DESPERADO

Isteri Campak Lakinya Balik Ke Rumah Maknya

“Saya diuji lagi,” kata Puan Hanim (bukan nama sebenar). Sepuluh tahun yang lalu anak perempuan saya pulang ke pangkuan saya bersama empat anaknya. Saya tidak terkejut kerana hati kecil ibu merasakan demikian. Lama juga anak saya dipaksa oleh sang suami supaya memutuskan hubungan dengan saya, kerana saya waktu itu terpaksa masuk campur. Manakan tidak, anak saya diperlakukan seperti hamba. Buat segalanya, dan dalam pada itu disergah diherdik, ada ketika kaki tangan naik ke badan dan curang, perempuan keliling pinggang.

Namun anak perempuannya tetap sabar. Bukan sekadar suami sahaja yang menjadikan dia hamba, mentua dan anak-anak saudara yang tinggal bersama pun turut serta. Terkontang kantingkan si menantu tidak dapat sedikit pun simpati di dalam rumahnya, kecuali daripada anak-anak yang masih kecil sedikit sebanyak tahu penderitaan ditanggung oleh ibu mereka. Pernah si suami mengurung isterinya di dalam bilik kecil dengan mencampakkan sebuku roti dan sebotol air, dan setelah diselamatkan oleh kawannya sendiri, dia masih bertahan untuk menghadapi derita hidup. Mengapa? Sebab anak-anak masih kecil dan demi mereka biarlah dia sahaja yang menderita.

Namun sampai bila? Setelah mengumpul semula kekuatan, di satu pagi yang hening dia mengisi apa yang patut di but kereta dan membawa anak-anaknya keluar dari rumah yang dianggap seperti neraka. Ya, sang suami juga punya isteri muda, banyak masa dihabiskan di situ, dan di ketika mertua dan anak-anak buah yang tinggal bersamanya balik ke kampung, waktu terbaik untuk keluar. Apa yang akhirnya mendesak dia berbuat demikian? Kerana dia tidak tertahan lagi dengan dusta dan fitnah yang dilemparkan orang yang berada di dalam rumah itu. Dia dituduh perempuan sundal. Sedang suami tiada, kononnya dia juga keluar mencari keseronokan di luar. Dia juga dituduh merokok dan ambil dadah. Suami percaya semua, memaki hamun dan sepak teranjang.

Kasih ibu tidak bertepi, kedatangan anak cucu diterima seadanya walau dia sendiri makan minum pun tidak menentu. Pada usia yang menghampiri 70 tahun, si ibu bekerja keras untuk menanggung anak cucu (mujurlah anak beroleh kerja di sebuah syarikat dengan gaji yang tidak sampai dua ribu.)  Dua cucu diserahkan semula kepada bekas menantu (kata anaknya sang suami hanya mahu dua orang sahaja, si anak kalau boleh hendak keempat-empatnya tetapi kerana tidak mampu, terima sahajalah syarat-syarat yang diletakkan bekas suami yang sudah pun menambah seorang lagi isteri). 

Begitulah kisahnya dan sehingga kini anak perempuannya masih bersendiri. (Kata si anak jika ada jodoh adalah, tidak ada pun tidak mengapa, yang penting dia gembira dapat bersama ibu dan dua anaknya membesar di depan mata. Kadang-kadang kerinduan si ibu untuk bersama dengan dua lagi anaknya terubat juga — masa yang paling dinantikan bilamana bekas suami sesekali menghantar mereka hanya untuk beberapa jam sahaja, itu pun sudah cukup membahagiakan ibu dan nenek). 

Isteri Menghantar Suami Balik ke Rumah Emaknya

Ujian untuk dirinya pun tidak tertanggung. Suami yang juga beristeri dua jarang balik, menjadikan pandemik alasan tidak boleh merentas negeri dan alasan demi alasan bila sewa rumah asyik tertunggak. Dalam pada itu anak lelakinya yang sudah dua tahun diserang angin ahmar sudah ‘dikembalikan’ ke pangkuannya. Dia tidak terkejut kerana dirinya dapat merasakan demikian. “Entah, hati kecil ini merasakan begitu, siapalah yang mahu menanggung biawak hidup?” kata Puan Hanim dan dia redha menerima segalanya. 

Ceritanya di kala si anak tinggal bersamanya beberapa bulan (kerana tidak boleh memanjat anak tangga flatnya), sesekali bila isteri datang menjenguk, dia merasakan sesuatu. Wajah yang ‘kering’ tiada simpati, wajah yang macam benci melihat suami,” katanya. “Sesekali saya terdengar dia meninggikan suara dan menenking. Mula malas lah saya hendak masuk campur tetapi jika di dalam rumah kita, sang isteri memperlakukan suaminya begitu, sakit juga hati. Isteri yang dulu suaranya tidak beberapa keluar, dengan sifat lemah lembutnya tiba-tiba sudah naik toncang. Sudah mula menggunakan aku, kau. Saya mendengar pun sakit telinga, ada sekali saya menegurnya, dia mohon maaf, katanya dia stress. Ya saya faham, dia ada tujuh anak yang mesti diisi perut mereka. Dan anak-anak pun masih kecil. Saya faham dengan keadaan suaminya  yang terlantar, dia tidak mungkin dapat menyara keluarganya lagi. Semua itu saya faham tetapi janganlah sebab kamu yang menanggungnya sekarang, kamu boleh biadab kepada suami kamu?”

“Dan satu hari bila ditegur, dia mohon membawa suaminya pulang. Lagipun anak saya  sudah boleh berjalan sikit-sikit dan perlahan-lahan bolehlah menaiki anak tangga. Dia pun memang tidak sabar balik ke rumahnya. Saya hanya mampu berdoa dan ada sikit-sikit yang mampu saya tolong, saya tolong. 

Pandai-pandailah hendak hidup, sebagai ibu saya hanya berdoa untuk kesejahteraan hidup mereka. Sekampit dua beras dan gula bolehlah saya beri tetapi hendak diberi banyak-banyak saya pun tidak berapa ada.”

“Satu petang sang isteri menghantar suaminya semula ke rumah saya. Tanpa banyak cakap dia meninggalkan lakinya dengan satu bag berisi pakaian di depan rumah ini. Entah, sama ada mereka sudah bercerai atau tidak saya pun tidak tahu, tapi rasanya sudah kot. Saya tahu anak saya tidaklah baik mana sangat, tetapi entah, saya tahu nak cakap apa lagi. Sedih.  

“Saya nampak dia sudah senang sikit. Sejak berniaga dan bertambah berpendapatan berbanding masa dia bekerja tetap di sebuah syarikat. Biasalah perempuan bila sudah senang, dan bebas, dan melihat pula suami cacat dan terpaksa makan tanggung.. tunggu apa lagi kan? Entahlah, saya malas bertanya apa pun, selagi dia dengan saya, saya makan dia makan, nanti kalau saya terpaksa berpindah, saya bawalah dia bersama. Ya ke mana kami tinggal nanti di situlah dia tinggal. Tetapi saya memang kecil hati, kalau betul lah dia sudah senang dan diperlakukan lakinya macam itu, memang tidak patut. Sepatutnya dia berfikir untuk membantu suaminya supaya cepat sembuh dan dia boleh kembali bekerja. Ramai pun orang cacat yang mampu bekerja.

“Yang saya sedih cucu-cucu saya pun punyalah kurang ajarnya. Tiadalah teringin hendak menghubungi ayah mereka. Ternanti-nanti lah si ayah panggilan daripada anak-anaknya.”

“Apa pun saya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk mereka, dan berharap cucu-cucu saya berhati perut sikit, paling tidak pun telefon lah papa kamu. Sudah lah seluruh anggotanya sakit, janganlah dibiarkan jiwa raganya juga sakit.”

Related posts

Isteri Dipaksa Bertudung Kemudian Cari Bini Lain Yang Seksi

admin

Apa Masalah Dato’ Sri Kalau Saya Menjanda?

admin

Biar Tak Kaya Asal Suami Orang Beragama

admin

Leave a Comment