SANA-SINI

Mak Siti Talent Academy

Satu Pengiktirafan Kepada Usaha dan Perit Jerit 40 Tahun

Khamis 19 Mei, 2022 bertempat di hotel Hatten, Melaka, Mak Siti Products (M) Sdn Bhd bergerak setapak lagi dengan merasmikan Mak Siti Talent Academy. Dilancarkan bersama oleh Yang Amat Mulia Tengku Shariffuddin Shah bin Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan isteri Che’ Puan Juliana Evans, yang sempat naik ke pentas bercerita pengalamannya sewaktu menjadi pelajar.

“Akademi ini lahir setelah pihak kami merasakan terdapatnya keperluan bagi mengadakan satu program internship, atau latihan amali pra-kerja yang bersifat lebih holistik dan realistik,” kata Pengurus Besar Mak Siti Products Sdn Bhd Puan Siti Khawa Jannah. (Sedikit informasi mengenai Mak Siti Products Sdn Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Nasuha Enterprise, ia adalah pengeluar rempah warisan yang dijenamakan sebagai Rempah Ratus Mak Siti. Sejak 1981, jenama ini telah bertapak kukuh dan menghasilkan kira-kira 35 jenis rempah yang berjaya menebus pasaran dalam dan luar negara. Segala kejayaan ini adalah hasil usaha sama dua individu utamanya, Tuan Haji Nasuha dan isteri, Hajah Siti Hajir Salleh).

Program-program di akademi ini diolah dan digarap sesuai bagi para pelajar yang bakal menamatkan pengajian, bakal-bakal graduan yang sedang mencari peluang pekerjaan ataupun tempat untuk latihan praktikal dan juga warga kerja yang inginkan bergerak ke hadapan di dalam karier mereka.

Mak Siti Talent Academy ini adalah sebuah akademi maya (virtual academy), dan ianya diuruskan dan diselia oleh Jabatan Sumber Manusia Mak Siti Products (M) Sdn Bhd, yang mana turut berfoto folio dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan.

Kewujudan akademi ini membawa bersama aspirasi Mak Siti Products (M) Sdn Bhd. “Kami ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dan bukan menjadi sebuah syarikat pengeluar rempah-ratus semata-mata.

“Kami ingin menjadi akademi pilihan bagi menghasilkan graduan-graduan usahawan, dengan melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu yang bersesuaian yang boleh diguna-pakai di dalam pelbagai cabang industri atau bidang yang diceburi.

“Akademi ini akan turut mengasah kemahiran-kemahiran yang ada dalam kalangan para pelajar yang baru meninggalkan alam pembelajaran. Pelbagai modul telah dirangka supaya mereka bakal menjadi sedia untuk bertugas (work-ready).

“Selain itu, dengan program-program internship di Mak Siti Talent Academy ini, kami ingin mengenal pasti modal insan yang berwibawa dan terus melatih dan membangunkan mereka di dalam syarikat Mak Siti Products (M) Sdn Bhd.

“Kami di Mak Siti Products (M) Sdn Bhd dan terutamanya jenama Mak Siti dengan penuh harapan agar syarikat dan jenama yang telah bertapak sejak 1981 ini akan menjadi syarikat dan majikan pilihan bagi ramai graduan-graduan di luar sana.

“Dalam mengorak langkah penubuhan akademi ini, kami juga berharap agar ianya akan juga meransang hubungan sesama warga-kerja supaya menjadi lebih akrab di samping jalinan hubungan yang erat dalam kalangan ahli-ahli usahawan dan juga pelbagai institusi pengajian di luar sana.

“Kita kini berada di dalam fasa peralihan ke endemik; dan kebanyakan industri telah pun kembali beroperasi dan dibuka. Lahirnya Mak Siti Talent Academy ini sejajar dengan sebuah harapan, iaitu A New Beginning, dan saya anggap sebagai satu pengiktirafan kepada usaha dan perit jerih kami selama 40 tahun dan sudah tiba masanya untuk kita berkongsi ilmu-ilmu dan pengalaman untuk bergerak maju seiring dengan peredaran masa. 

“Warga kerja yang gemilang adalah mereka-mereka yang berjaya dalam bidang atau lapangan yang diceburi setelah mengharungi onak duri untuk berjaya dalam kehidupan. Mereka bukan sahaja berdikari dan berwawasan tetapi juga tidak mudah berputus asa, gigih berusaha dan berdaya saing.

“Peranan modal insan dan warga kerja adalah sebagai tunjang atau tulang belakang dalam membantu merealisasikan impian dan cita-cita syarikat-syarikat dan negara sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan mahu pun politik dan sosial.

“Mak Siti Talent Academy juga bertujuan menjadi ia hub perkongsian ilmu bagi memperkasa dan memartabatkan modal-insan untuk pembangunan dan kemajuan diri, kerjaya juga peranan mereka dalam syarikat, keluarga dan masyarakat.

“Modul dan program di akademi ini juga bertujuan membantu menjana minda, menyemarakkan semangat serta mengukuhkan kewibawaan para intern atau pelatih agar dapat bersaing dan menyumbang kepada semua. Yang pasti ianya juga akan menjadi suatu medan perkongsian ilmu, perniagaan dan pemadanan kemahiran dalam pelbagai industri.

“Impian kami agar Mak Siti Talent Academy akan merangsang para bakal pekerja dan warga-warga kerja sedia ada supaya bukan sekadar berilmu, berketrampilan tetapi mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi di dalam menjalani kehidupan serta membangunkan syarikat dan industri, dan juga berdaya maju serta berdaya saing membangunkan negara tercinta.”

MajalahWM diwakili Puan Wirda Adnan dan Puan Mahani Awang antara media yang hadir di perasmian Mak Siti Talent Academy.

Related posts

Stylish OPPO A16K at just RM499!

adminwm

Ramadan, Zebra Square Menunggu Anda

adminwm

Kedai Konsep Pintar OGAWA

admin

Leave a Comment