Menggelar dirinya ‘The Accidental Artis”, pernyataan pelukis dan penggiat fesyen Habsah Abang Saufi itu hanya sekadar melahirkan sifatnya yang sememangnya down to earth.
Melalui hasil karya yang beliau pamerkan pada Pameran solonya yang belangsung di Hotel Melia pada 24hb September 2019, hasil karya tersebut dengan jelas menterjemah keikhlasan the absolute realism yang mana sesuatu karya itu akan hanya terhasil dengan adanya bakat dan jiwa seni yang tinggi. Tidak mungkin terjadi secara tidak sengaja.
Rangkaian hasil kerja beliau menceritakan secara rambang dua sudut dunia yang berbeza dan kehidupan yang amat dekat dengan dirinya iaitu fesyen dan kaitannya dengan tuntutan-tuntutan kehidupan yang lainnya seperti alam semulajadi dan keinginan mencari diri.
Elemen dua dunia yang tersirat tersebut telah disuratkan dalam karya-karya beliau dengan begitu jelas dan indah sekali lalu mengimbau bibit-bibit pengertiannya yang tersendiri. Antara yang menarik ialah siri “The Fashion Week” yang seolah-olah mencoretkan keghairahan dan kegemilangan dunia juga hasil karya fesyen serta gaya masyarakatnya.
Kesinambungan elemen tersebut juga terlihat melalui siri lain seperti ‘perayaan kaum’ cotohnya Tahun Baru Cina, Sari dan sebagainya. Sementara ikan menjadi subject matter fokus yang membawa kita ke alam semulajadi, siri ‘Zikir’ pula adalah satu soul searching yang mendalam yang secara langsung mengintepretasikan jiwa pelukis yang mungkin sedang mencari-cari destinasinya.
Menariknya, dalam setiap hasil karyanya, Habsah sentiasa memartabatkan elemen budaya dan warisan tempatan yang tidak silap lagi, sentiasa menjadi penggerak, tulang tunjang dan naluri yang menghidup sesebuah hasil karya seni.