GAYA HIDUP

FEBRUARI, CINTA, MEDIA SOSIAL & …..

Bulan Februari kembali lagi. Tahun kedua dalam dunia yang baru. Dunia pandemik. Pun begitu, bulan Februari masih lagi sinonim dengan bulan yang romantis. Kebanyakan pasangan menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari. Jambangan bunga, coklat dan candlelight dinner menjadi satu kebiasaan pada pasangan yang meraikan hari kekasih ini. Netflix dan saluran televisyen rata-rata menghidangkan filem romantis sepanjang bulan Februari. Sebelum pandemik yang mengubah cara hidup kita, ramai juga pasangan yang menjadikan bulan Februari untuk mengikat ikatan percintaan menjadi ikatan yang sah di sisi agama dan undang-undang.

Bukan sahaja kita di dalam dunia pandemik yang penuh dengan cabaran. Generasi kini juga berada di dalam dunia media sosial yang sedang menuju kemuncaknya. Empat atau lima tahun yang lepas, media sosial hanyalah untuk mencoret pandangan dan perasaan ketika itu. Ianya juga tempat untuk bertemu kembali di alam maya rakan-rakan lama juga yang baru. Kini, media sosial boleh dikatakan telah menjadi aspek yang penting dalam kehidupan seharian untuk individu melebarkan sayap. Zaman saya sekolah dahulu, influencer bukanlah satu pekerjaan atau cita-cita. Malah, pada masa itu perkataan influencer amat jarang sekali diguna. Hahaha. Tetapi sekarang, rata-rata budak-budak atau remaja jika ditanya mahu jadi apa bila dewasa nanti? Separuh akan menjawab mahu menjadi influencer.

Jadi apa kaitannya bulan romantik ini dengan media sosial? Telah banyak artikel-artikel yang saya baca dan saya lihat mengenai kebaikan dan keburukan media sosial dan impaknya pada masyarakat. Pentingnya media sosial ini sehinggakan artis tempatan dan antara bangsa semua menggunakan platform ini untuk melebarkan kerjaya mereka. Jika dulu, hanya yang berbakat dalam bidang seni seperti muzik, lakonan dan pengacaraan saja boleh mengumpul peminat, kini influencer yang memaparkan aktiviti peribadi seperti memasak, mengemas rumah dan lain-lain juga boleh menjadi terkenal. Jika dulu, hanya ahli politik yang boleh bersuara meluahkan pendapat mengenai hal ehwal politik negara, kini influencer boleh memberikan pandangan dan mengumpul pengikut mereka sendiri.

Media sosial juga menjadi tempat orang-orang biasa macam saya untuk memaparkan kisah kehidupan peribadi. Sama ada gambar kucing tergolek tidur atas katil atau gambar kuih ketayap yang berjaya saya buat petang semalam. Atau tempat melepaskan geram kenapa hero drama jam sembilan sangat lurus bendul percaya kata-kata hinaan ibunya pada si heroin. Ya lah, nak bercerita dengan mak saya nanti pasal si hero, saya hanya akan dapat jawapan “Pergi mengaji Aina.” Mmm. Macam mana nak menjawab tu?

Pokok pangkalnya media sosial kini menjadi tempat orang ramai ‘menunjuk’ kehidupan dan barangan peribadi. Beli kereta baru? Cepat ambil gambar sebelah kereta dan masukkan dalam facebook.

“Alhamdulillah dapat kereta idaman”. Eh, nanti dulu! Sebelum makan steak, ambil gambar dulu. Nanti boleh masukkan dalam Instagram. “Syukur dapat makan steak malam ni walaupun tak sesedap restoran lagi satu di Ampang sana”. Kekasih beri hadiah? Ambil gambar dan masukkan ke dalam Twitter. “Ya Allah terima kasih kerana menganugerahkan kekasih yang baik padaku. Dia beri beg plastik pun tak kisah, tapi dia baik hati hadiah kan kita beg Dior.” Suami buat kejutan pada hari jadi? “Syukur pada Ilahi dapat suami pemurah. Sebenarnya tak kisah pun makan nasi lemak je, tapi suami bawa pusing satu Kuala Lumpur naik helikopter pula.”

Begitulah orang kita sekarang. Bukan semua tapi kebanyakannya begini di media sosial. Tidak ketinggalan artis juga. Semuanya bagai berlumba-lumba mahu menunjuk kehidupan yang sempurna disamping pasangan dan keluarga. Sehinggakan doa untuk anak pun diletakkan dalam media sosial! Menjadi satu trend kini untuk memperlihatkan betapa bahagianya seseorang itu bersama pasangan, anak-anak, ibu bapa, adik beradik di samping mempamerkan barangan mewah dan berjenama di media sosial.

Salahkah? Tidak. Tidak salah sama sekali. Kalau anda bertuah mendapat pasangan dan keluarga yang penyayang, Alhamdulillah. Kalau anda mampu menghulurkan bantuan pada yang memerlukan, Alhamdulillah. Untung menjadi orang yang terpilih sebegini. Tetapi dalam sibuk untuk megkhabarkan setiap perjalanan hidup dalam media sosial, perlu tahu juga batasan-batasannya. Kita hidup bermasyarakat. Budaya dan agama kita melarang kita bersifat berlebih-lebihan. Perlu bijak setiap kali kita menggunakan media sosial. Perlu ada sensitiviti bak kata orang putih. Meraih pujian dari orang ramai memang satu perkara yang amat menggembirakan. Tetapi janganlah pula sampai menjadikan itu sebagai matlamat hidup. Jangan terlalu obses dengan pujian orang ramai. Pujian bukanlah kayu pengukur samada kita ini manusia yang bahagia mahupun bijak.

Elakkan menjadi orang yang terlalu menyanjung kehidupan sendiri dengan mempamerkan segala benda di dalam media sosial. Orang tua-tua kata hidup ini ibarat roda. Hari ini kita di atas. Esok lusa belum tentu lagi. Ya, betul. Kita ada hak untuk meletakkan apa sahaja di dalam media sosial sendiri. Tetapi perlu bijak mengawal nafsu. Obsesi terhadap media sosial adalah tidak sihat kepada mental dan emosi kita. Rajin-rajinkan diri membaca artikel-artikel yang bertebaran di alam maya tentang impak media sosial. Semakin obses seseorang itu mahu menunjukkan kehidupan yang sempurna di media sosial, semakin banyak tekanan perasaan yang akan dihadapinya nanti. Kenyataan ini adalah kajian yang telah dilakukan di universiti antara bangsa. Masyarakat kini terutamanya generasi gen-z mempunyai banyak tekanan hidup dan salah satu penyebabnya adalah kerana masing-masing berlumba-lumba untuk mengikuti trend yang terkini yang dipamerkan di media sosial.

Pada yang rajin mengikuti influencer atau artis di media sosial, anda juga perlu berhati-hati supaya tidak menjadi terlalu obses dengan kehidupan orang lain. Obsesi terhadap kehidupan orang lain ini boleh mengakibatkan kepada beberapa perkara. Satu, kemungkinan anda akan kehilangan identiti sendiri kerana terlalu memuja dan mahu menjadi seperti orang yang anda ikuti di media sosial. Senario yang semakin berleluasa zaman sekarang adalah, pasangan suami-isteri atau kekasih kerap kali bertelingkah sehingga ada menyebabkan penceraian dan putus hubungan kerana salah seorang tidak puas hati mengapa pasangan bukan seperti pasangan yang dilihat dalam media sosial.

Percayalah, zaman sekarang semakin ramai orang yang berani melanggar adap dan batas-batas agama malahan undang-undang kerana ingin mengecapi segala yang dilihat di alam maya. Ada gadis dan isteri yang sanggup menggadai maruah diri semata mahu mempamerkan tas-tas tangan yang berjenama di dalam media sosial sama seperti selebriti pujaan mereka. Ada yang sanggup melakukan hubungan terlarang bersama suami atau isteri orang lain kerana mahu mengecapi kebahagian sama seperti orang lain di media sosial. Percaya atau tak, ada yang sanggup menggunakan perkhidmatan bomoh untuk menghantar jin dan syaitan mengganggu pasangan lain kerana perasan hasad dengki setelah melihat pasangan tersebut sering kali menunjukkan aksi bahagia di alam maya.

Kedua, kemungkinan anda akan mengalami depresi atau kurang keyakinan diri kerana terlalu membanding-bandingkan kehidupan anda dengan orang yang anda ikuti di media sosial. Kelihatan seperti saya sedikit dramatik bukan? Hakikatnya, inilah keadaan yang terjadi di luar sana. Terlalu banyak tekanan untuk menjadi seperti orang lain yang sentiasa mengikuti trend terkini di media sosial. Statistik kini menunjukkan, terdapat segelintir masyarakat yang membunuh diri sendiri kerana dibuli di media sosial. Remaja-remaja seawal usia 14 tahun di Amerika Syarikat kini banyak menjalani pembedahan kosmetik seperti membesarkan bibir, payu dara, bontot dan menghakis tulang rahang untuk kelihatan seperti keluarga Kardashian. Ya, memang itu terjadi di Amerika dan bukan di negara kita. Tetapi kalau tidak dibendung dari awal, tidak mustahil ia akan bertapak dan menjadi ikutan di Malaysia. Jadi, jangan jadikan media sosial tempat anda menghabiskan masa melihat kehidupan orang lain. Lebih baik tumpukan tenaga anda pada kehidupan sendiri.

Percayalah segala kebahagian dan kesempurnaan yang dipamer dalam media sosial itu tidak selalunya indah-indah belaka. Di sebalik tabir, apa yang kita tahu? Baru-baru ini ada gosip yang mengatakan seorang influencer yang selalu mempamerkan kehidupan yang sempurna bersama pasangan telah bercerai. Sedih bukan? Kita perlu tahu realiti kehidupan bukanlah semanis dengan apa yang terpampang di media sosial. Ini kerana, hanya beberapa minit sahaja masa yang diperlukan untuk mengambil gambar tersenyum bahagia di samping pasangan dan keluarga bersama kereta mewah atau rumah banglo. Hakikatnya, banyak air mata yang menitis, banyak hati yang terluka dan banyak pengorbanan yang dibuat untuk mengecapi kebahagian sebegitu. Jangan terlalu mudah asyik dengan gambar yang anda lihat di dalam media sosial. Ambil sebagai motivasi untuk kita lebih berjaya tetapi tidak perlu sehingga menjadi penyanjung kepada orang sebegini. Mereka juga manusia seperti kita.

Sebagaimana untung pun anda di dalam kehidupan, jangan selalu jadikan media sosial sebagai tempat untuk anda mengucapkan syukur. Ramai yang pada awalnya berkata tiada niat untuk riak. Tetapi kata-kata tidak selari dengan apa yang terpampang di halaman media sosial. Sebagai contoh, mewar-warkan di media sosial (gambar yang diletakkan adalah gambar suami menghulurkan bantuan) betapa baiknya sang suami menderma pada mereka yang memerlukan sambil-sambil memuji sang suami dan mengucapkan syukur. Tidak ketinggalan juga memberi tips untuk berjaya seperti sang suami pada orang ramai.

Maafkan saya kerana tidak tahu perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu untuk perbuatan seperti ini. Tetapi dalam bahasa Inggeris perbuatan seperti ini dipanggil sebagai humble-brag. Konon-kononnya menunjukkan sang suami banyak melakukan kerja amal. Hakikatnya masih ada perasaan riak di situ. Bukan sahaja agama Islam tetapi agama-agama besar lain di dunia seperti Christian dan Buddhist juga melarang kita untuk meriak. Apabila tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri.

Humble-bragging kini amat berleluasa di dalam media sosial. Memberi tips untuk berjaya dan murah rezeki boleh. Tetapi lakukan dengan bijak. Daripada menunjukkan gambar suami memberi bantuan, mungkin boleh mengambil gambar keadaan persekitaran mereka yang memerlukan bantuan disamping memberi informasi penting bagaimana masyarakat di luar sana boleh membantu juga. Cukuplah hanya kita sendiri tahu pasangan kita banyak melakukan kerja amal. Tidak perlu menghebohkan di alam maya untuk tatapan umum sambal memuji pasangan sendiri. Ada juga yang suka memberi tips bagaimana untuk mengecapi kebahagiaan rumah tangga sambal meletakkan gambar sang suami menghadiahkan kasut atau tas tangan atau jam berjenama. Ada yang sanggup menunjukkan duit berkepuk-kepuk kononnya hadiah dari sang suami. Kadang tidak faham apa motif orang sebegini.

Pepatah ada mengatakan; hujan emas di negeri orang. Hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri. Di bulan Febuari yang penuh dengan cereka romantik ini, mungkin sudah tiba masanya kita berfikir sejenak bukan semua cerita romantis kita perlu dipertontonkan pada umum. Tambahan pula dengan keadaan dunia yang diancam dengan wabak covid yang merbahaya. Mungkin ini petanda untuk kita hentikan langkah seketika dan menilai kehidupan sendiri. Apa yang baik dan apa yang tidak untuk kesihatan diri samada fizikal, mental dan emosi. Kebahagiaan yang terpampang di media sosial itu bukan semuanya sesuci embun pagi. Walau hujan emas tidak mencurah pada kita, tidak semestinya kita tidak boleh bahagia. Jangan disangka doa seorang ibu di Instagram lebih mustajab berbanding doa ibu kita. Mungkin kita tidak melihat atau mendengar. Tetapi besar kemungkinan doa ibu kita yang dibisikkan dalam hati di atas sejadahnya dapat memberi manfaat pada anak-anaknya. Mungkin pasangan kita tiada berkemampuan menyewa helikopter untuk kejutan hari jadi. Tetapi setiap titik peluh dia membanting tulang adalah untuk kebahagiaan kita. Kasih sayang dan perasaan cinta pada pasangan dan keluarga boleh dipupuk walau di ceruk mana sekalipun. Bukan sahaja di alam maya. Dan tentu sekali bukan sahaja di bulan Februari! Hahaha. The grass is always greener on the other side they said. But you can always water your grass to make it alive and green too!

Related posts

Experience the Best of Malaysian Ramadan Cuisine: Marriott Bonvoy Chefs Unveil Their Signature Dishes

adminwm

DISTORTED

adminwm

Sayur Pengubat Kanser

admin

Leave a Comment