EYE ME

Keep Looking Up…

‘Kita tidak bisa mengubah arah angin, tapi kita bisa memanfaatkannya untuk mencapai tujuan berlayar kita.’

Waktu berlalu deras, rasanya macam semalam saya di tempat kerja sebuah organisasi yang pekerjanya hampir kesemuanya Melayu. (Maafkan saya bercerita hal ini). Sesetengah mereka saya lihat teramat selesa dengan jawatan dan tugas masing-masing. Sombong setelah menjadi orang besar. Selesa dengan kerja yang ada, dan tidak berkisah untuk menaik taraf diri, yang penting gaji tetap masuk setiap bulan. Menjadi orang ‘baru’ di kalangan mereka ketika itu, saya ingat saya boleh mengubah sedikit cara berfikir tentang kerja khasnya. Pernah saya bawa satu idea untuk meraih pendapatan yang lebih, juga saya mahu mengangkat nama majalahnya. Tetapi ketua dengan sinis memberitahu, “Apa awak susah Wirda, kamu editor, tidak payah nak buat semua itu, duit gaji kamu banyak itu juga. Dan gaji tetap masuk setiap bulan. Tak payah letihkan badan.”

Saya terkucup mendengar jawapan sebegitu daripada seorang ketua. Balik ke kerusi saya… “Kalau begini cara berfikir seorang ketua, tidak akan berubah nasib pekerja di sini.” Pekerja masuk kerja jam 9 pagi, kemudian mengopi di kantin/gerai. Balik ke meja… buat apa patut sementara menunggu lunch break jam 12.30 tengahari, dan makan/rehat sehingga habis waktu. Kemudian masing-masing sibuk ke surau, ada mengambil waktu berwirid. Sambung kerja dan tunggu jam empat untuk tea break, kadang-kadang leka hingga jam lima, solat Asar dan jam 5.30, kemas meja, jam enam pulang. Hari minggu kosong, siapa pun tidak mahu bekerja.

‘Masa lalu dikenang untuk diambil sebagai pelajaran yang sangat berharga, tetapi kalau tidak ada yang berharga daripada masa lalumu, cubalah kamu cari di masa lalu orang lain.’

Begitulah antara ingatan saya yang amat merisaukan. Bila ditegur, tarik muka. Disuruh membaiki kerja, bukan sahaja marah tetapi sanggup menolak komputer dan angkat kaki. Bila dimarahi lewat, mereka menuduh saya memberi kerja yang banyak dan hendak sempurna dari semua segi. Saya teringat menyuruh seorang graphic artist membetulkan layoutnya. Dibuat sekali tidak menjadi, saya suruh betulkan lagi, dan masuk kali ketiga, dia bangun lalu menyergah saya…”Buatlah sendiri, kalau pandai sangat?”

“Kamu, dengar sini… beri saya sehari untuk belajar hal grafik ini dan kamu tidak ada kerja selepas ini, tahu tak? Saya amat yakin kamu tidak boleh buat kerja saya tetapi saya boleh buat kerja kamu.” Dan ramai juga yang bersikap begitu… kerana selesa kerja dan gaji berjalan seperti biasa, jadi untuk apa susah-susah.” 

Saya teringat di hari terakhir saya di situ. Ada yang seronok, dan bertepuk tangan… “Kan senang… kita tidak payah lagi hendak dengar ceritanya, arahannya?” Malah ada menggelar dan menyifatkan saya (waktu enam tahun sebagai editor) dalam pemerintahan ala regim Khomeini.. Teruk sangatkah saya, yang hanya mahu melihat produk hasil tangan saya dan anak buah saya lebih berhasil daripada sebelumnya? Malah ternyata berkat kesabaran dan usaha lelah kami, produk kami mendapat maklum balas amat baik bukan sahaja daripada pembaca tetapi pengiklan. 

Saya di tempat kerja yang seterusnya. Sebahagian besar pekerjanya bukan Melayu. Lalu saya pula yang letih melayan mereka. Bahagian pengiklannya membawa seribu macam idea. Setiap hari saya pulang lewat malam bagi menyiapkan kerja editorial, bukan saya sahaja tetapi pejabat terang benderang sehingga tengah malam. Saya dikelilingi oleh insan-insan yang mahu membina kukuh majalah-majalah yang diterbitkan oleh syarikat tersebut dan majalah baru kami tidak sampai dua tahun, namanya harum semerbak. Iklan sendat dan muka surat setiap bulan bertambah (ratio iklan editorial 40/60). Mereka masih belum puas lantas mengajak saya memikirkan untuk sebuah lagi majalah, dan majalah itu mantap sehingga kini.  

Saya teringat di satu pagi Ahad, saya datang untuk menyiapkan kerja sebelum ke luar negara. Saya ingat saya bersendirian di pejabat hari minggu. Rupanya hari Ahad jam tujuh pagi sudah ada yang datang bekerja. Saya salute, tahu apa kata mereka, “Hari ini saya di sini dengan gaji sebanyak ini. Dengan pengalaman, kerja kuat, dan yakin diri,  saya akan ke tempat lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Tetapi perlu lengkapkan diri dengan kepandaian dan kepakaran yang diperlukan.”

Tengok di sana, dengan sikap ‘aku tidak kisah’, ‘tak perlu rajin sangat’ ‘setiap bulan gaji masuk’. ‘bil hospital ditanggung’, ‘bil bersalin dibereskan majikan’.

Hari ini saya membaca kisah sedih kerana 800 pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja kerana syarikat terpaksa ditutup. Sayu, sendu, terharu, namun saya teringat pesan arwah teman, “Wirda not everything is meant to stay in your life, some things only come as a lesson. To teach you value of time.” 

Ya saya juga merasa kegusaran bila mana kami terpaksa menutup ‘kedai’ kerana keadaan tidak boleh diselamatkan lagi. Harga mencetak terlalu-lalu mahal, sedang orang sudah kurang membeli dan pengiklan takut rugi. Orang sudah tidak senang membaca dengan memegang majalah/akhbar tetapi suka membeleknya daripada telefon bimbit sahaja. Saya tidak menunggu lama, harus berubah mengikut trend semasa, lantas menukar haluan, daripada print ke digital, kalau ini yang dimahu oleh semua. Yang pasti jimat masa dan kurang belanja. Dan yang pasti juga orang boleh membacanya bila-bila masa dan ketika.

Sedang saya menulis ini, ada mesej mencelah, “Tidak boleh diselamatkah Utusan?”  Dan ini jawapan daripada teman baik saya sendiri yang bekerja lebih 12 tahun di situ. “Sesungguhnya bukan sahaja Utusan tidak mahu berubah malah agak sukar bagi Utusan untuk berubah kerana pasak ideologi yang lama sudah terpahat kukuh. To implement new ideas and to execute new things will be almost impossible.”

‘Jangan pernah putus asa saat merasa dalam kesulitan, sebab Allah menyertakan kemudahan setelah kesulitan.’

Ya, jangan cepat putus asa, yang hilang pekerjaan jangan tunggu esok untuk mencarinya.

“Kita kena bantu mereka,” tegas teman. Betul harus dibantu mereka yang hilang pekerjaan, bantu kawan-kawan yang tanggungan mereka besar.  Tetapi apakah mereka mampu bersaing dengan yang di luar sana? Tepuk dada tanya selera.

‘Experience is not what happens to you; it’s what you do with what happens to you.’ Aldous Hexley.

Cuma satu perkara yang perlu diingat, pengalaman bekerja bertahun-tahun bukan lagi tiket untuk mudah mendapatkan kerja. Betul kamu sudah berkerja lama tetapi sejauh mana ilmu yang bertahun itu dapat dititipkan di dalam pekerjaan baru itu, lebih-lebih lagi jikalau sikap complacent bertakhta di sanubari. Saya sendiri pernah mengambil staf yang punya berpengalaman lebih 20 tahun, berharap dia mampu menyumbangkan lebih daripada apa yang saya sarankan. Ternyata saya hampa, malah seorang lagi staf yang kosong pengalaman seyugia tugasannya lebih daripada standard yang saya harapkan, dengan pendapatan hanya seperempat daripada yang berpengalaman. 

Dan di organisasi sama untuk satu lagi majalah saya amat mengharapkan yang berpengalaman dapat menyumbang tahap kerjaya yang jauh lebih baik, sebaliknya dengan habit complacency yang bertahun-tahun, dan dengan pemikiran ‘old school’nya saya penat melayan kerjanya yang tidak terurus, penggunaan bahasa pincang malah sikap ‘asalkan dapat gaji hujung bulan aku selamat.’ Kerana hampa, selalu saya ingatkan staf, “Di sini saya tidak melihat pengalaman kamu semua yang bertahun-tahun. Bagi saya untuk kenaikan gaji dan pangkat, tidak kiranya baru setahun bekerja, kalau kamu pecut laju kamu cepat sampai ke destinasi. Jangan marah jika ada pekerja yang baru setahun jagung bekerja sudah naik pangkat.” Pendek cerita, di akhir riwayat yang kosong pengalaman berakhir kerjayanya sebagai editor sementara yang puluhan tahun pengalaman hilang entah ke mana. Semoga kita mengambil iktibar dan belajar daripada segala yang berlaku.

Pada yang telah bersiap sedia daripada dulu, syukur kamu pasti tidak gusar sangat kehilangan gaji tetap, dan yang telah menyimpan, syukur ke hasratNya kerana bisa menyambung penghidupan.

Saya ‘menyingah’ sebentar di alam maya… banyak sekali peluang pekerjaan di freelancer misalnya. Kalau kamu penulis atau kamu graphic artist, kamu web designer, software engineer, copywriter, kamu punya skil dalam pemasaran dan pengiklanan, daftar diri di sini. InshaAllah banyak peluang untuk menjana pendapatan. Dulu ya lah, bekerja mesti ke tempat kerja, perlu mengatur masa dengan bijak, tambang dan pebelanjaan yang tidak kurang banyak juga, tapi kawan-kawan kini kita boleh menjana pendapatan dari rumah sahaja.

You never fail until you stop trying. Begitu kata pepatah. Jangan kerana kehilangan kerja membuat anda depressed, anda stres dan hilang minat untuk bangun di keesokan hari. Ayuh.. Keep looking up. That’s the secret of life.

 


Penghargaan

Jurugambar: Muhammad Tuah daripada Snips College of Creative Arts (SCCA)
Solekan: Peggy Lee daripada Snips College of Creative Arts (SCCA)
Penggayaan Tudung: Fuza Umar
Pakaian: Koleksi peribadi Wirda Adnan
Studio: Snips College of Creative Arts (SCCA)
Pereka Grafik: Faid Zamin daripada Vectoria Graphics 

Related posts

Sebuah Kisah Cinta

Wirda Adnan

Yang Pasti Syawal Tidak Seronok Lagi

Wirda Adnan

Cerita Saya… Suami Kanser…

Wirda Adnan

Leave a Comment