Heidi Nazarudin The Digital Diva

Please select a featured image for your post

Beberapa tahun dulu, dua blog pertama milik Heidi Nazarudin menemui kegagalan. Puncnya kerana waktu itu dia cuba menjadi blogger fesyen LA (Los Angeles) sedangkan ada berjuta lagi gadis seperti itu dan bezanya dengan Heidi; mereka berusia 22, kurus dan selalu berbikini di pantai. Heidi sedar, dia tidak akan dapat bersaing dengan gadis-gadis itu, jadi dia mula melihat dirinya dan tertanya ‘apakah kekuatan dan kelemahan yang dimiliki?’

Di situ bermula titik tolak penubuhan TheAmbitionista.com (sebelum ini dikenali sebagai TheSuccessfulStyle.com). Bermula 2013, Heidi menjadikan blognya sebagai wadah untuk menunjukkan hakikat bahawa wanita yang bercita-cita tinggi, pintar dan profesional yang sentiasa fokus pada kerjaya tidak perlu nampak membosankan dan tidak feminin. Heidi seorang wanita dan dia percaya, tampil bergaya dan fabulous ketika menakluk dunia bukanlah satu kesalahan.

Selepas beberapa tahun, terbukti apa yang dihidangkannya mendapat pujian dan disenangi, juga membolehkan dia berada dalam keadaan selesa dengan lebih 600 ribu pengikut di Instagram, Facebook dan Twitter, selain TheAmbitionista.com telah menarik jutaan pembaca.

Wanita kosmopolitan yang pernah menginap di bandar-bandar ternama di dunia, daripada London ke New York, Los Angeles, Hong Kong, Tokyo dan tentunya Kuala Lumpur ini satu waktu dulu hanyalah seorang penulis biasa. Siang menulis untuk blog orang lain, malam dia menumpukan masa menulis untuk blognya sendiri. Tidak ada kerjaya besar, tidak ada nama tetapi itu bukan masalah buatnya. Kata Thomas Edward Lawrence, “All men dream: but not equally. Those who dream by night in the dusty recesses of their minds wake in the day to find that it was vanity: but the dreamers of the day are dangerous men, for they may act their dreams with open eyes, to make it possible.” Begitulah kiranya Heidi; dia bekerja siang malam mencari pengalaman; tidak ada cuti, tidak ada hari bermalas-malasan. Yang menjadi tumpuannya hanyalah kerja dan kerja dan seterusnya mengutip sebanyak pengalaman juga rangkaian.

Seterusnya bermula daripada situ, mimpi Heidi mula menunjukkan tanda akan menjadi nyata. Seperti jawapannya pada soalan yang saya ajukan, “Bila anda sedar ia (kejayaan) mula berlaku?” “Apabila saya mula mendapat bayaran daripada kempen yang saya lakukan.” Sebutnya, “Awalnya hanya dapat produk saja, tiada bayaran. Tiba-tiba kata client, “Kami beri produk… and how much do you charge for a campaign?””

Dipilih menjadi duta Revlon dan tawaran daripada Oreo untuk kempen peringkat nasional juga sangat mengujakanya. “Tidak ada satu momen tertentu. Ia berlaku satu demi satu.”

Mengenai pulangan yang diperoleh, menurutnya, mula-mula hanya dapat beberapa ratus dolar sahaja dan lama-lama jadi beribu. “Saya sangat gembira apabila saya mendarat dalam kempen Armani. Diterbangkan ke Milan menaiki penerbangan kelas pertama dan tinggal di Armani Hotel selama 10 hari. Mereka menaja semuanya dan dalam masa yang sama mereka membayar… banyak. Saya tidak pernah tahu kita boleh mendapatkan begitu banyak wang daripada menulis blog. Saya menyangka client akan kata, “Okay you have to do other things,” tetapi tidak.”

Blogger bukan lagi satu kerjaya aneh, walaupun ia bisa jadi mengelirukan. Malah tidak mungkin untuk memiliki kerjaya sebagai blogger sehinggalah beberapa tahun yang lalu, yang mana mengapa saya terutamanya mengagumi mereka yang telah menulis blog selama bertahun-tahun sebagai hobi sampingan sehingga dapat mengubah blog mereka menjadi satu perniagaan (seperti Geri Hirsch daripada Because I’m Addicted yang telah menulis blog sejak 2005). Banyak jenama mula sedar bahawa blog adalah satu bentuk pemasaran yang sah (cara pasaran yang benar-benar hebat kerana mereka mendapat sasaran pemasar dan penonton yang tulen dan dipercayai) dan sebab itu mencari nafkah sebagai seorang penulis blog merupakan satu laluan kerjaya yang bagus.

Ramai tertanya, “Bagaimana blogger mendapatkan wang?” Well, dengan pelbagai cara; menjual produk, bekerjasama dengan pelbagai jenama, melakukan review tentang produk, restoran dan hotel antaranya. Blogger juga mempunyai ruang iklan di laman web mereka atau menulis buku. Dalam kes Heidi, seperti kerjasamanya dengan Armani, SK-II dan Revlon sebagai contoh, “Mereka membayar saya untuk tugasan kempen antaranya berkongsi mengenai produk mereka dengan pengikut saya di blog dan media sosial, juga menghadiri acara yang mereka anjurkan. Untuk Marie Claire Amerika dan edisi yang di sini, mereka mahu saya bekerjasama dengan client mereka, selain menulis tentang pertunjukan fesyen yang saya hadiri di luar negara.”

Terdapat pelbagai konsep blog daripada fesyen ke kecergasan, gaya hidup dan makanan (makanan adalah satu topik yang bagus, semua orang menyukai post #foodporn yang menyelerakan). Tika ini, blog mengenai keibubapaan sangat popular, selain blog pengembaraan kerana ia hebat, blog percutian pula rock, blog fotografi cantik dan ada blog tentang sukan, blog muzik, blog DIY (do it yourself), blog hiasan rumah, blog kecantikan, blog alam perkahwinan, blog persiapan perkahwinan dan banyak lagi. Saya menggambarkan ruang blog sebagai sebahagian daripada diari dalam talian kerana begitulah keadaannya. Ada masanya blogger menulis tentang apa mereka rasai dan alami ketika itu, tetapi ada juga tugasan yang perlu dirancang berbulan lebih awal dengan sesi fotografi oleh jurugambar profesional, temu bual, video dan suntingan antara lain; seperti Heidi yang ketika menginap di Hotel Stripes Kuala Lumpur awal April lalu sempat melakukan sesi penggambaran untuk tugasan review hotel tersebut dan ketika artikel ini ditulis Heidi berada di Four Season Resort Lanai di Hawaii pula, dan tugasan seperti ini telah diatur lebih awal.

Selain daripada fakta bahawa blog adalah tempat untuk meluahkan apa sahaja yang anda mahu, bagaimana dan bila yang anda mahu, menjadi blogger juga lebih daripada itu. Blogger cukup sinonim dengan terma ‘artis bebas’, Sama ada anda seorang penulis atau jurugambar, blog anda menjadi ruang untuk berkongsi paparan terperinci mengenai subjek tertentu dengan sasaran penonton tertentu. Atau dalam erti kata lain, ia adalah satu bentuk ‘kesenian bebas’. Dan ‘kesenian’ itu boleh jadi apa sahaja daripada prosa, gambar, video, look book, pautan kepada maklumat lain atau hmm… cukup banyak. Ia memberikan bertan-tan kelonggaran untuk penerokaan idea kreatif. Dam tentunya itu semua perlukan struktur. Anda boleh menjadi blogger yang paling kreatif dan bersemangat, tetapi jika tidak ada organisasi yang menyokong, maksudnya tiada umph. Maksudnya juga tidak ada ruang untuk menjalankan perniagaan daripada blog kerana perniagaan perlu ada struktur, strategi dan perancangan (paling tidak sedikit). Sama seperti Heidi yang tidak bergerak sendiri sebaliknya ada pasukan yang membantu menyokong kerjayanya. “I got an agent,” beritahunya. “She got me some bigger campaign. I know that things are looking up sebab ada ejen maksudnya you hit the big time.”

Selain daripada itu, anda seorang ‘artis bebas’ jika mempunyai blog, dan anda juga mempunyai tanggungjawab sebagai bos untuk laman web anda sendiri. You’ve gotta call the shots. Anda mahu mendekati jenama atau anda menyediakan ruang di laman web di mana mereka boleh menghubungi anda? Adakah anda akan bekerja dalam pasukan atau melakukan semuanya sendiri? Bagaimana pula anda mahu blog anda kelihatan daripada segi profesionalisme? Yang pasti, jika anda mahu mengembangkan jenama anda di internet, anda harus miliki sesuatu yang anda bersemangat untuk kongsikan.

“Nampak sepertikan mudah, sebaliknya ia mengambil masa yang lama untuk saya sampai di tahap ini. Dua tahun pertama blog saya tidak mendatangkan pulangan. Dan saya juga perlu melabur dalam jumlah yang banyak.” “Contohnya?” saya tertanya.“Contohnya kena melabur untuk mendapatkan jurugambar yang bagus. Jika mensasarkan bekerja dengan jenama seperti Valentino, gambar yang kita keluarkan mesti standard Valentino. Dua penggambaran pertama saya adalah bersama jurugambar yang saya dapat secara percuma. Sudah namanya jurugambar free, hasilnya pun free la… well, if you know what I mean?” ujarnya.

“Dulu saya melakukan banyak kesilapan,” Heidi mengimbau kisah lalu. “Saya percaya saya sudah buat semua kesilapan yang you boleh bayangkan.” “What kind of mistake?” celah kak Wirda. “Belanjakan duit ke jalan yang salah, buat pemotongan bajet yang tak betul, fokus pada benda yang salah, tidak tahu topik apa yang perlu diberi perhatian, tidak tahu gaya paling sesuai dengan diri. Termasuk juga nak mendekati jenama untuk tajaan, tetapi tidak berurusan dengan orang yang tepat. Waktu itu saya sepertikan dalam kegelapan. Tiada latar belakang dalam dunia fesyen membuatkan saya tidak tahu apa-apa. So I just have to try everything.”

Sambung Heidi lagi, dua tahun lalu baru dia rasa kerjayanya sebagai blogger mula membuahkan hasil. “Tetapi ada juga yang kata pada saya, “”Wow, it’s like an overnight success.” “Excuse me? I have been doing this for seven years… an overnight success?”

Sebagai blogger tidak ada istilah menulis review tentang sesuatu produk tanpa menggunakannya. “Jika tidak pembaca akan tahu, “Ahh, dia bercakap tentang warna itu dan ini, walhal sebenarnya tak guna pun?” Jadi kita kena selalu jujur dan guna produk yang telah diberikan.”

“Di sini sudah jadi kebiasaan bagi sesetengah blogger; hari ni promosi pembayang mata jenama lain, esok jenama lain,” Helmi Sharip mencelah.

Really?” terkejut Heidi mendengarnya. “Kalau di US tak boleh buat macam tu; hari ni Revlon, esok Maybelline, lepas tu Cover Girl. Mesti ada jurang sebulan paling tidak. Di US, saya percaya 90% blogger yang bagus-bagus tidak akan buat kerja macam itu or else you will be out of job,” tambahnya lagi.

“Bagaimana jika ada jenama yang mahu sambung kontrak, contohnya promote shampu tetapi dalam masa yang sama dapat tawaran daripada jenama lain juga untuk promote shampu. Apa blogger perlu lakukan?”

“Jika kontrak sudah habis dan you tidak mahu sambung buat masa itu, berterus terang saja. Beritahu yang sebetulnya, “Sebenarnya saya ada dapat tawaran yang bagus daripada jenama satu lagi.” Mereka sangat profesional dan biasanya mereka akan kata, “Tidak mengapa, we wish you all the best.” Kalau kita jujur, it will be okay.”

Tambahnya lagi, “Kita kena fikir jangka panjang. Kalau kita jenis yang promote semua benda; pembaca tidak akan percaya pada kita. “Ala dia ni, kalau semua benda dia promote maksudnya mana satu yang paling bagus?” Kalau you baca maklum balas daripada pengikut saya di Instagram ada yang tulis, “Heidi I’m so going to buy this right now!” Kerana mereka sangat percayakan saya. Dan jika ada yang melihat saya mengenakan lipstik Revlon, mereka akan beli lipstik yang sama dan muat naik gambar dengan posing yang sama macam yang saya lakukan.”

“Tetapi saya tidak faham di sini (Malaysia) banyak jenama yang mendekati tetapi mahukan saya bergambar memegang produk mereka, “Yes, you promote our product but please put it next to your face,” beritahu mereka. “No, I’m not going to put it next to my face?” ceritanya sambil ketawa. “Kenapa saya tidak boleh letakkan saja produk tu di atas meja? Kenapa mesti di sebelah muka? Di sini suka sangat cara macam tu. Without a face they won’t get it.”

Santa Monica, Los Angeles – Heidi menetap di sini tika ini.  Apartmentnya menawarkan pemandangan indah pesisir pantai dan merupakan lokasi dia berjalan menghirup angin petang. Walaupun katanya, “I tidak ada masa senggang,” tatkala saya bertanya akan aktiviti ketika berkelapangan. “I really love going on the plane sebab dalam kapal terbang saya boleh duduk diam-diam sambil menonton movie. Kalau tidak I’m just working nonstop.” Pun begitu saya percaya berjalan menyusuri pantai melihat matahari terbenam begitu kepingan dia lakukan.

Walau turut miliki apartment di New York, tetapi LA lebih terbekas di hatinya. Terangnya, “Saya suka Los Angeles. Saya tidak rasa mahu berpindah ke New York kerana New York sangat mahal; dua atau tiga kali ganda lebih mahal daripada LA, walaupun makanan dan tambang Uber. Berbeza dengan LA, tiada apa kita boleh buat jika tidak ada duit di New York.

Bercakap tentang ‘amazing’, Heidi tidak sabar menunggu projek terbarunya, rancangan realiti selama tiga hari tentang kehidupan sekumpulan influencer. “Kesemua influencer yang terlibat miliki pengikut terkumpul lebih 12 juta di media sosial. Kami akan menjalani penggambaran di beberapa bandar berbeza dan akan ada dua juruvideo dan jurgambar yang akan mengikut dan merakam aktiviti kesemua influncer. Contohnya daripada bangun tidur kemudian saya akan bersarapan bersama my stylish friends, selepas itu kami ke Saks Fifth Avenue buat styling clothes dan juga video muzik. Konsepnya seperti, ‘how does it look like the life of influencer in three days?’”

“Bila penggambaran akan dilakukan?” “Sekitar hujung Mei nanti dan akan ditayangkan sebulan selepas itu di New York. Ketika penggambaran kita akan lakukan tayangan live di Facebook dan Instagram. Tayangan penuh juga akan ditayangkan menerusi media sosial. Jika rancangan tersebut mendapat sambutan, kita akan buat rakaman di bandar-bandar lain pula. Mungkin kesemua influencer akan terbang ke Kuala Lumpur mana tahu, as we want to do it in every city in the world,” tambahnya lagi.

Heidi Nazarudin The Digital Diva – saya mengamati lagi tajuk ini. Mengungkapkannya lagi dan lagi, sedap intonasi dan begitu kena tajuk dengan diri Heidi (upp! puji diri sendiri).

Heidi telah membuktikan kerjaya sebagai blogger, yang jika orang lain menganggap hanya sesuai digalas sebagai kerjaya sampingan sebaliknya telah membawa dia jauh merantau setiap pelusuk dunia, menaikkan reputasi diri dan mengumpul harta tentunya.

“You are the Malaysian girl who made it big in America.” saya teringat mengatakan baris ayat ini padanya sebelum dia mengundur diri. “Oh dear, thank you so much and please pray for me,” ujarnya.

Ya Heidi, kejayaan sudah pun terbukti, tetapi terpulang pada dirimu jika mahukan ia datang dalam skala lebih besar lagi. Kami di sini setia menyokong dan memerhati. All the best and stay fabulous Heidi!

 

Gambar: Wan Izhar (ODS Studio)
Penata Gaya: Wirda Adnan
Tatarias: Helmy Sharip
Penyelaras: Shaufik Yunus

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON