GAYA HIDUP

Membina Seorang Autism

Saya pernah ditanya, bagaimana ibu mendidik saya sehingga boleh berdikari sendiri? Apa tip membina yang boleh saya kongsikan untuk menjadi seorang Asperger Syndrome yang boleh melukis dan menulis sehingga berjaya menjadi penulis buku? Soalan ini sudah kerap kali ditanya oleh rakan-rakan di media sosial. Kebanyakan mereka yang bertanya ialah ibu bapa seorang autistik.

Ketika menjalani kursus Ijazah Sarjana Pendidikan Kanak-kanak, saya memilih untuk banyak membuat kajian tentang kanak-kanak autism ini kerana ia begitu dekat dengan diri sendiri. Saya teruja dengan kehidupan misteri kanak-kanak autism dan menganggap mereka ialah cermin ketika saya kecil. Melihat mereka bermuram, teringat ibu kata saya suka merajuk. Terpandang mereka tantrum, teringat luahan kakak memberitahu saya suka menyepah barangan ketika marah.

Jika ditanya berkenaan cara didikan ibu saya agar menjadi autistik yang berdikari, prosesnya agak memakan masa. Saya tidak tahu membasuh pakaian, mengikat rambut ke sekolah dan mengurus pakaian sendiri sehingga usia 11 tahun kerana kami mempunyai pembantu rumah. Setelah dihantar jauh dari keluarga untuk belajar survival skills selama dua tahun, maka barulah saya mampu berdikari sendiri. Selama dua tahun itulah saya boleh melakukan beberapa jenis kerja orang normal.

Apa pandangan saya terhadap kanak-kanak autism yang masih boleh berusaha sendiri? Ada tak peluang untuk mereka ini menjadi ‘seorang’ yang boleh dibanggakan?

Sebenarnya, saya lihat potensi kanak-kanak autism ini begitu besar jikalau diberi peluang untuk dikembangkan sejak kecil lagi. Ada kanak-kanak yang melukis lukisan yang cantik walaupun baru berusia lapan tahun. Ada juga kanak-kanak autism ini yang mampu bercerita kisah daripada filem yang mereka tonton dengan lengkap dan penuh perasaan ketika menceritakannya kepada saya. Ada juga kanak-kanak autism yang membaca doa dan telah khatam al-Quran sejak sembilan tahun usianya. Dan yang paling seronok ialah melihat mereka menyusun Lego menjadi bangunan yang kemas dan cantik. Apabila melihat kelebihan ataupun keupayaan mereka, saya yakin bahawa ia boleh dipupuk sehinggalah tak mustahil mereka mencipta kejayaan sendiri.

Kalau hendak diceritakan, ada ramai autistik dewasa yang sejak kecil mereka diberikan peluang menonjolkan diri dan telah berjaya dalam bidang masing-masing. Cuma perlu diberikan latihan dan bimbingan secara konsisten. 

Saya teringat apa yang ibu saya lakukan. Untuk menjadikan saya seorang yang suka dan pandai melukis, dia memberikan peralatan lukisan yang banyak dan berjenis. Ketika kecil, saya ialah seorang autistik yang speech delay sehinggalah berusia lapan tahun. Jadi, ibu meminta saya meluahkan kehendak dan hasrat hati dengan cara melukis. Setiap hari saya akan melukis dan tidak keluar bermain dengan sesiapa. Dunia saya hanyalah melukis dan berada dalam lingkungan keluarga nukleus sendiri sahaja.

Saya juga nak kongsikan satu hasilan kajian bersama rakan berkenaan amalan pemakanan yang sangat baik bagi menambah baik tahap kesihatan dan perubahan tingkah laku kanak-kanak autism. Ada beberapa ibu bapa yang konsisten memberikan anak mereka dengan makanan sunnah, suplemen Omega-3 ,mengelakkan makanan bergluten dan kurang memberi makanan ringan, maka bagi pendapat mereka ini adalah berkesan untuk faedah penambahbaikan tahap kesihatan dan perubahan tingkah laku tersebut. Anak-anak ini kurang terkena masalah berkaitan gastrousus jika sering makan makanan yang lebih berkhasiat.

Saya faham bahawa kebanyakan autism adalah picky eater, maka pastilah sukar membentuk pola pemakanan sihat untuk mereka, namun ia perlu diusahakan demi pertumbuhan dan kesihatan.

Apakah ada kesan buruk sekiranya kanak-kanak autism dibiarkan makan makanan ringan dan makanan segera tanpa bimbingan diet yang baik daripada ibu bapa? 

Ia memberi kesan terhadap kesihatan dan menyebabkan kanak-kanak ini menghidap diabetes, darah tinggi, asma dan obesiti. Seharusnya, ibu bapa perlu membimbing anak-anak autism mereka secara kerap dan berulang untuk makan makanan yang lebih berkhasiat. Jika anak-anak autism ini tidak sihat dan perkembangan minda mereka tidak baik, bagaimana boleh mereka menjadi kreatif untuk berkarya?

Selain amalan pemakanan, sokongan ibu bapa dalam memenuhi kreativiti kanak-kanak autism ini juga sangat penting. Bagaimana para autistik ini nak berkarya jikalau ibu bapa kedekut membelikan bahan untuk melukis? Apa insiprasi mereka jikalau ibu bapa tidak memberi ruang untuk kanak-kanak ini mengeksplorasi permainan seperti menyusun Lego? Bagaimana kanak-kanak ini berani menceritakan ataupun mengimaginasikan semula kisah daripada filem yang mereka lihat sekiranya ibu bapa tidak memberi peluang mereka bercerita?

Sungguh. Ibu dan bapalah penyokong dan pembimbing paling agung untuk manusia autism. Sokong dan raihlah tangan kanak-kanak ini sehingga mereka berjaya mencipta kejayaan sendiri.

Salam sayang,
Deanna Chee.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KELUARGA – PKPK

admin

5 Most Expensive Wedding

adminwm

Deanna Chee menulis Berjodoh dengan 2020 yang mencabar

admin

Leave a Comment