GAYA HIDUP

Kanser Payudara

Adakah anda pengidap kanser payudara? Bagaimana anda mengetahui yang adalah mangsa penyakit kronik ini dan sebaik mengetahui apa yang anda akan lakukan?


Kanser payudara sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser (malignan) dalam tisu-tisu payudara. Kanser payudara boleh berlaku di mana-mana bahagian payudara termasuklah:
• Lobus yang menghasilkan susu
• Duktus yang menghantar susu ke puting
• Tisu lemak payudara (jarang berlaku)

Biasanya, kanser payudara boleh dibahagikan kepada dua bentuk: invasif dan tidak invasif. Dalam kanser tidak invasif, sel-sel kanser hanya tertumpu di kawasan asalnya manakala di dalam kanser invasif, sel-sel kanser tersebut telah merebak ke tisu-tisu di sekeliling payudara.

 

Kanser payudara yang paling biasa berlaku ialah kanser duktus yang terjadi dalam sel-sel duktus payudara. Kanser lobular pula bermula dari lobus atau lobul. Kanser jenis ini selalunya terdapat di beberapa tempat dalam payudara. Kanser payudara inflamasi pula merupakan kanser payudara yang jarang-jarang berlaku.

Asas Saintifik
Bagi payu dara yang normal, sel-selnya mengalami pertumbuhan yang terkawal dan teratur.
Hormon estrogen bertangungjawab dalam pertumbuhan dan pembentukan sel-sel payudara. Ketidakimbangan hormon dikatakan memainkan peranan yang penting dalam patogenesis kanser. Walau bagaimanapun pelbagai pencetus pertumbuhan kanser dan onkogen terutamanya He-2/nev telah dikenalpasti sebagai penyebab kanser payudara yang penting. Onkogen merupakan gen yang mungkin bertanggungjawab dalam pembentukan sel kanser. Fungsi gen ini boleh berubah dan sel-sel boleh terpesong daripada proses kawalan pertumbuhan sel yang normal. Pembentukan kanser merupakan proses yang kompleks yang melibatkan pelbagai faktor lain seperti genetik, kawalatur hormon dan juga keadaan persekitaran.

Perebakan
Kanser payu dara merebak melalui cara-cara berikut :
• Kanser tumbuh dan membesar begitu cepat dan menyerang kawasan setempat. Ia juga akan menyerang kulit dan dinding otot dada.
• Kanser payu dara merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang (tulang belakang, tulang pinggang, tengkorak dan tulang dada), hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovari.
• Adalah dianggarkan jika kanser payudara berukuran 1.6 sm., ia mungkin telah berada dalam payudara selama sekurang-kurangnya 2 tahun. Pada waktu ini, sel kanser mungkin telah masuk ke dalam saluran darah ataupun sistem limfatik dan seterusnya merebak ke seluruh badan.
• Oleh itu, walaupun ketumbuhan kanser payudara dirasakan tertumpu pada payudara sahaja, tetapi dianggarkan lebih 35% darinya mungkin telahpun merebak atau mengalami metastasis.

Faktor-faktor Risiko
Wanita umumnya, anda memilki risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara. Namun begitu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara ini.

Faktor Risiko yang Tinggi
1. Umur; umur merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Pesakit yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi. 1 daripada 500 wanita dalam umur 30-an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payu dara. Namun begitu, angka ini meningkat kepada 1 dalam 50 orang apabila umur menjangkau 40 – 45 tahun.
2. Sejarah keluarga – terdapat juga beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya. Wanita yang mempunyai ibu atau anak perempuan atau kakak/adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara
3. Sejarah mengidap kanser – pernah menghidap kanser payudara sebelum ini. Ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara.
4. Pernah menghidapi penyakit payudara Benigna Proliferatif
5. Wanita yang berasal dari Amerika Utara/Eropah Utara; insidens dan kematian disebabkan kanser payudara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun

Faktor Risiko Sederhana
1. Sejarah haid; perempuan yang datang haid lebih awal dan lewat putus haid memiliki risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini. Telah terbukti bahawa wanita yang telah melalui masa haid lebih dari 40 tahun mempunyai 2 kali ganda risikonya untuk mendapat kanser payudara berbanding dengan mereka yang melalui haid dalam masa yang pendek.
2. Sejarah kelahiran; wanita yang tidak memiliki anak atau melahirkan anak pertamanya pada usia yang lanjut, memiliki risiko yang lebih tinggi untuk memperolehi penyakit ini. Adalah dipercayai disebabkan oleh pendedahan kepada estrogen yang berlebihan.
3. Estrogen eksogenus; wanita yang pernah mengambil estrogen dalam bentuk pil perancang keluarga ataupun terapi penggantian estrogen lebih berisiko untuk memperolehi penyakit ini. Ini kerana mereka terdedah kepada aras estrogen yang tinggi
4. Pernah mendapat kanser ovari atau rahim.
5. Alkohol; terdapat kajian yang telah menunjukkan bahawa ada kaitannya di antara pengambilan alkohol dengan risiko pembentukan kanser payudara.

Faktor Risiko Lain yang Lebih Ringan
Diet yang tinggi lemak juga mempunyai hubungkait dengan risiko kanser payudara. Kaitan ini telah dikenalpasti berdasarkan pelbagai kanser payudara yang menyerang masyarakat yang mengamalkan diet yang berbeza. Walau bagaimanapun, masih tiada satu bukti yang kukuh untuk menyokong teori ini dan kajian masih lagi dijalankan untuk mengesahkan perkara ini.
Insidens
Kanser payudara:
• Merupakan penyebab utama kematian akibat kanser di kalangan kaum wanita di Malaysia
• Biasanya berlaku di kalangan wanita sahaja dan jarang pada lelaki.
• Merupakan salah satu dari kanser yang amat biasa menyerang kaum wanita
• Jarang berlaku pada wanita di bawah umur 30 tahun
• Insidensnya meningkat dengan umur

Tanda-tanda dan gejala
Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, pengeluaran cecair lelehan dari puting, dan sakit atau ketidakselesaan di sekitar payudara.
• Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin.
• Lelehan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan.
• Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya, payu dara dan puting akan mengalami perubahan bentuk. Akan terbentuk lekukan pada kulit payudara dan teksturnya kelihatan dan dirasai seperti kulit buah oren. Bentuk dan saiz payudara juga akan berubah.

Komplikasi
Dua komplikasi utama kanser payudara ialah komplikasi setempat dan komplikasi disebabkan perebakannya atau mengalami metastasis.
Komplikasi setempat termasuklah pembentukan ulser pada payudara, sebagaimana yang berlaku pada kanser payudara inflamasi dan kehadiran semula kanser tersebut di tempat yang sama selepas pembedahan.
Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan. Dalam proses ini, sel-sel kanser telah mencerobohi saluran darah dan saluran limfa untuk memasuki sistem peredaran darah dan limfa. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan bertapak di organ-organ lain dan memulakan pertumbuhan baru. Tempat utama yang diserang melalui metastasis ini adalah tulang, hati dan paru-paru.

Ujian-ujian
Pemeriksaan Fizikal
Dalam pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa bahagian luar payudara termasuklah di bahagian bawah lengan untuk mengenalpasti sebarang ketumbuhan atau perubahan yang wujud. Doktor akan dapat menentukan saiz, tekstur dan pergerakannya atau mobiliti ketumbuhan tersebut. Doktor mungkin akan mencadangkan supaya mamogram dilakukan.

Mamografi
Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan. Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan.

Ultrasonografi
Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir.

Biopsi
Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop. Terdapat dua jenis biopsi:
• Biopsi aspirasi – menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan di payudara.
• Biopsi pembedahan – di mana ketumbuhan atau kawasan yang disyaki dipotong dan dikeluarkan untuk diperiksa melalui mikroskop.

Peringkat-Peringkat dalam Kanser Payudara
Apabila kanser payudara telah dikenalpasti, beberapa ujian lain akan dijalankan untuk memastikan samada sel kanser tersebut telah merebak ke bahagian lain. Proses ini dikenali sebagai pengkelasan. Pengkelasan dapat membantu doktor untuk merancang rawatan yang sesuai berdasarkan peringkat penyakit ini.
Berikut adalah pengkelasan yang digunakan untuk kanser payudara:

Karsinoma In-Situ (Kanser Setempat)
• Merupakan kanser pada peringkat paling awal yang berlaku dalam lebih kurang 15 -20% dari semua kes kanser payudara. Pesakit yang mengalami keadaan ini memiliki risiko sebanyak 25% untuk memperolehi kanser payudara dalam masa 25 tahun akan datang.
• Terdapat dua jenis: kanser lobular dan kanser duktus yang masing-masing membawa risiko yang berbeza.

Peringkat I
• Ketumbuhan (tumor) berukuran kurang dari 2 sm (lebih kurang 1 inci) dan masih belum merebak keluar dari payudara.

Peringkat II
Termasuklah salah satu dari yang berikut:
• Tumor berukuran kurang dari 2 sm, tetapi telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan
• Tumor berukuran 2-5 sm (1 – 2 inci) yang mungkin telah ataupun belum merebak ke nodus limfa di bawah lengan.
• Tumor yang berukuran lebih daripada 5 sm (lebih daripada 2 inci) tetapi masih belum merebak ke nodus limfa di bawah lengan.

Peringkat III
Peringkat ini dibahagikan kepada peringkat IIIA dan IIIB.
Peringkat IIIA merupakan salah satu daripada yang berikut :
• Tumor yang lebih kecil daripada 5 sm dan telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan. Nodus limfa tersebut telah melekat sesama sendiri ataupun melekat dengan struktur lain.
• Tumor yang lebih besar daripada 5 sm dan telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan Peringkat IIIB pula terdiri dari salah satu daripada jenis berikut:
• Tumor telah merebak ke tisu di sekitar payudara (kulit atau dinding dada, termasuklah tulang rusuk dan otot di kawasan dada)
• Tumor telah merebak ke nodus limfa, dalam dinding dada di sepanjang tulang dada.

Peringkat IV
• Tumor telah merebak ke organ-organ lain, biasanya tulang , paru-paru, hati atau otak
• Tumor telah merebak ke kulit dan nodus limfa di leher, berdekatan dengan tulang selangka.

Kanser Payudara Inflamasi
Kanser payudara inflamasi adalah sejenis kanser payudara yang khusus dan jarang berlaku. Payudara tersebut kelihatan seperti mengalami keradangan disebabkan oleh warnanya yang kemerahan dan keadaannya panas. Kulit payudara kelihatan menggerutu dan berbintil-bintil. Kanser payudara jenis ini cepat merebak.

Kejadian Semula
Kejadian semula ini bermaksud kanser tersebut muncul kembali setelah dirawat. Ia mungkin tumbuh dalam payudara, tisu lembut di dada ataupun di bahagian lain-lain dalam badan.
Rawatan Farmakologi
Kemoterapi
Kemoterapi merupakan rawatan menggunakan dadah antikanser. Dadah ini boleh diberikan secara intravena (disuntik ke dalam salur darah) atau secara oral (ditelan). Dadah ini akan bergerak melalui saluran darah dan bertindak ke atas sel-sel kanser di seluruh badan. Kemoterapi digunakan untuk :
• Mengurangkan kemungkinan berulang semula kanser tesebut.
• Mengecutkan tumor sebelum pembedahan
• Mengawal penyakit ini apabila kanser telah didapati merebak ke tisu-tisu lain dalam badan.
Contoh-contoh dadah antikanser yang biasa digunakan ialah Siklofosfamid, Metotreksat, Doksirubicin. Biasanya gabungan beberapa dadah antikanser adalah lebih berkesan dari menggunakan satu jenis dadah sahaja. Contoh kombinasi yang digunakan ialah Siklofosfamid bersama Metotreksat dan Flurourasil (singkatannya CMF).

Terapi hormon
Terapi hormon melibatkan penggunan dadah anti-estrogen untuk menyekat pertumbuhan sel-sel kanser. Estrogen adalah hormon semula jadi yang ada pada setiap wanita. Hormon ini boleh menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Dadah anti-estrogen yang biasa digunakan ialah Tamoxifen. Telah dikenalpasti bahawa status reseptor estrogen (ER+ve dan PR+ve) yang ada pada seseorang wanita itu dalam jumlah yang tertentu boleh membantu dalam rawatan ini.

Komplikasi dari rawatan
Pembedahan, terapi sinaran, kemoterapi dan terapi hormon mempunyai kesan sampingan masing-masing
• Kesan sampingan pembedahan termasuklah bengkak, sakit dan keras di tempat pembedahan. Pesakit juga mengalami kesukaran untuk menggerakan lengan dan bahu mereka dalam masa beberapa hari selepas pembedahan.
• Kesan sampingan kemotarapi bergantung kepada jenis dadah yang digunakan, jumlah dadah yang diambil dan jangkamasa rawatan. Kesan sampingan kemoterapi termasuklah pening kepala, muntah-muntah, hilang selera makan, keguguran rambut, ketidakselesaan mulut dan gangguan kitaran haid.
• Di dalam terapi sinaran, sinaran bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Kesan sampingan sementara yang muncul termasuklah payudara terasa bengkak dan berat, perubahan pada kulit tempat radiasi ditujukan dan kelesuan.
• Di dalam terapi hormon, kesan sampingannya berkaitan dengan pengurangan fungsi estrogen terhadap organ reproduktif atau pembiakan wanita. Pesakit akan mengalami pendarahan melalui faraj (yang bukan haid), peningkatan berat badan dan gangguan emosi. Dadah-dadah jenis ini juga boleh menyebabkan pembekuan darah dalam saluran darah terutamanya di bahagian kaki.
Rawatan untuk pesakit kanser payudara memerlukan pelbagai disiplin rawatan. Setiap pesakit memerlukan lebih dari satu rawatan berikut:
• Pembedahan (membuang kanser melalui proses pembedahan)
• Terapi sinaran (radiasi) (menggunakan x-ray pada dos yang tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser)
• Kemoterapi (menggunakan dadah untuk membunuh sel-sel kanser)
• Terapi hormon (menggunakan dadah yang dapat mengubah fungsi hormon atau membuang organ yang menghasilkan hormon tersebut seperti ovari)

RAWATAN BUKAN FARMAKOLOGI
Pembedahan disarankan sebagai rawatan bagi kebanyakan kanser payu dara. Pembedahan boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu lumpektomi, prosedur pembuangan sebahagian daripada payu dara dan mastektomi
• Lumpektomi adalah pembedahan yang paling ringan. Ia hanya membuang tumor dan sebahagian kecil daripada tisu di sekelilingnya. Pembedahan ini hanya dilakukan untuk kanser peringkat permulaan sahaja
• Prosedur membuang sebahagian dari payu dara – dijalankan untuk membuang tumor yang lebih besar. Biasanya nodus limfa yang berdekatan juga akan dibuang
• Dalam mastektomi, keseluruhan payu dara dibuang. Prosedur ini hanya dilakukan apabila tumor telah merebak ke bahagian lain yang lebih jauh.

Terapi radiasi
Terapi sinaran adalah rawatan yang tidak menyakitkan. Ia menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Ia biasanya disarankan selepas lumpektomi untuk memusnahkan segala sel-sel kanser yang masih ada bagi mengelakkan kanser tersebut berulang. Biasanya sinaran tersebut ditujukan dari satu sumber di luar badan di bahagian yang terlibat dengan kanser.

Pemantauan / Amaran
Pemantauan dan Langkah Berjaga-jaga
Kanser payudara adalah penyakit yang serius dan boleh membawa maut. Dengan mengesan awal, pesakit kanser memperolehi 95% untuk sembuh. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.

Apakah pemeriksaan yang diperlukan oleh seorang wanita?
Wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan dan perlu berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan payudara setiap tiga tahun. Pemeriksaan mamografi awal perlu dilakukan apabila mencapai umur antara 35 hingga 40 tahun. Pemeriksaan awal ini diperlukan sebagai rujukan di masa akan datang. Mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun perlu melakukan PSP sekali dalam sebulan dan melakukan pemeriksaan fizikal yang kerap. Pemeriksaan mamografi rutin perlu dijalankan setiap tahun bagi wanita yang telah berumur 50 tahun ke atas. Wanita berumur 40 – 49 tahun perlu berjumpa doktor untuk menentukan keperluan menjalani mamografi.

Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)
Periksa payudara anda 3 hari selepas haid anda berakhir atau pada hari pertama setiap bulan jika anda sudah tiada haid. Terdapat tiga kaedah PSP yang anda boleh pilih untuk melakukan pemeriksaan ini. Lakukan salah satu daripada kaedah-kaedah di bawah yang anda rasa paling selesa.

Kaedah 1
Dalam kaedah ini, periksa payudara anda sewaktu berbaring dengan meninggikan bahu kanan menggunakan bantal atau tuala.
• Tekan payudara sebelah kanan menggunakan tangan kiri dengan pergerakan membulat dan rasakan sebarang ketumbuhan atau penebalan kulit.
• Picit puting dan kawasan di sekelilingnya perlahan-lahan dan periksa untuk memastikan kewujudan cecair jernih atau berdarah.
• Ulangi langkah-langkah yang sama pada payudara sebelah kiri

Kaedah 2
Anda perlu berdiri di hadapan cermin untuk memeriksa payudara anda menggunakan kaedah ini
• Periksa payudara anda semasa berdiri tegak, tangan diangkat ke atas, dan kemudian memeriksa payudara dengan tangan di pinggang.
• Perhatikan sebarang perubahan dari segi saiz, bentuk, kehadiran lekukan atau sebarang perubahan dari segi rupabentuk dan kedudukan puting. Pastikan anda memeriksa kedua-dua belah payudara.

Kaedah 3
Dengan kaedah ini anda boleh melakukan PSP sewaktu mandi iaitu apabila kulit anda basah dan bersabun.
• Pastikan jari-jari tangan kiri anda adalah rata dan lalukannya pada payudara kanan dengan tangan kanan diangkat ke atas.
• Ulangi kaedah yang sama untuk payudara sebelah kanan
Anda mungkin dapat mengesan beberapa perubahan atau kewujudan ketulan dalam payudara. Kebanyakan ketumbuhan tersebut bukanlah kanser. Kadangkala ketulan tersebut menyakitkan dan keras disebabkan kitaran haid. Cara terbaik untuk mengesahkan ketumbuhan yang anda alami ialah dengan merujuk kepada doktor untuk penyiasatan lanjut dan pengesahan.

Mamografi
Mamografi bukan sahaja dianggap sebagai ujian penyiasatan bagi penyakit ini, tetapi ia juga merupakan satu prosedur pemantauan yang penting. Ujian mamografi rutin membolehkan kanser dikesan lebih awal. Mamografi boleh mendatangkan faedah kepada wanita yang mengamalkannya sebagai satu ujian penyaringan bagi kanser payudara.
• Wanita berumur 40 tahun dan lebih perlu menjalani ujian ini sekali dalam 1 hingga 2 tahun
• Wanita yang berumur lebih daripada 50 tahun perlu menjalani ujian ini setiap tahun
• Jika doktor anda menjumpai ketumbuhan pada payudara anda, anda perlu menjalani ujian ini secara berterusan atau berkala tanpa mengira umur anda

Apa itu mamografi?
Mamografi ialah satu proses di mana x-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem atau kertas yang disalut selenium. Imej tersebut dipanggil mamogram. Prosedur ini biasanya memperlihatkan 2 sudut bagi setiap satu payudara.

 

Fungsi:
• Mamografi boleh mengenalpasti kanser walaupun dari saiz yang kecil yang tidak dapat dirasa oleh wanita tersebut ataupun doktor yang berpengalaman.
• Mamografi juga mampu menunjukkan perubahan lain pada tisu payudara yang merupakan tanda-tanda awal kanser payudara
• Mamogram dasar (baseline mammogram) adalah penting sebagai garis panduan untuk rujukan di masa akan datang. Bersama-sama dengan pemeriksaan fizikal, mamografi telah terbukti sangat berkesan untuk menyelamatkan nyawa, terutamanya bagi wanita yang berumur 50 tahun ke atas yang tidak mempamerkan sebarang gejala kanser payudara.

Adakah ia selamat?
Dalam beberapa tahun ini, jumlah sinaran yang diperlukan untuk menghasilkan mamogram yang berkualiti tinggi telah diturunkan parasnya.

 

Syarat untuk mamogram
• Jika doktor mencadangkan bahawa anda perlukan mamogram, lakukanlah dengan segera. Di antara gejala-gejala kanser payudara yang penting adalah perubahan bentuk atau kontur payudara, pembentukan lekukan, perubahan pada kulit di sekeliling puting, terkeluar bendalir dari puting, ketumbuhan atau penebalan kulit berlaku atau segala perubahan yang dirasa tidak normal.
• Mamografi adalah amat berfaedah bagi wanita yang mengamalkannya sebagai salah satu daripada pemeriksaan kanser rutin mereka.
Prognosis
Bergantung kepada:
• Peringkat tumor
• Saiz tumor
• Bilangan nodus limfa yang terlibat
• Status reseptor estrogen
• Perkara-perkara lain
Dengan pengesanan awal, pesakit kanser payudara mempunyai 95% peluang untuk meneruskan hidup

Pencegahan
Sebarang faktor yang boleh meningkatkan kebarangkalian seseorang itu mendapat kanser payudara diketahui sebagai faktor risiko. Sesetengah faktor risiko itu boleh dikawal. Ia dikenali sebagai faktor risiko bolehubah.
Faktor risiko boleh diubahsuai termasuklah gaya hidup seseorang seperti pengambilan alkohol, berat badan dan diet. Menurunkan berat badan yang berlebihan boleh membantu mengurangkan risiko kanser payudara. Senaman yang sesuai yang disertai dengan pemakanan yang seimbang boleh membantu menurunkan berat badan. Rujuk kepada doktor anda untuk mengetahui senaman yang paling sesuai untuk anda. Diet yang tinggi lemak dikatakan mempunyai kaitan dengan kanser payudara. Untuk menurunkan risiko ini, ambil makanan rendah lemak dan tinggi kandungan seratnya. Contoh makanan yang tinggi kandungan seratnya ialah buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kanser payudara boleh dirawat jika ia masih berada di peringkat awal. Untuk mengelakkan komplikasi selanjutnya, setiap wanita perlu mengamalkan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), dapatkan pemeriksaan klinikal payudara secara tekal dan lakukan saringan mamografi pada jangka waktu yang tetap. Saringan dan pemantauan secara tekal boleh mengesan sebarang perubahan pada payudara dan mengelakkan kesan yang tidak diingini.

Related posts

5 Reasons Realme GT Best Gaming Partner

admin

An Authentic Taste of Traditional Japan Outside of Japan

admin

Raya yang Tidak akan Dilupakan: 7 Penginapan Airbnb Menakjubkan untuk Meraikan Musim Perayaan

adminwm

Leave a Comment