EYE ME

Membina Istana Cinta

Every relationship has its problems, but what makes it perfect is if you still want to be together when things go wrong.’

November, bererti waktunya terlalu singkat untuk kita ditemukan tahun baru, 2020. Dan dengan beberapa hari cuma, dengan sisa-sisa 2019 ini apa yang kita mampu lakukan supaya kita tinggalkan sejarah yang indah sepanjang tahun ini dan hidup tenang senang sehingga ke akhir hayat? 

Sesiapa pun tidak mungkin dapat membina istana indah lengkap dengan segala kemewahan di dalamnya untuk jangka waktu kurang 60 hari, mustahil bukan? Bekerja siang malam pun tidak mungkin boleh disiapkan. Namun kalau saya katakan sesungguhnya kamu memang boleh membina sebuah ‘istana’ yang jauh lebih indah daripada mana-mana istana di dunia ini… ya istana yang saya maksudkan ialah istana cinta.

Saya terjumpa kata-kata hikmah ini, “Muslimah yang sejati adalah wanita yang setia kerana ia selalu menjaga hatinya untuk seseorang yang terbaik yang dipilih Allah kepadanya.”

Ya istana cinta tidak mungkin dapat dibina andai suami isteri bersengketa selalu. Apa indahnya rumah tangga jikalau suami isteri bermacam muka, bertengkar bertekak pada perkara yang tidak sepatutnya pun digaduhkan? Mana seronoknya hidup sebagai suami isteri jikalau suami asyik mengarah isteri, dan isteri diminta diam bagaikan patung? Atau isteri lebih dia diminta berhenti berleter, lebih mulutnya tidak henti-henti membebel? 

Dan suami yang ego mahu dia menghormati, sementara isteri yang juga ego merasakan dia layak meninggikan suara kerana dia rasa dia berkuasa kerana gajinya lebih besar daripada suami jadi dia tidak kisah pun nanti andai duduk sendiri, mahupun menjadi janda pada usia yang muda. Masakan dia takut untuk menghadapi dunia kerana dia punya banyak harta. Kerana dia menganggap suaminya tidak ada apa, lalu yang lebih rugi adalah suami, bukan dia.

Aduh kalau begini caranya sampai ke sudah tidak tamat ceritanya. Wahai suami kamu sebagai ketua jangan rasa kamu berkuasa. Beri ruang isteri bersuara. Tambahkan rasa kasih sayang kepadanya. Ingat dia berjaga malam menyusu anak, (pada yang punya bayi) dan ingat mereka tidak mungkin membesar sihat tanpa dijaga, semua itu bukan senang ya. Letihnya hanya yang punya anak merasanya. Tambah lagi isteri yang bekerja dengan tanggungjawab di pejabat, lebih-lebih lagi sebagai ketua. Tidak mudah memegang amanat majikan. Kadang-kadang nampak saja dia cergas dan mampu menyempurnakan tanggungjawab di rumah dan di tempat kerja, tetapi sebenarnya itu adalah kerana semangatnya yang kuat. Dia melakukan demi keluarga khasnya, mengenepikan rasa lemah dan sakit di badannya. 

Dan kamu sang suami, cubalah  memahaminya, kalau kamu letih sebaik balik kerja, dia juga begitu. Juga jangan ingat suri rumah kerjanya mudah. Malah lebih meletihkan. Langsung tiada masa rehat. Maka pikul tanggung jawab bersama. Masak bersama, mengemas dan menjaga anak juga bersama. Mengapa isteri sahaja yang dibiarkan di dapur, memasak mencuci? Bawa dia berjalan-jalan, menonton wayang sekali sekala, dan yang penting solat berjemaah bersama. Dan ke masjid bukan hari Jumaat sahaja, percayalah hati isteri akan sejuk melihat suami menunaikan tanggungjawab kepada agama. Sebagai ketua keluarga bukan setakat makan minum tetapi ikut cara Rasulullah melayan isteri-isterinya; santun, lemah lembut, membelainya dengan penuh kasih sayang. Isteri bila dilayani sebegitu, akan bahagia selamanya. 

Isteri pula, bukankah kita ada Siti Khadijah r.a. sebagai ibu yang menjadi contoh. Yang melayan suami tidak terhingga lembutnya, tidak meninggikan suara, tidak meminta luar daripada kemampuannya. Isteri jaga lisan kamu! Perpatah Melayu menyebut, ‘Kerana mulut badan binasa.’ Diam sebaiknya bagi menolak bencana. Patuh kepada permintaannya, layani kehendaknya. Wanita yang memilih diam saat disakiti, dialah wanita yang hatinya kuat untuk menahan amarah.

Benar, kita bukan isteri Rasulullah SAW yang Allah jadikan hampir sempurna. Namun demi menjaga maruah keluarga, dan anak-anak serta kedamaian rumah tangga, tolak sengketa terutama yang tiada besar mana pun. Ada suami yang mabuk, dadah, penjenayah, perompak, penipu dan sebagainya. Rumah agam, kereta mewah berbarisan, tetapi daripada sumber duit haram. Minum arak tidak kiranya di depan anak beranak, sepak teranjang kalau si isteri tidak beri dia duit dan sebagainya. Kalau dia manusia bertopengkan syaitan, jangan tunggu sesaat pun, 

Teringat pada kuliah tadabbur bersama Ustaz Ahmad Dasuki yang mentelaah Kitab Redha Ilahi di Masjid An Nur USJ, Subang Jaya tempuh hari, “Pabila suami dan isteri bergaduh/bersengketa, siapa yang menang?” tanyanya. “Bukan suami, tidak juga isteri tetapi setan (Syaitan). Lebih lama kamu berperang lebih seronok si setan melayan kamu berdua. Dicucuk-cukuknya agar pengaduhan berpanjangan dan lebih puas si setan kalau kamu berdua bercerai-berai. Jagalah dirimu daripada sifat marah kerana kemarahan itu dimulai dengan kegilaan dan berakhir dengan penyelesalan.” Ali bin Abu Talib.

Rasulullah mengingatkan umatnya, sabda baginda, “Wanita yang taat akan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama dia masih taat pada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya).” Tambah baginda, “Siapa saja wanita yang bermuka masam sehingga menyebabkan tersinggung hati suami, maka wanita itu dimurkai Allah sampai dia bermanis muka dan tersenyum mesra kepada suaminya.”

Dan sentiasa berdoa, minta kepadaNya yang terbaik, hidup yang aman damai, dijauhi syaitan yang menjadi pemusnah cinta. ‘‘Ya Allah jangan biarkan aku berpaling daripadaMu. No matter how many trials and difficulties you test me with, biarlah kesulitan ini membuatku menjadi seorang muslim yang lebih kuat dan lebih ikhlas kepadaMu. Oh Allah when I lose my hopes and plans, help me remember that your love is greater than my disappointments and your plans for my life are better than my dreams.”

“Kemarahan itu seperti bola api, tapi jika kamu menelannya ia akan lebih manis daripada madu,” pesan Syaidina Ali bin Abu Talib.

Khalifah Islam ini terus mengingatkan kita, “Jika banyak harta membuat kamu menyombong diri lalu apa yang bisa menyelamatkanmu ketika mati?” Lantas nasihatnya, “Walaupun dosa kamu sebanyak buih di lautan, sebanyak pasir di dunia ingatlah bahawa pintu taubat Allah seluas langit dan bumi.”

Jadi kawan-kawanku, adik beradik dan anak-anakku, ingat, ‘Beautiful people are not always good but good people are always beautiful.’

“Diam sampai engkau diminta untuk berbicara kerana ia lebih baik daripada kau terus berbicara sampai diminta untuk diam.”

“Jangan engkau mengucapkan perkataan yang engkau sendiri tidak suka mendengarnya jika orang lain mengucapkan kepadamu.”

“Allah menguji setiap orang dengan ujian yang berbeda-beda, kerana setiap orang memiliki tingkat kesabaran, toleransi dan keimanan yang berbeza.”

Semua nasihat ini daripada Saidina Ali bin Abu Talib.

Baginda Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang membenci (menolak sunahku, maka dia tidak termasuk golonganku (Muttafaq’alaih). Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup tujuh pintu neraka dan akan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana sahaja pintu yang disukai dengan tidak dihisab.”

Semoga Allah menambahkan cinta kepadaNya, kepada Rasulullah SAW dan kepada semua yang bergelar suami dan isteri serta seluruh ahli keluarganya. InshaAllah dengan rahmat Allah kamu akan bahagia sehingga ke anak cucu. 

Related posts

The Future Starts Today, Not Tomorrow

Wirda Adnan

HARTA PALING BERHARGA ADALAH KELUARGA

Wirda Adnan

Warkah Untuk Teman-Temanku

Wirda Adnan

Leave a Comment