AGAMA

Bagaimana Wanita Haid/Nafas Perolehi Lailatul Qadar?

Lailatul Qadar adalah malam agung diturunkannya Al-Qur’an. Malam itu sangat istimewa kerana lebih baik dari seribu bulan (83 tahun 4 bulan). Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar turun pada salah satu malam di sepertiga akhir (10 terakhir) bulan Ramadan.

Daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah memberikan Lailatul Qadar kepada umatku, dan tidak memberikannya kepada (umat-umat) sebelumnya.”

Persoalannya bagaimana wanita yang berhadas seperti nifas dan haid memperolehi Lailatul Qadar sedangkan mereka tidak dibenarkan solat, membaca dan menyentuh al-Quran serta berpuasa?

1. Perbanyakkan Doa, Selawat dan Zikir

Bagi perempuan yang haid dan nifas, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa, selawat dan juga zikir-zikir sewaktu berada di dalam bulan Ramadan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata, maksudnya:

Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar apakah yang patut aku berdoa ?

Maka kata Nabi S.A.W:

‘Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’

2. Memberi Makan Kepada Orang Berbuka

Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa.

Antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.-  Riwayat Al-Tirmizi (807)

3. Banyakkan Sedekah

Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T.

Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas.

Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid dan nifas masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadan dengan kadar yang termampu.

Wanita yang sudah bersuami, jika dia mempermudahkan urusan suaminya beribadat, dia juga akan mendapat ganjaran ibadah.

“Kalau selalunya kita solat ambil masa lima minit, tetapi kerana uzur, ambil lah masa lima minit itu untuk selawat dan instighfar.”

Doa-Doa Yang Dianjurkan

Berikut doa yang diajarkan Al-Habib Salim bin Abdulloh Asy-Syathiri (ulama besar Tarim-Yaman):

‎اَللَّهُمَّ اِطَّلِعْ عَلَيْنَا لَيْلَةُ الْقَدَرِ اَلْعَظِيْمَةُ الْقَدَرِ فِى الْيَقُظَة وَ الْمَنَام

Allahumma Iththoli’ ‘Alainaa Lailatal Qodari Al-‘Azhiimatul Qadari fil Yaqdzoh wal Manaam.

Artinya:

Ya Allah, datangkanlah kepada kami Lailatul Qadar yang mulia saat bangun dan tidur.

Barang siapa yang membaca doa ini sebanyak tujuh kali setelah solat Witir, maka dengan izin Allah akan mendapatkan Lailatul Qadar.

Hendaknya doa ini diiringi dengan memperbanyak amal soleh dan memaksimalkan ibadah di 10 hari terakhir Ramadan. Doa lain yang dapat diamalkan adalah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لنَا فِيْ شَهْرِ رَمَضَانَ وَ بَلِّغْنَا لَيْلَةَ الْقَدْرِ وَعِبَدَةً فِيْهَا

‎Allahumma Bariklana fi Syahri Romahana wa Ballighna Lailatal Qadar wa ‘Ibadatan Fiha.

‎Artinya:

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Ramadan ini dan pertemukanlah kami dengan Lailatul Qadar dan beribadah di malamnya.

Al-Habib Abdullah Al-Haddad berkata:

اذا كانت ليلة الجمعة ليلة الوتر فهي احرى بأن تكون ليلة القدر …

فأكثروا من الدعاء وانكسار مع الله في هذه الليلة ……ليلة الوتر وليلة الجمعة ….رجاء ليلة القدر…..ان شاء الله

“Jika malam Jumaat bertepatan pada malam ganjil maka malam itu kemungkinan besar menjadi malam Lailatul Qodar. Maka perbanyaklah doa dan merendahkan diri kepada Allah pada malam tersebut, (yaitu malam ganjil dan juga malam Jumaat), dengan harapan malam ini adalah malam Lailatul Qadar, insya Allah.

Penutup

Tiada nikmat yang lebih besar selain daripada nikmat keampunan Allah SWT yang kita harapkan selaku hambaNya di atas muka bumi ini untuk meraih ganjaran syurga yang dijanjikanNya di akhirat kelak. 

Oleh itu marilah kita berusaha pada 10 malam yang terakhir ini untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh.

Related posts

Hukum Perempuan Berzina & Lelaki Yang Berzina

admin

Digaji Tetapi Menyerahkan Tugas Kepada Orang Lain

adminwm

Mas Kahwin Wajib, Jenis Mahar dan Kadarnya

adminwm

Leave a Comment