DESPERADO

“Abang Kesal, Betapa Seksa Hidup Tanpamu”

Seperti yang diceritakan oleh seorang suami melalui perkongsian dengan majalahwm.com

Salam editor majalahwm.com. Nama saya Halim ingin berkongsi cerita di ruangan ini. Untuk pengetahuan Puan, saya hanya mengetahui mengenai majalah online ini setelah membaca beberapa coretan yang ditinggalkan arwah isteri di dalam ipadnya. Dia menamakan TAMPA?

Apa TAMPA? Rupanya singkatan kepada perkataan ‘Tempat Aku Mencurahkan Perasaan Aku’? Aku tidak pernah tahu isteri suka menulis dan semua yang dituliskan adalah berkaitan kehidupan dan sehari dalam hidupnya. Rupanya lepas siap semua kerja dia akan mencari masa menulis, rupanya dulu sewaktu hidupnya dia pernah mengambil kursus penulisan kreatif. Rupanya dia bercita-cita menjadi penulis, dan rupanya arwah seorang yang hidupnya menderita, derita disebab perangai aku suaminya.

Lebih 20 tahun berkahwin, kami dikurniakan tiga anak tetapi aku tidak pernah ambil peduli apa pun dalam membesarkan anak dan mengambil tahu hal isteri. Aku ingat aku beri duit RM1500 sebulan itu sudah cukup besar untuk keluarga. Aku ingat aku suami yang amat bertanggungjawab kerana menyediakan wang kepada mereka. Aku ingatlah akulah suami yang paling baik kerana menyediakan rumah dan sebuah kereta untuk isteri dan wang sebanyak itu untuk running rumah tangga. Ya lah apa dia hendak lagi, 1.5k sebulan untuk beli keperluan dapur dan anak-anak bersekolah, duit saku mereka, duit minyak kereta Viva isteri menghantar anak ke sekolah. Sekolah pun tak jauh dari rumah dan kadang-kadang aku isi penuh minyak kereta.

Selama 20 tahun berkahwin, aku menjadi suami yang pendek cerita hanya memerintah dan isteri wajib dengar. Bila tiba waktu makan, makanan mesti dihidangkan. Baju kerja aku mesti siap bersetrika, rumah mesti kemas dan ya lah segalanya mesti teratur, sedangkan aku tahu bini aku itu juga ada kerja. Dia buat online, jual sabun, jual biskut-biskut dan baju-baju apa sahaja yang dia hendak jual. Dia ambil dari mana pun aku tidak pernah tanya dan tak ambil tahu. Dia untung, dia rugi, dia buat apa pun aku tak peduli, yang aku tahu kerja rumah beres. Dia hendak tidur lewat kerana kerjanya, aku tidak peduli. Aku tak ada masa langsung untuknya dan anak-anak. 

Bagi aku, aku sudah cukup baik. Anak pun takut dengan aku. Apa aku perintah dia orang buat, macam lipas kudung. Pada aku anak aku baiklah mengikut telunjuk aku, dan aku bangga kerana anak aku mendengar cakap aku. Sama ada mereka hendak dengar cakap mama mereka, aku tidak peduli. Sama ada mereka ada masalah di sekolah atau apapun aku langsung tidak pernah ambil tahu. Bagi aku kerja aku dan kawan-kawan aku yang penting. Hari minggu, cuti aku, petang dan malam, aku rasa nak keluar, aku keluarlah. Aku nak balik jam berapa, suka hati akulah, sampai kawan-kawan aku kata, “kamu ni untunglah, boleh keluar bila-bila masa. Kamu tak bawa anak-anak dan isteri jalan-jalanke?” Aku tanya mereka, “Nak bawa ke mana?” “Yalah jalan-jalan.” Dengan bangga aku jawab, “Tak de dalam kamus akulah, dia orang nak jalan pergilah aku tidak halang. Bini aku hendak jumpa adik beradiknya, nak bawa anak-anak shopping, tengok wayang, go ahead, aku tidak kisah.”

Dan boleh itu aku lebih banyak tolong kawan aku daripada menolong kerja di rumah. Di rumah aku King, aku hanya perintah dan semua dapat. Boleh aku katakan aku lebih banyak menghadiri majlis kawan-kawan daripada majlis di rumah ipar duai dan saudara mara aku. Isteri dan anak-anak aku tidak berapa kenal saudara mara mereka di sebelah aku sebab aku tidak bawa mereka berkenal-kenalan.

Cukup untuk aku bercerita betapa aku tidak pernah nak ambil tahu tentang keluarga aku sendiri. Inilah aku baru disedarkan setelah isteri aku pergi buat selama-lamanya. Oh ya, saudari Editor, dalam satu tulisannya, “Majalahwm.com tempat aku menghilangkan stress, kadang-kadang aku ulang baca,” tulisnya. 

Apa istimewanya majalah ini? Lalu aku klip website majalahwm.com, dan inilah aku mahu berkisah lagi di sini. Rupanya dia suka baca kisah dalam Desperado. Tulisnya, “Aku rupanya tidak keseorangan, ramai juga isteri yang menderita akibat perangai buruk suami. Ah suami aku, tak pandai hendak bercakap lembut dengan aku. Suami aku, dia rasa dia semua betul. Dia ada masalah di tempat kerja, dia lepas marah pada aku. Dia ada masalah dengan familinya dilepas pada aku. Bukan dia hendak cerita tapi sebab dia bergaduh dengan adik beradiknya atau dengan emak ayahnya, nak lepaskan ‘anger’ dengan mereka tidak boleh, bila pulang, dan sikit yang tidak kena di matanya, dia mengamuk. Lambat sikit hidang makanan di meja macam satu kesalahan besar. Masakan terlebih masin atau termanis, silap haribulan campak sahaja makanan. “Ya Allah, berikan dia sebanyak-banyaknya kesabaran dan berikan juga aku kesabaran menerima ujian ini. Aku tahu tidak mudah untuk aku hendak cari jalan keluar, jadi terimalah sahaja, tetapi sampai bila? Aku letih melayan dia, tetapi apa patut aku buat? Aku malas hendak bising, jadi aku makan hati. Allah tolong aku, tolong aku,” tulisnya.

Okay, aku teringat dia mengingatkan aku tak usah keluar sangat sebab virus covid19 menggila. Aku cakap, awak tak payah nak cuba nasihat. Awak jaga diri awak. Dan aku pun membebel entah apa, ungkit entah apa. Aku marah dia dan kata aku bukan budak nak diingatkan aku tentang covid, tentang solat dan sebagainya. Cukup. Mulut tu tak habis-habis membebel. Aku kata awak solat tonggang tonggek, tentu ke masuk syurga? Kubur masing-masing apa yang awak susah aku tidak solat? Satu hari dia bagitahu kawasan perumahan tempat kami tinggal sudah ada kes. Aku jawab, “aku pun tahu.”

Sudah lama aku guna perkataan aku, awak sahaja dengan dia, mana hilangnya panggilan sayang, abang. Entah aku pun sudah lupa memanggilnya sayang. Aku pun sudah macam bosan dengan dia, walaupun aku tahu dia tidak buat salah, tapi aku sudah hilang perasaan untuk dia. Dan adalah seorang perempuan itu, suka pula dengan aku, jadi menjadi-menjadikan rasa menyampah aku dekat dia, bila aku cuba membandingkan perempuan itu dengan dia. Perempuan itu muda dan isteri aku sebaya aku dah nak masuk 50 tahun. Ah aku pun dah lama tak sentuh dia, rasa tidak ada hati, tambah dia dengan kusut masainya. Aku buat tak faham dia banyak kerja tapi apa aku peduli, pandai-pandailah dia nak menguruskan.

Aku masih keluar ke sana ke mari walaupun masa PKP, dan lepak dengan kawan-kawan bujang.  Dia pesan juga nanti bahaya, aku herdik dia. “Awak nak sangat ke kena covid19. Tak de nya nak mati?” Dan bila orang sudah mula bersuntik untuk mencegah covid19 aku tidak kisah, aku tidak pun daftar my Sejahtera, tak tanya pun sama dia sudah daftar ke tidak, tapi memang aku tidak percaya tentang vaksin ni. “Lantak lah orang nak bervaksin, awak pun tak payah, tak nya dijangkiti?” Begitulah aku tegas tidak mempercayai malah boleh tu menghalangi dia untuk mendapatkannya.

Allah mungkin ada cara untuk menyedarkan aku. Tiba-tiba dada aku sesak, aku muntah-muntah, dan aku tidak boleh bernafas, akhirnya aku dibawa olehnya ke hospital, aku disahkan positif. Dan satu rumah diminta buat ‘swap test’, dan isteri pula juga positif. Mujur anak-anak negatif dan kena kuarantin di rumah tetapi isteri dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan tidak lagi pulang selepas itu. Rupanya juga arwah memang ada penyakit kencing manis, ada masalah ‘kidney’ dan ya, Allah lebih menyayanginya, dia pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesan. Dia pergi dalam kesedihan pastinya, kerana aku suaminya tidak pandai menilai kasih sayangnya. Aku biarkan dia keseorangan, dia sakit aku tidak tahu, dia merajuk dia pujuk dirinya sendiri. Dia ada masalah, dia selesaikan sendiri. Aku suami sibuk dengan dunia aku.

Sudah hampir tiga bulan isteri meninggal. Baru aku sedar rupanya terlalu banyak pengorbanannya untuk keluarga ini. Baru aku betul-betul melihat ‘rupa’ anak-anak aku yang sudah besar yang sudah pandai menjaga diri sendiri. Tapi aku seperti orang tidak siuman. Mana kawan-kawan aku yang aku dewa-dewakan?  Ah mereka dengan kehidupan masing-masing, hanya hari isteri meninggal mereka mengucapkan takziah kemudian buat hal masing-masing. Aku tiba-tiba rasa teramat sunyi, dunia aku terpadam serta merta. Kesalan demi kesalahan, kerana aku tidak pandai menghargai jasa isteri. Aku lupa menyayanginya sewaktu hidup, aku lupa langsung tanggungjawab aku kepada dia dan anak-nak. Dan lebih aku kesal kerana aku, dia yang pergi dulu. Betapa bodohnya aku tidak mendengar nasihatnya. Ya dia ingatkan untuk daftar vaksin, aku herdik dia. 

Aku rindu mendengar suaranya yang mengaji setiap solat subuh. Suaranya sungguh merdu tetapi aku selalu kata awak bisinglah aku nak tidur, pergilah mengaji tempat lain. Tutup lampu aku hendak tidur. Aku rindu dia mengingatkan aku, “Sayang sudah solat?” Walaupun aku menyergahnya tapi seminggu atau sebulan kemudian dia ingatkan aku balik.

Rumah aku tunggang terbalik. Di sinki berulat kot pinggan mangkuk tidak berbasuh dan baju-baju aku yang kotor tidak bercuci dan lantai sudah berhabuk tidak disapu. Dulu aku ingat kerja rumah senang, dan aku selalu memekik marah dia, ini tidak betul itu tak kemas, bersemut dan sebagainya. Kadang-kadang hanya kerana seekor lalat yang terbang di meja makan, aku carut dia kerana tidak tahu jaga kebersihan. Sekarang padan muka aku…”

“Sungguh abang kesal, betapa seksanya  hidup tanpamu sayang. Baru abang tahu betapa besarnya pengorbanan sayang untuk keluarga ini. Abang kesal, kesal, kesal, abang musnahkan hidup sayang kerana ego ini. Apa yang sayang cakap selama ini adalah betul, tetapi sengaja nak tunjuk power konon, isteri kena patuh dan taat kepada suami. Maka abang gunakan kuasa itu supaya sayang ikut telunjuk abang.”   

“Terlalu banyak dosa abang pada sayang. Maafkan abang. Ya Allah ampunkan segala dosa aku akan perbuatan burukku terhadap isteriku. Dia isteri yang baik cuma aku yang tidak tahu menilai kasih sayangnya. Ampunkan aku kerana membuat dia menderita. Ya Allah tempatkan dia bersama orang-orang yang soleh.” 

 Kepada suami-suami di luar sana, jangan jadi seperti aku, menyesal tidak sudah. Sayangi dan hargai diri isteri. Allah temukan jodoh kita bukan untuk mensia-siakan hidupnya, bukan dijadikan tempat untuk melepaskan marah. Dia isteri yang harus diangkat darjatnya, kita yang harus mendidik dia dan anak-anak. Untuk apa kita kahwin kalau tidak merebut sebanyaknya pahala kerana mendidik ahli keluarga adalah jalan ke jannah. Aku mohon semua brother, insaflah jika selama ini kamu kasari dia. Ingat syurga dia di bawah telapak kaki kita, tapi kalau kita sia-siakan hidupnya, neraka tempat kita. Sekarang seperti aku menyesal pun gunanya lagi. 

Arwah mencatatkan ini dalam TAMPAnya, membuat airmata aku berjurai-jurai… seperti jantungku dicucuk oleh besi tajam.

‘Isterimu itu amanah bukan pembantu

Bila kau tidak bisa membuatnya tersenyum, jangan kau membuatnya menangis 

Bila kau tidak membuatnya bahagia, jangan kau membuatnya menderita

Bila kau tidak bisa memujinya, jangan kau mencelanya

Bila kau tak bisa menghantarnya ke syurga

Jangan kau menjerumus dia ke neraka

Isterimu bukan pembantu yang cuma dibebankan

Kewajipan-kewajipan untuk melayanimu

Tapi dia adalah amanah yang memiliki hak atasmu

Dia memiliki hak untuk bahagia

Hak untuk dimuliakan, hak untuk kau arahkan kepada keselamatan

Dan lebih dari itu, dia seperti mu

Punya perasaan ingin diperhatikan dan disayangi

Bila bukan darimu daripada lelaki mana lagi’ 

– averiqoutesjournal.view4yu.ru

“Sehingga hari ini abang tidak selera makan, setiap suapan abang teringatkan sayang

Abang menyesal.” 

Related posts

Dinodai Teman Karib Sendiri

admin

Isteri Dipaksa Bertudung Kemudian Cari Bini Lain Yang Seksi

admin

Sahabat Ajaklah Aku Ke Jannah

admin

Leave a Comment