GAYA HIDUP

Kenali Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro GOIH, ComM, (sebutan dalam bahasa Portugis: [kɾiʃ’tjɐnu ʁuˈnaɫdu], lahir pada 5hb Februari 1985. Pemain bola sepak profesional dari Portugal yang bermain di posisi penyerang untuk kelab bola sepak Real Madrid yang berpangkalan di Sepanyol dan untuk pasukan kebangsaan Portugal. Selalu disebut-sebut sebagai pemain terbaik sepanjang zaman. Ronaldo dianugerahkan FIFA Ballon d’Or sebanyak lima kali, pemain terbanyak yang memenangi anugerah ini dan juga pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang memenangi anugerah Kasut Emas Eropah sebanyak empat kali.

Sepanjang kariernya, beliau telah memenangi 22 trofi kejuaraan, termasuklah lima kejuaraan liga domestik, empat kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA dan sebuah trofi kejuaraan Piala Eropah UEFA. Sebagai seorang penyerang yang berbisa, beliau memegang rekod penjaring gol terbanyak dalam lima liga domestik di Eropah teratas sebanyak 369 gol, dalam kesemua perlawanan Liga Juara-Juara UEFA sebanyak 105 gol dan dalam kejuaraan UEFA EURO sebanyak 29 gol. Sejumlah lebih 600 gol telah dijaringkan untuk pasukan kelab dan kebangsaan.

Dilahirkan dan dibesarkan di Santo António, Madeira, Ronaldo pada usia mudanya didiagnosa dengan penyakit takikardia sewaktu berumur 15 tahun. Beliau kemudian dirawat dengan prosedur pembedahan dijalankan, dan memulakan karier seniornya dengan menyertai kelab Sporting CP, sebelum menyertai kelab Manchester United semasa beliau berusia 18 tahun pada 2003. Selepas memenangi trofi pertamanya iaitu Piala FA pada musim pertama di England, beliau membantu pasukan United memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut, satu kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA dan sebuah trofi Piala Kelab Dunia FIFA. Sewaktu berumur 22 tahun, beliau dicalonkan untuk anugerah Ballon d’Or dan Pemain Terbaik Dunia FIFA dan memenangi kedua-dua anugerah ini pada usianya 23 tahun. Pada 2009, Ronaldo menandatangi kontrak bersama kelab Real Madrid di Sepanyol dengan rekod perpindahan termahal dunia pada ketika itu dengan harga sekitar €80 juta.

Di Sepanyol pula, Ronaldo memenangi dua kejuaraan La Liga, dua buah trofi Copa del Rey, tiga trofi Liga Juara-Juara UEFA dan dua trofi Piala Kelab Dunia FIFA. Selepas menyertai Real Madrid, Ronaldo mendapat tempat kedua untuk anugerah Ballon d’Or di belakang Lionel Messi sebanyak tiga kali, sebelum memenanginya dua kali berturut-turut pada  2013 dan 2014. Pada 2014, Ronaldo dinobatkan sebagai pemain terpantas dalam sejarah bola sepak Sepanyol apabila beliau berjaya mencapai 200 gol dalam La Liga hanya dalam 178 perlawanan. Pada 2015 pula, beliau adalah penjaring gol terbanyak kelab. Pada 2016, Ronaldo memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali keempat selepas mendapat undian terbanyak.

Sebagai pemain untuk pasukan kebangsaan, Ronaldo dinamakan sebagai pemain Portugal terbaik sepanjang zaman oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal pada 2015. Ronaldo memulakan debut antarabangsa pada bulan Ogos 2013, sewaktu berusia 18 tahun. Beliau adalah pemain Portugal dengan kaps terbanyak dengan lebih daripada 130 kaps, dan menyertai tujuh kejohanan utama. Gol pertama Ronaldo untuk pasukan kebangsaan dijaringkan sewaktu kejohanan UEFA Euro 2004, membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir. Beliau mengambil peranan sebagai kapten pasukan bermula pada bulan Julai 2008, dan memimpin pasukan Portugal memenangi kejohanan pertama di peringkat antarabangsa dengan merangkul kejuaraan UEFA Euro 2016 dan menerima anugerah Kasut Perak sebagai penjaring gol kedua terbanyak dalam kejohanan tersebut. Ronaldo merupakan salah seorang daripada atlit paling berpengaruh, disenaraikan sebagai atlit dengan bayaran tertinggi di dunia oleh Forbes pada 2016 dan 2017, serta atlit paling terkenal di dunia oleh ESPN pada 2016 dan 2017.

Kehidupan awal
Ronaldo dilahirkan di Santo António, dalam kejiranan Funchal, Madeira. Anak bongsu hasil perkongsian hidup pasangan Maria Dolores dos Santos Aveiro, seorang tukang masak dan José Dinis Aveiro, bekerja sebagai pekebun untuk majlis perbandaran. Nama “Ronaldo” diberikan bersempena dengan nama presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Ronald Reagan, yang merupakan idola bapanya. Adik-beradik Ranaldo terdiri daripada seorang abang, Hugo dan dua kakak, Elma dan Liliana Cátia. Moyangnya, Isabel da Piedade berasal dari negara Tanjung Verde. Ronaldo menyatakan bahawa pada kehidupan awalnya, beliau hidup dalam keadaan miskin, dan berkongsi bilik bersama adik-beradiknya.

Semasa zaman kanak-kanak, Ronaldo bermain untuk pasukan amatur C.F. Andorinha, di mana bapanya bekerja di sana, dan kemudian menghabiskan dua tahun bersama kelab Nacional, di mana kelab hanya membayar Ronaldo dengan dua helai jersi dan 20 bola sepak sahaja. Pada 1997, sewaktu berusia 12 tahun, Ronaldo menandatangani kontrak bersama kelab Sporting CP dengan yuran sebanyak £1,500 selepas menghabiskan tiga hari menjalani ujian bersama kelab itu. Beliau kemudian berpindah ke Alcochete, berdekatan Lisbon, bagi menyertai pemain-pemain muda lain di akademi kelab tersebut.

Pada usia 14 tahun, Ronaldo percaya bahawa dia mempunyai kebolehan untuk bermain secara pra profesional, dan menerima nasihat emaknya untuk berhenti belajar bagi memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak. Beliau pernah dibuang sekolah kerana membaling kerusi ke atas gurunya, kerana didakwa gurunya “tidak hormat” padanya. Setahun kemudian, Ronaldo telah dikesan mengalami penyakit takikardia, iaitu penyakit berkaitan jantung. Ibunya menyatakan bahawa jantungnya berdegup kencang, walaupun dalam keadaan rehat. Keadaan ini boleh menyebabkan Ronaldo terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan karier bola sepak. Beliau kemudian menjalani pembedahan di mana laser digunakan untuk membuang kawasan yang dijangkiti berdekatan dengan jantungnya dan menyambung latihan bola sepak beberapa hari kemudian.


Kerjaya kelab
Sporting Clube de Portugal
Pada usia 16 tahun, Ronaldo telah dinaik taraf kepada pemain untuk pasukan utama oleh pengurus pasukan utama László Bölöni, yang tertarik dengan aksi lincahnya. Beliau  pemain pertama kelab yang bermain untuk kesemua pasukan belia termasuklah pasukan bawah-16 tahun, bawah 17 tahun dan bawah 18 tahun serta pasukan senior termasuklah pasukan B dan pasukan utama dalam satu musim. Setahun kemudian, pada 7 Oktober 2002. Ronaldo melakukan debut pertamanya dalam perlawanan liga domestik Primeira Liga, menentang pasukan Moreirense dan menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menang dengan jaringan 3-0. Sepanjang musim 2002-2003, aksi yang ditunjukkan beliau menyebabkan wakil Ronaldo mencadangkan beliau kepada pengurus kelab Liverpool pada ketika itu Gérard Houllier dan presiden kelab Barcelona Joan Laporta. Pengurus kelab Arsenal, Arsène Wenger juga sangat berminat untuk mendapatkan Ronaldo, dan pernah mengadakan perjumpaan dengannya di padang latihan Arsenal pada bulan November untuk berbincang mengenai potensi perpindahan.

Ronaldo kemudian menarik perhatian pengurus kelab Manchester United, Alex Ferguson pada bulan Ogos 2003, pada ketika itu pasukan Sporting menewaskan United 3-1 dalam perlawanan sulung di stadium Estádio José Alvalade di Lisbon. Prestasi yang ditunjukkan Ronaldo menyebabkan pemain Manchester United berasa kagum, yang mendesak Ferguson untuk mendapatkan khidmat beliau. Ferguson sendiri menganggap Ronaldo yang berumur 18 tahun pada ketika itu sebagai ‘salah seorang pemain muda paling menarik’ yang beliau pernah saksikan.

Manchester United
Pembangunan kerjaya
Ronaldo, pemain Portugal pertama yang menyertai kelab Manchester United di mana beliau menandatangani kontrak sebelum bermula musim liga 2003-2004. Yuran perpindahan sebanyak £12.24 juta yang dibayar, merupakan yuran tertinggi bagi perpindahan seorang pemain muda dalam sejarah bola sepak England. Pada awalnya, Ronaldo meminta jersi dengan nombor 28, nombor yang digunakan ketika beliau bersama kelab Sporting, namun begitu beliau diberikan jersi bernombor 7, yang sebelum ini pernah digunakan oleh beberapa bekas pemain United seperti George Best, Eric Cantona, dan David Beckham. Ronaldo menyatakan bahawa memakai jersi bernombor 7 memberikan motivasi tambahan kepadanya dan matlamatnya adalah untuk mengembangkan bakatnya menjadi seorang pemain terbaik dunia dalam masa tiga tahun. Elemen utama yang membawa kepada perkembangan bakat beliau adalah Alex Ferguson itu sendiri, di mana Ronaldo kemudian menyatakan, “Beliau (Alex Ferguson) adalah bapa saya dalam sukan, salah satu faktor penting dan utama dalam karier saya”.

Ronaldo sewaktu perlawanan liga menentang pasukan Chelsea dalam musim ketiganya di England.
Ronaldo melakukan debut beliau dalam liga domestik Liga Perdana Inggeris dalam perlawanan menentang kelab Bolton Wanderers pada 16 Ogos 2003, apabila beliau dimasukkan pada minit ke-60 menggantikan Nicky Butt, dan menerima tepukan gemuruh daripada para penyokong. Prestasi yang ditunjukkan beliau dipuji oleh pemain lagenda United, George Best, yang menganggap debut Ronaldo sebagai ;debut yang paling menarik’ pernah disaksikan. Ronaldo menjaringkan gol pertama beliau untuk United dalam perlawanan menentang Portsmouth pada 1 November menerusi sepakan percuma. Gol terakhir yang dijaringkan Ronaldo untuk musim 2003-2004 adalah ketika menentang kelab Aston Villa, iaitu perlawanan akhir untuk musim ini, di mana beliau juga menerima kad merah pertamanya. Musim pertama Ronaldo di England diakhiri dengan jaringan pembukaan gol dalam perlawanan akhir Piala FA di mana pasukan United menang 3-0 ke atas pasukan Millwall, dan menerima trofi pertamanya.

 

Related posts

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KELUARGA – PKPK

admin

Anda Berisiko Kanser Payudara

admin

LG Electronics Malaysia Releases Life’s Good Music Video Featuring

adminwm

Leave a Comment