AGAMA

Antara Habil dan Qabil Mana Satu Watak Kita?

Ibadah Haji tidak boleh dipisahkan dengan ibadah korban. 

Ibadah ini merupakan ibadah tertua dalam sejarah tamadun manusia, selain ibadah solat.

Ibadah korban pertama yang berlaku adalah di zaman Nabi Adam a.s. Setelah tinggal bersama di dunia, Nabi Adam a.s dan Hawa dikurniakan beberapa orang anak yang lahir secara kembar. 

Pasangan kembar pertama ialah Qabil dan adiknya Iqlima. Kemudian lahir pula pasangan kembar kedua  iaitu Habil dan adiknya Labuda. Setelah anak-anaknya dewasa, atas perintah Allah mereka dikahwini secara silang iaitu lelaki kembar pertama dikahwinkan dengan perempuan kembar kedua, manakala perempuan kembar pertama dikahwinkan dengan lelaki kembar kedua. 

Justeru, Qabil diperintah untuk bernikah dengan Labuda, namun dia enggan kerana merasakan dia lebih berhak untuk bernikah dengan adik kembarnya Iqlima. Lalu Allah SWT memerintahkan Qabil dan Habil mempersembahkan ibadah korban. Ia merupakan perintah Allah SWT yang mesti dijunjung dan dilaksanakan. Korban siapakah yang diterima, maka dialah yang berhak menikahi Iqlima. 

Qabil telah mempersembahkan korban berupa selonggok gandum yang buruk kualitinya.  Korban yang dilakukannya tidak ikhlas. Ada perasaan tamak dalam dirinya.  

Manakala Habil pula mempersembahkan korban berupa seekor kibasy yang gemuk. Korban yang dilakukan Habil berlandaskan taqwa. 

Kemudian kedua dua korban ini diletakkan di atas sebuah gunung. Lalu turunlah api putih dari langit yang menyambar korban Habil, tanda korbannya diterima Allah. Sedangkan Qabil pula mendapati gandumnya sedikit pun tidak terusik, menunjukkan korbannya tidak diterima.

Perasaan marah Qabil kepada adiknya Habil bertambah meluap. Kata Qabil kepada Habil, “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!” (Al-Maidah : 27)

Mendengar hasrat abangnya, lalu Habil menjawab, “Bahawasanya Allah menerima (korban) daripada orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah : 27)

Kisah ini berlarutan sehinggalah berlakunya pembunuhan kejam oleh Qabil ke atas Habil. 

Kisah Qabil dan Habil telah pun berlalu, namun watak serta sifat Qabil dan Habil sentiasa ada dalam diri manusia. Watak ini akan wujud selagi adanya bulan dan bintang. Alang alang sudah berada di tanah suci, marilah sama sama bermuhasabah, mana satu watak kita? 

Adakah kita berwatak Qabil yang penuh rasa dengki, dendam kesumat, tidak puas hati dengan ketentuan Ilahi, cemburu tidak menentu, tamak dan pentingkan diri sendiri?

Atau berwatak Habil yang pemurah dan sentiasa mahu yang terbaik dalam ibadah yang dilakukan ? 

Wallahualam. 

 

Catatan: Ustaz Hj Mohd Hishamuddin bin Mansor

Related posts

Ini Seeloknya Dilakukan 30 Minit Sebelum Berbuka Puasa

admin

FAEDAH SIANG

adminwm

Petunjuk NABI S.A.W

admin

Leave a Comment