DESPERADO

Biar Pape Asal Bergaya

Sembilan tahun berkahwin, akhirnya Azhar (bukan nama sebenar) terpaksa melepaskan isterinya. “Saya sudah cuba mempertahankan rumahtangga ini tetapi saya gagal. Cukuplah saya katakan, keputusan saya muktamat. Saya lakukan bukan mengikut nafsu tetapi setelah saya memikirkan sedalam-dalamnya. Saya tahu ia bukan keputusan yang menggembirakan anak-anak khasnya, akan tetapi saya rasa untuk hari depan mereka, saya bersedia mengambil tanggungjawab membesarkan tiga anak kami.”

“Saya sebenarnya tidaklah mahu anak-anak membesar tanpa ibu mereka tetapi…” Matanya merenung jauh. Saya membiarkan dia mententeramkan jiwanya sebentar, tidak mahu mengganggu dia lagi dengan pertanyaan. Biar dia merenung dulu kehijauan padang golf yang kelihatan sudah ada titisan air yang turun dari langit.

“Biasanya Datuk main golf hari apa?” saya mengembalikan kesepian di meja sarapan. Mengajak Azhar balik berbual. “Tengoklah… kadang-kadang saya datang tujuan hendak golf tetapi ada kala hilang mood.” “Kenapa pula? “Nampak dia dengan kawan-kawannya… hem.”

“Oh… isteri pun main golf,” tanya saya. “Correction, bekas isteri,” jawabnya cuba membetulkan situasinya. “Bukan hendak main sangat tetapi…” Ha ha…Azhar ketawa seketika, “Mereka ingat di padang golf ini ada Datuk-Datuk yang kaya yang boleh ajak dating dan belikan beg tangan.” Azhar ketawa lagi, “Some people are really crazy kan?”

“Macam mana you tidak ada title Datuk sedangkan bekas isteri Datin pulak?” saya bertanya soalan yang paling saya hendak tahu. “Itulah masalahnya, saya yang malu dibuatnya. Heboh bercerita yang saya ini sudah dapat anugerah Datukship tetapi hakikatnya dia yang berangan sebenarnya.”

“Satu hari (ini cerita lamalah) dia pulang bercerita. “Sayang, you carilah RM350,000.” “Untuk apa?” “I ada kenalan yang boleh urus mendapatkan title Dato. I tunggu daripada dulu lagi tapi.. you lah buat hal. Kalau tidak sudah lama you jadi Dato?” “Stop Nita, apa you mengarut ini?”

Satu ketika Azhar seorang ahli politik cum ahli perniagaan. Bermula berbaik dengan seorang yang kuat di sebuah Kementerian dan bisnesnya dari satu syarikat ke satu syarikat. Dari rumah teres, berpindah ke banglo, dan dari satu banglo bertambah ke satu lagi banglo yang lebih besar, selesa dan cantik. Dan sebuah penthouse untuk tukar angin hari minggu. Isteri pun dari guna tailor biasa naik taraf, menempah baju dengan designer ternama. “Saya tidaklah beberapa kisah kalau duit ada, tetapi janganlah berlebih sangat. Berpadalah kalau hendak menempah pun. Bukan hendak ke mana sangat tetapi buat baju seminggu sekali, melampau kan? Saya nasihatkan dia untuk berjimat cermat, oh mulalah dia membebel dan mengatakan saya kedekut kepada anak bini. Katanya kalau bukan sebab rezeki bini dan anak-anak, saya tidak jadi senang.”

“Saya kata, saya senang sebab saya berkerja keras. Betul saya baik dengan seseorang itu, dan dia beri saya bisnes tetapi saya juga ada kelayakan. Ada kepandaian dan syarikat saya memang boleh menjalankan perniagaan, bukan saya bagi duit under table.”

“Kalau abang kena beri rasuah untuk dapatkan bisnes, mengapa tidak? Abang tahu tak, yang sebenarnya I yang beri wife Datuk Seri some money untuk tengokkan kontrak abang? Abang ingat senang-senang mereka hendak beri abang kontrak berjuta?”

“Itu satu berita yang buat saya terkejut, tapi saya diam sahaja. Waktu itu walaupun saya terkejut, tetapi dalam hati saya gembira juga dan memang pandai sungguh bini aku berbisnes. Walaupun projek itu tidak besar mana, tetapi sebab bini saya dan bini Datuk Seri inilah saya diberikan projek itu. Okaylah sebab dia hendak sangat saya belikan dia beg tangan Birkin kerana dia yang  dapatkan projek itu. Dia terpaksa membayar harga tinggi dan saya teringat dia menunggu punyanya lama untuk dapat yang dia berkenan. Isteri happy sebab sudah ada Birkin. Tetapi dalam pada itu, saya sudah nampak beg beg tangan berjenama yang lain sudah mula bersusun di almari… dan yang lama, yang tidak bernama besar sudah mula turun dari rak-rak, dan di hantar ke bilik sebelah. Pernah saya kata, kalau tidak mahu pakai, sedekahkan sahaja kepada adik beradik dan sepupu-pupu yang ramai. Dia marah saya, dia kata, “Jangan jadi bodoh, those are all money juga.”

“Berapa beg tangan seorang perempuan mesti ada? Berapa Birkin pula dia mahu beli? Dia bukan macam ‘orang itu’ yang ada serumah beg Birkin? Dan dia bukan pun layak bawa beg beg mahal. Siapalah dia untuk berpergian dengan beg mahal sebegitu, gilakan?  Kalau ada satu pun sudah cukup bertuah. Saya sebenarnya tidak kisah kalau dia teringin hendak satu tetapi kalau sudah asyik-asyik minta saya dapatkan Birkin dan Kelly, Chanel dan Louis Vuitton, Gucci, Fendi, saya rasa itu riak namanya.”

“Kami mula bertengkar kerana dia asyik hendak membeli beg tangan dan kasut. “Untuk apa sebenarnya?” saya tanya dia. Dia marah dan menuduh saya yang bukan-bukan. Satu hari saya ambil kad kreditnya, dan itulah yang membuat dia mengamuk. Perang dunia kedua di rumah, tetapi bila saya ada majlis, dia mahu ikut. Dan yang saya marah itu, dia bersiap daripada jam dua petang untuk ke majlis makan malam. Kan dari Zuhur ke Asar sehingga ke Maghrib dan balik sehingga ke Isyak semua terlepas kerana sayang cuci mekap. Sekali bersolek, tiga empat ratus habis kerana dapatkan khidmat mekap artis. Saya membebel sebab saya rasa itu adalah amat membazir. Apa pentingnya menggunakan khidmat jurusolek kalau hanya menjadi tetamu biasa. Tetapi bagi Nita dia rasa itu semua wajib. Sebab dia hendak dilihat secantiknya. Saya syorkan dia masuk kelas solekan.  Dia pun happy, bayar ribu untuk ke kelas solekan dan dandanan tetapi bila ada majlis dia kata dia tidak confident untuk buat sendiri. Bayangkan belanja dia sahaja beribu-ribu sebulan.”

“Memang income saya banyak waktu itu tetapi perit juga dengan peruntukan untuknya sahaja mengambil sebahagian besar pendapatan. Anak-anak kian membesar dan dia bukan main hendak semuanya dihantar ke sekolah private. Saya faham tentang pembelajaran anak-anak saya tidak kisah kalau berhabis pun, tetapi kalau beli baju ribu-ribu dan pakai sekali dan paling tinggi dua kali, saya rasa amat membazir. Namun kerana tidak mahu bising, saya ikut kehendaknya.”

Azhar terus bercerita. “Kami semakin tidak sehaluan. Selain daripada hal-hal yang saya tidak suka seperti dia bershopping yang bukan-bukan, sampai saya rasa tidak boleh terkawal lagi, dia warning saya untuk support kerajaan (masa itu) walhal saya semakin hari semakin merasakan banyak hal yang tidak selaras dengan perjuangan saya dalam politik. Banyak benda yang saya nampak tidak menyakinkan saya untuk menyokong kerajaan. Bagi saya, saya tidak mahu diperbodohkan dan membodohkan diri. Saya menyokong atas kepercayaan saya kepimpinan mereka betul dan tidak menyeleweng daripada dasar.”

“Abang jangan buat keputusan gila tahu tak? Apa pun abang jangan jadi bodoh. Jaga periuk nasi tahu tak? Saya tidak mahu hidup kita susah sebab pemahaman politik abang yang berbeza?”

“Saya tidak baik lagi dengan kelompok tertentu dan kerana tidak menyokong perjuangan mereka lagi, sudah pastilah banyak bisnes saya tersekat. Tetapi saya tidak kisah kerana saya sudah sedar wang daripada apa yang saya buat adalah dari jalan yang kotor. Saya tidak mahu membesarkan anak dengan wang tidak halal. Sementelah pendapatan pun sudah banyak berkurang, sudah pasti saya mesti menyekat bini saya supaya tidak boros. Saya sekat kad kreditnya daripada membeli beg tangan dan menempah baju dengan designer terkenal… bukan saya tidak benarkan dia membeli baju tetapi berpadalah. Lagipun baju-baju yang banyak dan mahal itu mahu dipakai di mana?”

“Kami bergaduh hampir setiap hari. Dan dia masih dengan sikapnya yang tidak mahu tahu yang saya tidak lagi punya income yang membolehkan dia hidup mewah. Tetapi bagi dia penting sangat dengan hidupnya yang keluar masuk coffee house hotel untuk brunch atau tea. Dan hadir parti parti kawan-kawannya. Katanya ‘biar pape asalkan bergaya’, dia tidak mahu kawan-kawan sedar yang kami sudah hampir bankrup. Dia tak malu meminta… saya sendiri letih dengan perangainya.

“Kami terpaksa menjual sebuah banglo yang sebenarnya saya simpan untuk anak perempuan. Dia happy sebab rumah itu pun biasa sahaja, dan bila saya mahu jual rumah yang kami tinggal itu, dia mengamuk lagi. Katanya apa pun terjadi dia mahu tinggal terus di situ… sedangkan saya rasa tidak perlu pun duduk di rumah besar sangat kerana tinggi kos hidup. Saya mahu hidup yang bersederhana, seorang pembantu rumah cukup dan kalau kawasan kecil tidak perlu ada tukang kebun.”

“Setiap hari kami bergaduh pasal wang. Setiap hari dia menghina saya dan mengatakan saya bodoh mengikut parti yang tidak menjamin masa depan. Dia mula tidak mahu mendengar kata, kadang-kadang travel dengan kawan-kawannya tanpa memberitahu saya. Saya pun malas melayannya. Bila ditanya katanya, sebab saya sudah tidak ada apa, dia terpaksa buat bisnes sendiri. Saya tahu dia adalah bisnes import exportnya, dan sejak saya sekat kad kreditnya, dia kata okay, duitnya pun ada untuk hidup seperti selalu. Dan dia jadi eksyen, tidak mahu langsung mendengar kata.”

“Dua tahun lalu dia minta cerai, sebab dia tahu pun saya tidak berduit lagi. Memang bisnes saya disekat oleh kerajaan yang memerintah ketika itu. Mereka Raja, mereka boleh buat apa sahaja. Menyedari saya sudah terang-terang menyokong parti perbangkang ketika itu. Dan dia marah sangat malah katanya dia malu sesangat dengan tindakan saya, dia mahu dilepaskan. Katanya hidupnya tidak akan senang dengan saya yang bodoh tidak menyokong kerajaan. Katanya, dia tidak mahu jadi bodoh menolak rezeki yang terang-terang ada di depan mata. Akhirnya yang buat saya menjatuhkan talak, katanya dia ada boyfriend yang mampu beri dia kemewahan.”

“Saya jantan, dan kalau terang-terang dia sakitkan hati saya bershopping dengan temannya, nusyuz lah saya kalau tidak menceraikan. Saya sedih tetapi begitulah suratan takdir. Kami akhirnya sah bercerai walaupun dia tidak mahu keluar rumah. Katanya rumah itu milik dia dan anak-anak dan tiada sebab dia mahu keluar rumah. Dia juga masih memandu kereta Range Rover dan masih tidak puas dengan parti. Dia tidak habis-habis berangan. Geli saya bila pembantu panggil dia Datin.”

“Pilihanraya baru-baru ini, dan bila parti yang dibencinya memerintah, dia malu-malu kucing dan mengajak saya rujuk semula. Biar betul perempuan ini, aku dicaci, dihina dan dikatakan bodoh membantu parti PH? Tetapi sebaik diumumkan kemenangan, dan dia tahu dia sudah tiada apa lagi, boyfriend pun sudah melayang. Ada hati hendak berbalik semula.”

“Sempat saya sindir dia, “Kalau kita rujuk pun i tidak ada duit hendak belikan you Birkin tahu?” Cepat dia jawab… “Tak kisah lah, jawabnya, sayang, anak-anak apa khabar?” “Oh pandai pula tanya mereka, dulu tidak pernah ambil tahu, malah saya yang tersua-sua suruh dia spend time dengan mereka, sebab tidak mahu anak-anak lupa mereka punya emak.”

“Saya tahu hati saya ini, bodohlah saya kalau menerima dia yang pernah menghina saya. Kalau saya buka cerita bagaimana caranya dia menghina saya, agaknya sehingga senja esok pun tidak habis.”

Padang golf yang tadinya lenggang kembali melayan tetamunya. Tidak sedar kami sudah berbual hampir lima jam. “Isteri  boleh cerai tetapi golf tidak sama sekali. Dulu saya jarang ke sini tetapi kini saya kembali semula, sebab saya tahu dia tidak ke sini lagi.”

Related posts

Jual Birkin Jual Ferrari Tapi Jangan Ingat Aku Bankrupt

admin

Diari Seorang Pencabul, Pendusta dan Pemusnah

admin

Isteri Campak Lakinya Balik Ke Rumah Maknya

admin

Leave a Comment