AGAMA

Doa diberikan Hidayah

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) drpd Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. pernah berdoa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk, ketaqwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta).” 

(HR Muslim  No: 2721) 

Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah s.a.w. mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat *‘afaf* dan *ghina* .

2.  Hidayah adalah petunjuk dan bimbingan daripada Allah s.w.t. 

Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya Allah sahaja yang memberikannya.

3.  Setiap orang perlu meminta hidayah kepada Allah, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

4.  Jika seseorang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertaqwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai dan terhindar darpada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah s.w.t., bukan kepada yang lain.

5.  Imam Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, mengatakan, “ _Afaf_ (الْعَفَاف) bermakna menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al-ghina (الْغِنَى) adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.”

6.  Berdoalah dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a. w. kepada kita seperti:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Allahumma innii asalukalhuda wattaqwal ‘afaf walghina

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk, ketaqwaan, al-iffah (terhindar drpd perbuatan yg tidak baik) dan 

al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta)

Rasulullah s.a. w. mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

a.  Al-huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal. 

b.  Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan.

c.  Al-afaf iaitu dijauhkan daripada perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

d.  Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah s.w.t. daripada apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit maupun banyak.

Mari amalkan doa ini 

Moga Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertaqwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita daripada yang haram dan senantiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada.

Doa Hati Tidak Berbolak-balik 

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari daripada sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. 

Allah s.w.t. akan memalingkan hati manusia menurut kehendakNya.” 

Setelah itu, Rasulullah s.a.w. berdoa, “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu!” 

(HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). 

Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika di tiup angin. 

Ia juga berbolak-balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2.  Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. 

Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. 

Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah s.w.t. 

Namun, Allah sw.t.  jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hambaNya untuk memilih jalan bahagia atau pun sengsara. 

3.  Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. 

Allah memalingkan hati manusia tersebut  sesuai dengan kehendakNya. 

Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorg sekehendakNya.

4.  Setiap Muslim dituntut agar senantiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah s.w.t. sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat). Rasulullah s.a.w. sendiri senantiasa memohon kepada Allah s.w.t. agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah s.w.t. 

Antara doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu.

5.  Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6.  Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dariNya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita senantiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

Related posts

Manfaat Membaca Ayatul Kursi

admin

Tamak Sifat Paling Keji

adminwm

Jibril menunjukkan kepada Nabi SAW gambar Aisyah pada secarik kain sutera, mengatakan, “Ia adalah calon isterimu kelak.” Apa Lagi Yang Menarik Tentang Aisyah ra?

admin

Leave a Comment