EYE ME

Doa, Pesanan & Kenangan…

Terlalu indah kenangan setahun yang lalu (6 Ogos -14 September 2018). Dan di ketika itu, saya berada di tanah suci Makkah.  PenggilanNya cuma dua minggu sebelum umat Islam berhimpun di Arafah. Inilah anugerah terbesar bagi diri ini. Syukur, Allah kabulkan permintaan umatnya yang kerdil ini. Daripada awal lagi perasaan hati ini seolah sudah merasakannya, inshaAllah pada Haji 2018 saya akan menjejak kaki di tanah suci untuk ibadah Haji.  Bagaikan saya tahu, bila kakak mengingatkan bila hendak buat Haji, tahun berganti tahun belum juga pergi katanya, dan bertanya adakah sudah membuat rayuan dan sebagainya. Jawapan saya tahun 2018, inshaAllah. Dan bila saudara mara serta sahabat handai ada yang sudah pergi, ada yang mengadakan kenduri doa selamat sebelum berlepas, keyakinan di hati tetap sama, inshaAllah aku dihantarNya, sabar.

Tetiba teman memberitahu ada kekosongan di sebuah agensi, dan adik juga menghantar pesanan ringkas di KRS  Travel (agensi Haji & Umrah) ada kekosongan dan tinggal dua tempat sahaja. Saya teringat membayar wang pendahuluan di sebelah petang dan keesokan paginya kami sudah pun berada di Senawang untuk kursus Perdana Haji.

Your soul needs prayer like your lungs need air  

Kita merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Awalnya, bila tiada berita gembira dari TH, doa saya  tidak pula berhenti di situ. “Ya Allah kabulkan permintaanku supaya aku dapat mengerjakan Haji tahun ini juga. Ya Allah aturkanlah perjalanan aku ke sana, aturkan yang terbaik untukku.” Siang malam saya memohon kepadaNya, kerana saya tiba-tiba takut, takut tahun seterusnya mungkin saya tiada lagi sempat ke sana.

Sungguh, seribu satu perkara boleh berlaku. Malah saya sudah terlewat sangat, sepatutnya ketika masa muda, ketika tenaga masih kuat, ketika kewangan pun tengah mantap, ketika anak-anak sudah pun mampu berdikari, boleh cari makan sendiri, boleh ke kolej berkereta sendiri. Mengapa cuai? Mengapa tidak meminta kepadaNya supaya dipanggilNya ke sana? 

Ya, saya yang lalai. Saya yang merasakan masa masih terlalu panjang, yang lupa memohon walhal itu lah permohonan yang terlalu besar pada setiap insan yang mengaku tiada Tuhan wajib disembah melainkan Allah.

“Kekuatan doa itu bukan terletak seberapa jauh kamu menghafal ayat-ayat Tuhan, seberapa banyak kamu mengucapkan doa dengan hitung-menghitung matematik, kekuatan doa itu justeru terletak daripada keyakinanmu terhadap doa itu yang kemudian menggerakkan hati. Ketika hati kamu bergerak, alam semesta akan menggerakkan dirinya untuk mewujudkan keinginanmu, atas dasar itulah saya berani memerdekakan bangsa saya.” Bung Karno, 1962.

Seyugia, saya apabila tersedar waktunya semakin singkat, yang saya mampu adalah menyerah kepadaNya, supaya jangan diambil nyawa ini sebelum saya sempat menunaikan rukun Islam ke lima. Tolak ke tepi segala hal, saya mahu ke sana sebeberapa segera,  dan apakah yang lebih penting daripada mengabdikan diri kepada perintahNya? 

“Oh Wirda, you jangan tergesa-gesa, nanti you ditipu agen?” Ada juga yang menasihatkan sebegitu. “Tak boleh, you kena pergi dengan suami? Jangan pergi sendiri sendiri? Tiada pahalanya?” “Tetapi aku mendapat kebenarannya, dia redha lagipun dia ada tanggungjawab yang lebih besar, ibu dan ayahnya sakit. Bukankah itu yang terbaik untuk seorang anak (tunggal), supaya makan minum orang tuanya terjaga?”  

Ada juga kawan-kawan yang terus mengingatkan, “Mungkin you lebih duit, I ini  particular andai agen lari dengan duit kita, macam mana?” 

Betul kita perlu selidik latar belakang agennya, betul kena pastikan mereka sudah ada rekod yang baik, check, check, check, ya check betul-betul kesahihan agensinya. Dan seterusnya kamu serahkan kepadaNya. Satu hal lagi hati kita kena bersih. Bersangka baik dalam apa juga. Kerana yang baik datang daripadaNya, yang buruk kerana kita yang tidak bijak menilainya.

Prayer is an amazing exchange, you over your worries to Allah and Allah hands over his blessings to you.

Allah understands our prayers even when we can’t find the words to say them.

Maka saya di kota suciNya bersama berjuta-juta manusia yang ada di situ ketika itu. Maka Allah menguji umatnya lagi, ada yang sakit langsung tidak sempat melihat Kaabah. Ada yang terlantar di hospital tidak sedarkan diri, sehingga langsung tidak dapat diusung ke padang Arafah. Dan seribu ujian lain, yang hilang wang ribu ringgit, yang bergaduh malah ada bercerai berai. 

Juga Allah memberikan rezeki kepada yang lainnya, dipermudahkan segala urusan. Dicantikkan perjalanan pergi balik ke tempat-tempat yang wajib disertai. Disenangkan urusan tawaf, sai, solat-solat wajib dan sunat khasnya.

Bila diuji, banyakkan sabar dan istigfaar. Jangan mengeluh, berkesal, berkasar dan merasakan kamu hebat? Teringat kata seorang jemaah, “Kata empat sebilik. Tiba di sini mengapa diletakkan sebilik sampai enam orang?” Macam mana hendak sabar, mereka tipu kita, macam mana nak sabar kalau bilik air satu, orangnya enam? Tidak kurang ada yang marah makanan tidak sedap. “Asyik makan sama, hendak termuntah rasanya.” Mutawir pula bo layan, janji tidak serupa bikin, dan pelbagai komplain yang tidak membuat hatinya tenang, malah cemburu kerana ada mendapat layanan lebih baik daripada dirinya. 

Kata Imam Syafie, “Lidahmu jangan engkau pergunakan untuk membicarakan aib orang lain. Ingat aib mu juga banyak dan orang lain juga punya lidah.” 

Syukur, Allah mengatur yang terlalu baik untuk diri ini. Aku yang sekerdil ini, yang juga sering ingkar atas perintahNya, sama ada dalam sedar mahu tidak sedar, aku yang amalannya terlalu sedikit, tanpa aku mahu membanding dengan sesiapa, tetapi aku tahu sebanyak mana telah aku kumpul amalan ini selama hidup lebih setengah abad ini. Aku yang tidak selalu bertahajud di tengah malam yang sunyi dan sepi, namun Allah memberikan diri ini yang terbaik sekali. Kesihatanku terjaga sepanjang di sana dan aku tidak merasakan kesesakan yang melampau di tengah-tengah manusia yang berjuta. Bayangkan untuk tawaf Haji sesetelah sempurna wukuf dan rukun yang lain, aku antara yang dipilih bertawaf di kawasan yang terlalu dekat dengan kaabah, seolah aku boleh capai tiang Makam Ibrahim. Sungguh laluan kami terlalu senang. Begitu juga untuk melontar, aku berdiri betul-betul di tepian ‘perigi’ nya. 

Saya teringat ketika hari terakhir di Makkah, untuk mengerjakan tawaf Wada sekali lagi diberikan kemudahan yang tanpa dijangka saya dan adik menyempurnakan tawaf dalam keadaan yang suasana terlalu-lalu lapang. Bayangkan di musim Haji tetapi kami bertawaf selesa malah menyempurnakan solat sunat selepas itu betul-betul berhadapan dengan pintu kaabah, tanpa halangan. Alhamdulilah.

Kelmarin saya menitipkan pesan kepada anak saudara saya Iza Karmila dan suami yang dipanggilNya untuk mengerjakan Haji 2019. “Iza, pertama bersyukur kerana kamu dan suami dijemputNya pada usia yang muda; ketika badan tengah kuat dan sasa, ketika ada juga orang yang boleh diharapkan menjaga anak-anak kecil yang ditinggalkan. Bila di sana, perkara utama; sabar, zip mulut, less or zero complaint, kurangkan bercerita tetapi lebihkan ibadat, pergi ke masjid setiap solat waktu kerana sayang sekali berada di Makkah tetapi solatnya di bilik hotel. Jangan merintih kalau panas berbahang dan muka terbakar. Mungkin juga hotel kamu juga teramat dekat dengan kaabah, dan mungkin kamu berdua akan dilayan dengan ‘kemewahan’ di sana, tetapi ingat, itu juga ujian daripada Allah. Walahuaklam. Semoga kamu berdua mendapat Haji yang mabrur.” 

Kepada teman-teman dan saudara mara yang di sana mengerjakan Haji, ingat pesanan ini, “‘Tanda orang bijaksana ialah hatinya selalu berniat suci, lidahnya selalu basah dan zikrullah: matanya menangis kerana penyelesaian (terhadap dosa) sabar terhadap perkara yang dihadapi dan mengutamakan akhirat berbanding dunia.’

Robbana Atina Milladunka Rohmah Wahayyik Lana Min Amrina Roshadaa

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berikan kemudahan seperti pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Allahumma Bismika Amuru Wa Ahya.”
Ya Allah, atas namamu aku mati dan aku hidup.
Selamat Aidiladha.

Related posts

Wahai Anak

Wirda Adnan

Pulanglah, Jenguk Orang Tua Mu

Wirda Adnan

Cinta ‘Khas Untuk Anak Menantu’

Wirda Adnan

Leave a Comment