DESPERADO

Ipar Duai Terkejut, Mereka Ingat Aku Janda Merempat

Selama menjadi isterinya, apa yang aku dapat? Tiada anak, tiada dibelai dengan kemewahan dan tinggal pun di apartment aku. Dua puluh tahun bersama, yang aku dapat jerit herdik daripadanya. Keluarganya ingat aku ‘senang’ kerana dia dan keluarganya ingat aku yang menghabiskan duit laki aku, tetapi sebenarnya dia yang menumpang dengan aku.

Selama 20 tahun aku suffer. Aku sepatutnya tidak menunggu dia tetapi aku ingat aku boleh menukar dia menjadi insan yang lebih baik. Aku ingat dia boleh berubah dan aku ingat satu hari keluarganya akan menerima aku. Tetapi aku silap. Mereka orang sombong, mereka ingat keluarga mereka sudah cukup kaya dan ada nama, dan aku dipandang sebelah mata.

Apakah keluarganya tahu siapa aku yang sebenarnya? Entah, aku pun tidak kuasa bercerita asal usul aku, dan kerana mereka ingat aku janda beranak satu, aku kerjanya di sebuah butik, bukan pun butik daripada designer terkenal tetapi butik kecil-kecilan aje. Tetapi pelangannya boleh tahan juga, ada Datin ada Datin Seri dan Tengku-Tengku. Kerana aku biasa sahaja dan melayan mereka kerana tugas aku melayan; memakaikan baju, mengenakan zip dan membuat teh atau kopi. Yalah siapalah aku untuk mereka hendak bercerita atau bersembang-sembang. Selalu aku mendengar mereka bergosip ini itu tapi aku tidak mengendahkan. Kadang-kadang orang yang digosip, rasanya aku lebih kenal daripada mereka. Kadang-kadang aku ketawa sendirian kerana yang digosip itu adalah keluarga aku sendiri dan macamkan mereka lebih tahu.

Sebenar pun bos aku pun tidak berapa kenal siapa aku. Aku datang mohon kerja dengan kelayakan aku. Walaupun gaji yang diberi jauh lebih rendah tetapi aku tidak kisah. Aku sebenarnya terima sahaja gaji, cukup membayai makan minum kerana aku pun tidak perlu banyak. Apartmen yang aku duduki bersama anak dibayai bekas suami, dan sekolah anak aku juga ditanggung beres oleh si ayahnya. Jadi aku hanya perlu wang untuk sara diri.

Oh ya, setelah aku diceraikan aku perlu berkerja. Dulu hidup aku mewah, mengapa tidak kerana bekas suami orang berpangkat, berada. Kami bertemu di London sewaktu aku bercuti di rumah kakak. Satu hari dia datang ke situ dan jatuh cinta pandang pertama, enam bulan kemudian kami menjadi suami isteri yang sah.

Cerita aku berkahwin dengannya mendapat tindak balas daripada sebelah keluarganya. Mereka kata aku memang tidak layak berkahwin dengannya, walaupun dia duda dan aku masih dara tetapi kata mereka, banyak lagi wanita yang layak menjadi isterinya. Kerana aku muda dan tidak pandai bodek, aku lalu difitnah bermacam-macam. Jahat sangatkah aku ini? Apa yang telah aku lakukan sehingga aku difitnah yang bukan-bukan sehingga aku yang di kala itu sedang mengandung, dikata mengandung anak haram dengan kekasih gelapku. Siapa kekasih gelapku? Aku sendiri tidak ketahui kerana sewaktu aku di sana, aku tidak pun punya kekasih. Tetapi suami termakan fitnah mereka, masakan tidak, kerana mereka orang bernama, berpangkat, dan fitnah pun jadi betul.

Suami mencadangkan aku pulang ke tanahair kerana katanya mudah urusan bersalin, walhal aku tahu di sana lebih mudah. Ibu saudara dan sepupu yang di sana mengatakan lagi mudah melahirkan anak di kota terkenal dunia ini. Aku memang bercadang hendak membesarkan dia di sini tetapi apakan daya, aku diminta oleh suami untuk pulang segera.

Pulangnya aku itu dan sehinggalah anak kami lahir, dia, sang suami tiada lagi khabar berita kecuali sejumlah wang yang dimasukkan dalam akaun untuk duit hospital dan wang belanjaku. Aku juga gagal menghubunginya, sehinggalah sehabis pantang aku menerima sepucuk surat daripada peguam memberitahu aku dijatuhkan talak. Apa salah aku? Mengapa aku diceraikan? Aku hanya berurusan dengan peguamku. Dia diam seribu bahasa.

Aku membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Aku berterima kasih dikurniakan zuriat olehNya. Biar bapanya tidak menginginkan dia, tidak mahu melihat wajahnya dan tidak pernah bertanya khabar anaknya, aku redha. Allah lebih mengetahuinya kerana sudah tentu ada kebaikan di sebalik semua ini.

Bagi aku anak aku adalah segala-galanya. Ibu dan ayahlah tempat aku mengadu dan banyak membantu. Dan atas usaha ku aku berjaya mendapatkan nafkah anak dan dengan duitnya itu aku memberikan puteraku sebaik-baik ilmu, ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Bertemu dan berkahwin lagi

Lama juga aku menjanda. Bukan tiada lelaki yang sudi menjadikan aku isteri tetapi aku yang tidak mahu, paling aku takut lelaki hanya mahu aku dan tidak mahu anak aku. Yang kaya, berpangkat, berpengaruh oh semua itu bukan menjadi pilihan aku kalau dia tidak boleh menerima anak aku sekali. Sehinggalah aku bertemu dengan dia, seorang duda. Pada aku dia bukanlah yang boleh aku banggakan sangat dan aku canang. Berbanding dengan bekas suami, dia terlalu biasa tetapi kerana dia boleh menerima anakku, lantas aku menerima lamarannya untuk berkahwin.

Hari demi hari, perkahwinan kami semakin tawar. Tawar sebab dia tidak selalu di sisiku. Seribu alasan diberi untuk tidak mahu tinggal bersama. Asalnya dia merasakan tidak cocok baginya tinggal di banglo keluarga aku. Katanya tidak manis tinggal di situ dan tidak pula mahu aku tinggal bersama keluarganya. Katanya mereka tidak berapa menerima menantunya ini kerana terlalu sayang dengan bekas menantu mereka. Katanya mereka terlalu marah mendapat tahu dia bercerai kerana bekas menantu mereka itu anak orang kaya dan tidak sepatutnya diceraikan dan alasannya lagi, anaknya neneknya yang menjaga, lantas tidak manis aku pula menyempit di rumah itu.

Aku mengajaknya menyewa rumah, biarlah kecil asal kami dapat bersama 24/7 tetapi dia terus memberi alasan, aku tidak layak tinggal di flat dua bilik dan gajinya yang kecil tidak mampu menyewa banglo. Dan anak aku tidak selayaknya dibesarkan di kuarters atau flat-flat. Ah semua itu alasan… kerana entah mengapa dia berkeras untuk terusan tinggal dengan keluarganya dan mahu aku tinggal dengan keluarga aku. As and when dia rasa ingin bersama, dia akan datang ke rumah aku.

Pejam celik pejam celik anak aku sudah remaja dan satu hari aku menerima kotak kecil terlalu ringan dan tidak sabar membuka isinya. Sebuah kunci dengan alamat diberi dan aku diminta untuk menemui seseorang di situ. Seorang peguam, dan selepas siap lengkap dokumen-dokumen diisi, lalu diserahkan semua kunci di apartmen itu. Ia hadiah daripada bekas suami untuk anakku di atas namanya tetapi aku diminta terus bersama anakku. Syukur sekali dan aku pun berpindah dari rumah ibu dan ayah. Waktu itu ayah pun sudah meninggal.

Aku ingat peluang terbaik untuk aku bersama suami, tetapi tidak. Sekalipun sudah punya rumah sendiri, dia masih senang tinggal di biliknya di rumah keluarganya.

Air mata ini sering tumpah mengenangkan hidup aku yang tidak sesempurna seperti orang lain. Ya 20 tahun aku ‘bersamanya’ tetapi tidak bersamanya. Sesekali aku ketawa juga, kataku, kalau aku bersama tentu aku penat, hendak menghidangkan dia makanan, hendak membasuh dan mencuci kain bajunya dan mengemaskan. Tetapi dengan kehidupan yang aku alami ini aku bebas bekerja. Bos aku pun ingat aku betul-betul janda kerana aku seorang yang tidak suka bercerita tentang rumah tangga dan kehidupan ku. Yang tahu tahulah, yang tidak tahu mengapa pula aku hendak bercerita. My life is not for sharing.

 

Aku bertemu dengan orang ketiga

Perempuan ini kadang-kadang ingin juga dibelai dan dimanja. Perempuan ini suka juga dipuji dan ingin juga ke dapur memasak untuk lelaki yang ‘title’nya suami. Sesekali perempuan suka juga bercerita hal rumah tangganya kepada rakan baiknya tetapi aku tidak merasa semua itu. Sesekali berjumpa suami, kami makan di luar atau terus masuk ke bilik. Siap semuanya dia pun bergegas pulang, alasan takut jam dan sebagainya, Alasan anaknya hari itu pulang dari kolej dan seribu alasan untuk kami bersama sehari dua. Pelik kan ada suami macam tidak bersuami, tetapi itulah hakikatnya hidup aku ini.

Di tempat kerja satu hari seorang lelaki sasa. agak tampan datang menemani bersama seorang anak perempuan. Masa itu bos tiada dan sambil dia menunggu dia bertanya pelbagai soalan… aku menjawab yang boleh aku jawab. “Panggil saya Darli tetapi kalau hendak panggil Darling pun bisa aje,” Aku membeliakkan mata, “Sungguh kurang sopan bercakap begitu di hadapan anak.” Seperti dia tahu, “Emaknya meninggal dunia.” “Oh… “

Sejak itu dia selalu singgah dan kami berkawan. Sesekali dia mengajak aku makan di restoran sebelah. Bila sudah beberapa kali keluar makan lantas dia bertanyakan mengenai famili. “Anak di kolej luar negara.” “Suami?” “Ada, dia berniaga?” “Maaf saya tidak boleh menganggu isteri orang?” “Ya, saya pun rasa bersalah tetapi…” Seminggu sahaja kami tidak bercakap di talian, tetapi selepas itu, dia mencari alasan untuk berbual. Aku yang sunyi melayan, dan suka pula kerana dia kelakar orangnya.

Hubungan aku dengannya bertambah mesra dan baru aku rasa indahnya hidup ini. Barulah aku rasa keceriaan, walaupun antara kami sekadar berbual di telefon. Bukan pun kerap bersama kerana aku memilih untuk tidak selalu keluar bersama.

Peristiwa aku dibawanya menonton wayang dengannya tidak akan aku lupa sehingga bila-bila. Demi Allah itulah yang pertama dan terakhir. Rupanya pada hari itu ada orang telah merakamkan aku di panggung bersama seorang lelaki.

Heboh satu ‘dunia’… (dunia di sebelahnya) yang mengatakan aku curang. Curang dengan suami, dan segala fitnah yang mula disasar kepada aku. Selama ini mereka tidak pernah pun mengambil tahu mengenai aku, yang kata mereka, janda merempat. Kini tiba-tiba mereka begitu prihatin pula. Aku dijadikan topik paling panas dalam keluarga mereka. “Oh patutlah si Jamil tidak selalu bersama bininya sebab perangai bini yang ‘jal…..Janda merempat tidak sedar diri…’” Ooh-oh segala kata kesat dilemparkan. Apa lagi sang suami pun menggunakan alasan gambar itu untuk menuduh aku curang, Gambar yang ditunjuk tidak pun berjalan berpegangan tangan dan dari belakang tempat duduk nyata aku duduk tengak dan dia juga tetapi kalau orang hendak menuduh yang bukan-bukan, tiada halangan malah boleh berkata apa sahaja dan mereka-reka cerita.

“Siapa jantan ini? Sejak bila pula sudah pandai menggatal? Ini mesti sudah tidur dengan jantan ni? Patutlah hari itu aku datang ke rumah, apartmen berkunci rapat. Hey jam 10 malam masih di luar, betina apa kamu ini?”

Aku sedar aku seorang isteri, jadi aku terima sajalah maki hamunnya. Akhirnya aku bertindak untuk tidak lagi bekerja, supaya tidak lagi berjumpa dengannya. Memang hati ini kian menyenanginya. Sebenarnya pun aku tidak perlu bekerja tetapi sengaja membebankan diri ini untuk menghilang rasa jemu di rumah. Sejak anak aku belajar di luar negara hidup aku bertambah bosan.

Cerita anakku sesekali muncul juga di akhbar. Ya lah dia juga kacak dan ada nama, ada juga dikaitkan dengan gadis ini, gadis itu. Ada sekali masa dia bercuti tiga bulan, dia membawa pulang seorang gadis, oh aku terkejut beruk sebab gadis itu bukan sahaja terkenal tetapi cantik. “Apakah dia calon menantu aku?’ Anak aku ketawa besar, “Mama takkan sekali bawa mama sudah fikir untuk bermenantu. Bila tiba waktunya I will inform you, tetapi kalau mama kata no to, I will not proceed…apa pun mama mesti setuju, otherwise no and no.”

 

Hati ini sudah betul-betul tawar…

Sejak peristiwa aku dituduh curang, hati ini sudah teramat tawar dengan suami. Aku mahu sangat menutup episod aku dengan dia. Aku sudah jemu hidup yang sebegini. Bukan pun aku berangan hendakkan pakwe itu, oh tidak, mungkin dengan orang lain, atau lebih berkemungkinan, aku mahu bersendirian sahaja. Itu lebih baik. Pesetan dia atau keluarganya yang tiba-tiba so interested in my life. Familinya yang terus menghina, mengatakan aku layak menjadi janda untuk kali keduanya. Okey aku pun tidak kisah menjanda, sekarang pun aku macam tidak berlaki kataku kepada suami. “Helo you boleh tuduh apa sahaja, betul aku keluar tengok wayang dengan dia, tetapi aku tiada hubungan dengannya. Aku yang bersalah kerana teringin sangat menonton wayang itu. Dan dia pun ingin menonton, besar sangat ke kesalahan aku ke panggung dengannya dan duduk sebelahnya? Tetapi kalau you kata itu kesalahan teramat besar dan kerana itu you hendak menceraikan i, i lebih daripada rela. Please ceraikan sekarang juga, i pun sudah tak sanggup lagi bersama you.”

Sebuah pelempang singgah ke muka. “Please for heaven sake, i want a divorce.’

Kami seharusnya ke mahkamah untuk urusan perceraian tetapi kerana aku sibuk menguruskan pertunangan anak aku, aku minta ditangguhkan selepas hari pertunangan tetapi sesuatu terjadi dengan tiba-tiba. Ya sang suami dengan mulut yang teramat manis, minta untuk tidak meneruskan perceraian. (Sebenarnya dia sendiri tidak beberapa tahu siapa aku sebenarnya. Walaupun kahwin 20 tahun, tetapi dia pun sekejab ada sekejab tiada, tidak membolehkan aku bercerita panjang dengannya, elok pun).”

Dan selepas pertunangan anakku itu, tiba-tiba juga adik beradik dan maknya semanis gula bercakap di telefon. Aku tidak hairan, dan tahu mengapa mereka hendak berbaik, dan suami tidak jadi meneruskan perceraian. Malah aku pula yang menggesanya untuk mencepatkan proses itu kerana selepas ini aku akan menjadi ibu yang paling sibuk. Sibuk untuk majlis perkahwinan anak lelakiku.

Tetapi dia tegas mengatakan tidak mahu bercerai.

Sibuk yang bagaimana? Sibuk membuat persiapan menerima menantu. Menantu juga bukan selebriti tetapi lebih daripada selebriti. Bukan sahaja tinggi ijazahnya, dan tinggi ala-ala model tetapi dalam keluarga yang bukan calang orangnya. Biarlah aku mengrahsiakan siapa keluarga itu kerana orang yang tahu, tahulah. Orang yang tahu anak aku hendak berkahwin dengan keluarga ini tahulah… tetapi aku tidak mahu menghebohkan.

Satu hari bos lama aku panggil dan bertanya, “Aku tengok gambar pertunangan dan macam muka kamu aje?”

“Bos bukan saya, pelanduk dua serupa kot, saya orang biasa dari keluarga orang kampung. Mak ayah orang kampung.” Betul aku malas bercerita kepada sesiapa pun.

Aku hanya mahu terus menjadi aku yang sebelum ini. Dan mahu tinggal di apartmen yang banyak meninggalkan kenangan manis buat ku tetapi anakku tidak mahu lagi aku tinggal di situ kerana dia sudah menyediakan sebuah banglo untukku. “Banglo ini mama yang punya tetapi untuk sementara bolehkan, kami tinggal dengan mama? Sebab kami akan berpindah ke luar negara, untuk beberapa waktu.”

Anak aku dan isterinya sudah lama menetap di negara dia mendapat pendidikan tingginya di sana. Mentuanya mempunyai banyak harta di sana dan dia dipertanggung menjaganya, lagipun isterinya anak tunggal dan kepada siapa mahu diserahkan tanggungjawab kalau bukan kepada menantunya, anak aku.

Aku seorang ibu yang bahagia kini, melihat anak berjaya dalam hidup dan memilih seorang wanita yang menyayangi anakku. Seorang yang cerdik lagi cantik dan yang aku paling suka, tinggi juga ilmu agamanya. Semoga mereka kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

Sebagai isteri, nasib aku sedikit baik (tetapi hati ini sudah lama tawar), kerana kami tidak lagi tinggal berasingan. Sesekali aku rindu juga bersendirian tetapi dia pula yang mahu berdakap tidak habis. Dan yang lebih menarik, tiba-tiba aku ada kakak dan abang ipar dan mak dan bapa mentua… dan aku ‘konon’nya kini menantu yang paling mereka sayangi.

Begitulah manusia ya… bila mereka tahu siapa aku yang sebenarlah, 360 darjah sayang aku. Kenapa kakak tidak beritahu siapa famili kakak ya, siapa bekas suami kak ya? Kami tidak tahu pula kakak ini ada title…dan apa tak lagi ketika mereka melihat kereta aku, terbeliak mata mereka. Dan bila mereka datang ke banglo aku, memang mereka terkejut monyet.

Upp… tak baik mengatakan. Lagipun bukankah itu yang aku pinta daripadaNya sejak dulu, tidak riak dan takbur.

Related posts

Apa Masalah Dato’ Sri Kalau Saya Menjanda?

admin

Isteri Dipaksa Bertudung Kemudian Cari Bini Lain Yang Seksi

admin

Mengaku Bujang dan Graduan Universiti, Rupanya Penganggur

admin

Leave a Comment