuk merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah sistolik. Dengan berpuasa juga, ianya dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada minda, dipercayai ia berkaitan dengan paras gula dalam darah yang semakin stabil. 

Semasa berpuasa kita juga digalakkan memperbanyakkan amalan membaca Al-Quran. Ia bukan sahaja memberi ketenangan kepada minda dan jiwa, malah dapat meningkatkan keupayaan memori. 

Gambar Hiasan, Sairien Nafis

Gambar Hiasan, Sairien Nafis

Dr. Alan Cott, seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. 

Hasil keputusan menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa. 

Ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu pada kerja-kerja penghadaman makanan. 

Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan mengantuk. 

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal dengan berkesan. 

Ketika berpuasa, perut akan mengeluarkan bahan-bahan buangan berbahaya yang disingkirkan melalui proses detoksifikasi.

Amalan makan secara berlebihan, diet yang tidak seimbang dengan kuantiti karbohidrat yang tinggi dan makanan berlemak, semasa berbuka boleh menyumbang banyak masalah kesihatan.

Ini termasuklah hiperglisemia, pertambahan berat badan dan rasa tidak selesa pada perut.

Para penyelidik ilmu perubatan sudah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik serta racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. 

“Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut,” kata Dr. Mac Fadon, pakar dari Amerika. Beliau berjaya mengubati pesakit-pesakitnya dengan meminta mereka berpuasa sebagai alternatif kepada ubatan moden. 

Daripada aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen itu, puasa diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi ke arah kebaikan dituntut Islam. 

Ramadan juga mendidik diri menghayati konsep hablun min Allah (hubungan dengan Allah) dan konsep hablun minan nas (hubungan sesama manusia). 

Hubungan itu terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan diharap diteruskan selagi bernyawa. – Getaran, 16 April 2022
Rencana dua bahagian (9 April 22 dan 16 April 22)  ini saya siarkan semula daripada tulisan saya sendiri di Getaran.my

Related posts

ATOME KITTENS LANCAR ‘GET IT WEEK’, ACARA

admin

Kecoh Raya

admin

Aishah Kecewa Video Muziknya Dipadam di Youtube

adminwm

Leave a Comment