COVER STORY

Che’ Puan Datin Mimi Wahedah Bercakap Tentang Modelling, MW dan Masa Depannya

Che’ Puan Mimi Wahedah asalnya seorang model, kemudian menjadi pelakon, seterusnya berkahwin dengan seorang kerabat Diraja, bergelar ibu, menjadi tenaga pengajar dan satu hari mendapati anaknya melakukan perkara yang sama pernah dia lakukan sebelum bergelar model lebih 30 tahun dulu, iaitu menyertai satu ‘pretty face competition’.

Kebetulan? Mungkin, tetapi juga kerana baka yang elok diwarisi jadi tentunya sesuai jika si anak dara sunti menyertai dunia yang punya 1,001 cerita itu.

Dan hari ini, Mimi Wahedah kembali melakukan apa yang sudah lama dia tinggalkan iaitu menghiasi muka depan majalah, seraya kembali bekerjasama dengan Puan Wirda Adnan, sama seperti dulu ketika mereka sama-sama bergelar junior (dalam kerjaya masing-masing.)

Sekali lagi, adakah ini satu kebetulan? Well, begitulah dunia; pusing kiri, pusing kanan, selagi belum ditarik nyawa, pasti orang yang sama jugalah yang kita jumpa. Yang berbeza hanya usia, kematangan dan pengalaman. Dan Mimi Wahedah sendiri tentunya lebih besar lagi jangkauan kerana dia menguruskan pelbagai, selain bisnes turban dan pakaian, menjadi Presiden 2 untuk persatuan Peniagawati dan mengadakan kelas penampilan dan penggayaan fesyen. 

Dewi Remaja 1986/1987

Melihat kembali, saya percaya turning point dalam hidup Mimi Wahedah sewaktu menyertai Pencarian Dewi Remaja, yang semenjak dulu masih lagi cara yang efektif untuk menembusi dunia modelling dan hiburan. Waktu itu edisi 1986/1987, saya sendiri belum lahir lagi dan Mimi sudah di pentas catwalk bertanding dengan Aleeza Kassim, Lily Patra, Azah Aziz dan Sharifah Shawati antaranya. “Aleeza menjadi pemenang tahun itu, manakala i menyandang Second Runner Up dan Miss Favourite.” 

Hampir kesemua finalis batch tahun itu menjadi model dan selebriti, termasuk dia sendiri yang panas di pentas peragaan. Di sebalik trend Caucasian yang menjadi kegilaan, turut terselit wajah Mimi yang eksotik dengan kulit hitam manis. “Antara rakan sezaman saya seperti Shida Yaacob (arwah), Anita Mohd dan Sharmaine Farouk. Kak Wirda pernah beritahu mahu menggandingkan saya dengan Shida dan Tengku Azura dalam satu sesi penggambaran kerana wajah kami seakan sama, sayangnya tak kesampaian.”

Mimi antara model top sewaktu era kegemilangan industri peragaan di Malaysia. Zaman di mana setiap model ada style dan karakter berbeza, selain bangsanya juga pelbagai; ada Melayu, Cina, India dan Eurasian. Berbeza dengan sekarang yang hampir setiap model nampak sama saja, tambahan tiada muka lain yang mendapat spotlight, balik-balik yang itu saja. “Those time siapa yang paling happening?” “Nasha salah seorangnya, she’s got attitude dan pandai menyerlahkan rekaan yang diperaga.”

Dan kisah hampir 30 tahun lalu berulang lagi kerana anak perempuan Mimi, Tunku Affie Rania menyambung baton emaknya dengan menyertai Pencarian Dewi Remaja 2018/2019. “Jadi, adakah kak Mimi menggalakkan Rania menyertai pertandingan itu kerana mahu melihat sejarah berulang kembali?”

“Memang saya menggalakkan dia untuk menyertai. Dia tak begitu minat tetapi saya katakan pada dia, ada pengalaman tertentu yang datang hanya sekali seumur hidup. Malah pelajaran yang bakal dia tempuhi itu juga tidak dapat dipelajari di sekolah. Tak ada pula terfikir untuk melihat ‘sejarah kembali berulang’ lagipun perjalanan dia berbeza dan konsep pertandingan juga sudah berubah. Ada banyak peluang yang menanti dalam bidang hiburan dan peragaan. Kerana modelling saya banyak membuat kenalan dan ia menyumbang kepada skil berkomunikasi dan perhubungan awam yang membantu kerjaya saya hingga hari ini.”

“Tetapi Rania ada extra bonus berbanding kontemporarinya yang lain kerana dia ada maknya yang boleh beri tunjuk ajar?” 

“Walaupun saya ada pengalaman tetapi saya tak pernah mengajar Rania, sebaliknya saya biarkan Tinie yang mengajar dia.”

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” lightbox=”true” image=”9906″][thb_gap height=”40″]
I am Not A Designer

Don’t be into trends. Don’t make fashion own you, but you decide what you are, what you want to express by the way you dress and the way to live.” Gianni Versace

Mimi meluahkan citarasa dalam fesyen dengan memperkenalkan jenama fesyen sendiri dipanggil MW by Mimi Wahedah. Kata putus datang selepas dua kali ke New York bersama team Peniagawati dan peserta di bawah organisasi tersebut menyertai minggu fesyen di sana. Melihat barisan koleksi di minggu fesyen yang gah itu memberi keyakinan untuk dia merealisasikan impian yang sudah bertahun dia simpan, iaitu mengeluarkan jenama sendiri. 

I am not a designer, but I see fashion in a different way.” Mimi suka mix and match jadi antara lain dia mencipta cape yang trendy dengan cetakan bermotif Islamik. “Anda boleh memakai baju sendiri dan menjadikan koleksi saya sebagai penyeri tambahan yang memberi kelainan dalam penampilan. Dan ia cantik dipakai sama ada siang atau malam. It is about how you style it. Yang tidak bertudung pun cantik menggayakannya.”

September ini, Mimi akan membawa koleksi MW by Mimi Wahedah ke Minggu Fesyen London menyertai pertunjukan bersama pereka di sana, Norish Kareem. Dan tentunya dia akan tunjukkan sekali kemahiran melilit turban ketika menata gaya koleksinya nanti (salah satu forte Mimi.)

Sudah lama Mimi mengadakan kelas penggayaan turban. Daripada mengajar orang biasa yang minat fesyen membawa kepada pesakit kanser. Yang pesakit kanser ini kisahnya masih berkait dengan kota New York; berlaku tahun lalu dalam satu sesi suai kenal dengan pereka fesyen di sana. “Saya beritahu pada mereka kerjaya saya sebagai penggaya turban dan punya perancangan untuk bekerjasama dengan cancer survivor, yang mana saya mahu mengambil mereka sebagai model saya. Pada saya idea tu biasa-biasa saja tapi salah seorang designer Mat  Salleh menyukainya dan dia ajak saya buat untuk pesakit kanser di hospital juga.” Disember nanti Mimi akan mengadakan kelas bersama cancer survivor untuk acara Body, Mind and Soul Festival di sini, selepas kali pertama mengadakannya pada penghujung Jun lalu. “The universe heard me on my ‘csr’ project with cancer survivor by empowering them to be my model. Saya mahu membantu menyuntik keyakinan diri mereka supaya mereka tetap berasa cantik walau dalam apa saja keadaan.”

Lagi satu forte Mimi, sudah nama pun bekas model top, dia akan menggunakan pengalamannya mengajar kawan-kawan tentang teknik asas berposing; macam mana nak nampak tinggi, nampak slim atau bagi lengan nampak kecil ketika bergambar, termasuk juga cara berselfie. Katanya, “Geng mak-mak pun dah minta i mengajar sekarang 🤭.”

The New Normal

Kita melihat padang yang di sebelah, kita terpesona. Subur dan cantik sungguh warna hijaunya membuatkan kita tidak jemu memandang. Dan melihat pula padang yang kita duduki ini, kenapalah tidak mekar walau dibasahi air setiap hari juga ditambah baja namun warnanya tetap juga tidak berseri. Lain hasilnya hingga terbit rasa tidak senang hati, “Kenapa di sana lebih daripada aku yang di sini?” 

Percayalah, padang yang di sana itu pun sebenarnya tidaklah secantik mana. Cuma tatkala kita memandang kebetulan matahari menyinar, itulah nampak cantik. Ditambah pula angin meniup menggoyangkan lalang menambah seni tekstur. Cuba datang dekat, pasti akan jumpa spot yang layu, yang sudah lenyek di pijak-pijak. 

Begitu juga dengan kehidupan manusia. Melihat Mimi, dengan fizikal yang menarik, hidupnya senang lenang. Dia nampaknya boleh memilih nak melakukan apa saja; nak buat bisnes boleh, nak bercuti berbulan-bulan di Itali dan tidak mahu pulang-pulang juga barangkali tiada masalah. Namun, dalam perjalanan yang nampak smooth itu kadang ada juga halangan. Pernah satu ketika, datang berita yang tidak seronok buatnya kerana doktor mengesahkan dia menghidapi fibroid. Jalan terbaik yang dicadangkan doktor adalah membuang organ wanitanya, uterus dan ovari. Segala yang tidak normal kemudian menjadi ‘the new normal’ dan dia perlukan masa untuk membiasakan diri. Hal macam ni orang luar tidak nampak. Dan satu hal yang perlu diterima, kerana fibroid menjadi penyebab Mimi dan suami tidak dapat menambah zuriat. Seperti yang saya baca di laman web KKM yang antara lain menyebut, “Penghidap fibroid mempunyai masalah kesukaran untuk hamil. Ini kerana kehadiran fibroid akan mengubah dinding rahim dan menyebabkan kesukaran untuk perlekatan embrio pada dinding rahim. Sekiranya fibroid itu terlalu besar, ia juga akan menyebabkan salur fallopian tersumbat dan menyebabkan seseorang itu sukar untuk hamil. Manakala, fibroid sewaktu hamil boleh menyebabkan sakit dan tekanan pada pelvik dan menjadi punca kelahiran tidak cukup bulan.” 

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” lightbox=”true” image=”9908″][thb_gap height=”40″]

Pun begitu Mimi optimis. Sebutnya, “Hidup ini ada cara tertentu dalam menunjukkan apa yang kita semua perlukan. Kadang cara yang ditunjukkan itu lucu atau boleh jadi memeritkan. Kalau perit, sukar kerana kita perlukan kekuatan dan sampai masa akan berkurang tenaga dan semangat kerana telah banyak yang kita alirkan. Kalau itu terjadi, tak mengapa sebab kita tidak perlu bergantung pada kekuatan sendiri sahaja kerana sumber kekuatan boleh datang daripada orang lain juga.” 

Dan kekuatan maksud Mimi adalah suaminya YM Tunku Dato’ Fauzi bin Tunku Abdul Malek dan anak perempuannya. “Selama 25 tahun berumahtangga, suami sangat supportive. Kami sama beruntung kerana hubungan diiringi dengan kesefahaman.”

“Selain itu, saya redha dan banyakkan berfikir positif. The law of attraction is always think positive dan inshaAllah, perkara yang baik-baik akan datang pada kita.”

“Bagaimana kehidupan kak Mimi di usia ini?” 

“Alhamdulillah. Saya menjaga pemakanan, elakkan yang berminyak dan fast food adalah sekali dalam dua bulan. In fact, air bubble tea yang sedang viral pun saya pernahlah mencuba sekali dua itu pun sekadar nak merasa saja.”

Urusan Dunia dan Yang Seterusnya

Jika kita ingin menyandang kehormatan luhur, kemuliaan yang tak terkikis oleh perjalanan malam dan siang, tak lekang oleh pergantian masa dan tahun, kewibawaan tanpa kekuasaan, kekayaan tanpa harta, maka kita mesti berilmu. Sementelah ilmu adalah warisan para nabi. Seperti yang dikongsi HR. Abu Dawud, at-Tirmidzi, dan Ibnu Majah, “Para ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, tetapi mewariskan ilmu. Maka daripada itu, barang siapa mengambilnya, ia telah mengambil bahagian yang cukup.” (Dinyatakan sahih oleh asy-Syaikh al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 6297)

Seperti kata-kata di atas, juga yang terbaik buat Mimi adalah menuntut ilmu dan Ramadan lalu dia kembali masuk kelas mengaji. Nun bertahun dulu, guru yang mengajar adalah ibunya dan kali ini adalah Sheikh Mohamed Elmongy, imam dari sebuah masjid di Kuwait yang juga adalah imam tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan. Katanya, “Teramat sedap bacaan Sheikh Mohamed; sebutannya, idghamnya. Setiap kali mendengar alunan bacaan Sheikh membawa ingatan saya pada kenangan mengaji dengan arwah ibu dulu.

It’s being here now that’s important. There’s no past and there’s no future. Time is a very misleading thing. All there is ever; is the now. We can gain experience from the past, but we can’t relive it; and we can hope for the future, but we don’t know if there is one.” – George Harrison

Ya, adakah masa depan untuk kita? Tiada siapa yang tahu. Nak memikir lebih-lebih kadang tiada guna kerana kita hanya boleh merancang. Yang terbaik adalah memberi tumpuan pada masa sekarang; menikmati siang dengan matahari yang menerbitkan kasih sayang dan melayari malam dengan menghidupkan kehangatan fantasi cinta sehingga bergegar tulang-temulang. Melalui hari-hari dengan kesungguhan, senyuman dan kegembiraan. Kita penuhi diri dengan positivity dan kita alirkan semangatnya pada orang sekeliling supaya mereka merasainya juga. Dan kenapa saya sebutkan yang ini, kerana setiap kali menatap potret Mimi yang dirakam Albert Nico yang genius, saya dapat pula merasakan auranya terbias pada saya dan tidak pun berkurang, malah terus menerus perasaan tersebut selepas saya berbual hampir satu jam bersamanya.

Thank you Che’ Puan Mimi Wahedah and regards to your daughter…

 

Penghargaan:
Jurugambar: Albert Nico
Solekan & Penggayaan: Orson Liyu
Pengarah Seni: Albert Nico

Related posts

YB Yusmadi Yusoff – The Dark Horse of Malaysian Politics

admin

Sasha Saidin Tentang Kehidupan, Fesyen dan Kecantikan

admin

Kyrina Kassim Queen of TikTok Bercakap Tentang Rumahtangga, Bisnes dan Dunia Maya

admin

Leave a Comment