Kisah Ramadan dan Lelaki Yang Menyentuh Hati

Please select a featured image for your post

Ramadan bulan yang kau dan aku nanti, yang kita teruja nikmati. Di bulan semulia ini, kita gembira menjalani sehari-hari dengan berlapar dan dahaga tetapi di dalamnya ada pahala. Kita suka kerana dalam sibuk berkejar ke sana ke mari tetapi tidak lupa melangkah kaki ke masjid berterawih hingga bermoreh. Ini bulan yang kita tidak sabar menunggu senja bukan saja kerana mahu berbuka tetapi juga mahu menyalakan pelita dan memasang suis agar lampu kelip-kelip memancar cahaya gembira.

Perkataan gembira membuatkan jari-jari saya berhenti menaip seketika. Baru sebentar tadi terlihat di Facebook, kawan-kawan saya di kampung berkumpul di balai raya di tempat kami bagi menerima bantuan sara diri. Terkejut saya melihatnya; mereka bukanlah 60 atau 70 tahun ke atas tetapi sekitar 30-an umurnya. Masih muda, masih ada tenaga tetapi kesempitan hidup membuatkan mereka perlu dibantu. Bagaimana boleh susah begitu? Satu kerana tidak berpelajaran tinggi jadi tidak ada peluang kerjaan buat mereka. Yang ada di kampung setakat bekerja di gerai atau kedai runcit dan itupun gajinya ciput – sehari pendapatan biasa 10 ringgit, kalau untung dapat dua kali ganda namun bukan selalu kerana sudah tidak ramai penduduk di ceruk FELDA Keratong itu. Jadi kedai kopi setiap satunya lengang tanpa pelanggan. Sebab yang kedua, mereka ini ditinggal suami atau ada juga yang dulu laki bini bekerja di kilang-kilang di Shah Alam namun dibuang kerja kerana kilang bankrap jadi terpaksa pulang ke kampung membesarkan anak dan menumpang kasih mak bapa. Begitulah sebenarnya keadaan hidup di tempat saya.

Semenjak sebelum Ramadan, saya ke beberapa pertunjukan fesyen Raya dan tatkala membelek setiap helaian saya terkejut, lima enam ratus menjadi harga biasa koleksi siap pakai dan ada juga yang menjangkau lebih empat ribu. “Gila! Ada ke orang nak beli harga baju Raya mahal macam ni?” “Gila tak gila lah cik abang oi, dah ada pun yang menempahnya,” (Perbualan saya bersama teman media). Walau bagaimanapun, pereka punya alasan tersendiri. Mereka ahli perniagaan, jadi koleksi dihasilkan mensasar pelanggan berbeza. Kalau sudah harganya empat ribu tentulah sasaran pembeli sekurang-kurangnya yang bergaji 20 ribu. Tetapi berbalik kepada kisah orang kampung saya tadi, sanggupkah anda membiarkan baju Raya yang biasanya dibeli paling kurang tiga pasang dengan harga ribu-ribu membaluti badan sedangkan orang lain ada yang perlu menadah tangan meminta bantuan penghidupan?

Nah, persoalan itu membuatkan saya teringat akan perbualan dengan Que Haidar. Kata Que, semenjak berkahwin dia lihat kehidupan manusia dalam dua taraf berbeza; yang sederhana dan yang kaya raya. Yang kaya raya ini katanya membelanjakan duit sepertikan ia tidak bernilai lagi sedangkan orang lain punyalah susah, nak beli beras pun kena pilih dulu mana yang paling murah. Pun begitu tidak timbul rasa bersalah kerana bagi mereka, “It is not a problem lagi pun I banyak buat charity,” tetapi sebenarnya mereka yang kaya segila ini tidak tahu, bagaimana keadaan hidup susah itu sebenarnya. Dan lagi, orang susah kadangkala bukan mahu duit, tetapi minta dibukakan jalan untuk berniaga atau ruang pekerjaan atau perlu diajar skil komunikasi dan membina personaliti contohnya, supaya apa yang dipelajari dapat membantu perjalanan kerjaya mereka.

Kita perlu ingat esok tidak sama semalam dan semalam tidak sama dengan esok dan hari-hari lain yang bakal kita lalui juga tidak akan sama. Dan kita perlu juga ingat pada diri, apa yang kita ada hari ini pasti orang lain juga menghajatinya. Tidak rugi jika lebih memberi. “We make a living by what we get. We make a life by what we give.” ― Winston S. Churchill

Oh! Ini kah sahaja tulisan saya bulan ini? Nah, Jun bulan istimewa untuk lelaki dan bercerita tentang Hari Bapa khasnya, membuatkan saya terkenang bapa saya di kampung. “One night a father overheard his son pray, “Dear God make me the kind of man my daddy is.” Later that night, the father prayed, “Dear God, make me the kind of man my son wants me to be.” Begitulah sebenarnya kisah anak dan bapa. Anak mahu menjadi sehebat bapa dan si bapa mahu menjadi yang terbaik supaya anak-anak tidak kecewa. Sungguh istimewa insan yang bernama bapa, tetapi hakikatnya setiap kali sesuatu terjadi yang kita panggil adalah ‘mak’ yang kita tercari-cari ‘mak’ begitu juga kalau takut yang dijerit ‘mak’. Dan bapa seterusnya jadi orang kedua, tetapi yang kedua ini setia di sisi yang pertama. Tidak pernah dia meninggalkan tetapi menyokong semahunya.

My father didn’t tell me how to live; he lived, and let me watch him do it.” – Clarence Budington Kelland. Begini cara bapa saya. Daripada kecil tidak dia beritahu apa perlu dibuat atau bagaimana melakukannya. dia menjalani hidup dan membiarkan kami anak-anak melihatnya kerana anak-anak boleh fikirkan sendiri baik buruk untuk hidup.

Saya mahu terus menulis tetapi masa yang ada tidak mencukupi. Salam Ramadan kepada pembaca dan kepada apak, “I love you!”

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON