Mama Di Mana Silapku?

Please select a featured image for your post

Masa berlalu pantas, kini sudah empat tahun aku meninggalkan rumah tempat aku dibesarkan. Entah di mana silapnya aku, satu hari mama menghubungi dan memberitahu, jangan lagi bertanya khabarnya dan khabar papa. Kata mama dia sudah membesarkan aku dan dia menghalalkan makan minum aku. Kata mama lagi, buatlah penghidupan sendiri kerana dia tidak lagi mahu tahu apa pun tentang aku malah melihat wajah aku pun dia tidak mahu lagi.

Membesar dalam keluarga yang hanya ada abang, hidup dikira mewah. Mama menyayangi aku walaupun mama garang. Mama sangat cerewet orangnya, semua mesti ‘in place’ dan jangan aku tersilap meletakkan pinggan di tempat yang bukan tempat dia selalu meletakkannya, mama bising sehari. Begitu jugalah yang lainnya, pendek kata dalam serba serbinya mama mahu semuanya kemas. Aku dan abang kadang-kadang lemas, semua mahu caranya tetapi sebagai anak, aku mencuba sebaik mungkin untuk menjadi anak yang baik, yang mendengar kata dan menggembirakan mama dan papa. Salah satu caranya ialah mendapatkan markah yang baik dalam peperiksaan. Aku sedar aku pelajar yang amat sederhana maka aku perlu lebih rajin. Mama pula tidak lokek, menyediakan guru tusyen dan buku-buku revision. Aku lulus dan berjaya masuk universiti.

Hanya setelah usia aku 21 tahun barulah dikhabarkan bahawa aku adalah anak angkat. Berita itu amat memilukan hati ini. Aku tidak tahu untuk memarahi mama atau papa kerana mengejutkan aku dengan berita yang paling menyayat hati ini atau berterima kasih kepada mereka kerana membesarkan aku, memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terutama papa. Aku amat manja dengannya, dan abang yang selalu ‘protect’ aku… Masa kecil ada juga kawan-kawan yang mengejek mengatakan aku anak angkat Cina kerana abang kulitnya dan sawo-sawo matang sementara mama dan papa pun begitu, tidak putih dan tidaklah hitam sangat. Teringat aku pernah bertanya kepada mama, katanya dia terkenan dengan jiran Cina, yang memang baik dengan mama dan papa dan cerita mama masa mengandungkan aku, mereka pergi holiday ke Eropah bersama-sama. Ya, banyak lagi cerita mama membuat aku percaya seratus peratus. Aku juga ingat abang pernah memarahi malah hampir menumbuk kawannya yang mengejek aku.

Masa berlalu dan aku mendapat tawaran bekerja di sebelah Pantai Timur. Mama dan papa sering juga melawat aku, seperti selalu mama seorang yang rajin, mengemas rumah aku, memasak dan sebagainya. Kadang-kadang sehingga seminggu tinggal dengan aku, dalam mulutnya bising kerana sendirian pun rumah aku tidak beberapa berkemas, dan baju aku tidak berseterika licin ke tempat kerja… hah sebagai ibu aku tahu dia mahu anaknya ‘perfect’ sepertinya.

Semua itu aku suka mengenai papa dan mama, tetapi ada yang lebih penting dalam hidup yang tidak dipraktikkan oleh mereka. Ya, aku malu menyebutnya, mereka kurang dalam hal agama. Mama, bila dia rasa hendak solat, dia solat, bila dia tidak mahu solat, dia tak solatlah. Aku pula tidak pernah tengok papa solat, mungkin di biliknya dia solat barangkali tetapi kalau azan Maghrib dia masih di kerusi malasnya menonton tv dan sehingga azan Isyak masih di situ, bilamana dia solat? Dan seringat aku, aku tidak pernah disuruh bersolat. Namun masa aku di sekolah rendah aku dihantar mengaji walaupun tidak tamat quran aku hafallah ayat-ayat lazim. Boleh bersolat dan berpuasa dan menjadi orang Islam lah aku ini. Malah aku hanya mula mengerjakan solat sewaktu di asrama universiti.  Sewaktu menyewa bilik bersama-sama kawan, kebetulan semuanya rajin solat dan aku turut melakukannya kerana malu. Aku teringat tidak dibekalkan dengan telekung, dan terpaksa meminjam pada kawan-kawan. Satu hari aku menerima hadiah telekung daripada teman sebilik…”Jam.. ini je yang aku mampu beri kepada Jam. Punyanya aku happy tidak terkira, kerana selepas itu aku tidak lagi meminjam telekung daripadanya. (That was my first telekung dan sehingga kini aku simpan.) Aku basuh pun waktu selepas subuh supaya pada solat zuhur aku dapat gunakan semula.

Bila balik ke rumah, awal-awalnya solat juga tetapi kemudian solat entah ke mana sebab sibuk di dapur memasak atau membantu mama mengemas. Dan bila aku soal mama mengapa dia tidak bekalkan telekung, entah alasannya cukup tak masuk akal, “Mama order telekung Siti Khadijah tapi tak sampai-sampai. Kalau nak juga telekung ambillah dalam almari tu. Mama pun cuma ada satu.” Sungguh sedih mama boleh beli beratus pasang baju, beg tangan dan kasut berjenama tetapi tidak mampu beli telekung. Papa dan mama boleh spent berpuluh ribu pergi holiday sana sini tetapi belum sekali ke umrah jauh sekali lah buat rukun Islam kelima. Mama ke shopping mall every now and then tetapi belum sekali jejak kaki ke surau mahupun masjid.

Mama hal makan begitulah dia sibuk bertanya. Kadang-kadang subuh lagi sudah telefon bertanya masak apa for breakfast dan hari minggu masak apa, tetapi mama tidak tanya anaknya sudah solat ke belum. Mama pada bulan puasa sibuk bertanya makan apa berbuka tetapi tidak tanya aku puasa ke atau tidak dan buat terawih ke, malah tengah terawih bertanya malam makan apa… risau sangatlah anaknya yang berpuasa ini kelaparan dan mati tidak makan. Aku perhatikan mama puasa juga tetapi kalau dia batuk ke, sakit kepala sikit ke, lebih-lebih kalau ada fever dan doktor beri ubat, aduh tidaklah dia berpuasa. Alasan kena makan ubat. Papa pula entah, tidaklah makan depan kami tetapi sebab dia ‘on medication’, lalu itulah alasannya tidak berpuasa, sebab doktor larang. Mengapa tidak dicuba puasa dan makan ubat sebelum masuk subuh? Tidak cuba tidak tahu dan siapalah aku untuk menasihatkan mereka.

Di universiti aku pernah bercinta tetapi tidak menjadi. Lagipun yang pasti mama dan papa tidak berapa berkenan kerana dia ambil pengajian Islam, sedangkan aku di dalam jurusan ekonomi. Ikutkan aku mahu mendalami undang-undang syariah tetapi aku ingat papa tidak galakkan, katanya susah dapat kerja, dan setelah itu baru aku sedar yang mereka kuranglah suka kalau aku pula jadi alim, agak begitulah.

Aku teringat kekasihku itu bernama Ali, dia pernah memberitahu, “Apapun satu hari abang akan mengkahwini you Jam.” “Kalau mama kata no?” Aku menjawab cakapnya. “Abang akan terus doa sampai dapat.” “Kalau Jami kahwin dulu?” “Janganlah kahwin… tunggulah abang, apa pun abang janji pada diri, hendak buat Master dan lepas itu hendak buat PhD. baru kahwin.” “Tu lama sangat…” “Sabar sayang apa pun abang akan kotakan kata-kata abang ini.”

Apapun di tempat bekerja aku menemui seseorang. Lama juga aku ambil masa mencintainya (kerana masih berharap yang Ali akan menghubungi. Setelah tamat pengajiannya, aku tidak lagi mendengar berita darinya. Ah mungkin sudah lupa atau barangkali dia merajuk habis, sebab mama pernah menghubunginya dan meminta dia jangan mengganggu aku, dan minta dia jangan merosakkan pemikiran aku. Dia merajuk walaupun aku memberitahu mama memang sifatnya begitu. “Yalah aku orang kampung, mana layak hendak mengahwini anak Datuk, Datin,” katanya.

Berbalik kepada seorang teruna yang bekerja di Kementerian sama… dia ini pula tidak pernah putus asa untuk membuktikan yang dia cinta aku. Kalau sebelum ini pun mama tidak berkenan, apa lagi yang seorang ini. Kerana dia cuma miliki diploma… sedangkan aku ada degree. Dan gajinya jauh lebih rendah. Memberitahu mama yang lelaki ini akan menghantar wakil untuk meminang, mama naik angin. “No mama tidak benarkan anak mama kahwin dengan juruteknik, you should marry an engineer or someone of your qualification.”

Dalam masa bertarik tali itulah aku dikhabarkan oleh sepupu yang aku sebenarnya anak angkat. Aku frust gila, pertama mama dan papa tidak restui perhubungan kami dan kemudian aku dikejutkan pula yang aku ini anak angkat. Aku tidak hubungi mama dan papa lagi malah satu pun panggilan mereka tidak aku jawab. Aku tidak mahu berurusan dengan mereka lagi. Sedangkan mereka juga tidak menyenangi hubungan, aku rasa aku harus berdiam diri.

Kemudian aku tersedar kami hendak kahwin dan perlu mendapat restu ibu bapa. Aku hubungi semula. Teringat mama mohon maaf tidak memberitahu yang aku anak angkat kerana hendak menjaga hati aku. Sekarang aku sudah besar dan boleh terima hakikat yang aku ini bukan anak kandung mereka. Aku meminta mama dan papa cari bapa kandung kerana aku mahu berkahwin. Bukan sahaja mama tidak mahu membantu hal itu sebaliknya meminta aku memutuskan hubungan. “Tolong, dia bukan lelaki yang sebaiknya untuk kamu. Nanti kami carikan orangnya, papa kamu juga ada menyatakan hasrat hendak menyatukan kamu dengan anak saudaranya.” Lagilah aku marah, dan hakikatnya aku cinta dia dan aku hanya mahu kahwin dengan dia, siapapun yang mama atau papa cadangkan aku tidak mahu kahwin.

Cinta yang membara akhirnya membawa kepada kata sepakat. Sementelah aku juga tidak memerlukan papa untuk menjadi wali dan aku juga tidak kenal siapa ayah kandung, maka tiada halangan aku mendapat wali hakim sahaja. Aku bernekad keluar rumah, kerana kata mama kalau aku hendak juga aku mesti keluar dari rumah ini dan usah mencari mereka lagi. Kerana cinta aku ikutkan hati. Kami berkahwin tanpa restu mama dan papa.

Selepas berkahwin, aku cuba juga memujuk mereka. Kalau dulu aku yang tidak mahu mengangkat telefon jika mama atau papa yang hubungi, kini giliran mereka pula. Puas aku meninggalkan pesan, minta ampun dan sebagainya tetapi tidak dilayan langsung. Sehingga anak kedua, entah macam mana satu hari aku hubungi dan beritahu mama yang aku kepingin sangat hendak jumpa mama dan papa. Akhirnya aku berjaya memujuk mama. Papa pula bila mama okey, barulah dia mahu bercakap. My life was almost complete; mama dan papa sayang dua cucunya dan menerima sang suami begitu-begitu sahaja. Papa dan mama nampaklah tidak berapa suka kalau kami pulang bersama. Sesekali suami hanya menyingahkan aku ke rumah mereka dan pergi ke rumah adik beradiknya. Ada kala dia tidur di sana, tidak di rumah mama. Alasannya orang tidak suka, tidak perlu menyuakan sangat muka. Mama pun jarang bertanya, baginya suami aku itu tidak penting dalam hidupnya.

Lima tahun bersama, rumah tangga kami pula retak disebabkan orang ketiga. Aku memberitahu mama akan apa yang terjadi, dan mama pulang paku buah keras. “Mama sudah cakap, dia bukan orang baik tapi kamu yang tergila-gilakan dia. Mama yang lebih dulu garam. Cakap mama kamu tidak mahu dengar. Eloklah tu, minta saja cerai.”

Mama cepat-cepat memberitahu papa. Papa dia tidak cakap apa-apa tetapi mama sibuk mengajak aku pergi ke mahkamah untuk memohon perceraian. “Lagipun kamu yang tanggung anak-anak, minta saja cerai. Dia pun kamu yang tanggungkan? Rumah yang kamu diami itu kamu yang bayar bukan? Kamu potong gaji kamu setiap bulan bukan? Kereta juga kamu yang bayar kan? Kereta dia tu kamu juga ke yang bayar bulan-bulan ke?” tanya mama dan begitu banyak soalan lain, tetapi pendekkan cerita memang semua tanggungan aku, sehingga hujung bulan aku kering, simpanan zero. Aku terpaksa dalam diam minta duit papa melunaskan hutang bulanan terutama jika kereta rosak dan sebagainya. Setiap bulan bukan aku yang beri duit pada mereka tetapi sebaliknya.

Kadang-kadang terdetik juga hati, duit suami ke mana, dia bayar apa? Yang aku tahu, Cuma bayar bil lektrik dan air. Banyak mana sangat, dan keretanya pun setiap bulan ada sahaja alasan untuk minta aku yang bayar. Oh ya, dia tolong bayar duit tempat aku hantar anak-anak, cuma RM500 sebulan untuk berdua.

Aku masih ingat mama juga yang bayar duit peguam kerana kalau tidak akan lambatlah kes diselesaikan. Hak penjagaan anak-anak diberikan kepada aku; satu kerana dia yang curang dan kedua kerana aku yang bergaji besar plus atuk mereka orang senang, berbeza di sana, mentua orang kampung mengharapkan duit kelapa untuk hidup atau jual pisang-pisang yang ditanam sekeliling rumah.

Akhirnya dengan pertolongan mama yang berjaya mendapatkan peguam yang bagus, talak pun dijatuhkan. Mama insan paling gembira, dia memujuk mengatakan adalah jodoh dengan orang yang lebih baik. Tetapi dalam hati berkata, “Masa aku anak dara pun tiada yang hendakkan aku, inikan sudah menjanda, dua anak. Adakah orang hendak kahwin?”

Aku Takut Menjadi Janda

Aku pula bertukar tempat kerja, jadi untuk beberapa bulan anak-anak dijaga oleh mama. Aku risau juga sebab mama garang, dan mama pula dia tidak kira siapa, kalau dia rasa tidak betul dia tegur, dia marah. Tapi aku tidak ada pilihan, aku tidak punya pembantu rumah. Di rumah mama memang ada mak cik yang sudah bersama mama sejak 10 tahun yang lalu. Nurseri tempat aku selalu tempatkan mereka sudah tutup, whether I like it or not I have to put them at my parents house. Aku tahu mama dan papa akan jaga mereka sebaiknya macam cucu sendiri. Abang belum mempunyai anak, oh ya abang pun ada cerita tetapi tidak payahlah aku masukkan di sini.

LIma bulan (campur masa aku sibuk urusan mahkamah) mama yang jaga anak-anak aku. Terima kasih mama dan papa kerana hati ini lega sebab aku tahu anak-anak dijaga baik. Hendak berulang alih setiap dua minggu pun susah, tetapi aku akan cuba sedaya upaya menjengok anak-anak, mama dan papa.

Dan bagus juga selama dengan tuk mak dan pak tuk mereka nampak berdisiplin sikit.  Makan pun tidaklah perlu dikejar dan bermain tarik tali untuk menyuapkan mereka makan. Sementara itu mama berjaya tidak melayan anak-anakku dengan McDonnald dan KFC. Mama masak makanan yang cukup zatnya, seperti mana yang mama selalu buat kepada kami dulu-dulu.

Semuanya berjalan dengan baiknya dan setelah semuanya settle, kerja baru pun okey dan kes pun sudah selesai aku membawa balik kedua anakku. Kesian mama, dia mula sayangkan mereka dan berderai air matanya melepaskan mereka berdua. Aku pun happy gila, ada juga rahmatnya daripada perceraian tadi, mama bertambah sayang pada dua cucunya. Mama pun happy sangat yang saya tidak lagi bersuamikan orang yang mama benci. Pelbagai nama mama berikan kepada dia, dan bertambahlah marah mama apabila diberitahu yang dia bukan sahaja curang tetapi dia ni ringan tangan dan acapkali sukakan seks luar tabii. Entahlah aku tiga kali disepaknya sebab kesalahan yang tidak disengajakan. Kemudian aku dipaksa melakukan seks-seks yang tidak dibenarkan.

Teringat ada kawan bertanya, “Mengapa aku tunggu juga dia sekian lama. Sebab konon kalau aku bercerai, aku jadi janda dan aku takut sangat dengan terma janda itu. Padaku janda satu perkataan yang sungguh jelek. Bayangkan aku dilabel sebegitu, mampukah aku melangkah melihat dunia. Aku ada kerjaya dan aku tidak mampu dihina dan disisihkan daripada masyarakat malah takut kawan-kawan sendiri menjauhkan diri. Stigma yang ngeri itu melekat sehingga aku membenarkan diriku diperbodohkan. Aku teringat seorang teman yang menjanda dan dia dibebani pelbagai kata cerca. Kalau adalah orang pejabat (al maklum pejabat kerajaan, besar seperti sebuah mukim, dan satu mukim akan mengatakan, itu si Tijah tidak habis-habis nak ngorat laki orang. Si Tijah terkenal dengan janda yang suka memporak peradakan rumah tangga orang) sehingga satu hari dia memohon untuk ditukarkan bukan di Kementerian berdekatan tetapi jauh di Utara, untuk membina hidup baru di sana. Kesian dia, sepatutnya menjadi tanggungjawab ‘mukim’ untuk membantu dia sekiranya di dalam kesusahan sebaliknya dia ditimpa dengan seribu satu tomahan, yang akhirnya dia mengalah. Bersolek salah tidak bersolek pun salah, pakai baju baru dikata, beli kereta baru dikata dan ya segala yang dia buat tidak betul. Bila aku jadi kawan baiknya ada kata nanti terkena badinya. Betul aku takut dihina dengan perkataan janda Jamilah atau si janda anak dua. Aku takut kerana menjanda kawan-kawan sendiri akan pinggirkan aku sebab takut aku akan mengambil laki mereka pula.

Rasa takut menjanda masih menebal tetapi aku kuatkan hati. Aku cuba tidak menceritakan kepada sesiapa akan apa yang terjadi, kalau mereka tahu, tahulah. Yang tidak tahu biarlah kerana lambat laun mereka akan tahu juga. Namun mulut tempayan masakan boleh ditutup, sudah ada yang buka tudung tempayan. Okay aku mengakui yang aku sudah janda, aku minta mereka menerima keadaan yang aku terpaksa bercerai demi kebaikan diri. Alhamdulillah ramai juga yang simpati.

Pada awal pulang ke rumah sendiri, mama khasnya selalu menghubungi bertanya khabar aku dan anak-anak. Kadang-kadang sehari sampai dua kali. Mama juga sering bercakap dengan cucu-cucunya, terutama si adik yang sebenarnya tidak beberapa faham apa yang dicakapkan. Ada sekali mama menaiki pesawat dan tinggal seminggu. Sungguh aku happy. Seminggu itu mama ajar pelbagai masakan, kerana kalau boleh mama tidak mahu kami makan di luar. “Makanan di luar sesekali boleh tetapi jangan selalu-selalu, kamu tidak tahu apa yang mereka bubuh, minyaknya, dan sebagainya…”

Satu hari mama menghubungi, aku lambat sikit angkat telefon. Aku beritahu mama yang abah mereka datang untuk mengambil anak-anaknya. Mama tiba-tiba melenting, “Mama kata you stop seeing him,” dia meneking. “Jangan benarkan abah mereka jumpa anak-anaknya.”  Aku pun jawab, “Mama Adil dan Nila juga anak Sam, dia berhak ke atas mereka.” Mama lagi melenting, “Oh dah sayang balik lah, nanti…” “Nanti apa pulak yang kamu akan buat, nak berbaliklah dengan si bahlul tu?”

Mama terus membebel. “Mahkamah pun beri dia masa untuk melawat anak-anaknya. Biarlah kalau dia nak jengok anaknya.” Mama tidak suka, kalau boleh aku putuskan terus hubungan.

Aku tidak tahu apa halnya kerana dua bulan kemudian mama hubungi dan memberitahu yang aku dan dia sudah tiada ikatan apa-apa. Katanya, dia tidak mahu ambil tahu langsung hal aku. Aku call papa, kata papa mama memang marah sangat kerana aku sudah berbaik dengan bekas suami kerana itu dia malas lagi hendak melayan aku. Aku cuba menerangkan situasi sebenar tetapi papa pun sama seperti mama, tidak berapa hendak mendengar jawapan aku.

Surat Untuk Mama

Mama papa, hari ini sudah hampir empat tahun Jami tidak mendengar khabar kalian berdua. Jami mengharapkan mama dan papa dalam kesihatan yang baik. Jami mendapat tahu mama dimasukkan ke hospital, tergerak juga hati melawat mama tetapi bila teringat kata-kata terakhir mama, Jami pendamkan hasrat itu. Jami ada memberitahu suami yang Jami teramat ingin menemui mama dan papa, dan suami pun tiada halangan membenarkan malah dia sendiri ingin sekali bertemu.

Jami menulis surat ini, kiranya inilah yang terbaik untuk menerangkan situasi sebenarnya. Sebulan yang lalu kami ke Kuala Lumpur, kerana kebetulan Jami bermesyuarat di sana dan suami ada beberapa business meeting. Mulanya hendak juga mengetuk pintu rumah mama tetapi rasa tidak sanggup pula takut mama menghalau kami. Malu pula kepada suami kalau tiba-tiba mama keluar pintu dan tidak membenarkan kami masuk. Lagipun anak-anak tiada bersama kala ini. Anak-anak ditinggalkan bersama nenek mereka sebab keduanya sudah pun bersekolah.

Pendekkan cerita di kala kami makan-makan di ruang lobi hotel, kami terserempak dengan abang Khairi, sepupu. Kami mengajak dia join sekali dan Jami memperkenalkan suami. Dua anak di rumah neneknya, jadi barulah Jami dapat bercerita betul. Kami juga mendapat tahu mengapa mama marah sangat dengan Jami.

Mama, Khairi awalnya tidak mahu bercerita banyak, barangkali segan dengan suami tetapi Jami dapat tangkap yang Khairi pun sebenarnya tidak pernah mengenali bekas suami, jadi dia juga pun ingat yang Jami berbalik dengan Sam. Yalah, bila masa abang Khairi kenal dengan Sam. Lagipun Sam tidak pernah diterima di dalam keluarga, jika ada pun majlis saudara mara Jami pergi sendirian tanpa suami. Kata abang Khairi dia tahu Jami sudah sudah bercerai tetapi berbalik semula, katanya mama beritahu kepada Mak Alang (ibunya) dan kerana itulah mama marah sangat dengan Jami.

Mama, Jami tahu ada seseorang telah hubungi mama dan mengkhabarkan kepada mama berita yang berupa fitnah ini. Memang betul selepas bercerai beberapa kali ada juga ayah budak-budak itu datang mengambil anak-anaknya. Jamu tidak suruh dan tidak halang, bila dia rasa hendak jengok mereka, dia ambil beberapa jam dan kemudian hantar balik. Tetapi setelah dia berkahwin, dia barangkali sudah lupa yang dia ada anak kot. Sehari sebelum majlis dia mengambil mereka. Kebetulan cuti sekolah dan dia meminta untuk tinggal beberapa hari dengan mereka. Jami benarkan. Dan selepas itu tiada lagi dengar khabar. Jami tidak kisah.

Mengenai yang dikatakan Jami rujuk semula dengannya, tidak sama sekali. Jami sendiri yang minta untuk berpisah, mengapa pula mahu rujuk semula?

Mama ingatkan lelaki yang pernah mama halang perhubungan kami sewaktu di kolej dulu? Dr. Ali A. dia kematian isteri setelah tiga tahun berkahwin kerana barah. Dan selepas itu abang A tidak pernah berkahwin. Menjadikan cerita, persatuan kami mengadakan majlis motivasi dan menjemput Dr. Ali. Jami sendiri tidak menyangka yang dia dijemput. Terkejut, dan sudah pasti dia bertanya hal Jami dan Jami tanya khabarnya. Rupanya ada jodoh kami berdua. Sudah lebih setahun kami berkahwin.

Mama maafkan Jami kerana mendiamkan perkara ini kerana mama pun kurang berkenan dengannya tetapi Jami begitu mengharap satu hari kami diterima kembali. Dan dikesempatan ini Jami khasnya memohon dihalalkan makan minum dan segala kasih sayang yang dicurahkan, hanya terima kasih sahaja yang mampu Jami katakan.

Kami berdua akan mengerjakan rukun Islam kelima dan akan bertolak dua minggu daripada sekarang. Doakan kami mendapat Haji mabrul. Anak-anak akan dijaga oleh neneknya (ibu abang Ali) yang akan temankan mereka di rumah bersama seorang pembantu yang memang sudah lama bersama kami.  Sekali lagi kami memohon dimaafi segala kesilapan yang sengaja dan tidak disengajakan. Doa kami semoga mama dan papa juga akan satu hari dapat ke sana juga. Salam sayang kepada abang, dan katakan padanya Jami juga mohon dimaafkan atas segala kesalahan dan kekasaran. Semoga kita semua dapat bertemu satu hari kelak.

Love. Jamilah dan keluarga.

 

 

 

Penulis: Jamilah A.

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON