Aishah Kecewa Video Muziknya Dipadam di Youtube

Kasihan Datuk Aishah. Sudah seronok dengan lagu terbarunya Ketentuan Takdir, promosi juga sedang dijalankan dengan posting demi posting di media sosial selain contest menyanyikan lagu tersebut turut diadakan, namun dek kerana kecuaian satu dua tangan, video muzik lagu tersebut dipadam di YouTube.

Kecewa benar si penyanyi. Usahanya untuk Ketentuan Takdir ibarat menerkam ayam di dalam sebiji telur. Semalam, Aishah memuat naik video di Instagram meluahkan kekecewaan.

Memetik kata Aishah dalam video ‘keluhan’ di IG, nak mempromosi lagu bukan mudah. Walaupun selepas lebih seminggu dimuat naik, tontonan baru enam ribu (satu angka yang kecil untuk penyanyi muda yang boleh dapat berjuta tontonan tetapi besar maknanya untuk senior sepertinya) tetapi dia bersungguh-sungguh ke sana dan ke mari mempromosi lagu agar popular dan mendapat view tinggi di laman penstriman sah (seperti Youtube, Spotify)

Tambahan, hanya Aishah tahu betapa susah untuk dia bersaing dengan penyanyi junior. Jadi tentulah dia terkilan dengan apa yang terjadi.

Dalam temubual bersama Berita Harian, Aishah memberitahu syarikat Universal Music Malaysia (UMM) mengaku insiden itu berpunca kecuaian pihaknya. Aishah menjelaskan, UMM sudah menghubungi dan memohon maaf atas insiden yang tidak disengajakan itu.

“Saya hanya minta tukar kapsyen video itu daripada video muzik rasmi yang ditulis kepada video lirik. Kenapa mereka padam video itu?” Katanya kepada Berita Harian.

Pun begitu kekecewaan Aishah terubat kerana wakil dari Universal Muzik telah memuat naik semula muzik video tersebut dan terkini sudah lebih lima ribu orang yang menonton (untuk pemahaman semua, YouTube mengira jumlah tontonan per kepala.) Malah ramai peminatnya yang berkongsi menyebarkan video muziknya di media sosial masing-masing dan sedikit demi sedikit menambah jumlah tontonan.

Harapnya sedikit masa lagi lagu ini akan mendapat lebih banyak tontonan dan menjadi siulan sama seperti barisan lagu hitnya yang sebelum ini.

Untuk pengetahuan lagu Ketentuan Takdir hasil karya komposer Chevy Amri, lirik oleh Habsah Hassan manakala arranger, mixing dan mastering oleh Azlan Abu Hassan, dibantu Cikgu Shafi sebagai vocal instructor semasa sesi rakaman.

Jom dengarkan lagu terbaru dari Aishah, Ketentuan Takdir.

Sumber: Youtube Universal Muzik Malaysia

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya
47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwm.com

FOLLOW US ON