EYE ME

Aku dan Azamku…

You are never too old to set another goal or to dream a new dream.” C.S Lewis

Rencana ini ditulis tepat pada tahun baru. Tertidur terlebih awal (tak tahu kenapa) tetapi selepas isyak dan masih di dalam telekong saya terus terlelap. “Mummy demam ke?” (biasanya kalau tidur awal, tidak sihatlah),” tegur Imtiaz yang sudah bersiap keluar. Nak ditahan, anak muda dan punya kekasih, tentulah mahu merayakan tahun baru bersama. “Solat dulu, dan balik cepat,” itu sahaja jawapan saya, kemudian lena.

Rupanya hampir tiga jam itu nyenyak sekali tidurnya, terjaga kerana telefon di sisi tidak henti berbunyi dan beratus mungkin ucapan diberi. Oh jam di dinding sudah mencondong ke angka hampir satu pagi. Saya bangun mencapai telefon. Leka dengan gambar-gambar cucu yang dikirimkan oleh si ibu di sebuah tempat peranginan. Sejak ada cucu seronoknya satu macam, “Perfect love sometimes does not come till the first gandchild,” kata peribahasa orang Wales. Tepat menggambarkan si opah dan atuk Sheraaz yang isi telefon penuh dengan gambar si cucu, gambar atau cerita-cerita lain boleh didelete tetapi tidak gambar ‘tuan muda’ ini, sejak lahir sampai hari ini, beratus-ratus di dalamnya.

This smart phone, betul ada kebaikannya seperti menghilangkan rindu pada wajah si tuan muda tetapi banyak masanya kita dilekakan dengan kehadirannya. Kadang-kadang dicapai hanya untuk melihat jam, tetapi berakhir dengan duduk dua jam melayan entah apa… jadi inilah yang mahu saya betulkan pertama-tama sekali pada 2020 ini. Tidak mahu terus ‘menyetankan’ diri kadang-kadang melayan perkara yang tidak berfaedah, membaca dan melihat hal-hal yang tidak memberi manfaat. Malah menambah maksiat mata serta maksiat lidah dan hati. Saya tidak menafikan akan kepentingannya di dalam hidup seharian. Bayangkan kita tertinggal telefon di rumah dan perjalanan untuk ke destinasi tidak berapa pasti. Dan alamat pun tidak diketahui lengkap serta lokasinya pun entah di mana. Siapa yang boleh dicari kecuali benda ini yang mengisi segala bukti? Ya, sehingga otak ini tidak pun lagi digunakan untuk mengingatkan nombor orang yang paling dekat dengan kita; anak, ibu bapa, adik beradik, suami isteri?

Imbas sekejab perjalanan diri saya sepanjang 2019. Pertama, saya teramat bersyukur ke hadratNya, masih Dia menyempurnakan hidup ini dengan kesihatan yang cukup membanggakan. Tanpa begitu bersenam, tanpa begitu menjaga had makan, tanpa mengambil banyak vitamin dan kurang pun makanan yang berkhasiat, masih suka makan nasi lemak, roti canai, minum kopi, kari daging, Alhamdulillah saya begitu sihat. Rasanya belum ke klinik mengadu sakit pada doktor, cuma tidaklah saya mengenepikan sama sekali ubat kolestrol dan darah tinggi. Oh ya… 2020 saya berjanji lebih rajin membuat senaman, lebih rajin makan dua ubat ini dan cuba tolak hidangan yang sah-sah boleh menambah naik berat badan serta memastikan data kadar kolestrol terkawal. Ini resolusi kedua saya.

Yang lainnya, begitu usia meningkat rasa malas juga bertambah. Tetapi malas yang membina. Malas yang barakah. Malas yang membuka ruang untuk rajin ke tempat yang lebih bermanfaat. InshaAllah kemalasan saya ini berpanjangan yakni sudah malas lagi untuk bershopping. Saya kurang lagi selesa menjenguk butik-butik mewah yang menawarkan the latest trends, the it bag, the beautiful heels. Ya, ruang itu sudah perlahan-lahan saya jauhkan, ditambah pula dengan wang di bank yang kian menipis, makanya eloklah tidak lagi dijadikan habit menyinggah ke tempat-tempat yang akhirnya rambang mata. 

Usia yang meningkat, apa lagi yang lebih diutamakan, yang wajib dipraktikkan, yang patut disegerakan, yang lebih dimanfaatkan dalam kehidupan hari ini untuk kehidupan di alam abadi? Sudah tentu jawapannya adalah mendekatkan diri dengan penciptaNya, kerana di akhir kehidupan kita kembali kepadaNya jua. InshaAllah saya akan menambahkan kerajinan di situ, yang selain bekalan hari akhirat, sesungguhnya kebaikannya dirasai sendiri kini. Diri menjadi lebih penyayang, penyabar, prihatin kepada kesihatan diri, melayani waktu sebaiknya dan banyak lagi kebaikan yang diperolehi daripada kita merajinkan diri menjadi hambaNya yang lebih bermuhasabah. Semoga usaha saya membanyakkan masa menghadirkan diri ke majlis ilmu dan menambah pengetahuan ilmu agama dengan buku-buku agama, menjadi aktiviti harian saya di tahun baru ini, dan seterusnya sehingga saya dijemput menemuiNya.

Hidup saya tidak sendirian. Syukur Allah memberikan kenikmatan hidup berkeluarga yang masih teguh dengan kasih dan sayang. Syukur kami juga tidak diuji dengan kepincangan rumah tangga, dengan keperibadian yang menjelekkan, dengan kekasaran yang menyakitkan mahupun dengan penyakit yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kesengsaraan hidup. Sungguh kami amat bersyukur dengan pemberianNya yang membolehkan kehidupan sekeluarga amat selesa. Kami tidaklah mewah dengan wang ringgit tetapi tidak miskin untuk memaksakan diri daripada subuh hingga dinihari keluar mencari rezeki bagi menampung keperluan hidup sehari-hari. Sebaliknya kami selesa hidup dengan apa yang ada. Ada tempat tinggal yang selesa, kenderaan untuk ke sana sini, dan sedikit peruntukan melancong serta hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan. Cukup untuk tidak meminta-minta kepada orang lain. Malah bersedekah seringgit dua bagi menyelesakan seorang dua yang memerlukan. Semoga Allah memberikan hidayahNya kepada keluarga ini.

Selain itu kita juga punya abang, akak dan adik, ibu, ayah saudara, anak saudara, sepupu sepapat, sahabat handai dan rakan taulan, teman seperjuangan, seperniagaan dan insan-insan lain yang datang dalam hidup kita. Tiada yang lebih bermakna mengekalkan silatulrahim dan menambahkan keeratannya. Adik beradik, adalah sebahagian dari jantung dan nadi kita, susah mereka susah kita, senang mereka senang kita. Ambil tahu kehidupan mereka, eratkan persaudaraan, ziarah masa mereka sihat dan lebih-lebih lagi waktu mereka sakit. Sumbang apa yang patut. Tiada kemampuan menghulurkan wang ringgit, berikan tenaga, tiada tenaga, berikan ilmu yang bermanafaat. Ajar yang tidak pandai mengaji, beri sokongan untuk kebaikan hidup mereka dan ikut serta dalam aktiviti yang membabitkan ahli keluarga. Jangan ada yang dengki mendengki, hasut menghasut, cemburu mencemburi… dan ikhlas membantu di mana perlu. 

Dengan saudara mara yang lain juga pupuk kasih sayang. Sepupu kita kalau boleh janganlah berlanggar bahu tidak kenal satu sama lain. Pergi ke majlis-majlis yang dijemputnya, majlis kahwin, kenduri arwah dan sebagainya. Lagipun masa-masa inilah kita dapat berjumpa, bermesra dan kenal saudara mara. Ingat darah yang mengalir dalam badan mereka, juga tidak banyak tidak masih ada yang sama, atuk kita sama, opah kita juga opah mereka.

Begitu juga dengan kawan-kawan. Hidup ini tidak sempurna tanpa teman-teman yang menemani, yang menghiburkan hati, yang boleh diajak berbicara hal-hal di luar hal keluarga. Dunia ini bermacam-macam rupa, pelbagai aspek untuk dipelajari dan harus dijalani daripada semasa ke semasa. Kawan-kawanlah tempat kita bertanya, bercerita, berhibur, melayan suka dan duka. Jangan dibiarkan mereka sengsara, jika perlu tolong mereka. Jika tidak, tiada salahnya kopi-kopi sebagai kenangan abadi membawa ke hari mati. Kawan pada saya tidak perlu seribu, dan tidak perlu pun mencari yang baru, namun yang ada, yang tulus dan yang selalu ada masa senang, masa susah, dialah yang perlu dijaga. Matlamat saya tidak mahu mengabaikan hubungan… cari masa bersama sekalipun sekadar satu perkataan helo. Saya kehilangan seorang kawan, dan sehingga kini saya masih merasai kehilangannya. Nini, aku berdoa kita bertemu di Jannah nanti.

Kerjaya, saya juga punya tanggungjawab kepada syarikat, staf dan juga pengiklan. Lantaran itu buatlah yang terbaik. Kita saling memerlukan. Tiada editor kerja tidak boleh jalan, tidak ada pereka grafik majalah tidak dapat disiarkan, tiada pengarah dan petugas media sosial, liputan tidak dapat disebarkan kepada orang ramai. Tiada pengiklan tidak bisa meneruskan tugasan ini. Sayugia buatlah kerja dengan jujur, beramanah dan tidak sama sekali mengaibkan sesiapa. Jangan jadi sesetengah cyber tropper, bangun pagi fikir hari ini siapa pulak yang akan menjadi mangsa aku. Siapa yang mahu aku aib dan keji, aku hina, aku cipta tipu dan helah. Buka mata fikir untuk menjahanamkan parti lawan dan yang tidak sebulu, sealiran. Dan orang pun percaya, dan orang pun bertambah amarah menyebabkan masyarakat berpecah belah dan negara hura hara. Ayuh, saudara saudaraku hentikan perbuatan yang keji ini. Anak didikku, tolong jangan terbabit lagi dalam kancah yang hina ini. Menulis demi kebenaran, pena di tanganmu itu harus berbakti bukan mengheret orang supaya cepat mati.

Hari ini permulaan tahun baru, 2020. Pernah saya melecehkan, bila Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad mengistihar/melancarkan Wawasan 2020, (dan itu pada 1991) bertanya diri, “Bolehkah aku hidup sampai waktu itu, entah-entah sudah mati?” Namun Allah panjangkan usia Perdana Menteri kita itu, dan dia menjadi Perdana Menteri sekali lagi, Allah lanjutkan usia dia dan kita, melihat pertumbuhan dan perkembangan negara. Aku dan kamu, kita dapat menyambutnya kini. Tidakkah kamu merasakan ia satu nikmat, satu anugerah? 

Banyak tugas kita sebenarnya. Tanggung jawab kita belum selesai… yang berilmu jangan kedekut memberi. Saya hairan masih ada manusia yang tidak mahu berkongsi ilmu, kalau setakat satu resepi pun hendak disorok, dan tidak mahu kongsi sebab takut orang lain boleh buat duit kerana resipi sedap kita ini, entahlah saya tidak ada perkataan untuk menyedarkannya. Kepada ayah, ibu dan cikgu, didiklah anak-anakmu dengan ilmu untuk maju. Kamu contoh kepada generasi seterusnya. Jika kamu beri dia dadah sudah tentu dia terdedah dengan hidup penuh kelodak. Seperti air di kolah yang penuh kelodak, dibuang sayang, disimpan menambah kelodaknya lagi, diminum jangan sekali jadi terbiarlah dia tidak berfungsi.

Sebelum mengundur diri, mahu saya titipkan kata mutiara daripada pemimpin Islam yang hebat, Ali bin Abu Thalib, katanya, “Betapa bodohnya manusia. Dia menghancurkan masa kini sambil mengkhawatirkan masa depan, tapi menangis di masa depan dengan mengingatkan masa lalunya.”

Jadi untuk kalian semua, “Tahun baru adalah seperti buku yang kosong. Penanya ada di tanganmu. Tulislah kisah yang indah dalam diari sendiri.”

Selamat 2020.

Related posts

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

Niniku, Masih Belum Aku Padam Nombor Telefonmu

Wirda Adnan

Cinta dan Perkahwinan

Wirda Adnan

Leave a Comment