Uncategorized

Cerita-cerita Orang Kahwin

Salam, mengharapkan anda di sana sihat walafiat. Di musim hujan ini penyakit senang merebah,  cucu-cucu macam mengambil giliran, lepas seorang, seorang lagi demam. Ketiadaan pembantu  memang meletihkan juga. Dari pagi melayan kadang-kadang tidak sedar hari sudah malam.

Begitu pun pada hari minggu minta maaf banyak-banyak kerana opah dan atuk banyak hal. Aktiviti ke majlis perkahwinan hampir ada setiap minggu. Suami pula susah menolak jemputan, katanya selagi terdaya pergilah, bila sudah sakit, berhenti. Suami pula tidak mahu pergi berseorangan, jika tidak ditemani dia juga tidak pergi. Apa pun kami akan usaha untuk hadir. Besar pahala mengunjungi majlis keramaian dan tuan rumah juga pasti gembira jikalau dapat hadir.

Duit atau hadiah?
Menjadi adat kita apabila kunjung mengunjungi bawalah buah tangan. Begitu juga apabila ke majlis perkahwinan, cuba usah pergi tangan kosong. Walaupun tidak tercatat mesti bawa hadiah tetapi alangkah baiknya kita hadir membawa buah tangan. Saya suka membawa hadiah, malah kerana banyak jemputan kami memang menyimpan stok hadiah-hadiah khas perkahwinan. Memang kami menyediakan peruntukan setiap bulan untuk hadiah, malah sekalipun kami tidak hadir, atas sebab-sebab tertentu, kami akan usahakan menghantar hadiah tersebut kepada ibu ayah pengantin atau kepada pengantin. Lagipun memang sudah berniat, jadi disampaikanlah juga kepada yang menjemput.

Andai jemputan itu kami kenal amat rapat, (malah ada permintaan tertentu) atau kami tanya apa yang mereka mahu, dan kami akan sediakan seperti yang dipinta. Tiada salahnya malah cara ini baik sekali kerana dapat membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Adakala kerana tidak bertanya, tuan rumah menerima produk yang sama banyak, dan tentulah membazir. Perlu apa periuk nasi sampai empat, blender lima, dan pinggan mangkuk yang bertingkat-tingkat, jadi bila dipastikan apa benda yang diperlukan, mereka (pengantin) dapat terus memulakan penghidupan dengan tidak payah memikirkan lagi membeli keperluan seperti periuk nasi, cerek dan sebagainya. Namun berpada-padalah kalau pun hendak meminta, janganlah minta peti ais, mesin pencuci baju, boleh buat kawan pengsan.

Ada juga yang kami rasakan menghulurkan wang adalah lebih baik. Wang yang dikumpulkan itu inshaAllah dapat digunakan untuk membayar apa juga bil tertunggak yang telah digunakan untuk majlis. Saya faham sangat, kadang-kadang peruntukan yang disediakan melebihi dan tidak mencukupi. Misal kata kita peruntukan RM30,000 tetapi kadang-kadang silap bajet, naik sampai RM40,000. Dari mana hendak mencari RM10,000 itu? Namun terkadang terbayar juga hutang bilamana dapat daripada yang memberi sampul-sampul angpau.

Dan saya perhatikan pun kebelakangan ini memang ramai yang suka memberi angpau sahaja, senang dan tidak perlu ke shopping mall. Tidak perlu bungkus membungkus dan boleh berlengang tangan dan bila sampai/atau masa pulang, keluarkan sahaja angpau, sebagai tanda terima kasih kerana sudi menjemput.

 

Kakak terkejut sampul angpau kosong
Bercerita hal angpau, berapa yang sepatutnya diisi di dalamnya? Jawapannya terpulang
kemampuan. Jika ada duit lebih, beri lebih dan niat bersedekah, besar pahalanya. Sikit atau banyak bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kalau mampu RM5 atau RM10 sahaja, itu pun sudah cukup baik tetapi jika rasa mahu memberi lebih mengapa tidak? Kami sendiri pernah menerima ‘angpau’ kahwin anak sehingga empat keping duit RM1000, ada beri enam keeping duit RM500 dan sebagainya. Siapa? Wallahuaklam. Semoga Allah murahkan lagi rezeki mereka dan rezeki setiap yang memberi. Lepaslah duit kanopi, duit kambing, duit kopi. Dapatlah pengantin beli tiket pergi Bali berbulan madu atau bayar deposit rumah sewa.

Bersembang hal ini kakak saya yang tinggal di kampong membuka cerita. “Tiga kali anak aku kahwin…tiga kali terjadi. Ada angpau dimasukan kertas yang digunting sebesar wang kertas RM10. Konon dia beri duit sebanyak itu dan juga yang beri sampul kosong dan ada isi kertas surat khabar yang telah dilipat-lipat. Dia tidak terkejut ada orang beri 50 sen atau seringgit dua, kerana setakat itu kemampuan barangkali. Katanya tuan rumah bukan mengharapkan angpau sebaliknya lebih daripada gembira jika yang dijemput semuanya datang. Tujuan diadakan majlis adalah untuk meraikan, bukan mengumpul duit dan mendapat untung.

Kalau kakak saya orang kampong menerima kertas kosong dalam sampul angpau, itu juga tidak menghairankan saya sangat sebab adanya orang kampong yang berasa rendah diri kalau tidak memberi. Mungkin dia memikirkan, dengan dia memberi sesuatu, hilang rasa malu. Namun bila kawan saya baru-baru ini bercerita dia juga menerima angpau kosong, sama macam kakak saya tadi, saya rasa macam tidak percaya.

Mengapa tidak percaya? Sebab majlis kawan saya tadi diadakan di dewan mewah, maka tetamu yang datang pun bergaya mewah, dan ya betul tetamu mereka pun amat terhad. Kata pendeknya tetamu terpilih.

Hem orang kaya pun ada perangai yang tidak semengah ini. Seperti yang dirumuskan oleh kakak saya, jika tidak mampu tidak payah beri. Jangan menipu diri sendiri. Lagipun tuan rumah tidak ingat pun siapa memberi dan siapa tidak memberi. Andai kata pada hari majlis berlangsung memang diri kering kontang dan cukup-cukup bayar duit minyak, tol dan parking barangkali, tidak siapa memaksa kamu memberi. Kehadiran kamu sudah cukup untuk menjalinkan tali silatulrahim dan memeriahkan majlis. Kerana bayangkan meja-meja yang kosong tiada tetamu, sudah tentu amat mengecewakan dan menyedihkan tuan rumah.

 

Baju pengantin aduhai…
Saya pernah menulis tentang dress code untuk tetamu ke majlis perkahwinan. Saya juga ada menulis tentang pakaian yang sebaiknya untuk menghadiri majlis-majlis ini. Kerana kadang-kadang saya terkilan melihat tetamu datang pakai seluar jeans lusuh dipadankan dengan baju T yang juga lusuh. Bukan apa, sebagai menghormati tuan rumah, maka kita digalakkan berpakaian sempurna, menutup aurat dan sesuai majlis orang kahwin. Tidak perlu pun tuan rumah meletakkan kod pakaian, kita tahu bila ke majlis kahwin, kalau tidak berbaju Melayu lengkap bersampin (buat lelaki) atau pakaiannya baju batik atau paling tidak kemeja berkolar. Bukan celana pendek menampakkan betis atau seluar yangki… ini majlis kahwin bukan parti di kelab. Okay, sama ada kamu memakai pakaian tradisional
atau fesyen yang sopan, bukan mini skirt empat atau enam inci paras atas peha.

Oh ya, baru-baru ini saya terserempak dengan kawan yang membawa anak daranya bersama ke majlis perkahwinan anak kawan kami. Saya tahulah anak dara teman ini cantik, yalah bapanya Mat Salih dan tinggi persis seorang model. Saya tahulah anak dara teman saya ini suka pakai seksi, mini skirt dan short memang pakaian hariannya. Tapi kawanku, kamu dan anak menghadiri majlis kahwin bukan birthday party? Kalau pun ada birthday party selepas itu dan mesti nak nampak seksi, tidak boleh ke tukar baju selepas itu atau jadi kamu suruhlah dia sarungkan ala-ala jubah untuk mengelakkan nampak seksi sangat. Bukan saja anak dara kamu menjadi bualan dan renungan tetamu tetapi kesian Pak Haji ayah kawan saya itu, macam tidak tahu nak letak mata ke mana.

Tolonglah, dan jangan kata kamu tidak berduit menyediakan sehelai dua kurung atau kebaya untuk anak dara kamu itu. Tolonglah elakkan kita menjadi bahan umpatan tetamu yang lain.
Pakaian tetamu satu hal, bagaimana pula pakaian si pengantin?
Saya hadir di sebuah majlis perkahwinan teman dan anak si teman ini berkahwin dengan selebriti. Tetapi ditanya saya siapa selebriti ini, tidak pula saya ingat namanya kerana saya rasalah, dia tidak popular mana pun. Majlisnya bukan pun di hotel lima bintang yang tertutup, bukan di dewan Merak Kayangan yang juga eksklusif tetapi di halaman rumah kawan, dan tetamunya rata-rata orang se taman.

Apa yang dipakai? Gaun yang mendedahkan buah dadanya, betul ada fabric organza yang membaluti lengannya dan buah dada akan tetapi fabriknya sejarang-jarang kain. Tiada pun menutupi yang patut ditutup, tetapi lebih sebagai penghiasan, fesyen. Tidak cukup itu, di sebelah belakangnya pula terdedah, menampakkan tulang belakang dan terdedah lagi hampir ke punggung. Aduh mak dan mak mentuanya tidak menegur ke, atau tidak sempat menegur atau takut menegur?

Ramai orang kita terikut-ikut sangat gaya Barat. Kamu bukan Kim Kadashian dan fikirlah tetamu kamu itu tuk-tuk dan pak pak saudara yang tua-tua. Yang hadir juga anak-anak tahfis yang dijemput untuk membacakan ayat-ayat suci, hormatilah mereka sikit. Kalau pun majlisnya dibuat di hotel lima bintang, berpakaian yang berdedahkan adalah bertentangan dengan majlis kahwin bangsa Melayu, orang Islam. Hendak seksi sangat, buat majlis tertutup, kamu dengan kawan-kawan kamu sahaja, jangan ajak orang tua, anak yatim, budak tahfis dan mak-mak cik yang setengahnya datang hanya
mata sahaja yang nampak. Sungguh tidak sesuai.

Mak-mak oii, check baju anak kamu, jangan dibiarkan mereka syok sendiri. Dan satu lagi, saya pun terbeliak menengok gambar nikah seorang selebriti. Betullah semua orang tahu kamu selebriti, kamu cantik, kamu popular, dan kahwin juga dengan anak orang kaya dan kamu punya sukalah nak pakai apa. Tetapi majlisnya, majlis nikah dan di hadapan kamu pak Imam, dan pak-pak haji dan kamu di pelamin dengan rambut berjurai, tidak cukup itu baju pula terdedah. Hah kamu marah bila peminat menegur dan ramai mengata, tetapi kamu yang membuat orang mengata kamu.

Tolonglah ini Malaysia not America my dear. Baju Kate Middleton masa kahwin pun tertutup kerana dia hormatkan tetamunya, dan sepatutnya kamu lebihlah lagi hormatnya kerana rata-rata yang hadir adalah orang kita, dan majlis pun majlis akad nikah. Barangkali kamu lupa tengok tv kot, atau tidak tengok majalah sebab itu kamu tidak tahu pakaian apa yang sesuai untuk dipakai pada majlis nikah dan majlis bersanding.

Anak-anakku di luar sana, tolong beradat sikit, kerana kita orang Melayu memang terkenal dengan beradap dan beradat.

 

Bungkus makanan, habis tetamu nak makan apa?

Masih mengenai hal kenduri kendara. Saya hadir di kenduri kahwin saudara sepupu di sebuah taman, bukan di Kuala Lumpur tetapi di negeri Johor. Kenduri dibuat bergotong royong, makna orang setaman dan ahli keluarga yang membantu menyediakan makanan. Bagus juga adat gotong royong ini, kerana pada dasarnya jimat wang dan satu lagi mengeratkan tali silatulrahim masyarakat setempat. Saya masih ingat masa saya dan kakak kahwin, orang kampong lah yang membantu meringankan kerja mak dan apak. Dua tiga hari sebelum itu sudah didirikan bangsal, mengambil kawah dan periuk belanga dari surau yang memang menyediakan kemudahan tersebut. Orang perempuan memasang langsir dan menggenakan kelambu, mengisi telur dalam bekas, memotong cili, bawang dan sebagainya.

Oh ya, opah saya ada sealmari pinggan mangkuk, gelas dan sudu, tempat orang kampong
meminjam. Inilah antara sumbangan arwah opah dan tuk pada orang kampong.

Dua tiga malam memang orang kampong sibuk, seperti juga di rumah sepupu yang akan mengahwinkan anak. Pelbagai jenis masakan, umbut kelapa, kerabu pucuk paku, ayam, ikan, daging salai, bubur kacang dan tapai antaranya. Memang sedap bila tangan-tangan yang memasak pun sudah biasa membuat kerja gotong royong.

Tetamu datang dan pergi, dari jam 11.30 pagi tetamu sudah mula memenuhi bangsal-bangsal yang didirikan di jalan hadapan rumahnya dan dijangkakan tetamu akan reda hanya pada jam tiga petang. Sejam kemudian kira-kira jam empat barulah anak-anak muda kampong yang diupah mula mengemas dan membersihkan kawasan, kemudian aktiviti seharian berjalan seperti biasa.

Kerana datang dari Kuala Lumpur kami sampai kira-kira jam dua. Masih tidak lewat memandangkan jemputan sehingga jam tiga. Masa kami sampai saya nampak lima enam orang menyerbu ke periuk belanga tempat memasak. Hairan juga saya, mengapa ‘tetamu’ sampai terpaksa mengambil makan ke kawasan memasak. Pelik mana orang menghidang. Di meja buffet makanan adalah tapi sikit sangat, kata orang Perak tinggal kerodak saja. Hanya nasi putih yang banyak, nasi minyak pun hanya cukup untuk tiga empat orang sahaja. Pendek kata, kami pulang perut kosong, nak ambil yang kerodak pun tidak sampai hati sebab masih ada tetamu yang datang.

Tuan rumah merenung suami saya, dan isterinya berbisik dengan saya. “Datin, minta maaf banyak-banyak, saya pun tidak terkata. Orang setaman sudah bungkus untuk bawa balik ke rumah masing-masing. Suami tidak berani tegur… ada yang memang sudah siapkan plastik dalam beg tangan masing-masing. Ada bawa bekas plastik besar untuk mengisi makanan.

“Ya saya nampak tadi,” orang berkerumun di sebelah kawah.” Dibalasnya cakap saya, “Saya suruh sepupu pergi beritahu, tetapi ada yang tidak mengendahkan cakapnya, tetap mengisi makanan dan bawa pulang.”

“Habis macam mana? Sementara suami dan kawan-kawannya memasak balik, adik saya terpaksa ke kedai mamak beli makanan. Tahu-tahu sahaja lah, makanan mamak mahal, tetapi apa hendak dikata.”

Ini perkahwinan anak pertamanya, tetamu ramai, al maklum kenduri kahwin yang pertama. Tuan rumah pun tiada pengalaman, tidaklah dia tahu yang ramai tidak tahu adat. Awalnya sebelum kenduri, begitulah masing-masing ringan tulang menolong sehingga tuan rumah berkata, untung dia tinggal dengan jiran tertangga yang akrab, yang saling bantu membantu.

Sebab tolong memasak, barangkali mereka ingat mereka ada hak untuk mengambil dan membawa balik. Dan kenapa bawa balik sedangkan anak beranak pun semuanya dijemput sekali. Buta ke mata tak nampak ke orang masih ramai yang datang, dan sepatutnya kamu semua tahu makanan sudah nak habis sebab kamu yang memasaknya tadi.

Sungguh tidak beradap, dan memalukan. Kesian tuan rumah yang terkejar-kejar ke pasar membeli dan memasak. Mana sifat kejiranan kamu, sepatutnya pun kalau diikutkan adab, jiran juga seperti orang rumah, makan yang paling akhir. Dan bila semua tetamu pulang barulah duduk makan. Jika ada lebihan tuan rumah akan meminta dibawa balik ke rumah masing-masing. Bolehlah sesiapa yang tidak sempat hadir merasa hidangan pengantin. Ini tidak, kamu ceduk dulu dan lupa orang belakang. Tinggal di taman gah, dan rumah cantik-cantik belaka, kerja pun besar-besar tetapi otak letak dekat mana?

Banyak lagi yang hendak saya masukkan di sini mengenai perangai orang kita, tetapi cukuplah setakat ini. Tiba-tiba saya pula yang stress. Anak nak kahwin tidak lama lagi nanti banyak cakap, orang baikot tidak mahu datang rumah saya.

Jumpa bulan hadapan. Kita cerita lagi hal orang mengahwinkan anak, upp saya yang hendak mengahwinkan anak.

Related posts

“This.. stuff?” Kisah Tentang Monolog Miranda Priestley Yang Lain Daripada Skrip Asal The Devil Wears Prada

admin

10 Pekerjaan Dengan Kadar Kemurungan Tertinggi

admin

Doakan Mak Sihat

admin

Leave a Comment